Pandangannya tertumpu pada susuk tubuh seorang pelajar lelaki yang jauh lebih rendah darinya. Dia tidak dapat mengecam siapa memandangkan pelajar itu membelakanginya dengan wajah yang tertunduk di hadapan Tuan Haji Zainol, si pengetua sekolah.
Lirikan matanya beralih pula pada Tuan Haji Zainol yang sedang memandang ke arahnya dengan wajah tegas. Pandangan itu diberikan sebaik saja dia berjalan masuk ke dalam pejabat yang sederhana besar itu. Kepalanya pusing apabila mendapati pelajar lelaki yang berada di hadapan Tuan Haji Zainol itu rupanya adalah Fitri, salah seorang dari junior-junior yang meminta autografnya di perpustakaan tempoh hari.
Fitri langsung tidak mahu bertentang mata dengannya biarpun dia sudah duduk betul-betul di sebelah pelajar itu. Genggaman tangan pelajar itu jelas menunjukkan bahawa dia sedang berada dalam ketakutan sekarang. Entah apa yang telah Tuan Haji Zainol katakan padanya sebelum Rio datang tadi.
"Terima kasih, Safwan. Kamu boleh pergi," ujar Tuan Haji Zainol, memberi isyarat kepada pengawas yang membawa Rio ke pejabatnya itu untuk beredar dari situ.
Safwan menganggukkan kepala dan pantas menghilang diri.
Jeda.
Tiada seorang pun yang mengeluarkan butir bicara. Yang kedengaran hanyalah deruan penghawa dingin di dalam bilik itu yang menambahkan lagi rasa sejuk kedua pelajar yang sedang menghadap Tuan Haji Zainol. Rio tidak gentar untuk saling bertentangan mata dengan pengetuanya. Namun, pancaran wajahnya jelas membuktikan bahawa dia tertanya-tanya apakah sebab dia dipanggil untuk berada di pejabat pengetua itu.
Fitri pula masih lagi menikuskan diri. Mungkin sesi perbualan antara dia dan Tuan Haji Zainol sebelum Rio masuk tadi memberi kesan yang mendalam padanya. Rio tertanya-tanya apa agaknya pengisian perbualan Tuan Haji Zainol dengan Fitri. Rasa ingin tahunya itu membuak-buak pada setiap saat yang berlalu.
"Rio Shabiro..." Tuan Haji Zainol akhirnya bersuara. "Saya mintak maaf sebab tiba-tiba panggil awak ke sini. Saya harap awak tak ada masalah."
Rio menjongketkan kening. Masih lagi tidak mengerti apa yang Tuan Haji Zainol mahu darinya. "Kenapa saya dipanggil ke sini?" dia menjeling ke arah Fitri yang masih menunduk di sebelah.
"Saya bawak awak masuk sini sebab Fitri, junior awak ni dah buat sesuatu yang bercanggah dengan agama Islam dan peraturan sekolah."
Terus merah padam wajah Fitri. Genggaman tangannya semakin kuat. Dia kelihatan seperti hendak menangis. Ini tidak lain tidak mungkin, mesti semua orang sudah tahu orientasi seksualnya.
"Apa yang dia dah buat?" tanya Rio.
Tuan Haji Zainol mengecilkan anak matanya melihat keberanian Rio. Tidak ada tanda langsung bahawa pelajar di hadapannya itu takut seperti Fitri. Dengan perlahan, dia mencapai sekeping nota yang telah renyuk di sebelah timbunan buku log. Nota itu diserahkan kepada Rio. Kepala Rio ditelengkan untuk membaca tulisan di atas nota itu.
I am gay and I am proud - Fitri Syazwan.
Rio menoleh ke arah Fitri sambil tersenyum bangga. Dia kagum dengan keberanian Fitri untuk menerima siapa dirinya yang sebenar. Dia cuba untuk mencapai jemari Fitri namun juniornya itu terus menyilangkan tangan. Matanya sudah berkaca. Mungkin Fitri telah menyesali perbuatannya menulis nota itu.
"Okey. Jadi Fitri yang tulis nota ni? Apa kena-mengena dengan saya, Tuan Haji?"
"Saya difahamkan dia terpengaruh dengan video yang awak upload dekat YouTube. Sebab tu saya panggil awak ke sini. Saya rasa, video yang awak upload tu memberi kesan negatif kepada pelajar-pelajar lain."
