Bab 43

Romance Series 27539

Malam ini, sukar benar untuk aku melelapkan mata. Ke kiri ke kanan, aku berpusing melihat keadaan sekeliling yang sudah gelap. Danial di t sebelahku namun bukan ini faktor yang mengganggu aku tidur.

Seketika, aku teringat kepada umi yang berada jauh di kampung. Sudah beberapa hari aku tinggalkan umi, rindu pula dibuatnya. Hanya aku seorang, anak yang ada masa untuk menjaganya. Abang-abang aku, ada tanggungjawab sendiri.

Benarlah orang kata, seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak, sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Tidak apalah, abang-abangku kirimkan duit pun sudah cukup untuk menunjukkan sayang mereka kepada umi.

Tidak selesa.

Ke kiri ke kanan aku berpusing, langsung tidak dapat posisi yang selesa untuk melelapkan mata. Ya, sepatutnya aku tidak membelakangkan suami, tetapi aku akan cuba.

Wajah suamiku aku tatap lama. Walaupun di hatinya terbuku seribu masalah, lelaki itu tetap tidur dengan nyenyak.

*

"Dah siap dah Irdina?"

Beberapa bekas yang berisi sayur dan bawang yang Mak Idah menyuruhku potong tadi aku letak di atas meja. Belum bermakna tugasku sudah selesai, ada banyak lagi yang perlu dibuat.

Duduk di rumah orang, kenalah bantu tuan rumah, bukannya datang melenggang sahaja. Tambah pula kami akan menginap di sini lama.

"Dah, makcik." Aku menggelarkan Mak Idah sebagai makcik memandangkan beliau lebih tua.

"Terima kasihlah .... Rajin pula tetamu makcik ni. Sepatutnya, makcik yang kena layan tetamu." Bekas-bekas bahan mentah yang sudah aku potong tadi diambil oleh Mak Idah.

"Lah, kenapa pula? Sepatutnya, kami yan kena tolong makcik, kami duduk kat sini lama." balasku sambil tersenyum. Menanti sahaja tugasan seterusnya.

"Ha, kahwin dah sebulan. Bila nak ada isinya? Kalau dah ada, cepat bagitahu, jangan rahsia-rahsia."

Hah?

Isi?

Macamlah aku tidak tahu, apa makna di sebalik perkataan 'isi' itu. Aku memandang Danial yang berada di hadapanku. Danial senyum sahaja, tidak membalas sepatah pun.

Mungkin, belum rezeki lagi. Masih awal perkahwinan kami, tidak mungkin ada 'isi' lagi.

"Makcik minta maaf, kalau soalan ni buat Irdina dengan Danial kecil hati. Kamu berdua pun tahu, Kak Ita ada seorang je anak. Irdina kena faham, Kak Ita teringin sangat nak cucu."

"Ya ...." jawabku perlahan. Ibu manalah, yang tidak mahukan cucu daripada anak kandungnya sendiri? Lebih-lebih lagi Puan Rozita, hanya Danial satu-satunya harapan untuk mendapatkan pewaris mereka.

Dan aku, mungkin ibu kepada mereka, pewaris keluarga Danial.

"Tak apa, tak perlu rushing pun, mama pun tak minta seawal ni." Bahuku diusap, tanda Danial memujuk aku.

Kalau diikutkan, soalan tentang 'anak' ini, boleh dikatakan sebagai soalan yang sensitif juga. Lebih-lebih lagi, jika ditanyakan kepada pasangan yang mempunyai masalah untuk mendapatkan zuriat. Bukan mereka tidak mencuba dan berusaha, cuma belum rezeki mereka.

Aku berharap, aku mampu untuk melahirkan seorang zuriat yang sihat kepada Danial. Bahagia Danial, adalah bahagia aku juga.

"Pergi tolong Mak Idah hidang atas meja ni." arah Danial kepadaku. Aku pun, tunggu apa lagi. Terus sahaja aku bangun dari kerusi, mengambil makanan yang berada di dapur lalu menghidangkan di atas meja makan.

Hidangan sarapannya, macam biasa sahaja. Nasi lemak, bihun goreng, kuih-muih dan air teh o panas. Rajin pula Mak Idah masak dua hidangan hari ini.

Hanya ada kami berlima. Mak Idah, anak perempuannya, suami Mak Idah, aku dan Danial. Masing-masing menadah tangan, memanjatkan doa kepada ilahi sebelum menjamu hidangan.

Kiranya, Mak Idah orang yang kaya jugalah, boleh tinggal di tepi pantai. Tanah di sini pun, sudah menelan ribuan ringgit. Kalau di pantai biasa, biasanya dipenuhi dengan resort dan chalet, di pantai ini dikelilingi kampung.

Tadaaa!

Makanan yang aku hidang, sudah bersedia untuk dijamah. Kami semua menarik kerusi lalu duduk di atasnya.

"Bismillahirrahmanirrahim...."

Aku suap nasi lemak menggunakan tanganku. Terasa pijar-pijar sambal memedihkan tanganku, namun tidak mengapa. Janji boleh makan!

Sedap!

Pandai Mak Idah masak. Masinnya, manisnya, masamnya semua secukup rasa. Nampaknya, aku perlu belajar masak dari Mak Idah ni.

*

Sedar tidak sedar, sudah tiga hari aku meluangkan masa di rumah Mak Idah. Kini, aku tersenyum sendiri sambil merenung pantai yang agak berombak, buat kali terakhir.

Mungkin lepas ini, aku tidak ke mari lagi ke sini. Nafas ditarik sedalamnya, kemudian dihembuskan kuat.

Selamat tinggal, Mak Idah.

Angin pagi yang bertiup membuatkan tudung yang dipakaiku sedikit mengerbang.

"Sayang buat apa tu?" Tegur seseorang dari belakang. Danial.

"Tak buat apa-apa pun .... Tengok pantai je." jawabku tanpa menoleh. Mataku masih menatap ombak laut, bak ombak rindu pula.

"Suka tempat ni? Nanti kita datang lagi." Danial menyentuh bahuku.

"Hmm." Aku mengukir senyum mesra. Mungkin pada mulanya, aku takut akan air dan lautan, tetapi bila aku teringat semula indahnya berenang di dalam air seperti aku sewaktu kecil dahulu, perlahan-lahan fikiranku mula berubah.

Yang sudah jadi, biarlah terjadi. Ini hari yang baru, aku buka lembaran yang baru tanpa lihat semula lembaran semalam.

Tanpa sedar, aku telah meninggalkan kenangan di sini. Kenangan bersama Danial. Kami berenang bersama-sama, bermain air dan berendam bersama.

Semua itu, bagaikan baru sahaja berlalu seminit yang lepas. Begitu sebentar masa berlalu, sehingga tidak sedar aku hanyut dalam khayalan memori.

"Nak duduk kat sini selamanya? Tak nak balik? Tak rindu umi kat kampung?"

Soalan bertubi-tubi dari Danial membuatkan aku terkejut. Ya, kalau diikutkan aku ingin membawa umi untuk menghabiskan sisa hidupnya di sini, itu pun jika boleh.

Tetapi umi, mana mungkin setuju untuk berpindah ke sini, sayang sangat dengan bendangnya. Tetapi betul juga, itulah satu-satunya harta peninggalan arwah abah kepada umi. Tidak mungkin umi akan melepaskannya begitu sahaja.

Rumah itu pula, rumah yang paling banyak menyimpan kenangan aku. Dari kecil hingga dewasa, hanya di rumah itu aku dibesarkan. Tiada kediaman lain.

"Mestilah rindu. Mana tak rindu. Agak-agak, umi sihat tak kat kampung?"

Wajah umi tiba-tiba berlayar di fikiranku. Masih ada satu malam untuk kami habiskan di sini, selepas itu aku akan pulang. Entah ke mana kami akan tidur malam ini pun aku tidak tahu. Boleh jadi di rumah orang asli, dalam hutan ataupun di hotel. Huh.

Umi, Dina rindukan umi. Rindu sangat.

"Umi okey je kat sana, sayang." Kepalaku diusap lembut oleh Danial.

"Abang, Dina .... Nak balik." Kepalaku disandarkan ke bahunya. Hari ini, pudar sudah keinginanku untuk bercuti. Mudah sungguh untuk aku berasa letih.

"Rindu umi?"

Aku mengangguk walaupun itu bukan tujuan asalku. Tadi, aku yang beriya tidak mahu pulang, kali ini aku pula terasa tiada semangat.

"Okeylah .... Tapi, kita ada satu malam lagi. Lusa kita balik, okey?"

Pintu kereta dibuka perlahan oleh Danial menjemputku masuk ke dalamnya. Perlahan-lahan aku melangkah masuk ke dalam perut kereta. Beg-beg semua sudah siap dimasukkan ke dalam but kereta, tinggal orangnya sahaja belum bersedia untuk bertolak.

"Say goodbye to rumah Mak Idah." Aku perhati sahaja perlakuan Danial sambil tersenyum kelat.

Hari ini, aku terlalu letih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience