Masih di tempat yang sama seperti aku tidur semalam, di sini aku sedang menunggu sang cinta untuk pulang. Bayangan wajah tampannya, cukup menyengat mindaku. Hendak call, takut sedang memandu lah pula.
Mahu tidak mahu, menunggu sahajalah aku di sini. Rindu yang teramat kepada encik suami, sehingga sanggup menghabiskan masa di tangga ini. Sebuah novel aku bawa bersama supaya tidak terlalu bosan untuk menunggu.
Terasa lambat masa berlalu. Tanpa sedar, separuh daripada sebuah novel tebal berhalaman lebih daripada 500 muka surat itu telah aku bacakan. Lama benar untuk menunggu Danial pulang.
'Abang dekat mana ni, sebenarnya?' monolog hatiku sendiri.
"Dina, daripada tunggu Danial tu, baik pergi sidai baju ni." Satu bakul berisi pakaian yang baru diangkat daripada mesin basuh, diletakkan di hadapan pintu. Apa lagi kalau bukan menyuruh aku yang menjemurnya.
Buku yang aku sedang pegang diletakkan di tempat yang tinggi sedikit, sebelum tanganku mula mengangkat bakul itu lalu menjemur satu-satu pakaian di ampaian.
Banyak juga ya, baju-baju ini.
Tiba-tiba, sebuah kereta masuk ke dalam halaman rumahku. Aku memusing belakang, melihat kereta siapakah yang datang pada pagi-pagi buta ini. Eh, bukan buta lagi, sudah celik pun. Matahari pun, sudah lama naik.
Kereta ini.
Laju sahaja aku menghampiri pintu pemandu kereta itu. Dengan perlahan, ia terbuka dari dalam. Tangan lelaki yang keluar daripada kereta itu aku kucup dengan penuh kasih.
"Assalamualaikum, abang," ucapku dengan nada perlahan. Danial mengusap kepalaku lembut dan erat dengan penuh rasa kasih.
"Waalaikumussalam. Sayang, I'm sorry.... Sorry sebab..." Tidak sempat Danial menghabiskan ayatnya, sudah aku sambung dahulu.
"Tak apa. Janji abang balik. Abang balik pun, Dina happy sangat. Abang sanggup korbankan cuti abang untuk Dina." Tangan itu masih tidak aku lepaskan. Haruman tubuh lelaki itu, sangat teristimewa dan lain dari yang lain, begitu juga wajahnya.
Istimewa, satu dalam seratus.
"Jom naik." Tanganku dipimpin menuju ke dalam rumah. Nasib baiklah, aku sudah selesai menjemur baju tadi, hanya tinggal bakul yang berada di luar.
"Abang, Dina nak tanya. Abang pakai perfume apa? Wangi lah. Tak puas bau." Kepalaku disandarkan pada bahu tegapnya, sambil haruman pada fabrik itu masih melekat di hidungku. Sedikit pun tidak mahu pergi, sudah tahu-tahu sahaja aku menikmatinya.
"Perfume? Ada lah."
Sebotol minyak wangi berjenama dikeluarkan dari beg sandang hitam yang dibawa Danial. Botolnya berbentuk kuboid, berwarna hitam berkilat serta mempunyai beberapa garisan emas yang menampakkan ianya mewah.
"Ni ... perfume abang? Wah. Nak rasa..." Botol itu aku ambil daripada tangan Danial lalu disembur sedikit ke bahagian pergelangan tanganku.
Wangi!
"Perfume ni unisex. Sayang nak pakai pun boleh. Bukan untuk lelaki je," ujarnya. Tanganku masih lagi membelek botol itu, menyimpan maklumat yang tertera. Manalah tahu, kalau terjumpa boleh beli ke.
"Nice. Dina nak, boleh?" Bibirku dimuncungkan, menunjukkan perangai manjaku kepada Danial. Eii, gedik sungguh namanya!
Gedik pun gediklah, janji dapat. Itulah prinsip aku.
"Mana boleh, tu abang punya." Botol itu diambil kembali oleh Danial.
"Alah .... Please ...." Rayuku. Lengan kanannya diusap-usap, merayu agar diberi wangian itu seperti kanak-kanak yang minta dibelikan mainan.
"Iyelah. Untuk mama dan baby. Nanti abang beli barulah." Botol itu diserahkan kepadaku. Ingin sahaja aki lompat bintang setinggi angkasa di atas trampolin, tetapi bila lihat umurku mungkin tidak sesuai lagi.
"Apa? Mama?" Keningku dijungkitkan. Bukankah aku, sudah merancang supaya cahaya mata ini menggelar kami dengan gelaran umi dan abah? Kenapa mama?
"Mama kan sesuai dengan Irdina yang comel..." Serta merta pipi kiriku dicubit lembut oleh suamiku. Aku masih menunjukkan muka tidak puas hati.
No, no, no. Apa pun yang terjadi, aku mahukan anakku memanggil aku umi. Danial pula abah. Sama seperti tradisi keluarga kami.
"Tapi ... Dina nak anak kita panggil umi dengan abah, baru sesuai. Mama tu, bandar sangat!"
"Bandar? Orang kampung pun, ada panggil mama papa, mummy daddy tau? Yelah, tahulah sayang duduk dekat kampung, abang pulak dekat bandar." Katanya sedikit merajuk.
Ish, sudah merajuk pula encik suami ini.
"Abang jangan lah merajuk ...." Lengannya aku usap lagi. Sesungguhnya, telah aku temui sebuah cara baharu untuk memujuk Danial, iaitu dengan mengusap lengannya. Hebat sungguh cara ini, minyak wangi yang mahal pun diberinya.
"Kalau nak merajuk jugak?"
"Merajuklah lama-lama. Baby ni benci abah dia, baru tahu!" cebikku.
"Siapa kata abang merajuk? Lelaki takkan merajuk, sayang. Itu namanya main ajuk-ajuk je. Abang setuju je pilihan sayang nak bagi anak kita panggil 'umi' dengan 'abah'. Lagipun, keturunan sayang semua panggil panggilan tu kan?" Ubun-ubunku diusap lembut. Setiap sentuhan insan yang bernama Muhammad Danial bin Izwan, pasti memberi makna buatku, apatah lagi apabila ia dilakukan dengan ikhlas dan penuh kasih.
Aku sekadar membalas dengan senyuman mesra. Botol minyak wangi di tangan aku letak di tepi. Apabila aku berada di samping Danial, mudah untuk aku berasa selamat dan dilindungi.
"Bakal umi rindu bakal abah tak?"
"Ha?" Otakku memproses maklumat yang diterima. Sudah tentulah rindu, sudah seminggu berjauhan. Itu pun, sudah jarang membuat panggilan video. Adakah benar kata makcik yang menceroboh bilik pengantin Lufya tempoh hari?
".....Eh, budak. Aku dah lama kahwin, dah 20 tahun dah. Aku dah rasa macam mana rasanya hidup dengan biawak hidup, zaman bermanis-manis tahap potong kaki masa awal kahwin, aku dah rasa semua tu. Suami sweet kau tu, sekejap je. Kau tunggulah tahun depan, tak ada nak sweet dah. Dia minta cari baru je nanti!......"
Benar memang benar, tidak dinafikan. Pihak kami pun, sudah ada sedikit tanda-tandanya, tetapi langsung tidak mengurangkan kemesraan kami bersama. Aku tetap diriku, Danial tetap dirinya. Mungkin, wanita itu mempunyai kisah lampau yang menyakitkan, sebab itu dia 'menyekolahkan' aku sebegitu.
Tentang Lufya....
Entah. Hampir seminggu ketiadaan berita tentang sahabatku itu, mungkin sedang syok berbulan madu bersama suami baru. Adalah sedikit gambar yang dihantar di laman media sosial yang menjadi perhatianku.
Kini dua mempelai yang dahulunya tidak mahu kahwin sangat itu sedang bercuti di sebuah pulau. Di sebuah chalet yang cantik serta lautan biru yang jernih, mereka mencipta kenangan bahagia di sana.
Sedangkan aku? Di mana? Di mana tempat percutian yang aku dan Danial sepatutnya pergi?
Tidak apalah. Cukuplah percutian tiga malam di rumah Mak Idah tempoh hari memberi kenangan manis buat kami suami isteri.
"Bakal umi rindu bakal abah tak?"
Soalan yang sama diulang kembali.
"Mestilah rindu! Rindu sangat!" Tubuh Danial aku peluk sepuasnya dari belakang. Sepatutnya suami yang perlu memeluk isterinya daricbelakang untuk menunjukkan kasih sayang, tetapi kali ini aku yang melakukannya, untuk membuktikan 'sayangku' kepada Danial.
"Kalau rindu, janji dengan abang. Janji, sayang kena jaga baby ni elok-elok, jangan nakal-nakal. Ini bakal anak pertama kita. Abang tahu, memang kita tak ada ilmu parenting lagi. Tapi tak apa, slow-slow kita belajar," ujarnya sambil memegang tangan kiriku.
"Love you." Dahiku dicium dengan penuh kasih, mengingatkan aku kepada hari kami disatukan.
Abang, Dina janji akan jaga baby kita. Selamanya.
*
Tudung bawal aku sarungkan ke jemala. Sedikit alat solekan aku tepekkan ke wajah, barulah nampak seri sedikit. Setelah siap, aku keluar dari bilik.
"Nak pergi mana ni?"
Danial yang baru sahaja pulang dari bilik mandi menyoalku. Silap juga aku, tidak memberitahu awal-awal kepada Danial bahawa aku akan ke klinik untuk memeriksa kandungan. Semalam, bukan main lagi aku menunggu Danial, hari ini lupa pula si suami.
"Klinik. Ada temujanji. Pukul 1 nanti." Jam yang terletak di dinding dikerling. Masih awal lagi. Tetapi, aku memang biasa keluar awal disebabkan perlu menaiki bas untuk ke pekan. Aku tiada kenderaan sendiri untuk pergi ke kawasan pekan.
"Ooo, temujanji. Awal lagi ni. Abang nak ikut. Tunggu abang siap, eh." Danial masuk ke dalam bilik lalu menutup pintu.
Sementara aku, hanya duduk di atas kerusi kayu sambil menunggu Danial bersiap. Nasib baiklah, sekejap sahaja lelaki bersiap, tidaklah lama seperti aku. Sekejap pin tudung hilanglah, tudung berkedut lah, beg duit hilanglah, getah rambut hilanglah. Semua benda mahu hilang, tahu-tahu sahaja ia hilang semasa aku perlu cepat.
Itulah fitrah seorang wanita. Diciptakan dengan sembilan nafsu dan satu akal. Nafsu yang dimaksudkan bukan sekadar nafsu di atas ranjang semata, ia termasuk nafsu makan, membeli belah dan banyak lagi.
"Kita pergi naik kereta abang." Tanganku dicapai Danial lalu kami meninggalkan rumah. Umi yang di dapur, sudah aku beritahu awal-awal bahawa aku mempunyai temujanji hari ini untuk memeriksa adakah benar aku sedang mengandung.
"O... Okey...." Aku mengangguk setuju. Tidak terlintas pula, Danial ada membawa kereta. Sudah tua sangat diriku ini agaknya, benda kecil pun mudah terlupa.
Enjin kereta dihidupkan, lalu Danial memandu meninggalkan kawasan kampung. Sebenarnya kawasan kampung dan pekan tidaklah jauh mana pun, sebab itu naik bas pun boleh.
*
Setelah mendapat parkir kereta, kami keluar dari perut kereta menuju ke bahagian klinik yang berada lebih kurang 400 meter dari kami.
Bangunan klinik kesihatan yang hanya dibina setingkat, cukup untuk seluruh penduduk di sini. Sudah berkali-kali aku ke mari, kerana ini satu-satunya klinik yang berdekatan di kawasan kami.
"Ramainya orang. Abang selalu pergi klinik swasta je."
Aku tidak membalas apa-apa. Normallah begini, ramai orang. Sudah nama pun klinik kesihatan daerah, mana tidak ramai. Murah pun, murah.
"Abang, kita pergi daftar kat situ." Jari telunjukku dihalakan ke sebuah kaunter pendaftaran. Sudah aku buat temujanji dengan jururawat di sini sejak semalam, agar tidak menunggu lama sangat.
Jururawat itu pun, senior sekolah rendahku juga. Tua tiga tahun daripada aku, kini sudah bergelar jururawat yang berbakti kepada masyarakat.
"Puan Irdina Safiya ye?" soal petugas kesihatan yang bertugas di kaunter itu.
"Ye," jawabku.
Gugup. Buat kali pertama, aku datang klinik bukan kerana sakit, tetapi untuk menguji kehamilan.
"Puan tunggu sekejap dekat kerusi, nanti dia akan panggil tau."
Aku mengangguk lalu mengajak Danial duduk di kerusi. Danial pula, sejak tadi aku lihat seperti teruja semacam sahaja sejak datang ke sini. Dasar jakun betul!
"Kalau ramai orang macam ni, baik pergi klinik swasta je. Pasal duit, jangan risau. Abang sentiasa ada duit."
"Iyalah tu! Banyak duit, konon!" Aku membuat rolling eyes. Eh, perasan sungguh!
"Betullah. Sayang nak apa? Abang belanja harini."
"Harini je? Esok, lusa, tulat, tonggeng tak nak?" Aku mencebik. Niatku hanya untuk bergurau, tidak lebih daripada itu.
"Hari ini, esok dan selama-lamanya, okey?"
Aku menghembuskan nafas lega. Bahagia.
Kelihatan beberapa orang lagi pasangan muda dan berusia 30-an sedang menunggu giliran untuk dipanggil. Masing-masing ditemani suami sendiri untuk temujanji bulanan.
Tidak lupa juga, ada seorang ibu yang membawa seorang anak kecil lingkungan tiga hingga lima tahun dan kandungannya yang sudah kelihatan. Dia seorang, menguruskan anaknya yang lincah meneroka sekeliling dengan menguruskan diri yang sedang hamil.
Bersangka baik, mungkin ayahnya sedang bekerja ataupun tidak ikut. Kalau bersangka buruk pula, mungkin suaminya telah meninggal dunia ataupun sudah bercerai.
Aku sepatutnya bersyukur, walaupun aku sedang melalui fasa perhubungan jarak jauh, namun Danial masih gagah untuk pulang menemani aku untuk memeriksa kandungan buat kali pertama ini.
Ya, ini baru sahaja kali pertama. Kali kedua dan seterusnya, aku masih belum pasti aku akan melangkah ke klinik sendiri atau ditemani suami.
Haraplah, permohonan Danial untuk bertukar tempat kerja cepat diluluskan, bolehlah kami tinggal bersama seperti pasangan lain.
Panjang tak chapter kali ni? 1700+ patah perkataan. Alhamdulillah, bila ada mood jari ni rajin je menaip. Sorry eh, tadi tertekan pulak publish draft bab 50. Tiga hari berturut-turut, akan dipublish pukul 8 malam. Simpan stok banyak sikit, lepas ni dah busy dengan kelS online
Share this novel