Setelah beberapa hari menghilangkan diri sekali lagi, Botak mengajak Emilya untuk berjumpa supaya mereka dapat berbincang mengenai rancangan mereka untuk menghapuskan golongan LGBT di Malaysia.
Dengan berat hati, Emilya bersetuju untuk berjumpa dengan teman lelakinya itu. Ini semua hanya kerana mereka sudah lama tidak bersua muka. Kalau hendak diikutkan, Emilya kini tidak pasti sama ada dia patut terus berkomplot dalam menjayakan rancangan Botak ataupun tidak. Lawatannya di hospital tempoh hari benar-benar telah membuka matanya untuk menerima golongan homoseksual di Malaysia. Lebih-lebih lagi golongan homoseksual yang sedang didikriminasi oleh masyarakat seperti Ammar.
Sudah beberapa hari Emilya asyik terkenangkan nasib yang melanda diri rakan sekolahnya itu. Ammar merupakan seorang yang sangat tabah dalam menghadapi tohmahan yang dilemparkan padanya dan sekeluarga. Malah, Emilya dapat simpulkan bahawa cara Ammar menangani masalah yang melanda dirinya adalah lebih baik dari Rio. Sekurang-kurangnya Ammar tidak melarikan diri seperti Rio. Dan Ammar sedia berhadapan dengan mereka yang tidak berpuas hati dengannya.
Ya, Ammar mungkin tidak mampu untuk melarikan diri seperti Rio kerana dia terlentang di atas katil hospital tapi itulah yang buat Ammar lebih istimewa berbanding rakannya yang seorang lagi itu. Di dalam kesakitan, Ammar masih mampu tersenyum dan menyalurkan tenaga positif kepada orang-orang di sekelilingnya.
Ammar jugalah yang membuat Emilya berfikir panjang tentang rancangannya dengan Botak. Soalan pertama yang terdetik di hati Emilya, berbaloi ke semua yang akan mereka lakukan? Macam mana kalau ada yang menghalang? Lagipun, apa yang akan mereka buat, biarpun nampak seperti betul, sebenarnya salah di sisi undang-undang. Matlamat tidak menghalalkan cara dan Emilya sudah mula membuang rasa iri hatinya terhadap Rio dan Zakwan. Buat apalah dendam itu disimpan lama-lama? Dah mereka berdua tu tak straight. Redha jelah!
"Emilya? Emilya!?" Botak menepis lengan Emilya yang ditongkat dengan tangan. Terkejut Emilya apabila kepalanya hampir tersembam di atas meja.
"Huh? What?" Emilya terpinga-pinga.
Satu keluhan kasar dilemparkan oleh Botak. Dia mengetap bibirnya tanda geram dengan teman wanitanya yang langsung tidak mendengar apa yang diperkatakan tadi.
"You boleh tolong fokus tak apa I nak cakap?" marah Botak. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Nada suaranya cuba dikawal kerana khuatir ada yang datang mendekati mereka untuk 'membawang'. Kang tak pasal-pasal orang tuduh dia cuba untuk menyakiti Emilya pulak. Dah la muka dia memang macam gangster.
"I'm sorry. I terberangan pulak. Apa you cakap tadi?" Emilya langsung tidak menunjukkan riak muka bersalah. Dia menghirup minuman yang dipesannya tadi. Kalau boleh, rasa macam nak balik. Sebab dia sendiri belum mengulangkaji pelajaran untuk kertas seterusnya. Macam mana nak larikan diri dari sini ya? Emilya bertanya diri sendiri.
"I nak pinjam duit dari you..." Botak menyambung kata-katanya tadi.
Pandangan Emilya kembali bertumpu pada Botak yang masih sedang mengunyah nasi goreng ayam dengan lahap. "What? Why?" Emilya paling pantang bila lelaki meminjam wang darinya. Ingat dia apa? Cop duit?
Botak meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan yang dilicinkannya. Dia menyapu bibir dengan belakang tangan sebelum meneguk ais kosong dengan laju. Emilya menanti dengan penuh rasa resah.
"I nak pinjam duit. I kena pergi dari sini buat sementara waktu. Polis tengah cari I," terang Botak, masih lagi tenang biarpun ceritanya itu agak sukar untuk Emilya terima.
"Kenapa polis nak cari you?"
Botak memandang ke kiri dan kanan. Dia mendekatkan wajahnya dengan Emilya di hadapan sebelum berbisik, "Diorang jumpa mayat boss I. Diorang rasa I yang bunuh boss I tu."
Emilya mengerutkan kening. Tidak mengerti apa yang cuba Botak maksudkan. Bunuh? Boss? "I tak faham. Siapa boss you?"
Botak menggeleng-gelengkan kepala. "I takde masa nak terangkan. I kena pergi dari sini. Dan you kena tolong I sebab I takde duit sekarang. Macam mana I nak lari kalau I takde duit?"
Wajah Emilya masih menegang. "Betul ke you bunuh boss you? Kenapa you nampak relaks je? Tak rasa bersalah?"
Satu senyuman sinis diberikan. Botak menjawab, "Kan I kata polis syak yang I bunuh boss I. I tak kata pun yang I memang bunuh."
"Then, kalau tak bunuh, kenapa nak larikan diri?"
Botak terus terdiam. Dia berdehem cuba memikirkan cara bagaimana untuk menjawab soalan perangkap dari Emilya itu. Botak menarik muka masam bagi membuat Emilya rasa bersalah. "You ni nak tolong I ke tak? Apa guna you jadi girlfriend I kalau tak reti nak tolong? I tengah sesak sekarang ni."
Emilya langsung tidak menunjukkan rasa gentar malah seperti mahu mempersoalkan lagi tentang apa yang Botak beritahunya awal tadi. "Kalau you lari, macam mana dengan plan kita?"
"Lepas I balik sini balik, kita teruskanlah plan kita. Sekarang ni, I cuma perlu lari dari sini je dulu untuk beberapa minggu."
Emilya menyilangkan tangannya sambil menjongketkan kening. "I tak percaya you. I rasa you sebenarnya nak gunakan I je. I ada baca berita. Kumpulan anti-LGBT you dah berkubur sekarang. Takde siapa yang akan tolong you. And I rasa rancangan you takkan berjaya pun sebab you sorang. And you takde duit. You're just a loser, with a big sick dream!"
Botak menghentak meja, membuatkan semua yang berada di restoran mamak itu tersentak sebelum kembali menyambung aktiviti mereka. Tercungap-cungap Emilya menahan rasa terkejut.
"Careful, Botak! You yang cakap polis tengah cari you sekarang. Mesti you tak nak tarik perhatian orang ramai kan?" Emilya memberi amaran.
Botak sedar bahawa apa yang Emilya katakan itu betul. Dia tidak sepatutnya menarik perhatian orang ramai tadi. Kalau tidak, habislah rancangannya untuk lari.
"I takde duit. As you know, I cuma budak sekolah. And yes, you mungkin boleh cakap yang I ni anak orang berada tapi my parents bagi I duit belanja cukup-cukup je. So I tak boleh tolong you. I'm so sorry, Botak." Emilya mula bangun untuk meninggalkan teman lelakinya yang semakin resah kerana tidak berjaya meminjam duit. Emilya tahu Botak tidak akan menyerangnya kerana dia telah memberi peringatan tentang apa yang akan berlaku sekiranya Botak melakukan sesuatu padanya di tempat awam.
Sebelum Emilya pergi, dia sempat menambah lagi, "And by the way, I nak break up. And I nak lupakan rancangan kita tu. Tolong jangan cari I lagi. I doa you selamat dari segala apa yang you tengah takutkan sekarang. Goodbye, Botak. It was a pleasant memory knowing you. But it's time for me to move on. You should too. And don't worry, hari ni makan I belanja. Assalamualaikum."
Botak tidak menjawab sebaliknya hanya mampu melihat teman wanitanya berlalu pergi. Tak adalah sedih sangat pun sebenarnya kerana niat Botak berkawan dengan Emilya adalah supaya dia dapat memantau Rio dengan lebih rapat. Malah, Botak sendiri telah mengarahkan untuk Emilya mendekati Rio supaya segala informasi tentang kehidupan Rio dapat dikongsi. Kini, rancangannya itu terhenti di situ.
"Celaka punya perempuan. Takpe, aku akan cari kau balik nanti. Kalau bukan sebab polis dah jumpa bangkai si keparat tu dua hari lepas, aku pun tak nak berambuslah! Bodoh punya betina! Kau tunggulah nanti." Botak mengetap bibirnya sebelum turut bangun dan berlalu pergi dari situ.
Share this novel