"Kesan negatif? Tuan Haji nak diorang semua menipu diri sendiri ke? Bukan ke tu lebih negatif dari menerima siapa diri mereka yang sebenar?" Rio membela Fitri yang sudah mula menitiskan air mata.
Tuan Haji Zainol beristighfar panjang sambil mengurut dadanya. "Astaghfirullahalazim. Awak sedar tak apa awak cakap ni? Berdosa besar tau perbuatan homoseksual. Nabi Muhammad tak mengaku umat! Awak nak tenggelam macam kaum Nabi Luth ke?"
Rio merengus kasar. Dia paling pantang bila ada orang yang cuba berceramah padanya. Bukankah segala amalan kita adalah antara kita dan Tuhan? Mana mungkin ada yang sesuka hati bercakap bagi pihak Nabi Muhammad? Al-Quran dan sunnah yang diturunkan masih perlu diperjelaskan secara terperinci. Kebanyakan tokoh-tokoh agama lebih gemar mengambil satu potongan ayat saja dan terus menggunakan ayat itu untuk membela diri mereka yang homofobik itu.
"Saya tak ada masa nak berdebat dengan Tuan Haji tentang soal agama. Yang saya tahu, mak bapak saya dua-dua menerima siapa diri saya yang sebenar termasuklah kawan-kawan saya sendiri. Sebab tulah, saya bahagia dengan hidup saya. Sebab saya bebas menjadi siapa diri saya yang sebenar. Tak perlu berselindung dari siapa-siapa termasuklah mak ayah saya sendiri. Tuan Haji tak terfikir ke betapa terseksanya batin budak ni bila dia terpaksa sorok siapa diri dia? Tak takut kalau-kalau tiba-tiba dia disahkan depressed? Tuan Haji ingat depression satu perkara main-main ke? Orang boleh bunuh diri sebab depression. Macam mana kalau dia cuba tarik nyawa sendiri akibat tekanan homofobik? Bukankah itu satu dosa juga? Menjadi sebab seseorang itu membunuh diri. Rasanya Nabi Muhammad akan mengaku umat ke?"
Tuan Haji Zainol menghempas mejanya membuatkan Fitri dan Rio sama-sama tersentak. "Orang yang bunuh diri tu orang yang tak ada pegangan agama. Kalau diorang sentiasa solat dan dekatkan diri pada Allah, mesti hati diorang akan tenang. Sama jugak macam golongan homoseksual. Tak ada pegangan agama!"
"Really? So Tuan Haji rasa hanya dengan mendekatkan diri pada Allah, depression akan hilang macam tu je? Homoseksual pun akan terus jadi straight, macam tu? Let me tell you something, Tuan Haji. Even if someone tu berubat secara professional sekalipun, belum tentu depression dia akan go away. It is a mental issue. And sebagai seorang yang kuat agama, I'm pretty sure you know that otak manusia adalah ciptaan Tuhan yang paling kompleks sekali. No one can guarantee that depression can be cured. It can only be suppressed. And that's the worst thing. Because after suppressing your feeling for so long, chances of you bursting out the volcanic emotions is really high. That's when people tend to take away their lives even though they've been seeing the professionals. Because there's no cure, Tuan Haji. There's no cure for depression. And do you want this poor boy to continue living in lie? Do you want to be responsible when he took away his life? Do you? And don't get me started with homosexuality. There is no cure for homosexuality because homosexuality is not a disease. It's not a mental condition. It's who they are and who they meant to be."
"Awak dah melampau, Rio!"
"Saya jadi melampau sebab Tuan Haji sendiri yang tak sensitif pada keadaan sekeliling. Tuan Haji ingat kitorang semua ni memang nak sangat ke lahir-lahir ada perasaan pada lelaki? Sumpah, demi nama Tuhan yang Tuan Haji agung-agungkan tu, saya tak pernah terfikir langsung! Apa yang kami rasa ni semua natural. Takde siapa yang paksa kami jadi gay. Naluri ni datang dengan sendirinya."
Fitri kagum melihat Rio berani menjelaskan tentang kesihatan mental dan homoseksualiti secara panjang lebar kepada Tuan Haji Zainol. Air matanya sudah mula mengering. Tiba-tiba dia sudah tidak rasa bersalah kerana telah melela juga seperti idolanya itu.
Rio langsung tidak mengambil peduli tentang apa yang pengetuanya rasa sekarang. Yang dia tahu, dia telah meluahkan apa yang dia percaya. Dia berharap sangat agar Tuan Haji Zainol akan berhenti cuba untuk mengajarnya tentang mana yang baik dan mana yang tidak. Rio sedar apa yang dia buat ketika dia memuatnaik video di saluran YouTube-nya itu. Dia telah menimbang segala-galanya dan dia enggan berpura-pura pada dunia. Dia mahu menjadi Rio Shabiro Iskandar yang tidak malu mempunyai perasaan terhadap lelaki.
Tok! Tok! Tok!
Pintu bilik Tuan Haji Zainol diketuk. Kemudian ianya dibuka dan seorang staff pendtabiran masuk dengan wajah yang gusar.
"Tuan Haji, ibu dengan ayah Rio dah sampai," kata staff pentadbiran itu.
Rio terkejut mendapati ibu dan ayahnya ada di luar. Apa kena mengena mereka di dalam hal ini? Kenapa Tuan Haji Zainol menghubungi mereka? Sangkaannya, perkara ini boleh diselesaikan tanpa melibatkan ibu bapanya.
Tuan Haji Zainol mengangguk lemah. "Panggil saja mereka masuk." Kemudian, Tuan Haji Zainol menoleh ke arah Fitri sebelum berkata, "Fitri, awak boleh beredar sekarang."
Fitri memandang wajah Rio lama. Ada banyak yang ingin dia beritahu Rio namun dia tidak mahu Tuan Haji Zainol dengar. Jadi, dia terpaksa akur dengan arahan Tuan Haji Zainol. Dengan lemah, dia bangun dan keluar dari bilik itu.
"Apa semua ni, Tuan Haji? Kenapa tiba-tiba libatkan mak ayah saya? Diorang tak ada kena-mengena dalam hal ni."
"Apa yang Fitri buat sebenarnya kesan dari tindakan awak memuatnaik video tak senonoh awak dalam YouTube. Awak harus bertanggungjawab. Jadi, saya panggilkan mak ayah awak untuk sesi perbincangan yang sangat serius."
Rio mengetap bibirnya. Sudahlah Iskandar dan Rohaya sedang tidak bertegur sapa atas apa yang berlaku tempoh hari. Kini, mereka terpaksa berhadapan dengan masalah ini pula. Rio mengeluh lemah. Terasa seperti hendak menitiskan air mata namun ianya terlalu sukar. Rasa sakit di hatinya terpaksa dipendam dan ditelan dalam-dalam.
Rohaya masuk ke dalam bilik Tuan Haji Zainol itu seraya menerpa ke arah anaknya. Iskandar mengekori dari belakang "Rio? What happened, sayang?"
Rio pantas memeluk tubuh ibunya. Dia langsung tidak mampu berkata-kata. Dia benar-benar tidak menyangka bahawa perkara ini akan terjadi pada keluarganya. Dia langsung tidak berniat untuk menyusahkan siapa-siapa.
"Puan Rohaya, Encik Iskandar. Sila duduk. Saya ada satu perbincangan serius tentang apa yang telah Rio lakukan."
"Apa yang telah dia lakukan, Tuan Haji?" tanya Iskandar sambil memberikan jelingan tajam pada anaknya yang masih enggan melepaskan pelukan dengan Rohaya. Iskandar seperti dapat membaca apa yang Tuan Haji Zainol ingin katakan. Ini tidak lain dan tidak bukan, pasti ada kena-mengena dengan video yang Rio muatnaik dua minggu lepas.
Video itu telah pun tular di pelbagai platform. Iskandar sendiri telah menontonnya. Dia benar-benar malu dan tidak tahu bagaimana hendak bersemuka dengan rakan-rakannya di pejabat. Ini menambahkan lagi rasa benci Iskandar terhadap anaknya itu. Dia nekad untuk menyuruh Rio memadam video itu dari laman YouTube. Cukuplah apa yang telah melanda keluarga mereka. Iskandar sudah tidak boleh menerimanya lagi.
Share this novel