"Ya Allah, Dina salah faham ni." Danial menggelengkan kepalanya sambil ketawa lucu. Lucu? Ingat lucukah cerita sebegini? "Tu semua nota lama lah sayang. Abang boleh bakar semua tu depan mata sayang lagi."
Aku membiarkan diriku tanpa sebarang perasaan. Hendak lega pun tidak sangat, hendak ketawa? Memang tidaklah. Kini perasaanku bercampur baur. Gembira? Sedikitlah. Sedikit.
"Abang ingat Dina main-main ke?" Lengan Danial aku cubit perlahan sambil bibir mulusku mencebik. Geram lagikan sakit hati kecil ini.
"You know, I only have you in my heart, Irdina Safiya. Tolonglah, abang terlupa je nak cabut nota tu, please. Maafkanlah abang yang tak sempurna ni." Wajah paling comel dengan mata hazel yang bersinar dilemparkan kepadaku.
Tolonglah. Aku mengalah kali ini.
"Yelah. Bila kita nak makan ni, asyik sembang je." Sudu dan garpu aku ambil semula lalu menyuapkan makanan ke dalam mulutku. Kiranya minum petanglah, sudah pukul 2 lebih rasanya.
Tanpa membuang masa, masing-masing kami menikmati hidangan yang lazat dimasak oleh mama. Sepatutnya akulah menantu perempuan yang perlu tolong. Ini tidak, aku hanya duduk di dalam bilik tidak mahu keluar, takut punya pasal.
*
"Nah. Tengoklah sendiri, abang dah buang semua. SEMUA." Kesemua nota kecil berwarna itu dikeronyok lalu laju saja dicampak ke dalam bakul sampah. Aku diam sahaja menyaksikan semua itu. Perlu ke sehingga begini?
"Hmm." Aku mengurut dada sedikit. Bila difikirkan semula, aku ini mengada-ngada sungguh, seperti kanak-kanak pula. Langsung tidak sesuai dengan usia yang sudah mencapai 25 tahun.
Cemburu butakah aku? Cemburu dengan kak Farah?
Tak, tak, tak. Aku bukan cemburu buta, aku hanya layak cemburu sebagai seorang isteri. Orang kata, cemburu tandanya sayang.
"Janganlah cemburu. Tu semua kisah lama, sayang. Abang cuma terlupa nak buang. Abang dah padam semua kisah-kisah manis antara abang dan Farah." Tanganku diraih lalu diusap lembut. Nampaknya, Danial berjaya membuatku tersenyum seketika walaupun pahit.
Aku juga, tidak boleh salahkan Danial. Farah adalah 'ubat' kepada Danial. Dia orang pertama yang hadir ke dalam hati suamiku. Takdir memisahkan mereka, takdir juga menyatukan kita berdua.
"Abang ... janji dengan Dina, boleh?"
"Semestinya, sayang." Bahu kami bertentangan sesama sendiri. Masing-masing bersandar kepada diri masing-masing.
"Abang janganlah ingatkan pasal kak Farah lagi. Please..." Rayuku lemah. Air mata yang ditakung di tubir mata akhirnya tumpah jua. Tumpah dengan seribu pengharapan yang besar.
Hati seorang isteri, terlalu lemah. Rapuh.
"Dahlah, jangan nangis. Tak comel nanti." Kepalaku diusap lembut oleh Danial. "Kita nak pergi honeymoon, kan? Janganlah sedih-sedih."
"Honeymoon? Sejak bila pula?" Keningku terjungkit sedikit kehairanan. Setahu aku, aku ke negeri orang untuk hadir majlis perkahwinan sahabatku, bukan untuk berbulan madu.
"I planned everything, sweetie. Dah, tak elok nangis lama-lama. Lupakan pasal Farah." Danial mengenyitkan matanya kepadaku, tanda segala kata-katanya sebentar tadi ikhlas dari lubuk hati.
"Maksudnya, kita pergi honeymoon?" Soalku kehairanan. Mataku menatap mata suamiku mengharapkan jawapan.
Danial sengaja berdehem sebelum menjawab, "Iyalah, takkan abang nak honeymoon dengan Farah kot. Cemburu isteri abang nanti."
"ABANG!"
"Sorry. Abang gurau je." Kucupan syahdu diberikan ke dahiku, sama seperti seorang ayah yang sayangkan anak perempuannya. Nikmat itu, sungguh aku hayati sedalamnya.
"Tak apalah, malas dah nak merajuk."
"Kenapa?"
"Sebab abang kejam! Abang jahat! Abang tak sayangkan Dina!" Rengekku manja. Gedik sungguh. Tidak apalah, gedik kepada suami sendiri, tidak apa kan?
"Abang tak kejam. Abang tak jahat. Abang sayang Dina seorang je. Betul. Kali ni betul. Wallahi." Danial cuba meyakinkan aku dengan sebaris ayat.
"Betul? Pinky promise?" Serius aku menatap wajah Danial yang kononnya kacak semulajadi. Warisan turun-temurun daripada keluarga sebelah bapa sejak dahulu lagi, katanya ada darah raja. Tidak tahulah benar mahupun tidak.
Danial menghulurkan jari kelingkingnya bertemu dengan jari kelingkingnya. "Janji."
Aku menghembuskan nafas lega. Cukuplah untuk hari ini.
Sedar tidak sedar, sudah berjam-jam lamanya kami menghabiskan masa bersama. Hanya tinggal tiga jam lagi malam ingin menjelma, bermakna kami perlu bersiap ke lapangan terbang sekarang juga.
Kalau umi, pasti sudah berkelam-kabut sejak awal lagi jika mahu menaiki kapal terbang. Tetapi Danial, nampak seperti biasa sahaja. Mungkin kerana sudah pernah berkali-kali menaiki kapal terbang, jadi sudah biasa untuk Danial datang seperti biasa dan tidak terlalu awal, asalkan tidak ketinggalan sudah.
Aku ini, ikut sahajalah Danial, selaku suami tercinta.
Tudung bawal aku sarungkan semula ke kepalaku. Satu dua pin, cukup. Mudah untuk aku mengenakan tudung bawal berbanding shawl, tidak perlu lilit sangat. Bulat pun bulat terletak cantik di muka.
"Hello beautiful. Nervous tak nak naik flight kali pertama?" Sedang aku berdiri di hadapan cermin sambil membetulkan tudung, Danial muncul dari belakang secara tiba-tiba seperti makhluk halus. Terkejut aku dibuatnya, tetapi tidaklah mahu melatah. Sudah berkali-kali aku dikejutkan begini.
"Tak pun. Sikit je." Jawabku sambil membetulkan hijab yang masih senget.
"Tapi tak boleh lawan nervous abang nak lafaz akad nikah haritu."
"Abang...." Aku tersenyum bahagia. Malu-malu kucing. Aku dan Danial, masih pengantin baharu lagi kalau diikutkan. Baru sebulan sahaja tempoh kami berkahwin.
"Eh, betul apa. Nasib baik abang tak tersasul masa tu. Punyalah panjang nama Dina, kenapa tak letak nama pendek je? Allah je tahu gemuruhnya abang masa tu." Danial ketawa kecil mengenangkan memori lama yang telah berlalu dimamah masa. Sekejap sahaja sudah sebulan, rasa seperti semalam baru sahaja Danial melafazkan akad nikah untuk menghalalkan aku.
"Tanyalah umi dan abah. Dina mana tahu, bukan Dina yang namakan diri sendiri." Badanku aku pusingkan menghadap Danial, seraya mata kami bertentangan lagi. Aku terpaksa mendongak sedikit kerana Danial lebih tinggi daripadaku.
"Okeylah. Kita ni, bakal umi dengan abah juga. Nanti nak namakan anak kita apa? Yang simple-simple je?"
"Entahlah. Kalau panjang pun, kesian kat suami dia nanti nak lafaz akad nikah. Lagi gemuruh nanti. Silap-silap berlafaz-lafaz tak siap lagi." Aku tersengih simpul. Terbayang jika aku menjadi seorang ibu dan anakku pula ingin bernikah. Wah, angan-angan sungguh.
"Tahu takpe. Nasib baik suami Dina ni boleh lawan segala gementar gemuruh tu. Kalau tak, sampai sekarang kita tak kahwin lagi, tahu tak." Danial memuji dirinya sendiri dengan sekali lafaz. Fuh, mendalam juga. Benar memanglah benar.
"Perasan!" Pipi Danial yang sedikit kasar aku cubit lembut. Kalau Danial boleh angkat bakul sendiri, aku pun boleh.
"Kalau tak ada Dina pun, abang takkan kahwin dengan Dina. Pengantin perempuan tu rukun nikah tau. RUKUN NIKAH." Kali ini aku pula mahu mengangkat bakul sendiri. Agak tiber, tetapi tidak mengapalah. Mana ada orang kahwin solo. Itu bukan kahwin namanya, itu forever alone.
"Eh, dah pandai balas ye ... tapi betullah. Ada lima rukun nikah, suami, isteri, saksi, wali, ijab kabul atau akad nikah. Gabungkan semua jadi,... SISWA atau SISWI."
"Pandai abang." Pipinya aku cubit sekali lagi. Pipi Daniallah yang menjadi sasaran aku sejak sebulan lalu ini. Comel, comel, comel.
Share this novel