Bab 41

Drama Series 29694

"Mayat suspek kes pembunuhan seorang rakyat Malaysia yang dibunuh dengan kejam di Johor Bahru Rabu lalu, ditemui di sebuah gudang lama dalam keadaan yang cukup menakutkan. Mohd Abu bin Satim, 34 tahun, ditemui mati oleh buruh Indonesia yang terhidu bau busuk di gudang lama itu ketika dalam perjalanan pulang ke pondok tumpangannya. Polis mempercayai bahawa Mohd Abu telah dibunuh ketika dalam perancangan untuk lari dari Malaysia. Hal ini kerana terdapat sebuah bagasi besar berisi pakaian, senjata api serta passport dan tiket bas. Polis tidak menidakkan bahawa kes pembunuhan ini dilakukan oleh seorang lagi suspek kes pembunuhan Norliza Kamarudin, 45 tahun, iaitu Emir Malek bin Malik, 31 tahun. Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek yang dikehendaki oleh pihak polis ini, diminta tampil untuk memberi keterangan."

Khadir mematikan televisyen di hadapannya itu menggunakan alat kawalan jauh sebelum mencampaknya dengan kasar di atas meja. Di sekelilingnya sekarang terdapat beberapa orang lelaki dalam lingkungan lewat 20-an dengan wajah yang bengis. Mata mereka sedang tertancap pada Malek yang telah diikat tangan, kaki dan mulutnya. Malek berada dalam keadaan yang sangat lemah. Dia sedang bermandi peluh sambil menangis menahan kesakitan. Terdapat kesan lebam pada pipi dan luka pada dahinya. Dia telah dibelasah dengan teruk oleh anak-anak buah Khadir, yang juga merupakan junior-junior Malek.

Khadir memberi isyarat mata dan mulut kepada salah seorang dari anak buahnya untuk membuka ikatan mulut Malek, yang sedang meronta-ronta minta dilepaskan. Sebaik saja ikatan mulutnya itu dibuka, Malek pantas berkata, "Boss, bukan aku yang bunuh Abu. Bukan aku!" air mata bercampur peluh membasahi pipi Malek tatkala dia berkata-kata.

"Diam! Aku tak suruh kau bercakap pun lagi!" marah Khadir, memandang Malek dengan penuh rasa benci.

Salah seorang dari anak buah Khadir menepuk belakang kepala Malek, membuat Malek tertunduk. Itu sebagai balasan tidak menghormati ketua di hadapan mereka.

"Kalau bukan kau yang bunuh dia, siapa lagi, Malek? Kau bunuh dia sebab dia nak berhenti dari jadi sebahagian dari kumpulan kita. Betul kan?" tanya Khadir, mula mendatarkan nada suara. Dia langsung tidak mahu memandang tepat wajah Malek kerana dia benar-benar kecewa dengan apa yang berlaku. Tidak semena-mena sekarang, pihak polis sedang memburu Malek dengan lebih giat. Ini akan mengganggu gugat keselamatan setiap anggota ahli kumpulan mereka.

"Ampunkan aku, bos. Ampunkan aku. Sumpah! Bukan aku yang bunuh Abu. Aku tak tergamak untuk bunuh orang yang aku anggap macam adik aku sendiri, bos. Sumpah! Bukan aku!" berjurai-jurai air mata Malek cuba untuk meyakinkan bahawa bukan dia yang telah membunuh Abu.

"Diam! Aku tak nak dengar lagi rayuan kau tu! Aku dah muak! Kau memang mengecewakan aku, Malek! Kalau aku tahu kau hanya akan menyusahkan kumpulan ni, awal-awal lagi aku dah buang mayat kau dalam longkang dekat Sekinchan sana. Biar takde siapa dapat jumpa kau!"

Tangisan Malek kini hanya tinggal sisa. Dia sedar akan sesuatu. Sekelilingnya diperhatikan. Dia mengetap bibirnya sambil berkata, "Celaka kau, Botak! Ni mesti kerja kau! Aku akan bunuh kau Botak!" tiba-tiba Malek memberontak apabila teringat tentang Botak yang sudah lama menghilangkan diri dan tidak menyertai apa-apa pertemuan kumpulan mereka.

Belakang kepala Malek sekali lagi diketuk oleh anak buah Khadir. Kali ini dengan menggunakan pistol yang tersisip kemas dalam genggaman. Malek terjelopok jatuh di atas lantai. Matanya masih cuba untuk mencari di mana kelibat bosnya, Khadir.

"Sumpah, demi Allah, bukan aku yang bunuh dia, bos. Ada orang cuba nak kenakan aku. Nak cuba hancurkan kumpulan kita..." suara Malek semakin sayup-sayup kedengaran. Siapa sangka lelaki berbadan sasa sepertinya kini berada dalam keadaan yang cukup menyedihkan. Malek kini sudah tidak punya tenaga untuk melakukan apa-apa. Dia hanya mampu menahan rasa sakit dan menitiskan air mata mengenang kembali nasib yang bakal melanda dirinya.

Khadir datang mencangkung di hadapan wajah Malek. Kemudian, dia menelengkan kepala supaya pandangan Malek tepat ke arah wajahnya. Khadir menggeleng-gelengkan kepala. "Botak tu dengan polis pun dia takut, Malek. Macam mana kau boleh fikir dia yang buat semua ni? Kau yakin dia mampu untuk bunuh Abu? Kau ni memang memalukanlah Malek!"

Salah seorang dari anak buah Khadir yang mengawasi kawasan sekitar berlari macam pelesit ke arah bosnya. Khadir pantas bangun kerana dia tahu ada yang tidak kena.

"Bos, polis!" ujar anak buahnya itu.

Semua mula panik. Mereka mengeluarkan senjata api masing-masing. Malek yang sedang terjelopok di atas lantai turut segar selepas mendengar apa yang diberitahu oleh salah seorang dari anak buah Khadir tadi.

"Celaka kau, Malek! Sebab kau, polis dapat jumpa kita." Khadir mengetap bibirnya sambil mengacukan pistol pada dahi Malek.

Malek menggeleng-gelengkan kepalanya. "Tolong bos. Tolong! Bukan aku. Sumpah bukan aku!"

"Aku takkan biarkan polis dapat tangkap kau sebab kau hanya akan mengkantoikan lagi operasi kita. Aku mintak maaf Malek. Aku terpaksa tamatkan riwayat kau dekat sini."

BAM!

Malek mati dengan matanya terbelalak. Khadir menahan rasa pilu kerana terpaksa membunuh salah seorang dari anak buah kesayangannya.

"Bos, kita kena pergi dari sini. Polis!" arah salah seorang dari anak buah Khadir.

Masing-masing bersiap-siaga untuk melindungi bos mereka. Khadir terpaksa menguatkan diri untuk keluar dari tempat itu melalui pintu belakang. Dia mengekori anak-anak buahnya dengan pantas. Mayat Malek dibiarkan saja ditemui oleh pihak polis dengan penuh tanda tanya.

"Polis! Jangan bergerak!" mereka dapat mendengar suara polis sayup-sayup namun mereka langsung tidak menghiraukan kerana mereka kini sudah jauh dari tempat kejadian.

"Malek...maafkan aku..." akhirnya air mata Khadir gugur juga. Dia benar-benar tidak menyangka bahawa dialah yang akan mencabut nyawa anak buah kesayangannya itu. Selama ini, dia sangat yakin dengan cara kerja Malek. Dia langsung tidak menyangka bahawa ini adalah pengakhirannya bagi Malek. "Maafkan aku...aku terpaksa..." bisik Khadir lagi.

BAM!

BAM!

Tembak-menembak mula berlaku antara kumpulan anti-LGBT itu dengan pihak polis. Khadir dilindungi dengan baik oleh anak-anak buahnya. Mereka sanggup bergadai nyawa demi Khadir. Khadir dibawa jauh ke dalam hutan di mana pihak polis akan mengalami kesukaran mencarinya nanti.

"Kalian betul-betul membanggakan aku. Aku takkan sia-siakan pengorbanan kalian semua," ujar Khadir kepada anak buahnya yang sedang berada di sisinya kini.

"Demi perjuangan kita, bos. Kami sanggup lakukan apa saja," jawab anak buahnya itu.

Khadir berlari dengan laju meninggalkan anak buahnya itu sebelum terdengar bunyi dentuman maut.

BAM!

Anak buahnya itu rebah ke atas tanah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience