"Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada semua calon-calon SPM di hadapan saya sekarang. Tidak lupa juga kepada ibu bapa yang turut hadir serta para guru yang telah bertungkus-lumus memastikan calon-calon SPM kita pada tahun ini bersedia menghadapi peperiksaan paling besar dalam hidup mereka," Tuan Haji Zainol membuka bicara sewaktu memberi ucapan perasmian pada majlis memohon restu bersama calon-calon SPM serta para guru dan ibu bapa yang dapat hadir pada hari itu.
Rio yang sedang duduk bersila di barisan paling belakang, menoleh ke arah ibu dan ayahnya yang sedang duduk di atas kerusi plastik tidak jauh darinya. Rohaya kelihatan seperti sedang mengipas-ngipas dirinya dengan surat khabar. Mungkin dia sedang kepanasan kini. Rohaya dan Iskandar langsung tidak perasan Rio sedang melambai-lambaikan tangan ke arah mereka. Mereka berdua sedang fokus mendengar apa yang sedang diperkatakan oleh pengetua sekolah, Tuan Haji Zainol.
Orang yang membalas lambaian Rio adalah Emilya. Emilya kelihatan teruja sewaktu dia melambai-lambaikan tangannya ke arah Rio. Rio hanya mampu tersenyum sebelum kembali mendengar apa yang Tuan Haji Zainol katakan. Semenjak mereka berdua berbaik, Emilya sudah tidak segan silu melayan Rio seperti dulu. Rio berasa sedikit tidak selesa kerana layanan yang diberikan oleh Emilya terlalu baik. Bak kata orang putih, too good to be true. Macam ada udang di sebalik batu. Namun Rio enggan memikirkannya kerana mahu fokus kepada SPM. Hal-hal yang remeh temeh tidak perlu dilayan sangat, getus hati kecilnya.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon-calon SPM sekolah ini. Semoga anda semua dirahmati oleh Allah SWT. Kami guru-guru di sekolah ini berdoa agar kesemua pelajar mendapat keputusan yang cemerlang. Ilmu yang telah kami turunkan akan kami restui sepenuhnya."
Entah kenapa secara tiba-tiba, Tuan Haji Zainol menoleh ke arah Rio dan mereka berdua sedang sama-sama bertentangan mata kini. Tuan Haji Zainol berhenti berbicara buat seketika. Dia berdehem sebelum kembali menyambung ucapannya tadi. "Di sini juga saya ingin memaklumkan kepada anda semua bahawa pelajar-pelajar kita yang telah dibawa ke sekolah juvana baru-baru ini turut bakal menduduki SPM. Seperti yang anda sedia maklum, beberapa minggu yang lepas, pelajar-pelajar ini telah bertindak drastik dengan memukul dua orang rakan mereka di padang bola sekolah selepas satu salah faham yang sebenarnya boleh dielakkan dari menjadi satu insiden kekerasan yang cukup memalukan pihak sekolah."
Rio terperasan Tuan Haji Zainol memandang ke arahnya buat kali kedua. Nampak gayanya ucapan khas dari Tuan Haji Zainol itu ditujukan kepadanya. Dia berpura-pura seperti tidak mengerti apa yang cuba Tuan Haji Zainol katakan. Ada mata yang sudah memandang-mandang ke arahnya namun Rio terpaksa menghiraukannya dan mendengar dengan tekun amanat yang ingin disampaikan oleh pengetuanya itu.
"Di sini saya ingin memohon maaf kepada ibu bapa mangsa, Ammar Jeffrey bin Haikal dan Nik Zakwan Nik Aarif kerana telah membenarkan perkara yang memalukan pihak sekolah ini terjadi. Kami sangat kesali insiden itu. Pada saya, biarpun terdapat sebahagian dari kita yang berpegang teguh kepada satu fahaman yang berbeza, kita tidak wajar untuk menghukum mereka apatah lagi mencederakan mereka hanya kerana mereka lain daripada kita. Bukan itu yang bakal mengembalikan keamanan. Bukan itu yang bakal menenteramkan masyarakat. Kita seharusnya bersama-sama berganding bahu, memajukan lagi negara ini dengan minda yang lebih terbuka. Hanya dengan keamanan saja, kita semua akan hidup dalam kebahagiaan. Insya-Allah."
Rio benar-benar tidak menyangka itu adalah antara intipati ucapan Tuan Haji Zainol. Ramai yang mengangguk-anggukkan kepala mereka mendengar kata-kata Tuan Haji Zainol itu. Ada yang menoleh ke arah Rio dan Zakwan sambil memberikan senyuman mesra, menandakan bahawa mereka semua telah menerima seksualiti Rio dan Zakwan seadanya.
"Tanpa melengahkan masa lagi, saya dengan sukacitanya, merasmikan majlis yang penuh barakah ini. Marilah kita sama-sama bersalaman dan berdoa agar semua calon SPM kita akan berjaya menjawab SPM pada hari Isnin nanti." Tuan Haji Zainol mengakhiri ucapannya.
Semua yang hadir pada majlis itu memberi tepukan yang gemuruh kepada Tuan Haji Zainol termasuk Rio yang masih tidak percaya bahawa dalam sekelip mata saja, persepsi semua yang memandang sinis padanya sebelum ini telah berubah. Ibu bapanya turut sama berasa terharu kerana Rio sudah boleh diterima di sekolah seperti dulu.
Ketika sesi bersalaman dimulakan, Rio menghampiri Zakwan dan memberitahu teman lelakinya itu tentang apa yang dia rasa tentang ucapan Tuan Haji Zainol tadi.
"Pretty surprising, huh?" kata Zakwan sambil beratur menunggu giliran untuk bersalaman dengan guru-guru dan ibu bapa yang hadir bersama Rio.
"Yeah. I wish Ammar is here today to hear all that. He would've been proud."
Zakwan tersenyum gembira. "He would've."
Rio dan Zakwan kemudian didatangi oleh Intan, yang sudah lama tidak lepak bersama mereka. "Hey there lovebirds!" tegur Intan, membuat Rio dan Zakwan tersipu-sipu malu.
"Hai Intan. Lama tak nampak. Busy betul ya sekarang?" sindir Rio.
"Mestilah. Kita kan nak SPM. Aku tak pandai macam kau, Rio. So usaha tu kena lebih sikit."
Ketiga-tiga mereka sama-sama beratur menunggu giliran untuk bersalaman dengan para guru. Guru lelaki hanya bersalaman dengan pelajar lelaki dan guru perempuan hanya bersalaman dengan pelajar perempuan.
Ketika Rio dan Zakwan berhadapan dengan Tuan Haji Zainol, mereka tercegat seketika kerana tidak pasti apa yang patut diperkatakan. Kemudian, Tuan Haji Zainol tersenyum sambil menghulurkan tangannya. Rio dan Zakwan mengambil giliran untuk bersalaman dan mencium tangan pengetua mereka itu.
"Halalkan ilmu yang Tuan Haji bagi pada kami," ucap Zakwan.
"Ya. Saya halalkan," jawab Tuan Haji Zainol sambil menepuk-nepuk bahu Zakwan.
Selepas meninggalkan Tuan Haji Zainol, Rio dan Zakwan saling berpandangan sebelum tersenyum. Mereka bersyukur kerana rasa benci terhadap pengetua itu kini sudah tiada lagi. Segala-galanya telah ditinggalkan di belakang. Mereka kini sudah boleh mara ke hadapan tanpa ada perasaan sebal kerana terpaksa berdendam dengan pengetua sendiri. Semoga mereka dapat menduduki SPM dengan tenang.
"Zakwan?" tiba-tiba ada suara menyeru nama Zakwan dari belakang.
Kedua-dua Rio dan Zakwan menoleh ke belakang dan mereka dikejutkan pula dengan kehadiran Salwa dan Arshad di situ. Salwa mula menitiskan mata sebaik saja dia melihat wajah anaknya yang dirindui setelah sekian lama. Arshad pula memberikan pandangan sayu kepada anaknya itu. Kedua-dua Salwa dan Arshad tidak dapat menafikan lagi apa yang mereka sedang rasakan kini. Mereka benar-benar merindui anak mereka itu.
Zakwan yang turut sama merasakan perkara yang sama sukar membendung air matanya. Dia pantas mendapatkan ibu bapanya. Ketiga-tiga beranak itu saling berdakap di hadapan semua tetamu yang hadir. Rio yang melihat turut berasa sebak. Dia didatangi oleh kedua ibu bapanya, Iskandar dan Rohaya yang turut menumpang gembira kerana Zakwan sudah berdamai kini dengan ibu bapanya.
Sewaktu Salwa memaksanya untuk memberitahu kedudukan Zakwan minggu lepas, Rio mengambil keputusan untuk tidak mengancam keselamatan Hakim. Sebaliknya dia memberitahu Salwa bahawa majlis memohon restu akan diadakan untuk calon SPM dan dia mencadangkan agar Salwa datang berjump dengan Zakwan pada majlis itu. Rio gembira kerana Salwa menerima cadangannya. Kini Zakwan dan keluarganya telah disatukan semula.
"Zakwan rindukan mak dengan abah..." kata Zakwan sambil terus mendakap kedua-dua ibu bapanya.
Salwa dan Arshad memeluk erat anak mereka. Biarpun mereka masih belum menerima hakikat bahawa anak mereka itu adalah seorang lelaki homoseksual, mereka tetap merinduinya. Kasih sayang mereka terhadap Zakwan tidak boleh disangkal lagi.
"Kami pun rindukan kamu jugak..." kata Arshad, tanpa mahu melepaskan pelukannya.
Semua yang memerhatikan hanya mampu menahan rasa sebak. Itu adalah reunion paling sedih mereka pernah saksikan. Zakwan dan ibu bapanya telah kembali bersama.
Rohaya datang menepuk bahu Rio dari belakang. Rio menoleh dan pantas mendakap tubuh ibunya.
"You did a great job, Rio. I'm so proud of you."
"Thank you, mummy. Thank you."
Share this novel