Lesung Chapter 8

Mystery & Detective Completed 10294

Bab 8

Hitam dan putih. Wajahnya berbalam-balam. Yang jelas kelihatan adalah dua tona warna yang membaluti susuk tubuh yang berdiri seakan membongkok di sisi kirinya ketika itu. Namun kerana bilik itu cahayanya samar-samar, wajah di sisi kirinya itu tidak dapat diperhatikan jelas.

Pemilik susuk tubuh itu lantas tersengih. Barisan gigi diperlihatkannya. Sepasang taring turut menjadi tatapan mata Farisha ketika itu. Dirinya dirapati perlahan-lahan. Lalu menampakkan wajah yang berselindung di sebalik kelam malam itu. Seekor lotong yang menyeringai sedang melihat ke arahnya. Dan lotong itu sekadar terpaku melihatkan Farisha yang hanya terpasung sendiri di atas katil tidak mampu berbuat apa.

Lidahnya terasa kelu untuk berkata. Tubuhnya seakan dipaku ke setiap bucu katil. Satu sendi pun tidak dapat digerakkannya. Suara seakan tersekat di kerongkong tidak mampu hendak diluahkan. Kelopak mata tidak lagi mampu dikelipkan seperti biasa. Kini tubuh dan jiwanya sekadar menanti apakah yang akan terjadi.

“Kau katakan aku terlalu bising..??” hanya wajahnya dijengah menghampiri Farisha. Tiada apa yang mampu dilakukan melainkan hanya melihat dan terus melihat. Walaupun jelas dia mengerti bahawa itu adalah jelmaan syaitan yang menyerupai seekor lotong.

Dan lotong itu, terus sahaja bertempik dan melolong seperti tiada noktahnya. Seluruh bilik gegak gempita dengan lolongan berupa hilaian itu. Dan Farisha memaksa tubuh untuk terus bergerak di dalam ketakutan itu.

“Cu..bangun cu..” usikan di hujung jari kaki menyentap Farisha dari lenanya.

“Astagfirullah..” ucapnya tika melihatkan wajah nenek Su berdiri di hujung kakinya. Dia mengucap seketika saat menyedari itu hanyalah mimpi ngerinya. Dan mimpi itu pastinya sekadar mainan syaitan yang bertujuan untuk menyesatkan.

“Farisha mimpikan lotong..??”

Dan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka Farisha. Bagaimana nenek Su mengetahui tentang mimpi ngerinya itu?

“Ha ah nek..macam mana nenek tahu..??” mukanya dikesat dengan tuala.

Tiada sebarang jawapan dari nenek Su. Dia terus sahaja berpaling tidak mengendahkan soalan yang diajukan Farisha. Sepertinya ada sesuatu yang diketahuinya namun tidak mahu diceritakan. Dengan langkah yang berat Farisha melangkah ke bilik air subuh itu. Hari pertama dia mengajar di sekolah luar bandar itu, dia tidak boleh lewat.

“Petang nanti cucu balik..nenek tunggu ye..??” ucap nenek Su di sebalik pintu rumah sebelum Farisha melangkah meninggalkan perkarangan rumah itu untuk ke sekolah. Dengan lirikan senyuman, dia mengangguk mengiakan sahaja kata-kata nenek Su itu.

Dia hanya berjalan kaki. Dalam dingin subuh Farisha melangkah seorangan. Peristiwa malam tadi benar-benar tidak mampu dibuangnya pergi. Kelibat seekor lotong yang muncul dalam mimpinya itu asyik sahaja terngiang-ngiang dalam benak fikirannya.

Melintasi perkarangan istana, pandangannya tertumpu ke arah halaman istana yang sedang dibersihkan seseorang.

…bersambung

Bab akan datang:

Apa yang disorokkan nenek daripada pengetahuan Farisha sebenarnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience