Dukun Unjam Chapter 8

Mystery & Detective Completed 10294

Bab 8

Jika sebelum ini, kerja memukat mengambil masa seharian di laut untuk mencari hasil laut, kini dengan berbekalkan unjam yang baru didapatinya semalam, Pak Kassim menganggarkan kerjanya mungkin bertambah senang tidak seperti kebiasaan.

“Ceria betul kau hari ni Kassim..?? semalam bukan main moyok lagi kau aku perhatikan..” Pak Rahim duduk bersebelahan dengannya sambil menghulurkan sebatang rokok pada rakannya itu.

“Terbayangkan hasil laut yang memutih naiknya dalam pukat tu nanti Rahim..” seloroh Pak Kassim berbicara menghadirkan tawa kecil Pak Rahim.

“Baguslah macam tu..tak adalah muram je macam selalu..macam mana rezeki nak masuk kalau muka tuan punya bot kelat je kan..??” berderai tawa Pak Kassim saat dirinya disindir. Ada benar juga kata rakannya itu. Sebelum ini dia lebih banyak menyisih diri di dalam ruang bot berbanding di luar. Hanya pekerjanya sahaja menguruskan segala hal di atas dek bot kecilnya itu manakala Pak Kassim sibuk mengemudi bot menghalakan ke mana sahaja tempat memukat yang dirasakan sesuai.

“Rahim..nanti ikan pertama yang kau nampak pada pukat tu..kau ambilkan untuk aku..asingkan dari ikan yang lain..”

“Kau nak buat apa..??”

“Aku nak buat lauk..”

Bertaut kening Pak Rahim.

“Kenapa pulak mesti yang pertama..??”

“Kau buatlah macam yang aku suruh..dah boleh angkat pukat tu..aku nak turunkan sauh sekejap..” ujar Pak Kassim lantas menuju je sisi kiri bot mencapai sauh. Saat sauh dilemparnya turun menjunam ke dasar laut. Satu bayangan hitam sebesar manusia dilihatnya berlegar di bawah botnya. Hatinya terdetik mungkin ikan yu sedang mencari mangsanya.

“Angkat cepat pukat tu..! Ada jerung bawah bot kita..!” jerit Pak Kassim memaksa sekalian awak-awak di atas botnya bekerja dengan lebih pantas. Tanpa dia sedari yang bayang-bayang itu bukanlah seperti apa yang difikirkannya. Pak Kassim bergegas ke dalam ruang kemudi botnya saat bot itu seperti beroleng tidak seperti kebiasaan. Anak matanya masih melihatkan Pak Rahim bertungkus lumus menarik naik pukat yang beratnya tidak seperti kebiasaan.

“Banyaknya ikan..!!” jerit salah seorang awak-awak. Semua mata terpaku melihatkan pukat yang memutih berisi ikan pelbagai jenis dan saiz. Saat pukat dilambakkan di atas bot, bertebaran ikan meliuk tidak punya nafas. Masing-masing menjerit riang. Pak Kassim tersenyum lebar lalu bergegas ke ruang hadapan bot miliknya.

“Mana ikan yang aku minta pada kau tadi Rahim..??” ikan pertama perlu dimakannya mentah. Itu arahan yang diberikan dukun unjam padanya semalam saat unjam bertukar milik.

“Kecil sangat Kassim..tamban saiz dua jari..aku dah campak dalam laut semula..” jawapan Pak Rahim benar-benar menggugurkan jantung Pak Kassim. Kata dukun umjam, sebesar manapun ikan itu dibawa naik, tetap perlu dimamahnya hidup-hidup. Andai diingkari, bala bakal menanti.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan dilakukan Pak Kassim? Adakah terjun untuk mendapatkan semula ikan itu? Apa bala yang menantinya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience