Sesi persekolahan diteruskan seperti biasa. Rio langsung tidak bersemangat untuk meneruskan hari-harinya mengenang kembali insiden ngeri di mana rumahnya dibaling dengan bangkai burung gagak. Tidak cukup dengan itu, diberi pula surat layang yang bertulis 'Bantah LGBT!' dengan darah. Kerana perkara itu, keluarganya terpaksa menebal muka membuat laporan polis supaya kawasan rumah mereka dikawal ketat oleh polis peronda untuk beberapa minggu.
Iskandar masih lagi tidak bercakap dengan anaknya. Dia juga tidak tidur sekatil dengan si isteri. Iskandar kesal kerana Rohaya masih berpihak pada Rio yang telah melakukan sesuatu yang boleh mengancam keselamatan keluarga mereka termasuk Salama, yang langsung tidak ada kena-mengena dalam hal itu.
Rio ada terfikir untuk melarikan diri dari rumah. Cukuplah. Dia tidak mahu lagi dipandang serong oleh ayahnya sendiri. Dia cuma mahu menjadi dirinya yang sebenar. Kalau itu pun susah untuk Iskandar terima, lebih baik Rio pergi membawa diri. Mujur fikirannya masih rasional. Kalau bukan kerana nasihat Zakwan untuk terus tabah mengharungi dugaan itu, sudah lama Rio mengalah.
Semenjak kejadian itu, waktu berjalan dengan begitu lambat sekali. Lebih-lebih ketika sesi persekolahan. Mendengar saja deringan loceng rehat, Rio pantas mendapatkan Ammar dan Intan di kantin. Sudah tidak tertanggung lagi rasa sakit di dalam hatinya. Dia perlu meluahkan perasaannya itu. Dia tidak mencari Zakwan kerana khuatir sekiranya Zakwan sedang berehat bersama rakan-rakan sekelasnya yang homofobik. Tentu rakan-rakan Zakwan akan mempersoalkan tentang status hubungan mereka jika Rio tiba-tiba saja datang untuk meluahkan rasa hatinya yang sedang gundah-gulana ketika itu. Mereka tidak tahu pun bahawa Rio adalah tutor kepada Zakwan. Sengaja Rio dan Zakwan merahsiakan perkara itu supaya rakan-rakan mereka tidak akan sibuk menjaga tepi kain orang. Lebih-lebih lagi apabila Zakwan masih belum bersedia untuk melela.
Ammar dan Intan tekun mendengar luahan hati Rio. Mereka bersimpati dengan musibah yang sedang melanda keluarga itu. Kedua-duanya mengangguk-anggukkan kepala mendengar rintihan hati Rio seolah-olah seperti memahami keadaan rakan mereka itu. Sesekali diusap-usapnya lengan Rio yang duduk menghadap mereka di atas bangku salah sebuah meja di kantin sekolah itu.
"So ayah kau macam mana sekarang? Dia still tidur dekat bilik tetamu ke?" tanya Ammar, setelah Rio selesai menceritakan masalah keluarganya.
"Ya. Malam tadi pun dia tidur bilik tetamu. Langsung tak makan sama dengan kitorang. Pandang muka aku pun dia tak ingin." Rio menongkat dagunya sambil mempamerkan riak wajah yang penuh dengan kekecewaan.
Perlahan-lahan Intan bangun dan mengambil tempat di sebelah Rio. Dia kemudiannya mengusap-usap belakang tubuh sahabat baiknya itu dengan penuh rasa kasih. "There...there. We're here for you. Whatever happens, we're here for you, okay? Kau janganlah nangis."
Rio menjatuhkan semula tangannya dan memandang pelik wajah Intan. "Mana ada menangis. Aku cuma mengeluh je. Don't worry, aku takkan senang-senang menangis. Aku cuma rasa down je. Kerana aku, mommy dengan daddy tidur asing."
"I understand. Aku faham sangat apa yang kau rasa sekarang. It sucks. I know that," kata Intan yang teringat tentang perpisahan ibu bapanya beberapa tahun yang lepas.
Kerana tidak mahu rakan baiknya itu terus dihurung rasa sendu, Ammar cuba mengalihkan topik perbualan pada ancaman yang diterima oleh keluarga Rio melalui bangkai-bangkai burung dan surat layang berbaur ugutan. "Polis ada cakap apa-apa tak pasal burung-burung yang dibuang depan rumah kau tu?"
Rio menggeleng-gelengkan kepalanya. Insiden itu merupakan satu pengalaman ngeri yang tidak mahu dialaminya lagi. "So far, tak ada lagi. Tapi sekarang memang diorang akan datang dua tiga kali buat rondaan. Takut-takut kalau the assholes datang buang apa-apa lagi."
"The assholes, huh?" Intan tertawa dengan panggilan kasual yang Rio berikan kepada mereka.
"Yes. The assholes. Kalau aku dapat tahu siapa diorang, tunggulah. Aku lahar diorang sorang-sorang nanti!" Rio sudah tidak sedih lagi. Sebaliknya dia kini menyimpan perasaan marah terhadap mereka yang bertanggungjawab mengotorkan kawasan rumahnya dengan bangkai-bangkai burung.
Sahabat-sahabatnya sekadar tersenyum mendengar luahan rasa geramnya itu. Kemudian, pandangan Ammar teralih pada Emilya yang sedang berjalan menuju ke kantin bersama dua orang rakan sekelasnya. Ammar pantas menepuk-nepuk lengan Rio. "Eh tengok tu. Ex best friend kau, si Emilya."
Rio menyorot pandangan Ammar dan memerhatikan saja Emilya berjalan sambil berbual-bual dengan rakan sekelasnya. Satu keluhan lemah dihembuskan.
Intan mengusap lagi belakang Rio. Dia tahu Rio pasti merindui Emilya. "Sabar okey?"
Rio memaksa dirinya untuk senyum sambil mengangguk-anggukkan kepala. Dia cuba untuk menguatkan dirinya dan mengingat semula pesanan Rohaya tentang siapa sebenarnya kawan dan siapa sebenarnya lawan di dalam hidupnya. Jika benar Emilya mengambil keputusan untuk tidak lagi berkawan dengannya kerana video yang dimuatnaik dua minggu lepas, maka Emilya bukanlah seorang kawan yang baik untuknya. "Yeah I'm so over her!"
"Tapi kau tak pelik ke Rio? Kenapa eh dia tiba-tiba macam tak nak kawan dengan kau? Setahu aku, dia macam dah lama tahu yang kau ni 'sesuatu'. Apa sebab dia tak nak kawan dengan kau? Kau tak rasa ada sebab lain ke?" Ammar mengutarakan pendapatnya.
Rio ada terfikir juga tentang perkara itu namun dia sendiri tidak pasti kerana seingatnya dia tidak pernah memberitahu Emilya tentang orientasi seksualnya. Rio pantas menggeleng-gelengkan kepalanya. "Malaslah nak fikir. Aku ada banyak lagi masalah nak diselesaikan sekarang."
"Oh dear, and here comes one of the problems..." bisik Intan sambil memandang ke arah Jack yang telah memalukan Rio dua minggu lepas bersama konco-konconya. Mereka sedang berjalan beramai-ramai menuju ke arah meja Rio dan rakan-rakan.
Rio dan Ammar menyorot pandangan Intan dan segera menundukkan kepala melihat wajah bengis Jack.
"Stay cool, Rio." Ammar berpesan.
Stay cool? "Not sure I can do that."
"Weh kunyit!" itu perkataan pertama yang meniti di bibir Jack, si keparat yang telah memalukan Rio tempoh hari. Apalah agaknya yang dia ingin lakukan lagi?
Jack sengaja menekan suaranya sewaktu dia menyebut perkataan 'kunyit' supaya semua pelajar di kantin itu dapat mendengar. Dia mahukan perhatian diberikan sepenuhnya kepada konfrontasi yang sedang berlaku antara dia dan Rio.
Tiada apa yang dapat dilakukan selain dari mengetap bibirnya tatkala mendengar perkataan kunyit itu dihamburkan padanya. Bagi Rio, label kunyit itu merupakan satu penghinaan untuk golongan lelaki homoseksual sepertinya. Entah siapalah yang sesuka hati memberi nama kunyit kepada lelaki-lelaki yang tiada tarikan seksual terhadap wanita. Apa mereka fikir gelaran itu lucu?
"Weh kunyit, pandanglah aku! Kau dengar tak aku panggil kau ni?" Jack berteriak lagi sebelum bergelak ketawa bersama konco-konconya di situ.
"Hashtag geng kunyit!" salah seorang dari konco Jack bersuara. Tawa mereka sekumpulan pecah lagi.
Rio melirik ke arah Emilya yang turut sedang memandang ke arah mejanya kini. Menyedari mereka sedang saling bertentangan mata, Emilya terus berhenti memandang ke arah Rio dan kembali berbual semula bersama rakan-rakan sekelasnya.
"Dahlah weh. Jom blah. Jangan dilayan geng-geng kunyit ni!" cadang salah seorang dari anak buah Jack.
Sebelum berlalu pergi, Jack mendekatkan wajah bengisnya dengan wajah Rio. "Kunyit!" bisiknya dengan keras.
Ammar hanya berani bersuara selepas sekumpulan pembuli itu hilang dari pandangan mata. "Kurang ajar punya Jack. Suka-suka hati je panggil kita geng kunyit. Aku bukan kunyitlah bodoh!"
"Eleh, diorang dah blah baru kau berani nak cakap." Intan mengejek. Kemudian, dia terus beralih pada Rio yang masih membatukan diri. "Rio, are you okay?"
Rio mengangguk lemah.
"Jangan ambil hati sangat dengan diorang tu, Rio. Kau tahu kan diorang macam mana? Dari dulu lagi memang suka ejek-ejek orang. Dari sebelum kau come out lagi." Ammar cuba menenangkan galau di hati Rio dengan kata-kata yang agak kurang rasa sensitif pada hemat Rio.
"Aku malu." Rio menakup wajahnya. "Aku malu!"
Intan mengusap-usap belakang badan Rio untuk kali ke berapa pada hari itu pun dia kurang pasti. Ammar pantas menerpa ke arah Rio seraya memeluk bahu sahabatnya itu sebagai tanda semangat dan sokongan.
Beberapa orang pelajar di kantin itu juga mula datang mendekati meje mereka. Pelajar-pelajar itu memandang Rio dengan penuh rasa simpati.
"Eh kenapa berkumpul ramai-ramai ni?" tanya Ammar, khuatir sekiranya mereka mahu menghina Rio sama seperti apa yang Jack lakukan tadi.
"Sabar ya, Rio. Kuatkan semangat," salah seorang dari pelajar yang datang ke meja mereka itu bersuara.
Rupanya mereka semua mahu menunjukkan tanda sokongan kepada Rio. Rio yang telah menurunkan semula tangannya tadi tersenyum paksa mendengar kata-kata semangat dari beberapa orang pelajar itu yang tidak dikenalinya secara rapat.
Ketika dirinya sedang menerima kata-kata semangat, seorang pengawas bertubuh genit bernama Safwan, datang mendekati. Wajahnya agak serius. Melihat Safwan semakin menghampiri meja itu, pelajar-pelajar tadi terus mengundur ke belakang.
"Rio Shabiro..."
"Apa pulak ni?" tanya Ammar yang simpati dengan nasib yang melanda diri Rio. Lepas satu, satu lagi masalah yang tiba!
"Ya?" Rio menjongketkan kening ketika menyahut panggilan itu.
"Ikut saya ke bilik pengetua. Tuan Haji Zainol nak berjumpa."
Semua mata saling berpandangan. Pengetua? Kenapa pengetua tiba-tiba nak jumpa Rio? Pasal video yang Rio muatnaik hari tu ke? Mereka mula membuat spekulasi sesama sendiri.
Kerana tidak mahu rakan-rakannya terus bersoseh sesama mereka, Rio bingkas bangun dan mengikut pengawas itu ke bilik pengetua seperti yang diarahkan.
"I'll see you guys after school." Rio sempat berpesan kepada Ammar dan Intan.
Dengan wajah sugul, Rio membuntuti Safwan menuju ke bilik Tuan Haji Zainol, pengetua sekolah. Macam-macam yang sedang bermain di fikirannya. Rio yakin ini mesti ada kena-mengena dengan video melelanya.
"Rio?"
Langkah Rio terhenti apabila namanya diseru oleh Zakwan. Dia menoleh ke arah teman lelakinya dan segera menundukkan wajah.
Safwan turut menghentikan langkah kakinya. Dia menjeling tajam ke arah Rio dan Zakwan.
Zakwan tahu ada sesuatu yang tidak kena melihat wajah hampa yang dipamerkan oleh teman lelakinya itu. "Kenapa ni?" dia bertanya.
"Tak ada kena-mengena dengan kau, Zakwan."
Zakwan tersentak apabila Rio menjawab pertanyaannya sebegitu. Dia memandang Safwan yang masih lagi setia menanti dengan wajah yang ketat.
"Okey. Fine. I wish you all the best." Zakwan terus berlalu pergi dengan hati yang berat. Meski dia tidak sanggup melihat Rio dalam keadaan sebegitu, dia tidak berani untuk melakukan apa-apa. Khuatir sekiranya orientasi seksualnya terdedah.
Rio menghembus nafas lemah. Dia sebenarnya tidak berniat langsung untuk menyinggung hati Zakwan. Cuma fikirannya sedang kusut waktu itu. Dia tidak mahu berjumpa atau bercakap dengan sesiapa. Dia cuma mahu berhadapan dengan pengetuanya saja sekarang.
Ria memberi isyarat kepada Safwan bahawa dia sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan. Safwan tidak terus berganjak sebaliknya memandang Rio sambil menjongket-jongketkan keningnya.
"What? Kau nak kena marah dengan aku jugak ke macam mana?" tanya Rio, sarkastik. Meluat dengan pandangan pengawas itu.
Tanpa memberi sebarang respons, Safwan meneruskan perjalanan. Rio membuntutinya dengan langkah yang berat. Apalah agaknya yang akan berlaku padanya sekejap lagi. Adakah Tuan Haji Zainol akan membuangnya dari sekolah? Oh tidak!
Share this novel