Diari itu aku tutup perlahan. Pena hitam diletakkan di tepi. Bayi yang sudah tidur lena di katil kecil itu aku tenung sebentar.
Si kecil mulus itu sudah lena. Alhamdulillah. Penat juga aku menyusukannya sebentar tadi, akhirnya dapatlah aku berehat sebentar. Menjadi seorang ibu ini agak payah juga, hendak tidur lena di waktu malam pun agak susah. Pasti si kecil ini akan menangis meminta susu.
Aku pula, jenis yang memberikan susu badan semata, tanpa bantuan susu formula. Pada mulanya memang agak sukar untuk menyusukan bayi, namun aku gagahkan jua belajar demi zuriat kecil ini. Aku seorang ibu, pastilah ingin memberikan yang terbaik buatnya.
Ini bukan kesudahan buat kisah aku dan dia, sebaliknya sebuah titik permulaan untuk kami berumahtangga.
Hari ini, sudah hampir enam bulan usia Annur Fatihah, puteri sulung kami. Dialah bahagia, dialah segalanya. Kesudahan yang bermakna.
Aku berjalan keluar daripada rumah untuk menikmati indahnya sekeliling ciptaan Tuhan. Sesampai sahaja di tangga rumah, aku duduk. Tidak lama lagi, padi ini akan dituai dan memberi rezeki kepada petaninya.
Inilah kisah aku dan Danial, Prince Charming yang bertakhta di hati. Bukan hanya sekadar cabaran 'siapa kahwin dulu', tetapi tentang istilah perkahwinan itu sendiri. Setahun setengah aku bersama Danial, masiu belum cukup untuk menceritakan segalanya tentang kami.
Dan orang ketiga, Kak Farah. Tidak, dia bukan orang ketiga. Dia cuma hadir, sebagai ujian. Dia racun, dia juga penawar.
Alhamdulillah, sejak minggu lepas aku ditawarkan menjadi seorang guru tadika di kampung ini. Tidak sia-sia pelajaranku semasa muda dahulu, mengambil jurusan pendidikan awal kanak-kanak. Tidaklah aku berasa sunyi di rumah ini.
"Sayang buat apa tu? Baby Nur dah tidur?"
"Awak ni...." Aku memuncungkan bibir, sama seperti dahulu. Nama sahaja sudah menjadi ibu, tetapi masih tidak matang. Huh.
Oh, lupa hendak bagitahu. Syukur juga, Danial dapat berpindah ke sini. Danial berhenti kerja.
Berhenti kerja.
Dan memohon kerja baharu di sini. Dengan berkat Ilahi, mudah sahaja Danial ditawarkan kerja. Mungkin kerana pangkat di tempat yang lalu.
"Awak ni comel. Comel je, sama macam dulu walaupun dah ada anak satu kan. Eh jap, kenapa panggil awak-saya ni? Lain macam je, abang dengar?"
Awak-saya.
Panggilan itulah yang kami gunakan semasa awal perkahwinan dahulu. Ketika kami masih janggal untuk membahasakan diri masing-masing sebagai abang-sayang.
Aku tersenyum simpul lalu menjawab, "Sebab, Dina rindukan masa dulu. Masa kita tak kenal lagi. Dina rindu, masa kita pergi bercuti kat rumah Mak Idah dulu. Kalau abang ada duit lebih, jomlah pergi lagi ke sana."
Ya, aku rindukan semua itu. Sekejap betul masa berlalu.
Masa ini juga, sangat berharga untuk masa berdua. Jika aku sibuk dengan pengurusan bayi, pasti ada masa-masa seperti ini untuk kami meluangkan masa suami isteri.
"Nak pergi lagi?"
"Yelah!"
"Okey, dalam plan."
Aku memeluk Danial sepuasnya. Tenang sahaja aku apabila bersama Danial. Bukan itu yang menggembirakan aku, sebaliknya ialah Danial sidaj sembuh sepenuhnya daripada penyakit depresinya.
Setiap racun, ada penawarnya.
Setiap penyakit, pasti ada ubatnya.
'Ubat' nya ialah kasih sayang. Selama ini, Danial kelaparan kasih sayang daripada keluarga sendiri.
Inilah kisah aku, Irdina Safiya dan Muhammad Danial. Pasangan biasa, tetapi mempunyai impian untuk ke syurga.
Ini bukan pengakhiran, tetapi sebuah permulaan. Permulaan untuk hidup yang sebenar.
~TAMAT~
Share this novel