SEMINGGU KEMUDIAN
Setelah 4 jam memandu, akhirnya Daizy tiba di hadapan pagar rumah anak yatim My Hope. Sebelum turun, Daizy merenung sejenak rumah itu. Cuba mengumpul semangat dan kekuatan untuk menemui Bonda Zainah serta mereka yang lain. Berharap agar air matanya tak tumpah sebaik bersua muka dengan mereka semua.
Tok tok!
Cermin tingkap diketuk sekaligus menyedarkan Daizy dari lamunannya. Seketika, baru tersedar akan kehadiran Alfie di luar kereta. Wajah lelaki itu jelas menunjukkan dia terkejut dengan kehadiran Daizy di situ. Tanpa membuang masa, Alfie lebih dulu membuka pintu kereta.
"Daizy! Ya Allah!" Tangannya pantas membuka tali pinggang keledar yang dipakai wanita itu. Daizy hanya membiarkan. Tercuit hatinya melihat tingkah Alfie.
"Jom, masuk rumah," ajak Alfie.
"Kejaplah, barang aku ada dekat belakang."
"Dah, nanti aku turunkan. Jom! Mesti bonda happy kalau tahu kau datang." Mata Alfie sedikit berair. Tak sangka, akhirnya Daizy munculkan diri juga.
"Kenapa datang tak bagitahu? Aku boleh jemput kau. Jauh tau kau drive sampai sini," ujar Alfie sewaktu mereka bersama-sama menuju ke rumah.
"Saja nak buat surprise. Bonda ada?" Tanya Daizy.
"Mestilah ada. Dia mana pernah tinggalkan rumah kecuali hal penting."
Sewaktu tiba di hadapan pintu, Alfie menahan Daizy seketika.
"Kau okey?" Wajah Daizy diperhati sejenak. Jelas sekali berat badannya mulai susut. Wajah juga kelihatan sedikit cengkung.
"Kau makin kurus, Daizy," tegur Alfie. Tangannya naik untuk menyentuh pipi cengkung itu namun dihalang oleh Daizy.
"Aku okey. Jom masuk. Aku laparlah," katanya dengan senyuman nipis.
Akhirnya Alfie membawa Daizy masuk ke dalam. Begitu banyak yang ingin ditanyakan kepada wanita itu. Sebaik tiba di dalam, mereka disambut oleh Bonda Zainah. Sungguh tak disangka, akhirnya Daizy datang juga setelah setahun tak munculkan diri.
Suasana sedikit hiba. Masing-masing menangis dan berpelukan sambil melepas rindu yang sekian lama tak terubat. Kehadiran Daizy bagaikan sebuah mimpi untuk mereka semua. Memandangkan sudah waktunya makan tengah hari, mereka pun menuju ke dapur untuk mengisi perut. Kebetulan lauk sudah disiapkan oleh Ibu Ratih dan Ibu Salwa.
Rancak sahaja perbualan mereka di meja makan. Setelah setahun tak bertemu, masa yang ada nyata terlalu singkat untuk mereka. Tak sedar, petang sudah memjengah. Dia sudah memutuskan untuk bermalam di situ. Esok pagi barulah dia bergerak pulang ke bilik sewa.
"Daizy," panggil Bonda Zainah saat melihat Daizy baru keluar dari bilik air.
"Ya?" Daizy segera mendekati Bonda Zainah.
"Alfie mana?"
"Dekat pondok luar."
"Oh." Bonda Zainah angguk sambil menjengah ke luar sebelum lebih mendekati Daizy.
"Bonda nak cakap dengan Daizy sekejap. Jom," katanya dan terus membawa Daizy duduk di dapur bersama-sama.
"Sebenarnya, Alfie dah pesan supaya bonda tak tanya apa-apa. Tapi hati bonda tak tenang. Lepas nampak Daizy masuk dari pintu tu lagi bonda dapat rasa ada yang tak kena. Daizy kurus sangat. Muka tu nampak pucat aje."
Daizy ukir senyuman nipis. Walaupun bukan sedarah, wanita yang menjaganya sejak kecil tak pernah gagal menebak isi hatinya.
"Saya okey, bonda. Cuma memang tak sedap badan."
"Daizy mengandung?"
Daizy tersentak. Sekuat itukah naluri keibuan Bonda Zainah? Tanpa perlu berterus terang, wanita itu sudah lebih dulu dapat menekanya.
"Izy. Dengar tak bonda tanya ni?"
Daizy senyum lebar sebelum mengangguk perlahan sebagai tanda mengiyakan tekaan Bonda Zainah
"Alhamdulillah." Ucap Bonda Zainah dan terus mengusap tangan Daizy yang terletak di atas meja.
"Akhirnya, Allah dah makbulkan doa kita semua." Mata Bonda Zainah mulai berair. Sungguh terharu dengan berita yang baru sahaja didengar.
Daizy hanya mampu tersenyum. Melihat kegembiraan di wajah bonda, Daizy tak sanggup mahu menceritakan apa yang sedang dilalui.
"Tapi..." Tiba-tiba wajah Bonda Zainah bertukar resah.
"Daizy dengan Levent, okey?" Tanya Bonda teragak-agak.
Senyuman Daizy masih kekal di bibir. Jangan sampai Bonda dapat membaca lagi riak wajahnya.
"Kalau tak okey, macam mana boleh mengndung, bonda," seloroh Daizy lalu tertawa kecil..
Bonda Zainah terdiam sejenak sebelum akhirnya ikut tertawa. Baru sedar akan soalannya yang tak masuk akal.
"Haih. Maaflah, Daizy. Bonda ni asyik tak sedap hati aje. Maklumlah, dah lama sangat tak jumpa. Daizy pun lama sangat kerja dekat luar. Bonda ingatkan Daizy dengan Levent ada masalah. Tahu-tahu dan mengandung," katanya lagi seraya tertawa.
Daizy angguk dengan senyuman nipis. Bimbang jika bersuara, sebaknya bakal kedengaran.
"Dah berapa bulan?" Tanya bonda lagi.
"Dah nak masuk dua bulan bonda. Baru lagi. Sebab tu saya tak bising-bising. Takut tak jadi pulak," kata Daizy, bergurau.
"Ish! Apa pulak cakap macam tu!" Marah Bonda Zainah.
"Tiga tahun, bonda. Tiga tahun saya tunggu, tiba-tiba pula boleh mengandung."
"Mestilah boleh mengandung, kamu tu ada laki. Lainlah kalau tak ada laki, tetiba mengandung. Hah, yang tu memang patut risau," seloroh Bonda Zainah.
"Tapi." Bonda Zainah kembali resah.
"Daizy betul-betul tak apa-apa?" Tanya wanita tua itu lagi.
"Selama Daizy tak ada, Bonda tak boleh tidur lena. Bonda selalu mimpi tak elok pasal Daizy. Bonda selalu mengadu dekat Alfie. Tapi Alfie tu, asyik suruh bonda sabar, sabar. Bonda nak call pun dia kata tak boleh sebab Daizy sibuk dengan klien. Syukurlah Daizy sempat nak balas mesej dari bonda. Itu pun dah cukup terubat rindu bonda pada kamu," luahnya panjang lebar.
Tiba-tiba Daizy berdiri dan terus memeluk Bonda Zainah. Terasa berdosa kerana membiarkan wanita itu mengkhuatirkan dirinya.
Sepanjang dua hari di situ, Daizy memanfaatkan masa sebaiknya. Dan sepanjang dua hari itu juga dia menghabiskan masa dengan keluarganya di situ. Hingha tak terasa, hari begitu cepat berlalu, rindu belum terubat, kini sudah tiba masanya untuk dia pulang memandangkan esok dia harus bekerja semula.
Setelah bersalaman dan berpamitan dengan penghuni My Hope, barulah Daizy beredar dari situ. Alfie ikut menemaninya menuju ke kereta.
"Kau masih tinggal dekat bilik sewa?" Tanya Alfie.
"Ya."
"Kenapa tak tinggal dengan laki kau?" Soalnya lagi.
"Aku masih terikat dengan contract syarikat tempat aku kerja sekarang ni. Aku tak boleh suka hati nak berhenti," katanya memberi alasan. Dia boleh sahaja meminta bantuan Muzammil agar contract ditamatnya. Namun dia sengaja melengahkan perkara tersebut. Dia belum bersedia untuk kembali ke rumah suaminya.
"Yalah,"
Baru hendak masuk ke dalam kereta, Alfie menahannya.
"Betul kau dengan Levent dah okey?"
"Ya,"
"Kau tak tipu aku, kan?" Duga Alfie lagi.
Daizy senyap. Ini lagi satu kelebihan yang ada pada Alfie. Lelaki itu tahu kalau dirinya menyimpan sesuatu.
"Kau nampak, muka aku ni macam menipu?" Tanya Daizy kemudian tersenyum menayang gigi.
"Ya. Muka kau tak boleh menipu. Kau, tak pandai menipu," kata Alfie, serius.
"Dari kau baby sampai ke besar, aku yang jaga kau. Aku tahu kalau kau tengah gembira atau pun sedih. Dan sekarang ni kau tengah sedih," kata Alfie begitu yakin.
Daizy hela nafas pendek. Memang gagallah jika mahu membohongi Alfie.
"Levent, kan?" Duga Alfie.
Daizy hela nafas pendek sebelum akhirnya mengangguk perlahan.
"Korang cerai jelah, Daizy. Aku tengok keadaan kau dah makin teruk." Dari raut wajahnya, jelas menunjukkan dia benar-benar marah. Tidak terima saat wanita yang dijaga seperti adik sendiri terus disakiti.
"Aku sayang dia, Alfie. Macam mana aku nak minta cerai? Dia lelaki pertama dan satu-satunya dalam hidup aku. Cinta aku dah habis dekat dia seorang. Cakap, macam mana aku nak minta cerai?" Suara Daizy kedengaran bergetar menahan sebak.
"Habis tu, kau nak seksa diri macam ni? Atas dasar cinta pertama dan cinta satu-satunya, kau rela macam ni?" Alfie raup wajah sambil menghela nafas panjang. Seteruk inikah cinta? Wanita sebijak Daizy pun boleh jadi bodoh kerana cinta.
"Ini bukan soal cinta semata-mata, Alfie. Dia dah jadi suami aku. Dan sekarang ni..." perut yang rata disentuh perlahan-lahan. Perbuatannya itu diperhati oleh Alfie sebelum akhirnya lelaki itu memahaminya.
"Kau mengandung?" Tanya Alfie dengan wajah tak percaya.
Daizy hanya angguk tanpa menjawab.
"Ya Allah." Kali ini, nafas yang dihela semakin berat.
"Kau tak gembira?" Soal Daizy. Tak ada secalit senyuman pun di bibir lelaki itu.
"Bukan tak gembira, Daizy. Tapi dalam situasi macam ni, kenapa kau rela untuk mengandung? Kau jugak yang terseksa nanti. Levent tak akan ambil peduli pun," katanya begitu kesal sekali.
Daizy terpempan mendengar kata-kata Alfie. Sungguh tak sangka dengan apa yang keluar dari mulut lelaki itu. Seolah-olah kehamilannya bukan di waktu yang tepat. Sedangkan dia sudah menunggu tiga tahun untuk zuriat itu dititipkan ke dalam rahimnya.
Tanpa sedar, air matanya jatuh membasahi pipi sekaligus mengejutkan Alfie. Lelaki itu tahu, kata-katanya sudah menggores hati Daizy.
"Daizy, kau jangam salah faham..." Alfie cuba memujuk namun Daizy sudah terlanjur terasa hati.
"Aku balik dulu," pamit Daizy dan terus membuka pintu kereta. Belum sempat masuk, Alfie menahannya semula.
"Aku minta maaf kalau kata-kata aku buat kau terasa," katanya mengakui kesalahan.
"Cuma satu yang kau kena ingat," katanya sambil menatap mata Daizy.
"Seteruk apa pun keadaan kau, aku tak akan pernah tinggalkan kau. Serendah apa pun kau terjatuh, aku tetap akan raih tangan kau. Ingat, Daizy. Aku sayang kau. Aku cintakan kau. Kalau Levent terus menerus sakitkan kau macam ni, aku akan rampas kau dari dia," tutur Alfie kedengaran benar-benar nekad.
Suasana hening seketika manakala anak mata mereka saling merenung sesama sendiri. Bergerak-gerak seolah berbicara melalui mata.
"Insha Allah, doakan rumah tangga kami bahagia. Ada insan yang perlukan kasih sayang kami berdua," tutur Daizy lalu tersenyum. Jangan sampai anak yang bakal lahir nanti turut melalui keperitan hidup tanpa orang tua.
"Aku boleh jadi bapa sebagaimana aku jadi abang untuk kau selama ni." Alfie masih menegakkan dirinya.
"Terima kasih sebab dah jadi abang aku selama ni. So, biarlah status kau hanya sebagai abang. Aku tak mampu nak cintakan kau... macam aku cintakan Levent."
"Kau tak cintakan dia, Daizy. Kau lupa sebab utama kau terima lamaran dia dulu?" Alfie sengaja mahu mengingatkan.
"Ya, aku sedar yang aku kahwin dengan dia dulu sebab harta, sebab nak tolong bonda tanggung rumah anak yatim ni. Tapi sebaik aku sah jadi isteri dia, aku dah serahkan seluruh jiwa raga aku hanya untuk dia. Kau pun tahu benda tu, kan?"
Alfie angguk perlahan. Ya, dia harus menelan kenyataan itu. Kenyatan bahawa wanita yang dicintai sejak dulu sudah menjadi milik mutlak seorang lelaki. Lelaki yang tak bertanggungjawab. Hal itu yang paling dia sesali hingga hari ini.
"Aku balik dulu, Alfie. Jagakan bonda dan yang lain untuk aku. Insha Allah, tiap bulan aku akan datang sini," katanya kemudian memberi isyarat untuk menutup pintu kereta. Dengan langkah yang lemah, Alfie mengundur kemudian membantu Daizy untuk menutup pintu. Wanita itu menurunkan cermin untuk berpamitan buat kali terakhir sebelum beredar.
"Hati-hati. Kalau perlu apa-apa, jangan segan nak bagitahu. Ingat, aku ni abang kau," pesan Alfie dengan senyuman nipisnya.
"Ya, bang," sahut Daizy lalu tertawa. Akhirnya, Alfie ikut tertawa. Tercuit hati mendengar panggilan yang baru sahaja Daizy gelarkan padanya.
Setelah Daizy beredar, barulah Alfie masuk ke dalam rumah.
DI rumah banglo bertingkat tepatnya di ruang tamu, Zila sedang terbaring di atas sofa sambil menikmati makanan ringan serta minuman yang dibawa dari dapur. Sesekali menukar posisi sambil menyaksikan hiburan yang ada di televisyen.
Segala plastik makanan ringan serta bekas tin minuman dibiarkan berselerak di atas meja serta di atas lantai. Tak terkecuali kulit kacang dan kuaci yang berhamburan di sekelilingnya.
"Haih! Bosanlah duduk rumah!" Rungutnya sambil menekan-nekan alat kawalan jauh televisyen.
Biasanya, waktu seperti ini dia akan menghabiskan masa bersama teman di tempat kerjanya di pusat hiburan. Melayani lelaki dan bersenang-senang.
Sudah seminggu berlalu semenjak pernikahannya dengan Levent, mereka berdua belum sepenuhnya memenuhi tanggungjawab sebagai suami isteri. Lebih tepatnya, Levent belum bersedia untuk menggaulinya.
Zila yang sudah terbiasa dengan pekerjaan melayani nafsu lelaki membuatkan dirinya semakin tak keruan setiap kali Levent menolak keinginannya.
"Jangan sampai aku makan luar!" Getusnya sendiri. Setiap malam, pertengkaran pasti berlaku melibatkan perkara dalam kain itu. Ditambah lagi Zila yang semakin terdesak kerana bimbang kehamilannya bakal diketahui. Apatah lagi mereka belum mengadakan majlis persandingan. Dia bimbang perutnya bakal kelihatan sewaktu duduk di atas pelamin nanti.
"Ish! Bosanlah!" Zila bangkit dari duduknya sambil menendang meja. Tak tahan lagi duduk di rumah seorang diri. Berbekalkan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank oleh Levent, dia memutuskan untuk keluar berjalan-jalan. Sayang jika tak dibelanjakan sepuasnya. Kalau hanya untuk diri sendiri, takkan habis digunakan olehnya.
Tepat pukul 7 petang, Levent tiba dari pejabat. Dia sedikit hairan melihat halaman rumah dalam keadaan gelap. Cahaya dari dalam rumah juga tidak kelihatan menandakan lampu tidak dinyalakan.
Sebaik masuk ke dalam rumah, Levent segera menyalakan lampu. Setelah ruangan diterangi, dia terkejut melihat ruang tamu yang berantakan. Segala bungkusan makanan ringan serta bekas tin minuman dibiarkan tidak dibuang.
Levent mengeluh pendek sambil melonggarkan tali lehernya. Belum habis lelah di tempat kerja, kini dia harus menghadapi pula rumah yang berantakan.
"Zila," panggilnya sambil menaiki tangga.
"Zila. Awak dekat mana?" Panggilnya lagi selepas tiada jawapan. Sebaik membuka pintu bilik, ianya kosong dan gelap.
"Mana dia pergi?" Getus Levent, kesal.
Telefon segera dikeluarkan kemudian menghubungi isterinya. Malangnya, tiga kali pamggilannya tidak disambut. Dengan perasaan yang semakin kesal, dia pergi membersihkan diri. Setelah itu dia turun ke ruang tamu untuk membersihkan sampah yang ditinggalkan isterinya.
Disebabkan perut yang mulai berbunyi, Levent pergi ke dapur untuk mengisi perut. Saat membuka periuk nasi, ianya kosong tanpa sebutir nasi pun. Tempat lauk juga kosong menandakan Zila tidak memasak sebelum keluar.
Akhirnya, Levent menyiapkan makanannya sendiri. Kerana sudah terlalu lapar, hanya mi segera yang dimasak untuk mengisi perut. Sepanjang menjamah mi segera, Levent termenung di atas meja. Fikirannya melayang teringat isteri pertamanya.
Jika waktu seperti ini, pasti mereka sedang duduk dan makan bersama. Menikmati makanan hasil air tangan wanita itu. Tak pernah sekali pun Daizy membiarkan meja makan kosong saat dia pulang ke rumah. Mereka hanya akan makan di luar jika Levent yang mengajak atau pun Daizy tidak sempat untuk menyediakan makanan.
Tanpa sedar, pandangannya mulai kabur dek air mata yang bergenang.
"Shit." Mata diseka dari terus mengalirkan air jernih itu. Tiada apa yang perlu ditangisi. Keputusannya sekarang tidak lain, hanya ingin membuktikan dia lebih berkuasa daripada isteri. Daizy tak mampu bersama lelaki lain sedangkan dirinya mampu membawa wanita lain masuk ke dalam rumah mereka.
Share this novel