Kerna terpaksa, Rio pulang semula ke pangkuan keluarga. Dia langsung tidak mengucapkan selamat tinggal kepada Zakwan. Dia cuma bersalaman dengan Arshad dan Salwa sebagai tanda terima kasih kerana telah membenarkannya untuk tinggal di situ selama seminggu. Zakwan juga tidak menunjukkan sebarang usaha untuk menjelaskan kepada Rio tentang apa yang telah Emilya katakan padanya. Rio enggan memaksa. Dia faham. Tidak mudah bagi mereka yang masih belum melela untuk menghiraukan kata-kata nista dari masyarakat homofobik. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuklah nama baik keluarga yang mungkin tercemar secara tidak sengaja.
Tatkala dia berdiri di hadapan pintu rumah, Rohaya pantas berlari menerpa ke arahnya. Tubuh Rio dirangkul dengan erat. Tangisan hiba menjadi saksi. Kedua-beranak itu saling berpelukan tanpa menghiraukan jiran tetangga. Masing-masing tidak malu mempamerkan rasa rindu yang terpendam seminggu lamanya.
"Alhamdulillah..." Rohaya memanjatkan kesyukuran atas kepulangan anaknya itu.
Iskandar yang hanya memerhatikan dari dalam rumah, masih egois. Dia tidak berganjak langsung untuk menjemput anaknya itu masuk ke dalam rumah. Dia menyaksikan drama air mata antara Rio dan Rohaya itu dengan pandangan yang tajam.
Biarpun ayahnya tidak menunjukkan sebarang reaksi, Rio tetap yakin dan optimis bahawa Iskandar turut sama merindui dirinya. Dia memandang saja wajah tegang ayahnya sewaktu dia dibawa masuk ke dalam rumah oleh Rohaya. Pandangan mereka saling bertaut. Cuma tiada butir bicara yang keluar dari bibir masing-masing.
Salama turut sama menitiskan air mata menyambut kepulangan Rio. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum ke arah Rio yang melambaikan tangan sebagai tanda sapaan ketika dia masuk ke dalam rumah.
"Hari ni Rio nak makan apa? Mommy boleh suruh Cik Salama tolong masakkan," tanya Rohaya sewaktu dia menghantar Rio masuk ke dalam kamarnya.
"Tak kisah, mommy. Apa-apa pun Rio okey."
"Okey. Nanti dah siap, mommy panggil Rio turun makan ya? Rio rehatlah dulu. Dah lama tak balik bilik ni kan? Mommy turun sekejap nak jumpa dengan Cik Salama."
"Thanks, mommy."
Rio membiarkan ibunya hilang dari pandangan mata sebelum merebahkan tubuh di atas katil. Serta-merta air matanya gugur. Tubuhnnya menggeletar kerana sudah tidak tertanggung lagi rasa pedih yang teramat. Sampai hati Zakwan memperlakukannya sebegitu. Rio benar-benar kecewa.
Ting!
Notifikasi muncul di paparan skrin. Mesej dari Zakwan.
'I'm sorry'
Rio enggan membalas. Dia kembali menakup mukanya dengan bantal dan sambung menangis.
**********
"Kak Salama, hari ni masak sedap-sedap ya?" pinta Rohaya yang rindu benar untuk duduk makan bersama Rio biarpun Rio cuma menghilang dari rumah itu selama seminggu.
"Baik, Puan."
Salama dengan senang hatinya mula menyediakan makan malam buat Rio sekeluarga. Sambil memanaskan kuali, Salama bersenandung kecil. Betul-betul gembira kerana si tuan muda sudah pulang ke pangkuan bonda.
Ketika hendak memecahkan telur mentah dan menggorengnya dalam kuali panas, Salama terperasan ada kelibat di luar pagar. Dia pantas memadam api dan keluar dari dapur melalui pintu belakang rumah. Tapi sayang, kelibat yang dilihatnya tadi lebih pantas darinya. Ia telah menghilang entah ke mana. Salama sekadar mampu menggaru-garu kepalanya dan mempersoalkan kewarasan diri sendiri. Dia cuba mencari ke mana hilangnya kelibat manusia tadi namun tidak berjumpa. Penyudahnya, Salama masuk semula ke dalam rumah kerana khuatir dengan keselamatan diri.
Sebaik saja Salama masuk ke dalam rumah, kelibat tadi keluar dari persembunyian. Dia adalah lelaki sasa yang sejak beberapa minggu lepas sering mengekori ke mana saja Rio pergi. Dan dia jugalah yang telah diarahkan oleh Khadir untuk menjejak ke mana telah Rio menghilangkan diri selama seminggu. Dialah...Botak!
Di celah-celah kereta yang diparkir di luar rumah Rio sekeluarga, Botak terintai-intai lagi ke dalam. Kemudian, dia tersenyum sinis. Cepat-cepat dia mengeluarkan telefon pintarnya untuk menghubungi Khadir. Dia menanti dengan penuh sabar untuk panggilannya itu dijawab.
"Hello, boss. Berita baik. Rio dah balik rumah. Kita nak buat apa sekarang?"
Botak mendengar dengan tekun apa yang sedang diperkatakan oleh Khadir. Dia mengangguk-anggukkan saja kepalanya sambil tersenyum gembira kerana tidak perlu berfikir panjang tentang ke mana Rio telah menghilangkan diri.
"Baik, boss. Saya menurut perintah." Botak mematikan talian dan terus memandang ke arah rumah Rio dengan pandangan yang menakutkan. Ada sesuatu yang telah dirancang oleh bosnya dan rakan-rakan seperjuangan yang lain. Habislah keluarga Rio nanti!
**********
Selepas saja menikmati makan malam bersama keluarganya, Rio masuk ke dalam kamar tidur dengan alasan esok hari pertama Peperiksaan Percubaan SPM. Bilik itu kelihatan masih sama seperti kali terakhkir dia tinggalkan. Aneh. Rio langsung tidak mempunyai segelumit perasaan rindu pun pada biliknya itu. Yang dirinduiny sekarang adalah...Zakwan.
Sekejap tadi Rio baru saja cuba menghubungi Zakwan namun Zakwan tidak menjawab. Rio tidak pasti sama ada Zakwan sudah tidur ataupun memang sengaja tidak mahu menjawab panggilannya. Biar apa pun alasan Zakwan, kejadian petang tadi benar-benar mengganggu fikiran Rio sekarang. Zakwan cuma menghantar mesej pada Rio untuk meminta maaf. Itu saja.
"Apa yang Emilya cakap dekat dia?" Rio tertanya-tanya sendiri.
Ada rasa seperti hendak menghubungi Emilya dan bertanya sendiri apa yang telah dia katakan pada Zakwan petang tadi namun Rio membatalkan hasratnya. Dia membiarkan dirinya terus berteka-teki.
"Kurang ajar kau, Emilya! Kenapa kau benci sangat dengan aku?" marah Rio. Salah satu bantal di atas katilnya dicampak ke lantai. Dadanya berombak-ombak menahan rasa marah. Matanya dikatup rapat. Cuba untuk menenangkan diri dari terus dibelenggu rasa benci terhadap Emilya yang sudah benar-benar berubah kini.
Rio menarik nafas panjang. "Tenang, Rio, tenang. Everything is gonna be fine. Esok is first trial. Don't lose your mojo," pesan Rio kepada dirinya sendiri.
Dia menghabiskan waktu sebelum tidur untuk mengulangkaji pelajaran buat kesekian kalinya. Dia berharap sangat agar esok, sang kekasih akan kembali mencarinya semula kerana rindu.
**********
Zakwan termenung jauh. Fikirannya kini sedang bertumpu pada kekasih yang dibiarkan tergantung sepi. Rasa bersalah mula mencalit hati. Apakah benar yang sedang dilakukannya kini? Tidak kejamkah perbuatannya? Dia tertanya-tanya sendiri.
Dalam keadaan penuh rasa tertekan, Zakwan mencapai telefonnya dan mencari-cari nama Emilya. Dia berhasrat untuk bercakap dengan Emilya dan menjelaskan situasi sebenar. Zakwan tidak merancang untuk memberitahu Emilya tentang status hubungannya dengan Rio sekarang. Dia cuma mahu tahu apakah yang Emilya mahukan darinya. Itu saja.
"Yes, Zakwan? How can I help you?" nada suara Emilya kedengaran sinis selepas menjawab panggilan Zakwan.
"Apa kau nak untuk aku tutup mulut kau?" tanya Zakwan, tegas.
Emilya tertawa. Membuatkan hati Zakwan tambah membara.
"Wow! Cepat betul ya you buat keputusan? Macam mana? Dah putus ke dengan Rio?" Emilya ketawa mengekek lagi.
"Leave Rio alone! Dia takde kena mengena dengan hal ni."
"Oh you are so wrong, Zakwan! Rio ada kena mengena dalam hal ni. In fact, kalau bukan sebab dia, I wouldn't know that you are also into men. So yeah, he plays a vital role here!" Emilya mula serius.
"I am not queer. I am not queer!" Zakwan cuba menafikan.
"I know you are not, Zack. You are just confused. Let me help you."
"Help me? How?"
Emilya diam sejenak. Zakwan dapat merasakan yang Emilya sedang tersenyum sinis kini. Dia telah bertanyakan soalan perangkap kepada perempuan itu. Entah apa lagi helahnya.
"You nak tahu macam mana cara untuk you tak lagi confused?" Emilya bertanya kembali dengan sengaja supaya Zakwan akan lebih rasa terperangkap.
"Apa dia?"
"Betul ni?"
"Cepatlah! Jangan main-main!" Zakwan sudah semakin hilang sabar.
"Couple dengan I..."
Zakwan terkedu mendengar jawapan dari Emilya. Dia menelan air liurnya kerana benar-benar tidak menyangka sebegitu hebat sekali taktik Emilya untuk memisahkannya dengan Rio.
"Couple?"
"Yes. Couple. Bila you couple dengan I, tak ada orang akan persoalkan siapa diri you. Kalau ada yang tanya, I akan pastikan diorang tak tahu pun yang you ni Geng Kunyit jugak. I akan bagitau semua orang yang you ni straight. So you don't have to worry about anything else." Emilya menerangkan panjang lebar.
Zakwan terdiam lagi. Sedang berkira-kira sama ada apa yang diperkatakan Emilya itu benar-benar boleh membantunya membersihkan nama sendiri atau terus menjerat diri.
'Macam mana dengan Rio nanti?' Zakwan terfikir tentang teman lelakinya.
"Zakwan?" Emilya menyeru namanya kerana Zakwan diam saja dari tadi.
"Ya?"
"So what's your decision?"
Jeda.
"I need time to think."
Emilya tersenyum. "Okay. But time is running out so you better make your decision quickly. Tick tock!"
Panggilan ditamatkan dan Zakwan mencampak telefon pintarnya ke dinding sehingga pecah berderai.
"Sial!" jeritnya kerana terlalu geram.
Dia benar-benar berada di dalam dilema kini. Patutkah dia menerima tawaran Emilya itu?
Share this novel