Bab 6
Di setiap sudut rumah Ina memperagakan dirinya bergambar seorangan. Namun yang jadi kerunsingan di hati Azman adalah satu susuk wajah yang dikenalinya ada bersama isterinya itu. Miyoko!
Setiap selfie Ina pasti ada Miyoko terselit. Miyoko hanya muncul sipi-sipi di sisi gambar-gambar itu. Azman menyelak semua gambar yang diambil Ina dan ternyata semua gambar itu bertemankan Miyoko di belakangnya. Telefon dicampaknya ke tepi. Azman meraup wajahnya berkali-kali. Dia masih tidak percaya akan hal yang baru dilihatnya sendiri.
Tang!!
Lentungan bunyi seolah ada sesuatu yang terhempas di tingkat atas rumahnya memecah hening ruang rumah itu. Azman gumam seketika. Dia memasang telinga mendengarkan jika ada bunyi itu datang kembali. Adakah Miyoko mula bermain di tingkat atas rumahnya itu? Azman melihat ke arah tangga. Gusar andai jelmaan Miyoko muncul pula dari situ. Senyap sunyi seketika tiada bunyi yang kedengaran.
"Abang..! Taknak naik tidur ke..! Dah pukul berapa ni..? Bawak naik handphone sayang sekali..!" Bergema suara Ina memanggil dirinya dari tingkat atas. Azman yakin itu adalah suara milik Ina. Dan dia pasti suara itu datang dari bilik tidurnya. Namun siapa pula yang berada di pangkuannya tika itu?
Azman kembali teringat sewaktu sebelum dia berbaring di hadapan tv tadi. Selepas sahaja makan malam bersama Ina, Ina terus mengatakan yang dia merasakan tidak sihat dan ingin tidur di bilik. Azman memang teringat yang dia ada melihat sendiri Ina melangkah naik menyusuri anak tangga itu ke tingkat atas. Jika benar Ina tidur seorangan di bilik atas. Siapa pula di pangkuannnya ketika itu?
Debaran di dada kembali kencang. Peluh renek kembali berlinang di dahinya. Air liur diteguk tidak terasa apa. Pandangan perlahan-lahan dibawanya turun melihatkan susuk tubuh Ina yang terbaring di pangkuannya. Saat anak matanya hinggap melihatkan wajah Ina, Ina sedang tersenyum sinis melihatkan dirinya. Wajahnya kusam menampakkan kedut di dahi.
"Kau tengok semua gambar aku..??" soal Miyoko terus sahaja menerpa menangkap leher Azman.
Share this novel