Bab 46

Drama Series 29694

Botak pulang ke rumah selepas menghantar Emilya yang mahu mengulangkaji pelajaran untuk kertas-kertas peperiksaan yang bakal menyusul esok. Waktu itu, jam menunjukkan pukul 10.35 malam. Waktu yang memang afdal untuk semua orang yang bekerja atau perlu ke sekolah pada keesokan hari pulang ke rumah masing-masing.

Sewaktu sedang memarkir motorsikal di bawah flat kediamannya, Botak dapat rasakan dia seperti diekori oleh seseorang. Kemudian, dia menoleh ke belakang bagi memastikan jika benar dia diekori. Dahinya berkerut sebaik mendapati tiada siapa pun di belakangnya.

Dengan pantas, Botak terus naik ke rumahnya menggunakan lif usang flat itu. Sambil berjalan ke arah rumahnya yang terletak di sebelah hujung tingkat 9, dia membalas mesej yang dihantar oleh Emilya. Menurut gadis itu dia sudah bersedia untuk masuk tidur. Malas hendak mengulangkaji pelajaran kerana otaknya sudah tepu.

Botak membuka gril rumahnya dan sekali lagi, dia dapat rasakan seperti ada seseorang sedang mengekorinya. Dia menoleh ke belakang dan seperti di bawah tadi, tiada sesiapa pun di situ. Peluh jantan mula terbit pada dahi Botak. Jika benar dia sebenarnya sedang diekori, Botak tahu siapa yang mengekorinya itu. Cepat-cepat dia masuk ke dalam rumahnya. Namun, belum sempat dia menutup pintu, tangannya dengan kasar direntap oleh seseorang.

"Ah!" Botak menjerit ketakutan namun jeritannya itu hanya untuk seketika apabila dia mendapati orang yang merentap tangannya itu adalah abang besar gerakan anti-LGBT yang kini sedang diburu oleh pihak polis - Khadir!

**********

"Kenapa baru sekarang bos cari saya?" tanya Botak sewaktu dia menghulurkan segelas air sejuk kepada Khadir yang kelihatan kusut-masai kini akibat menjadi pelarian ekoran dari kes tembak-menembak hampir dua minggu lalu, yang telah mengorbankan ramai ahli-ahli kumpulan anti-LGBT di bawah pengurusannya.

Khadir tidak terus menjawab sebaliknya meneguk laju minuman yang dihulurkan oleh Botak tadi. Mungkin tekaknya kehausan sekarang kerana sudah banyak tempat dia bersembunyi tanpa sebarang perlindungan mahupun makanan dan minuman.

Botak memerhatikan saja tingkah laku Khadir dengan rasa menyampah kerana dia masih lagi berdendam dengan bosnya itu yang telah memalukannya di hadapan rakan-rakan anti-LGBT yang lain beberapa minggu yang lalu. Semenjak kejadian itu, Botak sudah tidak lagi berjumpa dengan rakan-rakannya mahupun Khadir. Dia merajuk, membawa diri dan melakukan aktiviti-aktiviti membenci golongan LGBT secara solo. Botaklah sebenarnya individu yang bertanggungjawab merosakkan kafe tempat Rio dan rakan-rakan influencer-nya sepatutnya berjumpa untuk membincangkan tentang pembunuhan Liz di Johor Bahru tidak lama dulu.

Khadir meletakkan gelas yang diteguknya tadi dengan kuat, menghasilkan bunyi yang mengejutkan. Dia menghembus nafas dengan kasar sambil memandang ke arah Botak.

"Kita dah kalah, Botak..." keluh Khadir, dengan nada suara yang lemah. Jelas terpancar di wajah Khadir sekarang rasa kepenatan yang teramat sangat kerana sudah sekian lama menjadi buruan pihak polis.

"Saya ada dengar..." Botak memberi respons. Dia tahu apa maksud Khadir tentang 'kekalahan' mereka itu. Dia mengikuti berita tentang kumpulan anti-LGBT mereka yang kini sudah berjaya ditumbangkan oleh pihak polis. Hanya Khadir seorang saja yang masih bebas sebagai pelarian.

"Kau bernasib baik sebab tak jadi buruan pihak polis, Botak. Kau bernasib baik."

"Bos, saya mintak maaf sebab tak dapat nak tolong buat apa-apa. Saya takut kalau saya pun ditangkap. Saya tak terlibat langsung dalam apa-apa pembunuhan." Botak cuba membela diri sebaik menyedari Khadir seperti mahu mencari salahnya.

Khadir tersengih. Kemudian, dia bangun dari meja makan yang muat untuk dua orang saja dalam rumah itu sebelum berjalan ke arah beranda rumah Botak. Botak mengekori Khadir dari belakang dengan penuh berhati-hati.

"Botak...Botak. Aku tak sepatutnya pandang rendah pada kau sebenarnya. Kau betul-betul anak buah aku yang paling licik. Aku langsung tak sedar benda tu," kata Khadir tanpa menoleh langsung ke arah Botak.

"Apa...apa maksud bos?" Botak menelan air liurnya. Dia sempat mencapai pisau kecil di atas meja makan dan menyorokkan pisau itu di dalam genggamannya. Dia perlu bersiap-siaga sekiranya Khadir bertindak menyerangnya secara tiba-tiba. Bosnya itu bukannya boleh percaya sangat. Macam-macam dia boleh buat kalau dia nak! Botak tahu sangat perangai bosnya itu.

"Kau sebenarnya tak datang cari kitorang ataupun tolong aku bukan sebab kau takut dengan polis," kata Khadir sambil memaling tubuhnya memandang Botak dengan serius. Kemudian, dia berjalan mendekati Botak yang langsung tidak mampu untuk bergerak setapak ke hadapan kerana khuatir jika dia diapa-apakan. Dibuatnya kalau Khadir tolak dia dekat beranda tu nanti, tak ke naya? "Kau sebenarnya tak datang cari kitorang sebab kaulah yang rancang semua ni, kan?"

Botak kaget sebaik Khadir melontarkan pertanyaan itu kepadanya. Peluh jantan mula mengalir di segenap ruang dan pelipat.

"Kenapa kau buat semua ni, Botak? Kenapa?" tanya Khadir, tenang biarpun wajahnya serius. Dia datang mendekati Botak yang semakin lama semakin mengundur dengan tangannya disorokkan di belakang.

"Saya tak faham apa yang Bos cakapkan ni."

"Kenapa kau bunuh Abu?" Khadir berhenti melangkah sebaik wajahnya betul-betul dekat dengan wajah Botak. Hela nafas masing-masing dapat didengar dan dirasa pada kulit. Suam dan menaikkan bulu roma.

"Abu?"

"Kau bunuh Abu sebab kau tahu yang aku akan bunuh Malek, kan? Itu je yang boleh buat kau balas dendam pada dia dan aku, kan?" Kali ini wajah Khadir benar-benar tegang. Matanya membulat dan mulutnya diketap-ketap hingga menghasilkan gerakan pada rahang dan pipi.

Botak menggeleng-gelengkan kepalanya. "Bukan saya yang buat semua tu, bos. Saya tak berani bunuh orang." Pisau yang diambil tadi masih digenggam kemas, menanti masa untuk mencucuk kulit Khadir sekiranya lelaki itu bertindak kasar dan menyerangnya.

"Kau. Betul-betul. Menghampakan aku. Botak!" Khadir berundur setapak ke belakang sambil masih lagi memandang Botak seperti menunggu waktu untuk menikmati hidangan makan malam setelah sekian lama terseksa dalam kelaparan.

Tangan Khadir digerakkan ke pinggangnya yang sedang menyisip sepucuk pistol yang hanya tinggal sebutir peluru saja lagi. Akibat takut ditembak, Botak pantas mengacukan pisau tadi pada leher Khadir. Bilah pisau itu betul-betul dekat pada kulit bosnya. Sekali toreh, darah akan memancut keluar dari anak tekak Khadir dan dia mungkin boleh mati akibat kehilangan darah yang banyak.

Khadir mengangkat kedua-dua belah tangannya tanda menyerah. Dia tidak jadi untuk menyerang anak buahnya itu dengan pistol yang disisip pada pinggangnya kerana enggan menjadi korban sembelih.

Botak tersenyum sinis. Dia seperti sedang mengejek Khadir yang berada di ambang ketewasan. "Pandai betul kau, ya?" kata Botak sambil mendalamkan lagi bilah pisau dalam tangannya pada leher Khadir, membuat Khadir kaku kerana rasa pedih pada kulit lehernya.

"Ya! Memang aku yang bunuh Abu. Sebab aku tahu dia akan jadi punca kenapa kau benci Malek! Dan seperti yang aku rancang, Malek akhirnya mati di tangan kau sendiri! Akulah yang telefon polis malam tu. Supaya korang semua kena tangkap kerana kebodohan masing-masing! Padan dengan muka kau!" Botak terbahak-bahak ketawa menceritakan tentang apa yang telah dia lakukan. Tangannya masih lagi tidak berganjak seinci pun dari leher Khadir.

"Apa sebenarnya yang kau cuba buktikan, Botak? Kau dah takde kami dalam hidup kau. Kau dah takde siapa-siapa lagi!" Khadir cuba untuk mengubah fikiran Botak namun bukan semudah itu yang disangkakan.

"Aku ada aku! Kalau kau betul-betul fikir aku ni tak guna, aku akan buktikan pada kau yang aku jauh lagi hebat dari Malek! Dan sekarang, tanpa dia, aku boleh laksanakan tugas penting untuk bunuh ramai lagi kunyit-kunyit dekat luar sana!"

Khadir menggeleng-gelengkan kepalanya biarpun lehernya terasa bisa dan pedih kerana bilah pisau di tangan Botak sudah menghiris kulitnya. "Kau silap, Botak! Kau fikir agenda kumpulan kita ni cuma untuk membunuh tapi sebenarnya lebih daripada tu! Kau hancurkan rancangan kita untuk hapuskan golongan LGBT dekat Malaysia ni. Kau memang tak guna, Botak!"

"Aku tahu aku cuma perlu bunuh seorang je budak kunyit dekat Malaysia ni yang dari dulu sampai sekarang buat kau pandang rendah pada aku! Lepas tu nanti, aku akan buru sorang-sorang kawan dia dan pengikut-pengikut dia. Biar diorang sama-sama meringkuk dalam neraka!" Botak ketawa terbahak-bahak lagi. Dia seperti sudah hilang akal. Kejap seperti hendak menangis, kemudian ketawa, kemudian membengis pula.

"Kau silap, Botak! Kau hanya akan memerangkap diri kau sendiri. Kau terlalu obses dengan budak tu sedangkan dunia diorang sangat besar sebenarnya dan ramai lagi boleh kita takut-takutkan. Kau silap!"

"Kau diam! Kau tak tahu apa yang aku dah rancang untuk dia dan kawan-kawan dia. Dan kau takkan dapat tengok. Sebab kau akan kena sembelih dengan aku sekejap lagi."

Khadir cuba mengundur ke belakang namun Botak mengikut saja ke mana haluannya supaya Khadir tidak dapat lari. "Botak..."

"Kau silap besar sebab datang sini malam ni. Silap besar! Kau sekarang dah jadi buruan polis. Kalau aku bunuh kau pun, orang takkan kisah!"

"Botak...jangan Botak..."

"Kau sayang sangat dekat Malek tu kan? Padahal selama ni yang jadi anjing kau--aku! Sekarang ni, aku hantar kau jumpa dia. Mampus kau!"

Khadir tidak sempat mengelak. Botak menarik bilah pisau yang memang terlekat pada kulitnya. Hirisan itu menghasilkan luka yang dalam dan membuatkan darah membuak-buak keluar dari lehernya. Tubuh Khadir menggeletar sewaktu dia cuba untuk menutup luka itu. Dia akhirnya terjatuh ke lantai sambil terus meronta-ronta cuba untuk menutup luka pada lehernya.

Botak hanya mampu memerhatikan dengan tenang. Akhirnya, insan yang menjadi punca dia rasa rendah dengan fungsi dirinya, mati di tangannya. Botak bangga dengan apa yang telah dia lakukan itu.

"Mampus kau, Khadir!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience