Lesung Chapter 3

Mystery & Detective Completed 10294

Bab 3

“Gelapnya rumah nenek ni..??” seraya sahaja soalan itu terpacul dari bibirnya. Liar matanya melihatkan keliling. Hanya lenggokan cahaya lilin sahaja menerangi sisi dalam rumah itu. Dentuman perlahan daun pintu ditutup rapat makin menggelapkan suasana. Langsung tiada cahaya dari luar yang menerobos masuk.

“Cucu rehatlah dulu..nenek siapkan makanan untuk cucu..mesti lapar kan..??” terketar-ketar kaki tua itu melangkah. Farisha mengangguk mengiakan. Beg pakaian yang diletakkan di atas lantai rumah dicapainya semula.

“Jangan malu-malu.. buat macam rumah sendiri ye cu..” sapaan nenek tua itu sebelum dia menghilang menuju ke dapur rumah. Farisha mengangkat beg pakaiannya lalu melangkah menuju ke dalam bilik. Tanpa menyedari adanya sepasang mata yang menyorot mengintainya dari celahan lantai rumah setelah beg pakaiannya diangkat pergi.

Katil bersaiz sederhana. Tiada sebarang perhiasan menghiasi ruang dalam bilik. Hanya sebuah meja solekan dan sekeping cermin sahaja terletak rapi di sisi kanan bilik. Farisha menghela nafas panjang setelah keletihan mengharungi perjalanan yang sebegitu lama tadi. Tubuhnya dihempaskan ke atas tilam empuk. Anak tudung dibukanya lalu diletakkan bersebelahan bantal. Farisha melelapkan mata untuk menghilangkan lelahnya.

“Cu..bangun..” sapaan di hujung kakinya mengejutkan Farisha. Mamai seketika saat satu wajah tua yang penuh uban di kepala menyapanya untuk bangun. Merasakan baru sahaja tadi dia terlelap. Jam di lengan kiri dikerling Farisha. Hampir menunjukkan jam 9.00 malam.

“Ya Allah.. lamanya Farisha terlelap nek..” rungutnya lalu bangun mengesat bola mata. Tubuh pegun nenek tua itu sekadar menantinya di bucu katil. Dia tersenyum tawar melihatkan Farisha yang tertunduk keletihan.

“Cucu mandilah dulu.. lepas mandi, nanti boleh makan.. nenek dah sediakan makanan untuk cucu..” ulasnya sebelum melangkah meninggalkan bilik. Dalam kesamaran cahaya, susuk tubuh nenek tua yang terbongkok jalannya itu diperhatikan Farisha tanpa berkelip. Entah berapalah umurnya nenek ini fikirnya. Tidak sempat hendak berbual panjang sejak ketibaannya tadi.

Langkah longlai dibawanya menuruni anak tangga menuju ke dapur rumah. Di hujung dapur, dapat dilihatnya anak pintu yang menuju ke bilik air. Sebuah meja, singki kecil dan sebuah rak kayu terletak rapi di ruang dapur itu. Namun anak mata Farisha tertumpu melihatkan kearah rak kayu yang topannya seakan mahu rebah itu. Deretan batu lesung dan anak lesung pelbagai saiz menggamit anak matanya. Dicongak-congaknya mungkin lebih daripada sepuluh biji lesung yang tersusun rapi di dalam rak kayu itu.

“Banyaknya lesung.. nak buat apa banyak-banyak macam tu..??” bisiknya dalam hati. Ahh..mungkin sahaja nenek itu gemar mengumpul lesung. Seperti orang lain juga yang menjadikan koleksi pinggan mangkuk sebagai hobi.

Juraian air yang sejuk membeku menusuk ke tulang diiringi ketar di bibir Farisha.

…bersambung

Bab akan datang:

Apa yang dibuat oleh nenek dengan lesung itu semua?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience