Bab 31

Drama Series 29694

Minggu demi minggu berlalu, debaran menduduki SPM kian terasa. Pihak sekolah bertungkus-lumus mempersiapkan pelajar-pelajar mereka. Kelas tambahan giat dilaksanakan selepas waktu sekolah dan juga pada hujung minggu. Guru-guru terlalu sibuk sampai tidak menang tangan dibuatnya!

Zakwan turut tidak ketinggalan mempersiapkan dirinya untuk menduduki SPM. Dia sudah tidak lagi menghabiskan masa bermain PS4 di rumah Rio setiap kali kelas tuisyen diadakan. Sebaliknya, dia tidak henti-henti membuat latih tubi. Perasaan gemuruhnya semakin membuak-buak apabila PT3 bermula minggu itu. Ini membawa maksud bahawa SPM sudah semakin hampir.

Adakalanya Zakwan mencemburui Rio yang langsung tidak kelihatan gemuruh. Dia sangat tenang kerana dia memang sudah bersedia untuk menduduki SPM dari awal lagi. Tugas Rio sekarang hanyalah menjadi tutor kepada Zakwan. Dia memang tidak risau dengan peperiksaan terbesar dalam hidupnya kerana dia yakin bahawa dia mampu untuk mendapat keputusan yang cemerlang.

Disebabkan Zakwan tidak lagi memberikan tumpuan kepadanya kerana terlalu sibuk membuat latih tubi, Rio menjadi semakin rapat dengan Hakim. Setiap malam, mereka akan FaceTime bersama. Ada saja topik yang mereka bincangkan. Rio sangat selesa dengan Hakim kerana usianya yang lebih tua dan berfikiran jauh lebih matang dari Zakwan.

Zakwan pernah meluahkan perasaan cemburunya terhadap hubungan Rio dan Hakim itu namun Rio langsung tidak menghiraukan. Kata Rio, "Aku dengan Hakim cuma kawan. Tak lebih dari tu. Kau janganlah cemburu sangat. Lagipun, kau sendiri tahu aku kawan dengan dia kan? So apa yang kau nak risaukan?"

Disebabkan Zakwan tidak mahu lagi kehilangan Rio, dia terpaksa menelan rasa pahit cemburu di dalam hatinya. Semenjak dia berbaik semula dengan Rio, Zakwan langsung tidak malu untuk menunjukkan kepada semua orang bahawa dia seorang lelaki biseksual. Dia turut bersahabat baik dengan Ammar dan Intan. Dia tidak lagi duduk melepak bersama kawan-kawan lelakinya yang sering mentertawakan pelajar-pelajar lelaki yang lembut di sekolah. Dia juga langsung tidak menghiraukan kewujudan Emilya yang belum pernah mengalah untuk cuba memilikinya.

"Please, Zack. Terima I balik dalam hidup you. I merayu sangat-sangat. Jangan buat I macam ni. I sayangkan you. Please jangan tinggalkan I. Please, Zack!" Emilya pernah menangis-nangis untuk mendapatkan Zakwan kembali.

Zakwan terpaksa menghancurkan hati Emilya. Dia tidak mahu menjadi seorang lelaki hipokrit yang tidak berlaku jujur dengan diri sendiri. Dia tahu, dengan hanya menerima siapa dirinya yang sebenar, dia akan bahagia. Kini dia tidak perlu lagi berpura-pura menjadi orang lain.

"Kau memang jantan tak guna, Zack! Dayus! Aku takkan lepaskan kau. Kau tunggu! Aku akan pastikan kau takkan bahagia! Kau tunggulah! Aku akan kerja-kerjakan kau nanti!" Emilya meracau bagai orang gila apabila Zakwan meninggalkannya seorang diri selepas mereka berdua meluahkan isi hati masing-masing.

**********

"Zack, kau tak risau ke si Rio tu asyik main mesej dengan Hakim? Tak jealous?" Ammar bertanya sewaktu dia, Zakwan dan Intan sedang mengadakan ulangkaji berkumpulan di Perpustakaan Kuala Lumpur pada satu hari Sabtu. Awalnya, Rio sudah berjanji untuk menyertai mereka namun dia tiba-tiba saja membatalkan rancangannya itu kerana mahu keluar dengan Hakim.

"Mestilah jealous. Tapi nak buat macam mana?Hakim tu kan kawan dia? Takkan aku nak halang diorang berkawan? Kalau aku cakap lebih-lebih nanti, aku takut Rio marah pulak," terang Zakwan, dengan riak wajah kecewa terpancar pada air mukanya.

Intan mengerutkan kening. "Kau kan boyfriend dia? Kenapa dia nak marah pulak kalau kau halang dia berkawan dengan Hakim? Kau ada hak untuk cakap macam tu."

Zakwan tersenyum malu. Dia tahu, Ammar dan Intan tidak akan mengerti apa yang sedang dirasakannya kini. Dia sebenarnya takut untuk kehilangan Rio sekali lagi. Cukuplah perpisahan itu terjadi sekali. Dia tidak sanggup lagi untuk melalui fasa itu. Kalau menyayangi Rio itu bererti mengorbankan rasa cemburunya, maka, Zakwan sanggup melakukan apa saja.

"Kitorang ni bukannya apa, Zack. Rio tu memanglah kawan kitorang. Tapi kitorang tak suka tengok dia mempergunakan kau. Memanglah kau sayangkan dia dan dia ada hak untuk kawan dengan siapa pun yang dia nak, tapi janganlah sampai amek kesempatan dekat kau. Kesian pulak kitorang tengok kau," jelas Ammar.

Zakwan bersyukur kerana dikurniakan sahabat yang begitu prihatin terhadap dirinya. Dia hanya mampu berterima kasih kepada Ammar dan Intan kerana mengambil berat. Buat masa ini, dia memang tidak mampu melakukan apa-apa lagi. Terutama sekali apabila SPM semakin menginjak tiba. Dia tidak ada masa untuk berdrama lagi. Fokusnya hanya pada ulang kaji, ulang kaji dan ulang kaji.

**********

Zakwan masuk ke perkarangan sekolah dalam keadaan yang tenang. Namun, ketenangannya itu cuma untuk sementara waktu apabila dia ternampak Ammar sedang dipukul oleh beberapa orang pelajar lelaki di kawasan padang sekolah oleh Jack dan rakan-rakannya.

"Woi!" Zakwan berlari mendapatkan Ammar yang sedang menggulung tubuhnya seperti tenggiling di atas padang rumput.

Tindakan Zakwan itu membuatkan dia turut sama dipukul oleh Jack dan rakan-rakan. Azizi yang juga berada di situ mengambil kesempatan ini untuk membalas dendam pada Zakwan yang telah menumbuknya beberapa minggu yang lepas.

"Belasah budak kunyit ni! Belasah dia!" arah Jack kepada Azizi dan rakan-rakan sebelum tertawa jahat.

Dengan segala daya yang dia ada, Zakwan bangkit dan melawan semula. Dia berjaya menumbangkan beberapa orang rakan Jack. Dia juga turut berjaya menumbuk wajah Azizi sekali lagi, membuat Azizi terjelopok jatuh ke tanah. Jack mula panik.

"Kalau kau benci sangat dengan orang-orang macam kitorang, bukan ni cara dia, Jack. Bukan ni!" kata Zakwan, tegas.

"Orang-orang macam kitorang? So kau mengaku yang kau kunyit jugak ke sekarang?" tanya Jack sambil tersenyum sinis.

Azizi dan rakan-rakan bangun dan berjalan ke arah Jack. Masing-masing takut dipukul sekali lagi oleh Zakwan. Mereka berharap agar Jack dapat melakukan sesuatu.

Pada waktu yang sama, para pelajar mula berkerumun. Mereka sudah tidak lagi takut untuk menghampiri. Masing-masing mula mengeluarkan telefon pintar mereka dan merakam perbualan serius antara Jack dan Zakwan.

Zakwan membantu Ammar untuk bangun. Keadaan Ammar agak teruk dengan luka di bahagian hidung dan tangan. Ammar perlu dipapah kerana dia memang sudah tidak larat lagi untuk berdiri.

"Woi, jawablah soalan aku bodoh! Kau kunyit jugak ke? Cakaplah!" marah Jack apabila pertanyaannya tadi langsung tidak dihiraukan oleh Zakwan.

Zakwan memandang wajah Jack dengan penuh perasaan benci.

"Zack, jangan..." Ammar melarang Zakwan dari memberitahu Jack perkara sebenar kerana ramai yang sedang merakam perbualan mereka dengan telefon pintar masing-masing.

"It's okay, Ammar." Zakwan memberikan senyuman kepada Ammar dengan yakin. Kemudian, Zakwan menoleh semula ke arah Jack dan rakan-rakan penyangaknya.

"Yes, I am gay." Zakwan membuat pengakuan.

Semua yang berada di situ terperanjat.

"I am gay and I am proud."

Jack seperti tidak percaya Zakwan begitu berani mengaku bahawa dia juga adalah gay sama seperti Rio dan Ammar.

"Puas hati kau?" tanya Zakwan dengan nada sinis.

Tanpa menunggu jawapan dari mulut Jack, Zakwan kembali memapah Ammar dan membantunya untuk berjalan ke bilik sakit. Ammar perlu dibawa ke klinik. Mungkin ada lukanya yang perlu dijahit.

Tatkala kedua-dua mereka berjalan ke arah pelajar-pelajar yang berkerumun tadi, mereka memberikan ruang kepada Zakwan dan Ammar untuk berjalan. Masing-masing masih lagi terkejut dengan keberanian yang dipamerkan oleh Zakwan. Satu perkara yang benar-benar tidak dijangkakan. Zakwan telah melela. Dia sudah tidak berada di dalam lemari lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience