Bab 44

Romance Series 27539

Selimut tebal aku lipat kemas sebelum meninggalkan premis ini. Benar sekali sangkaan aku, kami hanya tidur di hotel sahaja malam tadi. Hari ini, kami akan pulang semula ke kediaman masing-masing dan meneruskan hidup kembali seperti biasa.

Setelah selesai, aku duduk sebentar di kerusi hotel sambil menongkat dagu di atas meja. Setelah tidur, mood aku kembali normal.

Satu persatu memori kami bercuti di negeri ini kembali berlayar di benak fikiranku. Dari awal datang, hinggalah hari terakhir kami di sini, hari ini.

Mungkin aku rancang hanya untuk hadir ke majlis perkahwinan Lufya, tetapi sebaliknya lain pula yang jadi. Niat asalku bertandang ke negeri ini sudah pun bertukar menjadi percutian yang tidak seberapa ini.

Walaupun tidak seberapa, cukuplah untuk meninggalkan kenangan terindah sepanjang berada di sini. Hanya aku dan Danial.

Dua hari sebelum itu....

"Abang nak, sayang tulis semua harapan sayang untuk abang, abang pula tulis harapan abang untuk sayang."

Aku mengangguk laju lalu mencapai pen hitam dan kertas. Setiap bait perkataan, aku tuliskan dengan berhati-hati.

Harapan aku untuk suamiku.

Danial cintaku,

Terima kasih sebab dah jadi suami Dina. Terima kasih sebab dah cuba bahagiakan Dina walaupun abang tak pernah cintakan Dina sebelum ni. Kita kahwin kerana terdesak dan tiada pilihan, namun itu bukan alasan untuk tidak mencapai bahagia bersama.

Suamiku, bohonglah andai Dina tak pernah mengharapkan kita tinggal bersama, ada setiap malam untuk berkongsi kisah suka duka, tidur sekatil dan sebantal bersama. Tipulah, kalau Dina tak rasa cemburu dengan orang lain yang dapat menjalani perkahwinan yang normal, hari-hari lihat muka yang sama. Tapi Dina percaya, semua itu ada hikmahnya. Insya-Allah.

Danial, kadangkala Dina rasa cemburu, sebab abang masih teringatkan kak Farah dalam khayalan abang. Dina sentiasa berdoa agar abang setia kepada Dina seorang je. Bukan Dina mahu abang melupakan kak Farah terus, tetapi.... Dina pun perempuan dan manusia biasa, mempunyai rasa cemburu diduakan.

Dina tak pernah salahkan abang, sebab Dina sedar siapa Dina di tempat ni. Dina tak pernah layak, apatah lagi patut bahagia dengan abang. Dina ... cuma perampas, kan?

Maafkan Dina, sebab emosi pula masa tulis surat ni. Cuma Dina nak abang tahu, Dina terlalu sayangkan abang, Dina takut kehilangan abang.

Isterimu,
Irdina Safiya.

Setelah selesai tulis, surat itu aku lipat kecil. Tidak pasti apa yang ingin Danial lakukan, mungkin memasukkan ke dalam botol kaca dan tanam di dalam pasir pantai, seperti yang orang lain lakukan.

"Abang, kita nak masukkan dalam botol ke surat ni?" soal aku.

Pelik. Tiada kelibat botol kaca pun yang dibawa Danial.

"Tak, abang nak ... kita baca sesama sendiri surat ni. Sekarang."

"Hah? Kenapa sekarang?" Surat kami masing-masing saling bertukar tangan.

Alamak. Aku ingatkan, mahu tanam dan buka setelah bertahun-tahun tertimbus di dalam pasir, rupanya tidak. Eh, encik suami ni memang mahu kenalah.

"Kalau tanam dalam pasir tu, dah selalu orang buat. Lagipun, belum tentu lagi kita akan jumpa balik apa yang kita tanam, sebab dah tertimbus kan. Jadi, abang nak buat yang lain sikit dari orang lain," bicara Danial.

Lipatan kertas yang lagi satu aku buka perlahan-lahan dan ingin baca isi yang terkandung di dalamnya. Dengan hati yang berdebar, aku gagahkan juga untuk membacanya.

My sweetie Irdina Safiya,

Kalaulah sayang tahu, sejauh mana sayangnya abang kepada isteri abang, mesti sayang akan terharu. Kadang-kadang, abang terpaksa tipu diri sendiri dengan dua pilihan, antara sayang dan Farah.

Abang nak sayang tahu, abang masih dalam proses untuk lupakan Farah, inilah rahsia yang terkandung dalam hati, yang mungkin tiada siapa pun tahu.

Abang minta maaf kalau sebelum ni, abang cuba menegakkan benang yang basah. Abang mengaku, abang masih teringat-ingat kenangan lama. Nota-nota yang sayang jumpa tu pun, bukannya yang lama. Yang baru.

Mungkin, abang takut untuk bersuara. Abang harap, dengan kertas dan pena mampu untuk menyuarakan apa sebenarnya isi hati abang.

~Danial comel.

Perasan.

Aku senyum kelat. Ternyata tekaan aku sebelum ini, benar. Dan aku, tidak mungkin mampu untuk mengubah hakikat yang nyata.

Siapa aku? Siapa aku untuk dibandingkan dengan kakak saudaraku? Aku, hanya perempuan kampung yang tak layak merasakan cinta.

Namun, sedkit pun aku tidak terkejut dengan kandungan tulisan itu. Kami, menulis warkah ini hanya tentang Kak Farah, bukan tentang orang lain.

Jadi, itulah suara hati yang tidak mampu diukir dengan perkataan?

"Irdina ...." Pandangan kami saling bertentang. Aku redha, apa sahaja yang akan keluar daripada mulut insan yang bergelar suami ini. Sakit? Cemburu? Mengapa perlu semua itu?

"Abang minta maaf."

Hari ini.

Masa terus berlalu meninggalkan aku yang terkapai-kapai berenang merentasi takdir kehidupan. Kalaulah aku pemilik hati Danial, aku akan pastikan dia hanya mencintai aku seorang dan keluarganya, bukan orang lain.

Ya, aku cemburu.

Mungkin, pada awal perkahwinan aku kurang merasakan semua ini. Siapa sahaja tidak suka, dapat berkongsi kasih dengan lelaki yang sebelum ini haram untuk kita. Hari itu, telah berlalu.

Tetapi, aku tetap menegakkan kenyataan yang aku tidak pernah salahkan Danial. Bukan kerana aku kasihankan dia dan cuba untuk fahami kisah silamnya, tetapi aku yang beriya menyayangi sesuatu yang belum pasti.

Wajah itu, aku tenung tanpa jemu dengan membawa sejuta pengharapan. Beginikah perasaan apabila jatuh cinta kepada orang yang sedang berbelah bahagi?

Sebelum ini, aku tidak tahu.

Bermakna, aku, Lufya dan Sarah sedang bergelut dengan masalah yang sama, cuma keadaan, waktu dan orang yang berbeza.

Irdina dan Danial.

Lufya dan Harith.

Sarah dan Saiful.

Menggapai dalam lautan jiwa yang menderita demi mencari pantai yang ibarat kebahagiaan. Bahagia yang diimpikan hingga ke Jannatul Firdaus, siapa sahaja tidak mahu.

Sabarlah, Dina. Danial tu, suami kau sendiri. Dia pun, sedang bergelut dengan masalah peribadi, lagi pula aku tambah dengan masalah cemburu butaku ini. Kurang asam betul.

Jikalau aku ditakdirkan untuk bermadu, relakah aku untuk meneruskan rumahtangga ini ataupun mengangkan kaki merelakan diri pergi?

Tidak, jika itu yang terbaik untuk aku, aku akan terima.

Beg-beg dan barangan aku pikul lalu kami berdua meninggalkan hotel. Bilik yang sudah aku kemas ini ditatap buat kali terakhir, mungkin kami tidak akan datang lagi nanti.

Sudah tamat.

Entah mengapa, hari ini aku dan Danial tidak banyak bercakap. Tidak banyak bercakap, bukanlah bermakna kami bergaduh. Tidak sama sekali. Cuma, hari ini aku kurang mood setelah teringat memori dua hari lepas.

"Hari ni, last day kita kat sini. Sayang nak pergi mana lagi? Lepas ni, kita akan teruskan hidup seperti biasa, dan mungkin jarang jumpa."

Jeda. Sunyi lagikan sepi.

Tiada sepatah pun aku mampu untuk membalas, melainkan dengan gerakan anggota badan. Ya Allah, dosa apakah yang aku sudah buat kepada suamiku ini? Dia, melayanku dengan baik dan penuh kasih, sedangkan aku sebaliknya.

"Abang ... dah minta tukar office. Cawangan kat Kedah, tapi jauh sikit dari rumah sayang. Sayang happy tak?"

Danial, minta tukar?

"Abang nak duduk dengan Dina?" soalku bagi mendapat kepastian. Manalah tahu, telingaku ini tersalah dengar kerana terlalu leka dengan khayalan.

"Ehem, suami mana tak sayang bini? Suami mana tak rindu bila berjauhan dengan bini sendiri? Cuma, abang baru apply, belum dapat lagilah," balas lelaki yang masih menghirup kopi panas di atas meja kopi ini. Sebelum pulang, kami bersarapan dahulu di kafe hotel.

"Te ... terima kasih," ucapku.

Mengapa, aku terlalu pandang kepada keburukan dia sedangkan kebaikan yang aku cari ada di hadapan mata.

Itulah manusia. Mencari yang silap lebih digemari berbanding yang benar. Golongan itu, aku tidak terkecuali.

Wahai Tuhanku, ampunkanlah dosaku ....

Sorry hambar :'( Perasan tak, Dina ni sebenarnya kuat berfikir sebelum terjadi, sama je dengan Deena sendiri. Btw, sorry jarang update. Isnin ni, Deena exam. Wish me luck. Aamiin <3

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience