Biarpun hujan baru saja berhenti, rintik air dari atas atap masih kedengaran. Ia menjadi halwa telinga buat Rio yang sedang duduk menghadap kerja sekolah di meja belajar. Pen yang tersisip kemas antara jemarinya tidak bergerak menarikan jawapan pada latihan yang diberi. Dia tidak dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya. Pengakuan Rohaya semalam merupakan satu tamparan hebat buat dirinya. Setelah bertahun-tahun membesarkan Rio, akhirnya Rohaya berterus-terang kepada anaknya itu tentang orientasi seksualnya yang sebenar.
Rohaya adalah seorang biseksual. Pada suatu ketika dahulu, dia pernah menjalinkan hubungan percintaan dengan ramai wanita. Termasuklah Liz yang datang ke rumah mereka semalam. Tapi selepas berjumpa dengan Iskandar, segala-galanya mula berubah. Rohaya mengambil keputusan untuk berkahwin dan meninggalkan minatnya pada kaum sejenis. Dia mahu fokus kepada minatnya terhadap kaum lelaki pula.
Kedatangan Liz semalam memang tidak dirancang. Liz yang baru saja pulang dari percutiannya di Langkawi, tiba-tiba mengambil keputusan untuk singgah sebentar ke rumah Rohaya selepas mendengar gosip dari rakan lama mereka bahawa rumah tangga Iskandar dan Rohaya kini sedang bergolak.
Selepas Rohaya meninggalkan Liz 20 tahun lalu, wanita itu membawa dirinya ke Melbourne, Australia. Dia kini telah pun menjadi penduduk tetap di sana. Selain dari menikmati percutian mewah di Langkawi, tujuan Liz pulang ke Malaysia sebenarnya adalah untuk berjumpa dengan sanak saudara serta sahabat handai yang sudah lama ditinggalkan. Tanpa perlu dipersoalkan, Rohaya turut berada di dalam senarai orang-orang yang dia ingin berjumpa.
"I'm sorry that I didn't tell you this earlier. Honestly, I don't know how. Mommy malu, Rio. Mommy tak tahu macam mana nak beritahu Rio perkara sebenar. When you came out dulu, I thought of telling you the truth but daddy forbade me from doing so. Jadi, mommy terpaksa terus berahsia dengan kamu. I'm so sorry. Bukan niat mommy untuk rahsiakan apa-apa dari kamu. Cuma keadaan tak mengizinkan." Masih lagi terngiang-ngiang suara Rohaya menceritakan tentang perkara sebenar kepada anaknya semalam.
"Patutlah daddy benci sangat dekat aku. Rupanya dia memang dah lama panas hati dengan mommy..." bisik Rio sebelum menguap kerana tidak cukup oksigen di dalam otak. Dia mengambil keputusan untuk menutup saja buku latihan di hadapannya. Biarlah kalau cikgu nak marah sekali pun kerana tidak siapkan kerja sekolah esok. Dia redha dan sedia menerima sebarang bentuk hukuman.
Rio tiba-tiba dapat menangkap suara ibunya di luar bilik. Rohaya kedengaran seperti berada dalam keadaan panik. Mommy dengan daddy bergaduh lagi ke? Getus hati kecilnya. Dia pantas berjalan keluar bagi menghalang perkara yang tidak diingini dari berlaku antara ibu dan ayahnya.
"You have to understand this. I need to go and see her!" Rohaya kelihatan seperti sedang merayu pada Iskandar sewaktu Rio membuka pintu biliknya.
Rohaya juga sedang menjinjit beg tangannya. Dia seperti hendak keluar. Tapi ke mana? Dengan siapa Rohaya ingin berjumpa malam-malam begini? Dia nak jumpa Aunty Liz ke? Tapi kenapa? Ada sesuatu yang buruk terjadi pada Aunty Liz ke?
"You cakap you dah tak ada perasaan dekat dia lagi? Then kenapa you beria sangat nak pergi tengok dia? You ada affair dengan dia ke? Apa semua ni, Roy? Tell me!" marah Iskandar.
"Demi Allah, I dah tak ada apa-apa perasaan dekat dia lagi, Is. Cuma dia baru je lepas accident. Faham tak accident!? Family dia sekarang ada dekat Johor. They had asked me to check on her before diorang sampai nanti. Salah ke I nak tolong diorang, Iskandar? Salah ke!?"
Aunty Liz kemalangan? Barulah Rio faham kenapa ibu dan ayahnya tiba-tiba saja bertekak.
Dalam hal ini, Rio berpihak kepada Rohaya. Dia meletakkan dirinya dalam situasi Rohaya itu. Kalau Zakwan yang terlibat dalam kemalangan, Rio tetap akan melawat lelaki itu biarpun mereka sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi. Iskandar perlu faham. Ini bukan soal hati dan perasaan. Ini soal kemanusiaan. Sekiranya ada sesuatu yang buruk berlaku pada Liz, tentu Rohaya tidak akan memaafkan dirinya kerana tidak datang menjenguk dan mengucapkan selamat tinggal. Rio tidak mahu ibunya hidup dalam penyesalan. Cukuplah dengan apa yang telah dia korbankan bagi mengahwini Iskandar. Rohaya berhak untuk berada di sisi Liz ketika ini.
"You are truly disappointing me, Rohaya. Sampai hati you. How could you do this to me?" Iskandar meluahkan rasa kesal. Nada suaranya menurun lemah.
"Daddy..." Rio memberanikan dirinya untuk bersuara.
Iskandar dan Rohaya sama-sama menoleh. Mereka langsung tidak sedar Rio sudah pun keluar dari biliknya kerana mereka terlalu asyik bertengkar saja dari tadi.
Rio datang mendekati kedua ibu bapanya itu. Wajahnya kelihatan gusar tapi tampak penuh yakin dan berani. Ada sesuatu yang ingin diperkatakan. "Please let mommy go, daddy. Aunty Liz is her best friend. I'm sure you have a best friend too, right? I also have best friends at school. If something happened to them, I would want to go and visit. Takkan nak biarkan kawan baik kita dekat hospital sorang-sorang, kan?"
Rohaya menarik nafas lega. Dia gembira kerana Rio berpihak padanya. Satu senyuman kelat terukir di bibirnya. Kemudian, dia menoleh semula ke arah Iskandar. Apa agaknya keputusan suaminya itu selepas mendengar kata-kata Rio tadi?
Kalau hendak diikutkan, Iskandar turut mahu meluahkan rasa kesal terhadap Rio. Namun, dia menyembunyikan perasaannya itu. Dengan rasa berat hati, Iskandar menganggukkan kepala. "Fine. You can go."
"Really?" Rohaya tidak menyangka sungguh cepat Iskandar mengubah pendirian.
"Go. Before I change my mind."
Rohaya menoleh ke arah Rio dan memberikan senyuman 'terima kasih' kepada anaknya. Dengan tertib, Rohaya berlalu pergi dari situ. Fikirannya kini bertumpu pada Liz, yang kini sedang berada dalam wad kecemasan di Hospital Putrajaya.
Selepas saja Rohaya pergi, Rio memerhatikan wajah Iskandar yang hampa dengan apa yang telah terjadi. Rio bersimpati dengan ayahnya. Dia cuba memahami apa yang ayahnya rasa. Namun, dia tidak berdaya melakukan apa-apa. Bagi Rio, Iskandar perlu belajar menerima hakikat bahawa tidak semua orang mempunyai pemikiran dan personaliti yang sama sepertinya atau seperti apa yang dia mahu. Setiap manusia dilahirkan berbeza-beza. Iskandar perlu belajar menerima kenyataan itu.
"Daddy..." panggil Rio sebaik saja Iskandar mula melangkahkan kaki ke belakang untuk masuk semula ke dalam bilik.
Iskandar menoleh tanpa memandang wajah anaknya.
"I'm so sorry..." ujar Rio, tidak tahu apa lagi yang perlu diperkatakan selain dari ungkapan maaf.
Iskandar tidak memberi sebarang respons. Dia menghembus nafas kecewa sekali lagi. Kemudian, dia kembali masuk ke dalam biliknya. Rio juga turut melakukan perkara yang sama.
Sebaik saja berada di dalam bilik, Rio mendekati tingkap untuk memerhatikan ibunya memandu pergi kereta Honda Civic milik Iskandar ke Hospital Putrajaya. Dia berharap agar Aunty Liz tidak apa-apa. Ada banyak persoalan tentang wanita itu yang Rio ingin tahu. Dia mahu mengenali Aunty Liz dengan lebih rapat. Dia juga mahu mempelajari tentang siapa ibunya sewaktu mereka muda remaja dulu.
Rohaya memecut laju kereta itu sebaik pintu pagar automatik dibukakan oleh Salama. Dalam sekelip mata, kereta itu hilang dari pandangan. Rio berhasrat untuk tidur seperti yang telah dirancang olehnya sebelum ibu dan ayahnya bergaduh tadi. Ketika dia hendak menutup langsir tingkap, dia terperasan akan kehadiran sebuah kereta Proton Saga hitam yang tidak dikenali terparkir betul-betul di luar rumahnya. Ada orang dalam kereta itu. Seorang lelaki. Tapi siapa? Rio mengecilkan anak mata. Mujur saja biliknya itu sedang berada dalam keadaan gelap. Jadi, bolehlah dia mengamati empunya kereta itu tanpa tertangkap.
"Kenapa dia tak keluar dari kereta? Dia buat apa lama-lama dekat situ?" tanya Rio, cuba mencari rasional tentang kenapa lelaki itu duduk saja di dalam kereta. Kalau nak kata dia salah seorang dari jiran sebelah rumah, macam tak logik. Kenapa tak parkir dekat depan rumah sendiri? Kenapa kena parkir depan rumah orang?
"Pencuri ke?" bisik Rio pada dirinya sendiri. Dia mula gusar. Patutkah dia memberitahu ayahnya bahawa ada orang yang mencurigakan di luar rumah?
"Tak payahlah, Rio. Daddy still tengah sedih tu. Mesti dia perlukan ruang untuk diri dia sendiri," kata Rio, sambil terus memerhatikan empunya kereta yang masih kelihatan mencurigakan. Dia tidak boleh berhenti bertanya siapa lelaki di dalam kereta itu. Apa yang dia mahu?
Rio cepat-cepat turun dari biliknya dan dengan senyap, keluar mengikut pintu belakang. Sambil melangkah, Rio teringat tentang pesan Hilmi dan Daniel tentang golongan anti-LGBT yang sanggup melakukan apa saja untuk menakut-nakutkan komuniti LGBT.
"You need to be more careful, Rio. Banyak mata yang memerhatikan kita. Silap langkah, kita tak tau apa yang diorang boleh buat."
Rio bersiap sedia untuk mengambil gambar nombor plat kereta itu dengan lebih dekat. Sebab itu dia mengambil keputusan untuk keluar dari rumah tadi. Biar kamera telefon pintarnya dapat menangkap gambar dengan lebih jelas. Mungkin pemandu dalam kereta itulah yang menakut-nakutkan keluarganya tempoh hari dengan membuang bangkai-bangkai burung gagak di luar rumah. Dan mungkin lelaki itu jugalah lelaki yang sama berada di kafe hipster di Bangi tempoh hari sewaktu Rio sedang lepak dengan rakan-rakan seperjuangannya.
Dengan penuh rasa debar, Rio berjaya menangkap gambar nombor plat kereta itu. "Siaplah kau!"
Belum sempat Rio melihat semula gambar yang diambilnya itu, kepalanya tiba-tiba dihempuk dengan kuat dari belakang.
"Pencuri!" jerit Salama selepas membuat Rio terjelopok jatuh ke atas tanah.
Kereta tadi pantas dihidupkan selepas pemandunya menyedari ada orang berteriak. Dia meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah keluarga Rio.
"Aduh, Cik Salama! Ni Rio lah!" kata Rio sambil mengurut-urut kepalanya. Benjol!
"Ya Allah, Rio! Kenapa duduk kat luar rumah malam-malam ni macam pencuri?" tanya Salama sebelum mencampak kayu yang digunakan tadi untuk mengetuk kepala Rio.
"Nampak tak kereta tadi?" tanya Rio sambil bangun dari jatuh.
"Nampak..." jawab Salama.
"Itulah pencuri yang sebenar. Dari tadi dia duduk perhatikan rumah kita. Rio dah tangkap gambar kereta dia. Bolehlah kita buat report police nanti."
Salama beristighfar. Rasa bersalah mula menyarang kerana telah terpukul kepala Rio. "Cik Salama mintak maaf sebab terpukul kepala Rio."
"It's okay, Cik Salama. Takde apa-apa. Benjol sikit je ni." Rio meyakinkan.
**********
Sambil cemas memandu, Botak mendail nombor telefon Khadir. Dia panik kerana tiba-tiba saja ada orang memekik dekat belakang tadi. Mesti ada yang sudah sedar kehadirannya di situ. Habislah rancangan mereka!
Panggilannya dijawab.
"Boss...kita ada masalah..." kata Botak sebaik saja bosnya menjawab panggilannya itu. "Saya dah terkantoi dengan diorang..."
Share this novel