Botak berjalan mundar-mandir di hadapan bosnya, Khadir dalam keadaan resah. Dia menggaru-garu kepalanya biarpun tidak gatal kerana terlalu memikirkan tentang nasib yang bakal melanda dirinya. Insiden ketika identitinya hampir terdedah sewaktu sedang menjalankan tugasan mengawasi rumah Rio beberapa hari yang lepas, membuatnya berasa gelisah. Dia khuatir sekiranya Rio telah pergi membuat laporan polis tentang kejadian tempoh hari. Sekiranya pihak polis berjaya menjejaki nombor plat kenderaan yang dipandunya ketika itu, bererti perjuangannya dalam menentang golongan LGBT bersama rakan-rakan seangkatan akan berakhir. Botak tidak mahu menjadi punca kenapa kumpulan mereka itu dibubarkan.
Khadir yang sepatutnya turut berasa gelisah dengan apa yang telah berlaku, langsung tidak mengambil pusing tentang anak buahnya itu. Perhatiannya lebih tertumpu pada artikel-artikel yang dikongsi oleh sahabat-sahabatnya di Fac. Dengan hanya berbekalkan sebuah tablet bersaiz sederhana, kerjanya mudah saja. Sekiranya terdapat artikel yang memerlukan khidmat kecaman darinya, dia akan pantas menghantar komen. Ini termasuklah gambar-gambar pengguna Fac yang tidak mengikut syarak serta melanggar etika kemelayuan.
"Macam mana ni, boss? Apa kita nak buat sekarang? Saya risau ni, boss. Boss tak risau ke?" tanya Botak, berharap sangat agar Khadir dapat memberi idea tentang bagaimana cara untuk dia berhadapan dengan nasibnya yang tidak menentu sekarang.
Khadir mengeluh lemah. Dia meletakkan tabletnya di atas meja. Kemudian, dia merenung wajah Botak dengan penuh rasa benci. Matanya ditajamkan, membuat Botak terundur sedikit ke belakang.
"Boss, janganlah pandang saya macam tu. Saya tanya je. Boss tak risau ke dengan apa yang bakal terjadi pada kita? Saya tak nak masuk lokap. Saya muda lagi, boss. Tolong saya, boss. Saya tak nak masuk lokap!" Botak merayu-rayu pada Khadir sambil melutut.
Khadir beristighfar panjang melihat tindakan dramatik anak buahnya itu. "Apa benda yang kau bising-bising ni? Kau nak aku buat apa? Cari polis dan bersihkan nama kau? Macam tu? Kau ingat tu kerja senang? Kau jangan naikkan darah aku, Botak. Nahas kau aku kerjakan nanti." Khadir mengunci tabletnya sebelum memberi tumpuan kepada Botak yang sedari tadi asyik mengganggu konsentrasinya.
Botak takut-takut hendak membalas kata-kata Khadir tadi. "Boss tak risau ke kalau saya masuk lokap?
"Kenapa pulak aku kena risau? Kau ada bunuh orang ke?" tanya Khadir, bernada sarkastik.
Botak menggeleng-gelengkan kepalanya.
"So apa yang kau nak risaukan? Setakat masuk lokap tu, takde bendalah. Apa je yang polis boleh buat dekat kau, cuba kau bagi tahu aku?"
"Macam mana kalau budak kunyit tu report dekat polis pasal saya? Macam mana kalau diorang semua tahu yang saya ni terlibat dalam kes buang bangkai burung dekat rumah dia hari tu?"
Khadir sudah semakin meluat melayan kerenah Botak. Dia merengus kasar. "Lagi sekali aku nak tanya kau, kau ada bunuh orang ke, bangang?" tanya Khadir, marah.
Botak menggeleng-gelengkan kepalanya lagi. Dia tahu Khadir sedang marah padanya sekarang. Semuanya kerana dia asyik bertanya macam-macam soalan.
"Kalau dah tahu tak pernah bunuh orang, kenapa kau perlu nak takut? Aku tak pernah suruh pun kau bunuh sesiapa. Kau bukannya Malek. Malek yelah kena rasa takut sekarang sebab aku suruh dia langgar perempuan lesbian dengan driver dia tu. Sampai mampos driver tu dia kerjakan! Relaks je aku tengok Malek tu. Tak penakut pun macam kau. Kau pondan macam diorang jugak ke, Botak?"
Soalan terakhir Khadir itu ternyata membuat Botak terpukul. Ada kebenaran pahit yang terselit. Botak mengeluh lemah. Dia cuba menggoncang jatuh rasa takut yang dibawa bersama untuk berjumpa dengan Khadir tadi. Benar. Tiada apa yang perlu ditakutkan. Botak tidak pernah melakukan jenayah berat. Selama ini, dia cuma mengintip Rio saja. Dia juga bertanggungjawab membuang bangkai burung gagak di hadapan rumah keluarga Rio. Dia tidak pernah terlibat secara ekstrem dalam membanteras golongan LGBT dari berleluasa seperti rakan-rakannya yang lain.
"Dah. Pergi kau dari sini. Aku dah suruh kau berehat kan? Tak payah ikut budak tu dah. Buat masa ni, kau boleh bercuti. Nanti bila aku perlukan kau, aku cari. Faham?" tegas Khadir berbicara.
Botak menganggukkan kepala. Dia terpaksa akur. Memang itu sajalah jalan yang terbaik sekarang. Tentu pihak polis semakin kerap melawat kawasan rumah Rio bagi memastikan keluarga Rio tidak diganggu lagi. Botak perlu mengelakkan diri dari disyaki oleh sesiapa. Nasib baik Khadir menyuruhnya mengambil cuti.
Khadir kembali membuka kunci tabletnya. Sewaktu dia menekan butang aplikasi Fac, dia menjeling ke arah Botak yang masih tidak beredar lagi dari situ. "Kau tercegat apa lagi dekat sini? Berambuslah! Semak aku tengok kau ni tau!"
Botak pantas berlari keluar dari situ dalam keadaan yang tergesa-gesa. Kadang-kadang Khadir sendiri pelik. Si Botak itu mempunyai susuk tubuh yang kekar. Tapi sayang, sifat penakutnya yang terlampau cukup menjengkelkan.
"Botak...Botak. Nama je Botak. Tapi tak ada otak!" Khadir bermonolog dengan dirinya sendiri sebelum mengeluarkan telefon pintarnya dari dalam poket. Dia sedang cuba menghubungi seseorang.
Tutttttt...
Lama dia menantikan panggilannya untuk dijawab.
"Helo?" kedengaran satu suara yang garau dari corong telefon.
"Malek...aku ada tugas baru untuk kau. Jumpa aku petang ni," arah Khadir sebelum mematikan talian. Kemudian, Khadir tersenyum sinis. Ada satu rancangan jahat yang perlu dilaksanakan. Dan seperti yang dikatakan pada Botak awal tadi, tugasan Malek adalah lebih ekstrem. Malek merupakan anak buahnya yang sering ditugaskan untuk...membunuh!
**********
Rio sendu mendengar lagu-lagu yang pernah diberi oleh Zakwan sewaktu mereka masih bersama dulu menggunakan aplikasi Spotify. Dia sebenarnya langsung tidak berniat untuk melayan lagu-lagu pemberian Zakwan itu. Kebetulan, dia sedang berada dalam kebosanan. Tanpa melihat playlist mana yang dimainkan, dia terus meletakkan telefon pintarnya di atas meja sebelum merebahkan tubuh di atas katil. Sebaik saja terdengar lagu pertama, Rio menoleh ke arah telefon pintarnya tadi. Lagu yang sedang dimainkan adalah lagu kegemaran Zakwan. Mahu saja dia bangun dan mematikan lagu tersebut. Namun, dia membiarkan saja. Dia teringat kata-kata Zakwan. Kebanyakan lagu dari M83, Daft Punk dan TheSecondSex sangat membuai perasaan. Itulah yang sedang dirasakan oleh dirinya sekarang. Perasaannya kini terbuai-buai mendengar bait-bait lirik dalam lagu tersebut.
?? Kiss on the mouth, bliss of a touch
Hand in a hand, killing the fiend
I'll write my love on more
Than a thousand weeping willows ??
Lagu Farewell / Goodbye dari M83 cukup syahdu. Rio menutup matanya melayani perasaan.
?? Tears on your neck, holding you near
Sparkling shells, three comet tails
Hoping for some magic
To make your heart beat next to mine ??
Akibat tidak tertahan lagi, Rio pantas mencapai telefon pintarnya itu dan terus menekan butang seterusnya. Lagu dari Daft Punk feat. Julian Casablancas, Instant Crush pula dimainkan. Seterusnya, lagu dari M83, Wait. Tiba saja pada lagu Daft Punk feat. Pharrell Williams, Get Lucky, barulah Rio berhenti menekan butang seterusnya.
Dia membelek-belek telefonnya itu sambil terus melayani lagu-lagu yang dimainkan. Segala notifikasi tidak diendahkan. Ada mesej yang sengaja tidak dibalas kerana ianya sangat remeh dan tidak penting. Ini termasuklah mesej-mesej dari WhatsApp group yang pelbagai.
Habis saja memadam notifikasi dalam WhatsApp, Rio beralih pula kepada Twitter. Kemudian Fac. Dan akhirnya dia membuka YouTube. Dia membuka aplikasi itu hanya untuk membaca komen-komen tentang video yang dimuatnaiknya beberapa minggu yang lalu.
'Kenapa dah lama tak upload video? Busy ke?' ada satu komen yang dihantar kepadanya.
'Are you okay Rio? Why dah lama tak update vlog? Please don't stop vlogging. Ignore the haters. We want you back!'
'Budak kunyit! Memalukan nama orang Islam betul!'
'Pulangkan Rio yang dulu ??'
Rio hanya mampu tersenyum membaca komen-komen itu. Dia sudah tidak terasa hati lagi dengan kecaman yang diterima walaupun dia sendiri tidak berapa berkenan dengan label 'kunyit' yang diberikan oleh para netizen.
Fikiran Rio kini bertumpu kepada komen yang bertanyakan tentang video barunya. Ya tak ya jugak. Semenjak dia melela, Rio sudah agak lama tidak memuatnaik video baru. Tentu sekali mereka yang menyokongnya mahu tahu apa cabaran yang terpaksa dilalui. Rio rasa seperti bertanggungjawab untuk memberi inspirasi kepada para pengikutnya.
Ting!
Satu notifikasi masuk, mengejutkan Rio yang sedang tekun berfikir tentang pengisian video barunya. Ia adalah WhatsApp dari Zakwan!
'Hai Rio...'
"Apa aku nak jawab ni?"
Share this novel