Bab 5

Drama Series 29694

Seminggu berlalu. Jumlah penonton videonya mencecah ke angka yang tertinggi. Bilangan pengikut di kesemua platform media sosialnya juga melonjak naik. Ini memang sesuatu yang tidak dijangka olehnya. Bukan populariti dan perhatian yang dicari. Dia cuma mahu suaranya didengari. Biarpun kebanyakan netizen menonton videonya hanya untuk meninggalkan kecaman di ruangan komen, dia tidak peduli. Asalkan mesej keamanannya berjaya disampaikan. Kalau kecaman yang diterimanya terlampau ekstrem, Rio tahu dia boleh menekan butang 'block' tanpa perlu berfikir panjang.

Sebelum berangkat ke sekolah, dia sempat membaca komen-komen dari netizen pada video yang dimuatnaiknya minggu lalu. Terdapat pelbagai jenis komen yang diterima. Ada yang menyokong tindakannya dan tidak kurang juga yang mengecam. Rio hanya mampu tersenyum membaca komen-komen itu. Dia tidak mahu membalasnya. Buang masa saja. Malah, Rio merancang untuk merakam satu lagi video kesinambungan dari video melelanya itu hujung minggu nanti. Dia sengaja mahu memprovok netizen yang mengecamnya. Biar mereka bertambah sakit hati menonton sambungan videonya nanti. Baru padan dengan muka mereka! Rio tersenyum sinis memikirkan tentang rancangannya itu. Dia kini berada di dalam kereta bersama ayahnya menuju ke sekolah. Hari itu merupakan giliran Iskandar untuk menghantar Rio ke sekolah.

Seperti biasa, kedua-duanya langsung tidak bersuara. Rio lebih seronok bermain dengan telefon pintarnya yang sengaja dibawa ke sekolah pada hari itu. Ketika sedang sibuk membalas mesej dari Intan, satu notifikasi masuk. Ianya komen yang datang dari seorang pengguna akaun YouTube dengan nama PenggoncangDunia90. Rio berasa kurang senang membaca komen PenggoncangDunia90 itu.

'Kami kenal siapa mak bapak kau Rio Shabiro bin Iskandar. Kau tunggulah nanti. Kau belum kenal siapa kami...'

Matanya masih tertancap pada skrin telefon. Dia pelik. Macam mana si PenggoncangDunia90 ni boleh tahu nama penuhnya? Setahu Rio, dia tak pernah bagi tahu sesiapa pun di media sosial siapa nama ayahnya. Macam mana orang ni boleh tahu? Apa yang dia cuba sampaikan? Ini satu ugutan ke?

Dia mula gelisah. Ada yang tidak kena dengan komen dari PenggoncangDunia90 itu. Rio tahu ugutan yang diterimanya satu perkara yang serius. Dia tidak terkejut sekiranya PenggoncangDunia90 itu tahu di mana dia tinggal. Kalau nama ayahnya pun orang itu tahu, apatah lagi alamat rumahnya. Ini tak boleh jadi. Rio perlu lakukan sesuatu sebelum orang lain yang menjadi mangsa. Tapi apa yang boleh dia lakukan? Ayahnya tak tahu menahu tentang videonya itu. Kalau dia beritahu ayahnya, mesti Rio akan dileter sampai bernanah telinga. Ada ke orang yang nak ambil serius ugutan yang diterimanya itu? Macam mana kalau ugutan itu hanyalah gurauan semata-mata?

Kerana tidak mahu mengusutkan fikirannya lagi, Rio pantas keluar dari aplikasi YouTube itu dan menyimpan telefonnya di dalam beg. Masih terlalu awal untuk dia berhadapan dengan konflik. Dia berharap sangat agar di sekolah nanti segalanya baik-baik saja biarpun dia tahu mustahil untuk perkara itu terjadi. Dia masih terpaksa berhadapan dengan rakan-rakan sekolahnya yang hanya tahu mengecam dan mengatanya dari belakang. Tiba-tiba dia seperti malas untuk ke sekolah. Tapi takkan dia nak suruh ayahnya patah balik? Apa pula yang akan Iskandar kata nanti?

"Sabar jelah dik nun..." Rio memujuk diri sendiri. Waktu itu, dia sudah pun tiba di perkarangan sekolah.

**********

Seperti biasa, masih banyak mata yang memandangnya dari atas ke bawah. Rio jadi meluat dengan pandangan sinis rakan-rakan sekolahnya itu. Adakalanya dia dihimpit perasaan sesal kerana telah memuatnaik video melelanya di YouTube. Kalau dia tidak muatnaik, tentu dia tidak akan dilayan seperti orang pelik di sekolah. Selama ini mereka tidak henti-henti memberi reaksi positif kepadanya setiap kali dia muatnaik video baru. Lain pula jadinya kali ini.

"Kan best kalau dapat duduk negara orang putih..." bisik Rio sewaktu dia sedang berjalan menuju ke perpustakaan. Dia mengambil keputusan untuk ke situ sebaik saja dia mendapati guru Bahasa Inggerisnya tidak akan masuk ke kelas pada pagi itu. Rio mahu mencari ketenangan di situ.

Pada mulanya Rio merancang untuk mengajak Zakwan, Ammar, Intan ataupun Emilya untuk menemaninya namun Zakwan kini sedang seronok bermain bola sepak dengan rakan-rakan sekelasnya untuk Pendidikan Jasmani & Kesihatan. Ammar pula sedang sibuk melatih pelajar-pelajar perempuan kelasnya bermain bola jaring. Intan berada di bilik jahit untuk menyiapkan projek Ekonomi Rumah Tanggannya. Manakala Emilya pula masih lagi enggan bercakap dengan Rio. Ketika perhimpunan pagi tadi pun Emilya langsung tidak mahu memandang wajah Rio.

'Benci sangat ke kau pada aku, Emilya?' getus hati Rio sebelum teringat nasihat yang diberikan Rohaya minggu lalu.

"If Emilya or any other friend of yours cannot accept you for who you are, then they're not really a good friend. Find someone who will accept you for who you are..."

Rio mengambil keputusan untuk membiarkan Emilya terus dengan egonya. Biarlah dia membawa diri. Bukannya dia tiada kawan-kawan lain untuk dijadikan tempat mengadu pun. Dia ada Ammar, Intan, Zakwan dan rakan-rakan di media sosial yang menerima dirinya seadanya. Emilya yang akan rugi kerana tidak mahu berkawan dengannya lagi. Rio tahu dia adalah seorang kawan yang baik. Dia yakin Emilya pasti akan merindu kehadirannya nanti.

Dengan langkah yang gagah, dia masuk ke dalam perpustakaan seorang diri. Terdapat sekumpulan pelajar sesi petang sedang membaca buku di situ. Tiada seorang cikgu mahupun pengawas pusat sumber yang menjaga kaunter hadapan. Rio menarik nafas lega. "What a relief!"

Dia berjalan ke arah meja yang bertentangan dengan meja sekumpulan pelajar sesi petang tadi. Rio sempat menjeling ke arah pelajar-pelajar itu. Hmm, hadek-hadek rupanya. Rio enggan mempedulikan mereka. Dia mahu mengulangkaji pelajaran menggunakan buku latihan yang dibawanya bersama.

Beberapa minit kemudian, Rio mula perasan pelajar-pelajar junior di hadapannya itu sedang berbisik sesama mereka. Mungkin mereka juga telah menonton videonya di YouTube. Dan mungkin mereka sedang mengumpat tentangnya. Rio menggeleng-gelengkan kepala. Dia tidak mahu fokusnya terganggu. Tak mati pun dengan kutukan dari budak-budak hingusan tu. Rio yakin mereka juga dua kali lima, cuma masih berdelusi atau takut untuk melela kerana khuatir dengan kecaman yang akan diterima sama seperti apa yang sedang dialaminya kini.

"Abang..." tiba-tiba salah seorang dari pelajar tadi datang menegur.

Amboi beraninya budak ni datang dekat aku. Nak cakap apalah agaknya? Nak kecam depan-depan ke? Meh sini aku nak tengok diorang berani ke tak nak sangkak aku.

"Ya?" Rio mengetatkan muka, cuba untuk tidak berdrama di situ.

"Abang ni Rio Shabiro kan?"

Rio sempat menjeling tag pelajar itu yang disulam di atas kocek bajunya. Fitri Syazwan namanya.

"Ya. Kenapa? Ada masalah ke?"

"Eh tak. Sebenarnya saya dengan kawan-kawan saya minat sangat dekat abang." Fitri Syazwan memberitahu.

Rio terdiam seketika. Minat? Alamak, menyesal pula berfikir yang bukan-bukan tadi. Kenapalah aku ni negatif sangat?

"Ya ke? Nama siapa? Form berapa?" tanya Rio biarpun dia sudah nampak tag nama pelajar itu tadi.

"Saya Fitri. Kitorang semua form two."

"Oh Fitri. Sebab tu ke korang pandang-pandang abang tadi?" biarpun geli, tapi Rio terpaksa membahasakan dirinya sebagai abang. Bukan dia yang mula membahasakan dirinya begitu. Budak depannya itu yang mula dulu. Dia mengikut saja.

Fitri menoleh ke arah rakan-rakannya dan tersenyum-senyum sesama mereka. "Ya. Masa kitorang nampak abang tadi, kitorang excited gila. Sebab dah lama teringin nak jumpa dengan abang depan-depan."

"Laa ya ke? Datang jelah jumpa abang. Abang ni tak makan oranglah." Rio masih merendah diri lagi biarpun dia sebenarnya sudah kembang sejambak.

"Nak mintak tolong abang sign autograf untuk kitorang, boleh tak?"

"Autograf?" Zaman bila pakai autograf ni?

"Ha. Korang, sinilah! Cepat!" Fitri memanggil kawan-kawannya.

Mereka mula bangun dan berjalan ke arah meja Rio. Masing-masing memberikan senyuman paling ceria. Seronok dapat berjumpa dengan idola mereka.

"Hai Abang Rio. Kitorang dah lama gila minat dekat Abang Rio. Suka gila tengok video-video abang," salah seorang dari mereka memberitahu dengan penuh rasa teruja.

"Terima kasih..." tersipu-sipu malu Rio dibuatnya.

"Video yang abang upload haritu adalah video yang paling best sekali. Kitorang suka gila tengok. Thank you sebab post video tu..." Fitri memberitahu.

Rio terpana seketika. Nampak gayanya apa yang ingin dicapai melalui video yang dimuatnaik hari itu telah membuahkan hasil. Ada yang menjadikan video itu sebagai inspirasi.

"Betul tu bang. Selama ni kitorang rasa down sebab kitorang ni lembut. Tapi lepas tengok video tu, kitorang rasa lebih bersemangat. Sebab kitorang tahu kitorang ada idola macam abang. Abang betul-betul buat kitorang selesa dengan diri kitorang. Abang buat kitorang terima diri kitorang seadanya," tambah salah seorang dari mereka lagi.

Rasa macam nak gugur air mata Rio apabila mendengar pengakuan junior-juniornya. Memang itu niatnya memuatnaik video melelanya tempoh hari. Dia mahu mewakili komuniti LGBT. Dia mahu menjadi ikon mereka. Dia mahu menjadi lambang semangat. Dia mahu melaungkan kepada semua yang masih tidak selesa dengan seksualiti masing-masing bahawa mereka tidak keseorangan. Ada yang sudi berdiri di belakang mereka dan memberikan sokongan. Dan orang itu adalah dia sendiri.

"Terima kasih. I'm glad you guys feel inspired from the video. Memang itu niat abang," kata Rio sambil menganggukkan kepala.

Para pelajar itu tidak melepaskan peluang untuk meminta autograf dari idola mereka. Rio pun melayan. Dia meninggalkan autograf pada buku latihan mereka dengan ucapan agar mereka semua akan kekal bersatu biar apa pun yang berlaku. Mungkin sebab masing-masing tak bawa telefon ke sekolah, jadi autograflah dijadikan bukti bahawa mereka pernah bertemu dengan Rio.

"Thank you Abang Rio!" mereka sama-sama mengucapkan terima kasih selepas segalanya selasai.

Rio menganggukkan kepala. "Sama-sama. Jumpa nanti tegur-tegur ya?"

"Insya-Allah!"

Rio kembali menyambung semula ulang kajinya sambil tersenyum girang. Dia kembali bersemangat semula. Persetankan Emilya dan mereka yang mengecam tindakannya. Rio tahu ada yang menjadikannya sebagai inspirasi dan juga idola. Itu sudah memadai baginya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience