Pssstt Chapter 1

Mystery & Detective Completed 10294

Bab 1

“Pssstt..”

Sekali lagi bunyi itu kedengaran jelas. Dari arah yang sama. Berselang seli dengan bunyi kipas angin yang menderu. Puas sudah Aishah perhatikan namun tiada siapa pun disitu yang dapat diperhatikannya. Bunyi itu seolah memanggilnya. Seolah menggamitnya agar datang menghampiri.

“Siapa tu..??” hampir beberapa kali sudah dia diganggu sebegitu, kali ini tidak mampu lagi hendak ditahannya amarah itu. Kerja yang masih menimbun di atas meja perlu disiapkannya secepat mungkin. Tiada masa untuk bergurau senda dikala dihimpit kekangan kerja seperti itu.

Jam yang berdetik di dinding pejabat diperhatikannya dengan keluhan.

“Pukul 11.00 malam dah..??” berat keluhan yang dilepaskan. Tubuh kepenatan dibawanya bersandar ke kerusi. Mata dilelapkan seketika sambil jari mengurut kepalanya sendiri. Fikiran terawang teringatkan keluarga di rumah. Suami dan anak-anak mungkin telah tidur fikirnya. Jarang dia pulang lewat, namun kerana desakan kerja terpaksa jua Aishah turuti.

“Pssstt..”

Kelopak matanya kembali terbuka memerhatikan ruang pantri yang bergelap tidak disimbahi cahaya. Dia yakin benar tiada siapa lagi di pejabat itu melainkan dia seorangan. Mengenangkan bahawa itu adalah pejabat baru yang tidak sampai seminggu digunakan syarikatnya, hatinya dirundung debar. Mungkinkah sebelum bangunan itu mereka huni, telah ada penghuni lain yang menumpang? Mungkin hantu?

“Aku tak percayakan hantu..” rungut Aishah lalu menolak kerusinya sedikit ke belakang. Ruang gelap pantry itu ditujuinya. Dengan kecekalan yang dikumpul di dalam dada, dia membawa langkah satu persatu tanpa rasa ragu.

Lampu dipasangnya agar menerangi. Deretan kerusi dan meja yang tersusun rapi terpampang dihadapannya. Bauan wangi menusuk ke pangkal hidungnya. Serta merta dia diterpa perasaan seram yang sukar disangkal. Teringatkan kata-kata orang tuanya dahulu ketika masih kecil, cerita-cerita yang tidak enak tentang makhluk halus ini berlegar dalam sanubarinya.

Menurut cerita orang-orang terdahulu, syaitan jembalang ini jarang menonjolkan diri mereka di khalayak. Sekadar memberi petanda akan kehadiran mereka dengan bermacam cara. Ada yang mengetakan syaitan dan jembalang ini hanya gemar mngusik. Lebih-lebih lagi jika mangsanya itu sendirian. Aishah mengusap belakang tengkuk beberapa kali. Saat teringatkan suatu pesanan oleh ayahnya suatu ketika dahulu, bulu romanya seperti tegak dengan sendirinya.

“Hantu ni ada kalanya datang bersama bau-bauan..kalau bau yang menerpa hidung seakan wangi hingga mampu melalaikan kita, itu tandanya ‘dia’ tersangat hampir dengan kita..tapi jika bau yang muncul itu busuk yang tidak terperi, itu maknanya ‘dia’ masih lagi jauh dari kita..” pesan ayahnya berlegar di cuping telinga. Pantas lampu pantri ditutupnya. Aishah melangkah laju menuju ke mejanya semula.

Aishah duduk termanggu dengan pandangan yang masih tidak dilepaskan terhadap ruang pantry di pajabat barunya itu. Ada sesuatu di situ.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah bunyi yang mengganggu Aishah itu? Adakah makhluk halus yang menetap dalam rumahnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience