Lesung Chapter 5

Mystery & Detective Completed 10294

Bab 5

Lelehan darah yang menitis ke lantai tadi telah dibersihkan oleh nenek Su.

“Sedap darah cucu ni..” lebar senyuman nenek Su lalu terus menyambung kerjanya di dapur.

Ralit Farisha di dalam bilik sambil membelek beg pakaiannya. Lentungan batu lesung dari arah dapur memecahkan hening sunyi rumah itu.

“Tadi nenek Su kata dah siap masak..??” lagaan lesung membawanya ke dapur semula. Bunyi gesekan dan lentungan itu seolah memanggilnya untuk kesana. Langkahnya diatur. Setapak demi setapak.

“Nenek..??” sapa Farisha tika melihatkan nenek Su duduk mencangkung membelakangi dirinya. Tubuhnya terbuai mengetuk anak lesung tanpa mempedulikan kehadiran Farisha.

“Duduklah..makan..” nenek Su enggan berpaling. Dia menuding ke arah meja agar Farisha segera menjamah makan malamnya. Akur dengan kehendak nenek Su, punggung dilabuhkan di atas kerusi. Tudung saji dibuka lalu diletakkan ke sisi meja.

“Sedapnya nek..!” Farisha menelan air liur saat melihatkan lauk pauk masakan kampung yang terhidang. Jantung pisang celur, ikan goreng masak kicap, telur masin dan yang paling menggamit seleranya adalah semangkuk sambal gesek. Sambal ikan bilis yang ditumbuk bersama cili padi dan perahan asam limau itu benar-benar membuka seleranya. Namun dalam kesamaran malam dapat diperhatinya sambal gesek itu seakan tidak seperti yang disediakan ibunya. Warnanya kemerahan dan bukannya kekuning-kuningan.

“Ahh.. mungkin nenek banyak pakai cili api merah kot..” seraya dia berkata dalam hati. Nasi dicedoknya ke dalam pinggan.

“Jemput makan nek..”

Nenek Su sekadar mengangguk lemah. Farisha berselera menyuap. Semua yang dimasak nenek Su dirasakannya begitu sedap. Kecuali sambal gesek itu. Sedikit masin dirasakannya tidak seperti yang pernah dirasainya. Hendak ditegur pada nenek Su nanti risaukan nenek tua itu berkecil hati pula. Suapan nasi ke mulut perlahan-lahan ditelannya tanpa ragu.

“Nanti cucu dah habis makan.. naiklah tidur ye.. nenek nak naik ke bilik..” tubuh itu melintas lalu di belakangnya. Farisha mengangguk sedikit kehampaan. Baru sahaja hendak diajaknya berbual sebelum malam kian menjengah. Namun mungkin kerana keletihan, nenek Su tidak mampu menahan matanya untuk terus berjaga. Langkah nenek Su perlahan demi perlahan menyusuri anak tangga lalu terus menuju ke dalam bilik.

Angin yang berpuput lembut kedengaran menghembus perlahan. Atap zink rumah papan itu seperti ada yang mahu tercabut. Rumah itu agak usang pada pandangan mata Farisha. Mungkin usia rumah itu lebih tua daripada umur nenek Su sendiri. Farisha sekadar memerhatikan skrin telefon bimbitnya. Tiada rangkaian langsung yang berjaya ditangkap. Sedikit keluhan dilepaskan perlahan Farisha. Selepas selesai menjamu makanan di dapur, dia sekadar duduk seorangan di dalam gelap memerhatikan telefon bimbitnya. Hajat di hati hendak menelefon ke rumah. Namun kekangan rangkaian menghalang hajatnya.

…bersambung

Bab akan datang:

Mana anak nenek? Tidakkah dia bermalam di dalam rumah atau sebenarnya dia adalah penunggu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience