Rasuk Gadis Melayu Chapter 2

Mystery & Detective Completed 10294

Bab 2

Perlahan satu rayapan jemari kasar melingkari belakang bahuku. Aku dapat merasakan seolah adanya satu susuk merapati dari arah belakang.

"Cikgu..??" Saat hujung jari kasar itu bersentuhan dengan bahu kananku. Lirik mata perlahan memandang ke sisi. Sebaris jari memegang erat bahu milikku.

"Astaghfirullah Cikgu Shukri..saya ingatkan siapa tadi..berdebar jantung saya.."

Nasib baik. Rupa-rupanya Cikgu Shukri yang datang dari arah belakang ketika aku sedang leka memerhatikan batang pisang yang bersebelahan perdu buluh di belakang asrama puteri itu.

"Saya pun seram jugak nak tegur tadi..ingatkan hantu ke apa duduk tercegat sorang-sorang dalam gelap ni.." dia sekadar tersengih memerhatikan aku.

"Warggghhhh..!!"

Pandanganku dan Cikgu Shukri bertaut. Raungan sudah makin menggalak kudengari. Makin menjadi-jadi pula lolongan itu saat bangunan asrama itu kuhampiri.

"Cepat cikgu..!" Segera langkah kuhayunkan merapati pagar asrama. Terang benderang asrama dilimpahi cahaya neon. Semua bilik telah terpasang lampunya. Deretan pelajar mula bersidaian di luar bilik dengan wajah penuh ketakutan. Sayup-sayup kedengaran ada juga suara yang melontarkan bacaan Yassin untuk menenangkan diri. Dari bawah asrama kudongak melihat ke atas bangunan. Beberapa pelajar telah melambai deras menggamit aku dan Cikgu Shukri.

"Cikgu..! Cepat..!" tempikan seorang pelajar dari arah tangga bangunan. Semua di situ cemas. Kali ini entah apa pulanya 'peel' jembalang yang merasuk.

Saat tangga bangunan itu kudaki laju, ingatan mula teringatkan beberapa peristiwa yang terjadi sebelum ini. Kes yang sama. Pelajar kerasukan. Namun pembawaannya berlainan. Setiap kerasukan punya pembawaan yang berbeza. Berbeza maksudku adalah cara ia merasuk dan cara ia memperlihatkan dirinya pada khalayak.

Ada yang ragamnya seolah anak kecil. Menangis tersedu-sedu merintih seorangan. Duduk seorang di anak tangga bangunan dan menekup muka. Iras bunyi tangisnya seakan anak kecil yang kehilangan keluarga. Bila disapa enggan dibalas. Bila disentuh dia menyeringai tertawa hingga tak henti.

Ada juga yang kelakuannya kasar seperti tidak ketentuan arah. Berlari sepanjang koridor asrama sambil menjerit tidak mahu berhenti. Hinggakan terpaksa diredakan dengan rangkulan ke tubuh. Untuk menjatuhkannya memerlukan sehingga 5 orang!

Dan yang paling menakutkan pernah aku hadapi adalah dua hari yang lepas. Saat itu hujan lebat menyimbah bumi. Semua sedang lena ketika ia mula terjadi. Pelajar itu duduk termenung di atas katil. Merenung keluar tingkap sambil meratib seolah berzikir. Terkumat kamit mulutnya entah membicarakan bait kata apa. Saat ditegur, dia sekadar berpaling sambil tersengih. Namun sengih yang langsung tidak mahu siapa pun melihat. Kerana giginya berlumuran darah akibat ditonyoh dengan benda tajam. Dia mencederakan diri tubuh yang dirasuknya!

Dan kali ini, entah apa pula 'peel'nya.

Yang menjadi kehairanan, entah mengapa asyik sahaja pelajar perempuan berbangsa melayu menjadi mangsa.

…bersambung

Bab akan datang:

Makhluk apakah yang merasuk pelajar perempuan Melayu ini dan apa punca semua ini kerap terjadi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience