Dukun Unjam Chapter 7

Mystery & Detective Completed 10294

Bab 7

Jawapan diberikan hanya dengan anggukan lemah tanpa peduli. Pelepah pinang dipotong dua lalu diperasap di atas kemeyan yang berasap lemah. Hanya bauan tajam menikam rongga hidung. Mulutnya terkumat kamit membacakan serapah yang langsung tidak didengari Pak Kassim. Lenggok tubuh seakan meliuk bagaikan udang dilayur di atas api. Makin bahang itu menyirami tubuh, semakin meliuk menahan kepanasan.

“Ikatkan unjam ini pada hujung bot..rendamkan ia ke dalam laut ketika kau sedang melaut..bawalah ia ke laut mana sekalipun, pasti sekali hasil tangkapan kau tidakkan terjejas..” huluran unjam yang telah diikat hujungnya dengan seketul batu sungai disambut Pak Kassim. Upih pinang yang melebar di hujung siap-siap telah dipintal untuk diikatkan pada hujung bot. Tidak pernah seumur hidupnya Pak Kassim melihatkan unjam sekecil itu. Apatah lagi sependek itu. Namun dia akur dengan perintah yang diberi.

“Pantangnya..ikan pertama yang kau lihat tersangkut di pukat selepas menggunakan unjam ini hendaklah kau makannya mentah-mentah..walaupun ikan yang kau lihat itu sebesar jari kelingking kau sahaja..usah dibuang ia semula kelaut..”

Sepi seketika. Bernaung dalam fikiran Pak Kassim apa pula jadinya jika pantang itu dilanggar olehnya.

“Jika pantang itu dilanggar..??” soal Pak Kassim meminta kepastian.

“Kau akan terima akibatnya..”

Air liur diteguk dirasakan kesat menyusuri anak tekak. Anak matanya merasakan seperti ada sesuatu yang menyelinap di belakang tubuhnya. Seolah ada bayangan yang menerjah dari arah sisi. Pandangan serta merta dialihkan ke belakang. Namun hanya suram bilik itu yang tidak bercahaya sahaja dapat dilihatnya. Seram makin menusuk jiwa. Kata hati menyuruhnya segera beredar dari situ. Bayaran upah yang dihulurkan Pak Kassim enggan diterima si dukun unjam itu. Cuma berbisik perlahan memperkatakan sesuatu.

“Penjaga unjam ini, aku serahkan padamu..upahnya hanya ‘dia’ sendiri yang meminta..” garau suara itu kian menyeramkan. Segera Pak Kassim beredar pulang semula ke rumahnya. Dalam hati bernyanyi riang bila memikirkan nasibnya bakal berubah kelak. Dengan berpunyakan sebuah unjam kecil itu, segala hasil laut akan dibolotnya. Setibanya di rumah, unjam segera dibawakan ke arah bot miliknya yang terletak di jeti. Simpulan mematikan unjam di hujung depan bot diiringi bunyi gagak yang agak nyaring kedengaran. Ditolehnya ke kiri dan kanan, tiada pula kelibat burung hitam itu berada berdekatan dengannya. Langkah dibawa semula ke arah rumah untuk berehat panjang. Kerana esok hari, dia bakal dilanda kesibukan mengangkat ikan getus hati Pak Kassim sambil berlagu riang.

Keesokan harinya seperti kebiasaaan, lautan luas diredah Pak Kassim bersama awak-awak yang membantunya melaut menuju ke satu tukun yang jauh di tengah laut. Saat pukat dilepaskan ke dalam laut, hatinya berdebar memikirkan apalah hasil yang bakal dikautnya nanti.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Pak Kassim akan mendapat hasil laut yang banyak dengan menggunakan unjam itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience