Segalanya berlaku dengan pantas. Video pengakuan Zakwan yang dirakam oleh salah seorang dari rakan sekolahnya tersebar luas. Ianya menjadi tular sehingga ke pengetahuan pihak pengurusan sekolah dan para ibu bapa.
Zakwan cuba untuk berlagak seperti tiada apa yang terjadi namun dia tidak berdaya untuk membiarkan saja orang ramai bercakap tentang dirinya. Lebih-lebih lagi apabila video pengakuannya itu turut dihantar kepada ibu dan ayahnya melalui ruangan chat berkumpulan WhatsApp.
Seperti ibu bapa lain, Salwa dan Arshad benar-benar tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak mereka tidak normal seperti lelaki lain. Mereka meluahkan kekecewaan terhadap tindakan Zakwan itu yang dilihat seperti mementingkan diri sendiri.
"Mana mama nak letak muka mama ni, Zack? Mama malu tahu tak? Zack tak fikir ke perasaan kami berdua? Apa nak jadi dengan kamu ni ha?"
Arshad tidak mampu berkata-kata sewaktu dia dan isterinya sedang bersemuka dengan Zakwan di ruang tamu. Salwa sedang mundar-mandir di hadapan anak bongsunya dalam keadaan yang kusut. Apa yang telah Zakwan lakukan benar-benar mengganggu emosinya. Ibu mana yang mahu lihat perkara abnormal sebegini terjadi dalam keluarganya?
Zakwan membatukan diri. Malas hendak bertekak dengan kedua ibu bapanya. Dia lebih risaukan keadaan Ammar yang sedang dirawat di hospital kini. Menurut doktor, Ammar perlukan pemantauan yang rapi kerana terdapat beberapa bahagian tulang pada tubuhnya yang retak akibat dipukul bertalu-talu oleh Jack, Azizi dan rakan-rakan.
Pihak polis telah pun menahan Jack, Azizi, Syafiq, Zulhaidhar dan rakan-rakan mereka yang terlibat dalam serangan secara fizikal terhadap Ammar dan Zakwan. Motif serangan telah pun dikenalpasti—kebencian yang melampau terhadap golongan LGBT.
Sebaik saja mereka mendapat tahu bahawa Ammar juga sama seperti Rio, mereka terus bertindak ganas. Menurut pihak polis lagi, salah seorang dari mereka mendakwa telah didatangi oleh beberapa orang lelaki berbadan sasa sewaktu berada di luar sekolah pada hari kejadian. Kedua lelaki itu menyuruh mereka untuk memberi pengajaran kepada golongan LGBT bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya merosakkan akidah anak-anak muda dengan propaganda sesat orang barat. Pihak polis akan melakukan siasatan lanjut tentang siapa kedua lelaki yang dimaksudkan itu.
"Zakwan! Kamu dengar tak mama tengah bercakap ni?" marah Salwa apabila Zakwan langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi biarpun dibebel bertalu-talu.
Fikiran Zakwan kembali ke alam nyata. Dia mendongakkan sedikit dagunya untuk bertentangan mata dengan Salwa. Kemudian, dia menghembuskan nafas lemah sebelum menjawab, "Dengar."
Salwa baru sedar yang Zakwan langsung tidak fokus pada bebelannya tadi. Dia mengambil tempat di sebelah suaminya, berharap agar suaminya itu dapat menasihatkan anak mereka. Ternyata, Arshad langsung tidak mampu berkata-kata. Dia memandang Zakwan dengan penuh rasa kecewa.
"Betul ke kamu ni kunyit, Zakwan?" Arshad akhirnya bersuara.
Zakwan terkejut mendengar pertanyaan Arshad itu. Dia paling pantang dengan perkataan kunyit. Tidak pernah dia menyangka ayahnya akan menggunakan perkataan itu pada dirinya.
Salwa dan Arshad menantikan jawapan dari Zakwan. Mereka mahu dengar dari mulut anak mereka sendiri tentang seksualitinya. Zakwan sedar sukar untuk dia menjelaskan kepada ibu bapanya bahawa dia hanya tertarik kepada Rio seorang. Tentu ibu bapanya tetap akan menganggap dia gay. Tapi Zakwan tahu dia perlu memberikan mereka jawapan. Jadi, dia sekadar mampu menganggukkan kepala sambil menjawab, "Ya."
Arshad beristighfar panjang. Salwa pula menakup wajahnya, tidak dapat menerima kenyataan. Dia menangis teresak-esak, kerana terlalu sukar untuk menerima pengakuan Zakwan itu.
"You are not my son! You are not my son!" teriak Salwa dalam tangis.
Arshad mengusap belakang isterinya sambil memandang wajah Zakwan dengan penuh perasaan benci. "Kamu memang betul-betul memalukan kami, Zakwan. Langsung tak sama macam abang kamu! Kamu bukan lagi anak kami!"
Zakwan menahan dirinya dari menitiskan air mata. Kini, baru dia faham apa yang Rio pernah rasakan sebelum ini. Biarpun situasi dia dan Rio sedikit berbeza, tapi kesedihannya tetap sama. Tentang keluarga sendiri yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia tidak sama seperti lelaki normal lain di dunia ini.
Akan tetapi, ada satu perasaan yang membakar semangat Zakwan. Dia memandang kedua-dua wajah ibu bapanya sebelum bertanya, "I am not your son?"
Salwa dan Arshad terdiam. Mereka baru sedar bahawa kata-kata mereka tadi agak menusuk dan keterlaluan. Ianya cukup untuk memberi satu tamparan yang hebat terhadap diri Zakwan.
Zakwan menyambung lagi kata-katanya tadi. "Orang tak pernah ponteng sekolah, tak pernah merokok, tak pernah mencuri, tak pernah caci orang, tak pernah kurang ajar dengan cikgu, tak pernah hisap dadah. Tapi bila orang cakap orang gay, I am not your son?"
Kata-kata pedas dari Zakwan itu membuat Salwa dan Arshad tertunduk malu. Masing-masing berwajah ketat kini. Masih ego dan masih berpegang utuh dengan kepercayaan mereka bahawa apa yang telah Zakwan lakukan benar-benar memalukan nama keluarga.
"Sekarang baru orang tahu apa yang Rio rasa." Zakwan mula bangun dari tempat duduknya tadi.
"Kamu nak ke mana tu, Zakwan!?" marah Salwa apabila Zakwan berjalan laju ke arah anak tangga untuk meninggalkan kedua ibu bapanya di ruang tamu.
Zakwan menghentikan langkah dan menoleh ke arah ibu bapanya. "I'm not your son, right? So might as well I just leave this house. It's for the best."
Salwa bingkas bangun untuk mengejar anaknya itu yang kini sudah pun naik ke biliknya dan mengunci pintu. "Zakwan! Zakwan!" jerit Salwa namun langsung tiada sahutan.
"Biarkan dia..." kata Arshad yang masih setia duduk di tempatnya tadi.
Salwa kembali mengambil tempat di sebelah suaminya. "Apa kita nak buat sekarang ni, bang?" tanya Salwa, kegusaran. "Takkan kita nak biarkan dia lari dari rumah ni?"
"Biarkan dia. Tahulah dia nanti macam mana susahnya hidup dekat luar sana tanpa bantuan dari kita."
"Dia dah nak SPM, bang! Takkan abang nak biarkan dia tak sekolah?"
Arshad menjeling tajam ke arah Salwa, membuatkan isterinya itu terdiam dan menikuskan diri. Kata-kata ini terus bermain di bibir Arshad tanpa ada segelumit risau pun pada riak wajahnya. "Biarkan dia..."
**********
Malek dan rakan-rakannya kini sedang berseronok di sebuah pub kerana telah berjaya memporak-perandakan keadaan buat Rio dan rakan-rakan. Botak turut berada di situ, mencemburui kejayaan Malek yang telah membanggakan Khadir.
"Cheers!" kata Malek sambil mengangkat gelas berisi bir kepada kawan-kawannya.
"Cheers!" mereka menyambut.
"Jangan minum banyak sangat. Esok pagi nak Subuh dengan bos!" pesan Malek sebelum meneguk gelas yang dipegangnya itu.
Botak turut meneguk minumannya sebelum datang menghampiri Malek dengan satu senyuman sinis. "Tahniah!" ucap Botak, menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Malek. "Semoga kau takkan kena tangkap dengan polis."
Malek tertawa. "Kau jealous ke bro? Aku tau la bos tak bagi kau assignment dah. Tapi takkan la kau nak benci aku?"
"Aku tak benci. Aku cuma mengingatkan je."
Malek tersengih. Dia enggan melayan kerenah Botak yang seperti budak-budak. Dia terus berjalan ke arah rakan-rakannya yang sedang mula menari.
Botak memerhatikan saja langkah Malek. Ada satu perasaan cemburu yang sukar digambarkan. Botak mula berdendam dengan Malek. Dia menyimpan azam untuk memastikan rancangan Malek selepas ini untuk menggulingkan golongan LGBT daripada terus tumbuh di Malaysia tidak berjaya. Botak akan mencari kesempatan supaya dia dapat kembali melaksanakan tugasannya.
"Kau tunggulah nanti!" bisik Botak.
Share this novel