"Kan aku dah suruh kau duduk dekat Singapore tu dan jangan balik sini lagi selagi aku tak kasi kau balik sini!? Apa yang korang berdua buat dekat sini ha? Kalau polis datang sini cekup korang nanti macam mana? Korang memang nak menempah maut, ya!?" marah Khadir kepada Malek dan orang kanannya, Abu. Mereka kini berada dalam keadaan selekeh kerana telah menjadi buruan pihak polis akibat dari kes pembunuhan Liz di Johor Bahru sejak beberapa hari yang lalu.
Khadir berjalan mundar-mandir dengan laju di hadapan Malek dan Abu. Ketua ideologi sesat mereka itu sedang cuba memikirkan cara bagaimana untuk berhadapan dengan situasi yang mampu merosakkan masa hadapan perjuangan mereka selama ini.
"Bos, kami mintak maaf bos. Tapi kami takde cara lain. Ada CCTV dekat tempat tu. Polis dah aim kitorang, bos. Macam mana kami nak lari lagi?" luah Abu, panik. Butir bicaranya itu begitu laju bagaikan peluru. Nampak sangat dia sedang berada dalam keadaan takut sekarang.
"Diamlah!" marah Malek kerana Abu yang menjawab pertanyaan bos besar mereka sedangkan orang yang sepatutnya bertanggungjawab adalah dirinya sendiri. Malek menjengilkan biji matanya tatkala dia memandang wajah Abu. Abu terus menikuskan diri.
"Bos...kami terpaksa balik sini sebab kami rasa keadaan dekat Singapore tu pun tak selamat. Diorang macam boleh detect yang kitorang nak lari pergi Singapore sebab Singapore paling dekat dengan JB. Saya tak balik sini membuta-tuli. Saya tahu polis akan fokus dekat area selatan sana instead of dekat sini. Sebab tu kitorang berani balik sini balik. It's safer here," panjang lebar Malek berkata.
Khadir yang ketika itu sudah pun berhenti dari mundar-mandir cuba memproses kata-kata anak buah kesayangannya. Kemudian, dia memandang ke arah kedua-dua Malek dan Abu dengan serius. "Kamu masih tak selamat lagi dekat sini. Kamu kena sembunyikan diri. Jangan keluar langsung dari rumah kamu. Gunting rambut masing-masing atau warnakan je. Tak pun pakai je rambut palsu. Yang aku tahu, kamu tak boleh nampak macam orang yang diorang detect dalam CCTV tu. Faham!?"
"Faham, bos!"
"Kereta macam mana? Dah settle-kan?" tanya Khadir, kini dengan nada yang lebih tenang.
Malek dan Abu saling berpandangan. Kemudian, Malek mengangguk-anggukkan kepala dengan disokong oleh anggukan Abu. "Dah, boss. Kita dah settle-kan kereta tu. You don't have to worry."
"I don't have to worry kepala bapak kau! Kau tau tak ramai geng-geng kita sekarang tengah meringkuk kat dalam penjara? Kau nak join diorang sekali? Bodoh!" marah Khadir sambil bernafas dengan kencang. Fikirannya benar-benar kusut kini. Apa saja boleh terjadi. Khadir tidak mahu perjuangan mereka menjadi sia-sia. Mereka sudah terlalu jauh kini. Tidak ada jalan untuk patah balik. Mahu atau tidak, mereka perlu terus memperjuangkan ideologi pengasas mereka yang turut sama diburu oleh pihak polis kini.
"Kami betul-betul mintak maaf, bos." Buat pertama kalinya, Malek kelihatan tewas. Dia yang selama ini digeruni oleh ahli-ahli kumpulan anti-LGBT, kini berdiri di hadapan ketuanya dalam keadaan yang begitu menyedihkan. Satu perkara yang tidak pernah berlaku selama ini.
"Bos...boleh tak kalau saya nak keluar dari kumpulan ni? Saya takut kena tangkap dengan polis, bos," ujar Abu, ikhlas. Dia juga sama seperti Malek. Sedang berada dalam ketakutan. Termasuk Liz, mereka sebenarnya telah membunuh lima orang berpaksikan ideologi mereka yang menolak, membantah dan menganyang golongan LGBT di negara ini. Cuma pemandu Liz merupakan mangsa keadaan. Mereka tidak berniat untuk membunuh lelaki itu tetapi mereka terpaksa.
"Kau cakap apa ni? KAU CAKAP APA NI!?" Malek menarik kolar baju Abu dengan kasar. Dia terasa seperti hendak memukul lelaki itu yang sesuka hati saja mahu mengundurkan diri hanya kerana takut ditangkap oleh pihak polis.
Beberapa orang bodyguard milik Khadir datang menerpa ke arah Malek untuk meleraikan sebarang kemungkinan. Malek hampir-hampir saja membelasah Abu sehingga lunyai tapi telah dihalang oleh Khadir.
"Sudah!" marah Khadir. "Jangan bergaduh dekat sini. Buat menarik perhatian orang je!"
"Aku takkan bagi kau keluar dari kumpulan ni. Kita dah berjanji untuk sehidup semati sama-sama. Kau jangan cuba-cuba nak ingkar janji kau tu! Ingat, Abu!" kata Malek sebagai tanda amaran kepada Abu selepas dia ditarik ke tepi oleh bodyguard Khadir.
"AKU KATA SUDAH! Sudahlah!" jerkah Khadir, benar-benar geram melihat Malek yang tiba-tiba saja bertukar menjadi emosional. Macam budak-budak! Agaknya anak-anak buah aku ni memang semuanya perangai macam budak-budak tak sekolah kot, getus hati busuk Khadir.
Malek membetulkan bajunya yang sudah komot sedikit dek kerana pergelutan yang tercetus antara dia dan Abu tadi. Abu turut melakukan perkara yang sama cuma dia mengurut-urut lehernya yang hampir tercekik. Celaka punya, Malek! Kau ingat kau sasa kau boleh buat aku macam ni? Abu menyimpan perasaan dendam terhadap perbuatan Malek itu.
"Abu..." Khadir menyeru nama Abu, membuat lelaki itu pantas memberi tumpuan kepada apa yang Khadir ingin katakan.
"Dalam kumpulan ni, kita tak pernah paksa siapa-siapa masuk atau keluar. Kita terima siapa yang nak masuk dan kita benarkan siapa yang nak keluar..."
"Betul ke ni?" Abu seperti tidak percaya.
Khadir mengangguk-anggukkan kepalanya. "Aku faham kenapa kau nak keluar tiba-tiba. Kau takut polis dapat tangkap kau, bukan?"
Abu diam, tanda betul. Dia memang takut menjadi tahanan pihak polis.
"Tapi kau kena ingat. Walaupun kau keluar dari kumpulan ni, kau tetap akan jadi buruan polis. Sebabnya polis cari individu yang terlibat. Bukannya keseluruhan ideologi. Kau nampak tak dekat situ?" Khadir seperti hendak memanipulasikan fikiran Abu. Pengikutnya yang lain sekadar memerhatikan dengan senyuman sinis.
Lidah Abu kelu untuk berkata-kata.
Khadir menyambung lagi, "Kalau apa-apa jadi dekat kau masa kau bukan lagi ahli kumpulan ni, kami tak boleh nak jamin apa-apa."
Abu mengatup matanya rapat. Fikirannya kini bagai sudah dibasuh oleh Khadir. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya kerana tidak percaya ini sedang berlaku dalam hidupnya.
"Tapi kalau ada apa-apa jadi dekat kau dan pada masa yang sama kau masih lagi ahli kumpulan ni...kau jangan risau. Kami semua akan jaga kau. Percayalah," akhiri Khadir.
Demi untuk membuat Abu menukar fikiran, Malek datang memeluknya dari belakang sebagai tanda damai. Malek memandang wajah Abu dan menganggukkan kepala. Abu mengikut. Kemudian, dia mengeluh lemah. "Kalau macam tu, saya tak jadilah nak keluar dari kumpulan ni."
Khadir tersenyum bangga. Ideologinya terjual. Hari itu dia tidak kehilangan seorang ahli kumpulan yang boleh diharapkan. Malah, dia berjaya membuat ahli kumpulan itu untuk terus berada di dalam kumpulan menggunakan reverse psychology yang boleh membuat ahli kumpulan itu tidak akan terfikir langsung tentang hasratnya untuk keluar.
Khadir benar-benar bangga dengan dirinya! Tetapi jauh di sudut hati, dia sedang gusar. Takut sekiranya perjuangan mereka terkandas di tengah jalan. Sesuatu perlu dilakukan. Khadir terus mendapat idea. "Dengar sini, semua."
Semua yang berada di situ terus memberi tumpuan kepada apa yang ingin Khadir sampaikan.
"Kita kena bercerai buat masa ni."
"Cerai?" masing-masing terkejut mendengar perkataan itu.
"Kita tak boleh kelihatan bersama lagi buat masa ni. Pertemuan kita untuk bulan ni adalah yang terakhir. Lepas ni dah tak ada lagi. Sampailah aku call korang nanti. Kita kena selamatkan diri masing-masing. Kalau tidak, habislah perjuangan kita nanti. Faham semua?"
"Kita nak sembunyi kat mana, bos?" tanya salah seorang dari bodyguard Khadir.
"Lu fikirlah sendiri. Yang pasti, kita semua sekarang dalam bahaya kalau kita terus adakan pertemuan macam ni."
Kesemua mereka akur dengan keputusan yang dibuat oleh Khadir secara mengejut itu. Sebelum mengakhiri pertemuan itu, Khadir berpesan kepada mereka, "Beritahu yang lain pasal benda ni. Jangan ada seorang pun yang keluar buat kacau tanpa kebenaran aku. Faham!?"
"Faham, bos!"
Khadir mengeluarkan telefon pintarnya. Dia mencari-cari nama seseorang yang ingin dihubungi. Botak perlu tahu apa rancangannya sekarang. Dia tak boleh biarkan seorang diri. Takut sekiranya Botak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dia mesti dihalang dan mengikut arahan yang diberikan. Mereka semua perlu menyembunyikan diri buat sementara waktu. Tiada siapa pun dibenarkan untuk membuat kacau. Lebih-lebih lagi mereka yang ada potensi untuk menjadi tumpuan pihak polis seperti yang pernah berlaku kepada Botak sebelum ini. Dan sekarang, perkara yang sama terjadi pula kepada Malek dan Abu.
"Helo Botak?"
Share this novel