Prolog I

Drama Series 29694

"LELAKI MATI DITEMUI DALAM SEMAK"

BUKIT BERUANG: Mayat lelaki ditemui di dalam semak di Kampung Telok, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 5.55 pagi itu, mayat lelaki berusia 32 tahun itu ditemui orang awam. Timbalan Ketua Polis Melaka Senior Asisten Komisioner Mohd. Shahrizan Che Mat Din berkata, sebaik menerima laporan berhubung penemuan mayat itu, anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Pemeriksaan menemui kecederaan serius pada lubang dubur mangsa, dipercayai dimasukkan dengan senjata tumpul. "Mayat dibawa ke Hospital Melaka, untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian," katanya.

Laporan berita yang dikongsi oleh salah seorang dari pengikutnya di Twitter itu, dipandang sepi. Rio mengetap bibirnya. Mangsa mungkin dibunuh kerana mengamalkan aktiviti hubungan sejenis. Ini membuatkan remaja feminin berusia 13 tahun itu takut untuk mengekspresikan siapa dirinya yang sebenar.

'You rasa I akan selamat ke dari keganasan homofobik di Malaysia? I takut, Rio.'

Timbul rasa simpati yang tidak mampu digambarkan dalam diri Rio membaca luahan hati pengikutnya itu. Satu lagi pautan berita yang dikongsi tentang keganasan terhadap golongan LGBT di Amerika pada tahun 2015 dibaca dengan teliti.

"KELAB GAY DISERANG, 50 TERBUNUH"

ORLANDO: Seorang lelaki bersenjatakan raifal dan pistol menyerang sebuah kelab yang sesak dengan gay di sebuah kelab malam di Orlando, Amerika Syarikat awal Ahad. Ia mengakibatkan 50 orang terbunuh manakala lelaki terbabit terbunuh dalam berbalas tembakan dengan anggota SWAT. Kejadian ini adalah paling dahsyat dalam sejarah moden Amerika.

'Rio, violence against the LGBT community is happening worldwide. It's not safe anywhere in this world. I'm scared. Ke mana I boleh lari dengan selamat?'

Pertanyaan itu membuat Rio berasa sebak. Ini adalah realiti yang terpaksa golongan LGBT di seluruh dunia hadapi. Setiap hari, mereka terpaksa melalui perasaan takut yang melampau. Keselamatan mereka untuk hidup seperti orang lain tidak terjamin. Bila-bila saja mereka boleh diserang dan mungkin lebih parah lagi dibunuh.

"BAPA TEMBAK MATI ANAK LELAKI HOMOSEKS"

NEVADA: Seorang bapa menembak mati anak lelakinya disebabkan remaja itu mengamalkan aktiviti hubungan sejenis atau homoseks.

Wendell Melton, 53, dituduh menembak Giovanni di dalam pangsapuri miliknya di Henderson, Nevada, Amerika Syarikat pada Khamis lalu.

Bekas ibu angkat mangsa, Sonja Jones mendakwa dia dimaklumkan oleh keluarga mangsa bahawa berlaku pertengkaran membabitkan isu orientasi seks remaja berusia 14 tahun itu. Menurut Sonja, Wendell sememangnya mempunyai masalah dengan perbuatan berkenaan. “Dia membenci Giovanni kerana dia seorang gay. Saya pasti dia berfikir lebih baik anaknya mati daripada memiliki seorang anak yang mengamalkan cara hidup songsang,” katanya kepada News 3 Las Vegas.

Sebelum kejadian, Wendell berjaya menangkap Giovanni bersama pasangannya lalu mengeluarkan sepucuk pistol.

Rio menghela nafas panjang. Dia diarahkan oleh pengikutnya itu untuk membaca komen-komen yang dilontarkan oleh netizen di bawah artikel yang dikongsi oleh Fac Page Astro Awani. Dengan gelisahnya, Rio membuka ruangan komen seperti yang disuruh.

"Bertuah bapa tu...cuba mengelakkan kemudaratan yang lebih besar kepada manusia..."

"Good job, dad. Daripada menanggung dosa juga."

"You made a good decision, dad."

"Tindakan yang betul. Dalam Islam pun dikenakan hukum bunuh. Dalam hubungan sejenis ni tiada istilah rahmatan lil'alamin."

"Semoga ramai bapak macam tu kat Malaysia Baharu ni."

"Sokong sangat ayah tu. Perlakuan ini patut dijadikan satu undang-undang rasmi seluruh dunia."

"Terbaik...dari menyusahkan mak bapak...menanggung malu...menanggung dosa...tembak mati lagi bagus."

"Tahniah...kalau hidup pun bawa bala pada orang lain..."

"Itu je pengajarannya."

"Wonderful news!"

"Macam mana bapak tak marah? Tulah satu-satu anak harapan. Ayahnya teringin nak cucu dari darah daging dia tapi anak pulak seronok bersemburit, macam mana nak dapat menantu yang boleh melahirkan anak? Lebih baik mati."

"Tindakan yang paling betul dalam dunia buat masa ni."

"Tahniah. Kalau boleh, tembak pasangan dia sekali. Hanat punya semburit lahanat!"

"Great father. Anak boleh buat baru. Haih, benih mani yang salah pulak menang race pegi dekat ovum. Takpe, cuba lagi."

Akhirnya tumpah juga air mata Rio. Dia tidak tahan membaca komen-komen netizen yang cukup menakutkan itu. Di Malaysia sendiri, jelas dapat dilihat bahawa golongan konservatif ini menyokong keganasan terhadap sesiapa saja yang terlibat dalam aktiviti hubungan sejenis. Mereka bukan saja terang-terangan menolak golongan LGBT, malah seperti tidak mempunyai sifat perikemanusiaan, sehingga sanggup mendoakan kematian mereka yang hanya mahu berkasihan sesama sendiri.

Tidak syak lagi bahawa berita pertama yang dikongsi oleh pengikutnya tadi dilakukan oleh golongan anti-LGBT. Hal ini disokong oleh pengikutnya itu.

'Walaupun suspek kes pembunuhan dekat Bukit Beruang tu dah mengaku salah dan pihak polis sendiri dah berjaya berkas sekumpulan ekstremis yang anti-LGBT, I have a strong feeling that they will make a comeback. Kita duduk dekat negara yang sebegini rupa. Sampai bila-bila pun, we won't feel safe. I am really asking you, as someone with many followers, to do say something about this, to educate the masyarakat and change their perception towards the LGBT community. I am still in the closet and I am scared to go out. What if my dad decides to kill me like what happened to the innocent boy in Nevada? I'm scared, Rio.'

Rio bingkas berlari ke arah balkoni dalam biliknya. Air matanya kembali mengalir, mengenangkan betapa peritnya hidup sebagai seorang lelaki homoseksual. Dia faham kenapa dia dijadikan tempat mengadu oleh pengikutnya itu. Di YouTube sahaja, Rio mempunyai hampir 1 juta pengikut. Manakala di Twitter pula, dia memiliki sebanyak 20.5k pengikut dan 2,994 lagi di Instagram. Biarpun baru berusia 17 tahun, Rio sudah cukup popular dalam kalangan pengguna YouTube, Twitter dan Instagram, terutama sekali Generasi Z.

Nama Rio mula melonjak sewaktu dia memuatnaik video ASMR di YouTube bersama rakan baiknya, Ammar. Semenjak itu, pengikutnya di YouTube, Twitter dan Instagram bertambah. Ini membuatkan Rio dan rakan-rakan produksinya, Ammar dan Intan, sentiasa menggunakan idea kreatif untuk menarik lebih ramai penonton akaun YouTube, The Rio Channel.

Kandungan video The Rio Channel tidak hanya fokus kepada video-video ASMR sahaja. Adakalanya Rio juga akan memuatnaik video product review, tips-tips menarik untuk para remaja praktikkan, pengalaman percutiannya di dalam dan luar negara, video reaksi muzik video selebriti popular, dan banyak lagi!

Apa yang membuat orang ramai tertarik pada Rio adalah keberaniannya untuk menunjukkan sifat feminin, yang sering mengundang pelbagai reaksi, terutama sekali mereka yang diserap oleh budaya patriarki, seksisme dan maskulin toksik. Rio tidak gentar menunjukkan siapa dirinya yang sebenar di hadapan kamera. Sebab itu dia menjadi idola ramai remaja lelaki yang turut sama feminin.

Cuma satu sahaja yang Rio tidak pernah lakukan sebelum ini. Biarpun dia feminin dan tidak malu untuk menjadi dirinya sendiri di hadapan umum, dia tidak pernah melela mahupun bercakap tentang isu-isu yang berkaitan dengan golongan LGBT. Ada yang berpendapat bahawa Rio mungkin takut menerima kecaman dari masyarakat, sekaligus memberi impak kepada popularitinya namun ianya kekal menjadi spekulasi sehinggalah ke hari ini.

Rio sedang cuba memikirkan bagaimana cara untuk dia menggunakan pengaruhnya dalam mendidik masyarakat supaya menerima golongan LGBT. Dia tahu popularitinya itu tidak datang secara percuma. Dia pernah dinasihatkan oleh ibu dan ayahnya untuk menggunakan pengaruhnya itu demi kebaikan. Video-videonya yang tular tidak wajar dijadikan sebagai bahan hiburan semata-mata. Ianya perlu diselitkan dengan sedikit pengajaran supaya pemikiran dapat dibentuk secara positif.

"Patut ke aku bincang dengan Ammar dan Intan dulu?" gumam hatinya. Dia menoleh ke arah skrin komputer ribanya yang masih terbuka. Dengan perlahan, dia melangkahkan kaki ke arah komputer riba itu sebelum membaca mesej pengikutnya sekali lagi.

'I am really asking you, as someone with many followers, to do say something about this, to educate the masyarakat and change their perception towards the LGBT community.'

'You rasa I akan selamat ke dari keganasan homofobik di Malaysia? I takut, Rio.'

'It's not safe anywhere in this world. I'm scared. Ke mana I boleh lari dengan selamat?'

'What if my dad decides to kill me like what happened to the innocent boy in Nevada? I'm scared, Rio.'

Dengan penuh rasa tanggungjawab, Rio mencapai lampu LED berbentuk cincin di sudut kamarnya. Dia telah mengambil keputusan untuk melela. Demi menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap golongan LGBT di Malaysia, dia sanggup melakukan apa saja. Ini adalah amanah baginya. Dan dia sanggup berhadapan dengan kecaman dari masyarakat.

Sebelum memulakan rakaman, Rio sempat menghantar mesej pada Ammar dan Intan.

'I'm coming out of the closet tonight. Watch our YouTube channel.'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience