"Irdina Safiyya..." Wajah suamiku terus berubah serta-merta. Mengapa? Mengapa Danial memanggilku dengan nama penuh?
"Abang, kenapa abang?" Jantungku berdegup semakin kencang, nafasku semakin laju.
Apa yang pelik?
"Tak ada apa-apalah, abang cuma teringat..." Ayat itu sengaja dihentikan di situ membuatkan aku semakin curiga. "Abang suka keluarga Dina, semuanya suka bagi nasihat yang positif, bukan macam keluarga abang."
"M-Maksud abang?"
"Umi didik Dina dan abang-abang Dina dengan baik, tak pernah didik secara berkasar. Kelaurga abang lain, tak pernah nak berlembut. Kadang-kadang, abang rasa stres sangat sampai nak lari rumah bila dengar jeritan tu. Lain macam Dina, umi didik dengan lemah lembut, penuh kasih sayang. Abang pun umi layan dengan baik." Tutur suamiku. Ada kesedihan di sebalik wajahnya yang aku dapat rasakan. Inikah rasanya mendapat keluarga toksik?
"Abang, janganlah macam tu. Sekarang abang ada Dina. Dina nak jadi isteri yang baik, solehah dan taat perintah abang. Dina tak nak berkasar dengan abang. Dina nak jadi bidadari syurga abang. Dina nak buat bidadari dalam syurga cemburukan dengan Dina." Aku cuba menyakinkan suamiku semula.
Di sebalik didikan agama yang tinggi, rupanya ada sebuah kisah silam yang tidak terungkap di sebalik senyuman manis itu. Kak Farah pun tidak pernah cerita.
"Abang, Dina nak masak dulu. Malam ni, boleh tak kita cerita pengalaman masing-masing. Kita tak pernah lagi cerita." Pinta aku sambil membuat muka paling comel.
"Semestinya untuk isteri abang." Kepalaku diusap lembut lagi. "Pergilah masakkan untuk abang. Abang dah lapar ni, tengok perut ni asyik berbunyi je."
"Yelah." Aku tersengih melihat Danial memegang sedikit perutnya. Ingat dia seorang sahaja yang lapar? Aku pun lapar juga.
Aku keluar dari bilik lalu menuju ke bahagian dapur. Umi sudahpun berada di situ seperti biasa.
"Umi masak apa tu?" Aku cuba menghidu bau masakan umiku. Sedap baunya. Masakan umi katanya, mana pernah tidak sedap.
"Sayuq campuq ja... Umi ingat Dina nak masak untuk suami..." Jawab umi sambil menggoreng sayur terlebih dahulu.
"Umi, bahan nak buat tomyam, ada tak? Abang Danial suruh Dina masakkan tomyam." Tanyaku sambil mencari bahan-bahan tersebut di dalam rak simpanan makanan.
"Ada dalam rak tu. Dina elok-elok masakkan untuk suami, bagi khidmat yang paling terbaik untuk suami, jangan bagi dia cari lain. Lelaki tak boleh pijak kepala kita sebagai perempuan." Nasihat umi lagi.
"Iyalah umi. Dah jumpa." Segala bahan kering daripada rak itu aku keluarkan. Tinggal bahan basah dan sayur-sayuran lagi yang belum.
"Limau purut, lobak merah, anak jagung ada dalam peti sejuk kot, pi la tengok."
Tanpa membuang masa, aku selongkar dalaman peti sejuk pula. Peti ini tidak pernah kosong sejak aku pulang ke rumah ini. Asal aku pulang, pasti umi bersemangat untuk masak. Iyalah, untuk siapa lagi kalau bukan untuk anakanda tersayang, akulah itu.
"Ok, ada umi. Terima kasih." Segala bahan-bahan itu aku keluarkan daripada peti sejuk. Semuanya dikumpulkan di atas meja. Segera aku pergi ke singki lalu mencuci tangan terlebih dahulu. Hendak memasak untuk orang, mestilah kena bersih. Sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) rumah ini, hendak menyediakan makana mesti mencuci tangan terlebih dahulu. Abang Najmi dan Hakimlah, selalu sahaja diketuk pakai senduk oleh abah kerana makan tanpa cuci tangan. Kenangan.
Tanpa aku sedari umi memerhatikan aku yang tersengih mengingati memori lama.
"Cuci tangan pun berangan ke? Anak abah betul." Umi ketawa kecil melihat aku. Cepat-cepat aku mematikan lamunanku lalu mencuci sayur dan bahan-bahan lain dahulu.
"Taklah, umi." Pipiku sudah merona merah menahan malu. Memori aku bersama adik-beradik yang takkan dapat aku lupakan.
"Rindu abah?" Tebak umi.
"Mana boleh tak rindu..." Aku mengukir senyuman manis. Tidak mahu mood memasak aku rosak kali ini. Sampai bila aku hendak sedih? 10 tahun sudah pun berlalu.
Umi tidak membalas melainkan memberi sekuntum senyuman yang sama denganku. Ya, aku faham apa maksud tersirat umi.
Api daripada dapur gas dihidupkan menandakan aku mahu mula memasak. Nasib baiklah umi ada di sebelahku. Kalau tidak, memang aku harapkan cik google sahajalah. Bukan aku tidak reti masak masakan yang berasal dari Thailand ini, tetapi kali ini permintaan suamiku sendiri. Mestilah kena lakukannya dengan baik.
Barulah suami sayang!
*
"Kak Farah? Okey ke tak ni?" Tangan Khaireena melambai-lambai di hadapan Farah. Jelas sekali fikiran wanita itu sedang melayang dibawa angin. "Akak..."
"Ya. Ya. Kenapa?" Kata Farah sedikit terkejut. Boleh pula tidak perasan akan wujudnya Khaireena di hadapannya. Entah ke mana fikirannya dibawa melayang, mungkin ke alam lain.
"Akak teringat kat siapa tu? Abang Azim?" Tebak Khaireena. Tersedak Farah dibuatnya.
"Erin tahu pasal abang Azim?" Mata Farah kian membulat. Mana tidak terkejut.
"Erin tahulah." Suaranya dibiarkan agak mendatar. Harap Farah tidak tahu maksud sebenar di sebalik suara lembut itu.
"Macam mana Erin tahu?"
"Hmm, Erin rasa akak tak perlu tahu." Khaireena cuba menutup aibnya sendiri. Malulah kalau diceritakan perkara tersebut kepada Farah. Bukan niatnya pun untuk menjual maruah melainkan kesempitan hidup di bandaraya ini.
"Tak apalah, akak bukan beriya sangat nak tahu." Bibir bawah Farah digigit lembut. Dalam sudut fikirannya hanya dua, Erin dan Azim. Seperti ada kaitan.
Khaireena menghembuskan nafas lega. Memanglah Farah agak sedikit berhati batu, namun kadang-kadang hati batu itu ada gunanya. Keras betul. Jauh sekali dengan dirinya yang berhati tisu, terlalu mudah terguris.
"Akak, macam mana akak boleh jadi hati keras ni? Erin teringin nak jadi macam akak, orang nak pijak kepala pun kena fikir berulang kali." Soal Khaireena lembut.
"Mungkin sebab pengalaman. Pengalaman yang pahit menjadikan kita lebih dewasa dan matang. Mungkin akak tak serik berkahwin, sebab akak yakin pasti ada seorang yang tertakdir untuk akak, Insya-Allah. Bukan semua lelaki dalam dunia ni jahat, Erin."
"Kenapa akak cakap macam tu? Terharunya? Erin tak pernah terfikir. Erin rasa macam nak putus asa hidup, rasa macam tak layak disayangi dan dicintai. Erin bukan orang baik pun, akak. Erin jual maruah Erin sendiri." Ucap Khaireena dalam sebak.
"Erin? Jual maruah? Apa Erin cakap ni?" Terkejut Farah mendengar dua perkataan itu.
"Erin bukan orang baik, tapi Erin tak nak orang yang Erin sayang jadi macam Erin." Air mata yang ditahan sejak tadi mengalir jua. Sakit rasa ini. "Aisyah dan Kamilia. Seindah-indah hadiah. Amanah yang Allah bagi untuk kita."
"Untuk kita?" Farah berpura-pura tidak faham. Otaknya ligat memikirkan sesuatu.
"T-Taklah. Untuk akak. Erin tak pernah berniat untuk rampas dia orang pun." Takut-takut Erin melontarkan suara kecilnya.
"Ke situ pula dia. Saya maksudkan, betullah apa Erin cakap. Erin ibu kedua kepada Aisyah dan Kamilia. Anak-anak akak pun sukakan Erin." Terang Farah. Jelas lagi nyata. Tiada lagi perlu salah faham antara mereka.
"Hmm, terima kasih. Sepuluh minit bersama malaikat kecil tu pun sudah berharga untuk Erin. Seronok rasanya jadi kanak-kanak, tak perlu fikirkan masalah langsung. Kerja bermain dan meneroka dunia." Erin cuba tersenyum.
"Erin, akak nak Erin jadi ibu kedua kepada Aisyah dan Kamilia. Selama-lamanya."
"Betul ke akak?" Riang suara Khaireena kedengaran.
"Mestilah betul. Buat apa akak nak tipu." Mereka berpelukan sesama sendiri. Bahagia.
Assalamualaikum semua, lama tak jumpa. Lama sangat fokus study, sampai terlupa hobi sendiri huhu... Harap enjoy chapter kali ini... Terima kasih sebab faham kekekangan masa Deena <3
Share this novel