Semoga epilog ini dapat melegakan sedikit perasaan anda. Sekian?
TUJUH TAHUN KEMUDIAN...
Kehidupan Daizy sudah semakin membaik. Jujur, perlukan bertahun-tahun untuk mengikhlaskan perpisahan dengan orang yang disayangi. Mujurlah dengan kehadiran Lessandra mampu menemani perjalanan hidupnya yang dibesarkan dengan tangannya sendiri.
Pun begitu, Dato Ahmed tak membiarkan menantunya mengharungi segalanya tanpa bantuan. Dengan harta dan tenaga yang dia miliki, dimanfaatkan untuk menantu serta cucunya.
Bonda Zainah dan Alfie juga turut berjasa dalam kehidupan Daizy. Banyak membantu wanita itu sehinggalah sekarang. Tidak membiarkan hidup Daizy terumbang ambing menjaga anak seorang diri.
Namun, ada satu jiwa yang mulai mengerti akan perkara yang berlaku dalam hidupnya. Lessandra, yang semakin membesar mulai faham erti rindu. Lebih tepatnya, dia rindu figura seorang ayah. Dengan berbekalkan sekeping foto Levent yang dicuri ambil dari almari milik ibunya, itulah yang ditatap untuk mengubat rindu.
"Lessa, kenapa buka lampu?" Soal Daizy sewaktu melintasi bilik anaknya. Terlihat jelas cahaya dari bawah pintu bilik.
Disebabkan tiada jawapan, Daizy membuka pintu tersebut. Serentak itu, Lessandra menyembunyi foto tersebut di bawah bantalnya.
"Lessa buat apa?" Daizy menapak masuk mendekati anaknya. Kelihatan mata anak kecil itu sedikit merah.
"Lessa sembunyi apa bawah bantal?" Tanya Daizy lagi lalu duduk di sisi anaknya.
Lessandra geleng dengan wajah takut. Dia takut ibunya bakal murka dengan perbuatannya.
"Lessa, mama tanya," tegur Daizy, lembut.
Dengan teragak-agak, Lessandra menarik semula foto yang disembunyi di bawah bantal lalu dihulur kepada ibunya. Seketika, Daizy menghela nafas pendek sewaktu melihat sekeping gambar bekas suaminya ada dalam simpanan anaknya.
"Sejak bila Lessa ambil gambar papa? Kenapa tak minta dengan mama?" Setahu Daizy, foto-foto milik bekas suaminya disimpan rapi di dalam almari.
"Lessa takut. Sebab mama tak benarkan Lessa tengok gambar papa sorang-sorang." Mata yang sedari tadi merah kini mulai berair.
"Lessa nak tahu tak, kenapa mama tak benarkan Lessa tengok gambar papa sorang-sorang?" Daizy dekatkan wajah kemudian menyentuh lembut pipi anaknya.
"Sebab ini." Air mata yang mengalir di pipi anak kecil itu diseka dengan jarinya.
"Sebab mama tak nak Lessa sedih lepas tu menangis seorang diri. Kalau ada mama, Lessa boleh luahkan semua pada mama," jelas Daizy. Dia mahu anaknya tahu alasan mengapa dia terpaksa berbuat demikian.
Lessandra akhirnya tertunduk sayu. Rasa bersalah pada ibunya.
"Dah, jangan sedih." Pipi anaknya diusap lembut sambil mengesat air mata di pipi gebu itu.
"Lessa nak simpan gambar papa, kan? Simpanlah. Mama benarkan." Foto tersebut diberi semula kepada anaknya sekaligus menerbitkan senyuman di bibir anak kecil itu.
"Terima kasih, mama," ucap Lessandra seraya memeluk ibunya.
"Dah, tidur. Esok nak sekolah." Daizy berdiri untuk memberi ruang kepada anaknya. Sebaik anak kecil itu baring barulah Daizy keluar dari situ.
Dengan helaan nafas yang panjang, Daizy bersandar seketika di pintu bilik anaknya. Untuk pertama kalinya, dia merasa bersalah kerana mengekang anaknya dari menatap foto bekas suaminya selama ini. Baru sedar akan anaknya mulai mengerti perasaan rindu pada seorang ayah.
KEESOKAN paginya, Daizy menghantar Lessandra ke sekolah seperti biasa. Setelah itu barulah dia ke tempat kerja. Sehingga saat ini, dia masih bekerja di dalam syarikat bapa mentuanya dan masih memegang jawatan yang sama.
Sedang tekun menaip di komputer, matanya melirik sekilas telefon bimbit yang menyala di atas meja. Satu pesanan ringkas dari Alfie terpapar di skrin telefon bimbitnya. Sebaik pesanan itu dibuka, senyumannya terukir nipis.
'See you tonight! Bonda nak awak yang hias bilik pengantin untuk saya.'
'As her wish."
Setelah membalas pesanan itu, telefon bimbit diletak semula di atas meja dengan senyuman yang masih mekar. Jujur, dia ikut bahagia dengan perkahwinan Alfie yang bakal berlangsung dua hari lagi. Akhirnya lelaki itu mampu menerima Wani sepenuh hati sehingga berani memutuskan untuk menikahi wanita itu.
Cukup 7 tahun kedua-dua pasangan bertunang, tidak dinafikan bahawa ujian yang ditempuh untuk sampai ke tahap ini bukannya sedikit. Namun kedua-dua pasangan itu bersama-sama berusaha untuk mempertahankan hubungan mereka.
DI hadapan pagar sekolah, Lessandra sedang duduk di pondok pengawal sambil menunggu ibunya. Sudah sejam dia duduk di situ memerhati teman-temannya dijemput orang tua masing-masing. Sememangnya mereka tidak dibenarkan keluar sebelum orang tua mereka datang menjemput.
Namun disebabkan bosan, Lessandra keluar tanpa pengetahuan pengawal yang menjaga sewaktu pengawal tersebut sedang sibuk mengatur kenderaan yang keluar masuk.
Beberapa minit berjalan, dia tiba di hadapan sebuah kedai serbaneka. Matanya memerhati deretan ais krim di dalam peti sejuk sambil membasahkan bibir yang kering. Hendak membeli ais krim, dia tidak mempunyai wang. Ibunya tak membekalkan wang kerana sekolahnya sudah menyediakan makanan dan minuman untuk mereka.
"Nak?" Tanya seorang lelaki yang baru tiba di sisi Lessandra.
Tanpa mendongak, Lessandra angguk dek keinginannya mahukan ais krim perisa vanilla itu.
Lelaki yang tak terlihat wajahnya itu tunduk membuka peti sejuk lalu mencapai dua bungkus ais krim perisa vanilla kemudian dibawa ke kaunter. Setelah membuat pembayaran. Dia keluar semula lalu mendekati Lessandra yang sudah duduk di hadapan dinding kaca kedai serbaneka itu.
"Nah." Ais krim vanilla yang sudah dibuka bungkusnya dihulur kepada anak kecil itu.
Laju sahaja tangan Lessandra menyambut ais krim tersebut lalu dijilat sedikit.
"Terima kasih, uncle," ucapnya seraya menoleh. Seketika, Lessandra terdiam sebaik melihat wajah lelaki yang sedang duduk di sebelahnya.
Perlahan-lahan, mulutnya terbuka sehingga ais krim mengalir di dagunya.
"Close you mouth, honey," kata Levent seraya menolak perlahan dagu Lessandra sehingga mulut anak kecil itu tertutup. Dengan menggunakan sapu tangannya, dagu Lessandra dilap sehingga bersih.
Lessandra masih terpaku melihat lelaki di sebelahnya. Begitu tak asing sekali di matanya. Ditambah lagi ketampanan lelaki itu membuatkan Lessandra terpikat.
"Nah, pakai sapu tangan ni. Lap bibir awak." Sapu tangan miliknya diberi kepada Lessandra.
"Uncle ni siapa?" Tanya Lessandra. Matanya masih tak lari merenung Levent.
"A father of my beautiful daughter," jawab Levent dengan senyuman nipisnya.
"Father?" Soal Lessandra. Tak susah baginya memahami bahasa asing itu memandangkan dia sudah mempelajarinya di sekolah. Terkadang juga dia menggunakan bahasa itu untuk berkomunikasi dengan ibunya.
"Bestnya jadi anak uncle. Dia ada papa," tutur Lessandra perlahan lalu kembali menikmati ais krimnya.
"Papa awak mana?"
"Entah," balas Lessa sambil mengangkat bahu.
"Kenapa papa awak tak tinggal sama-sama?" Soal Levent sengaja mahu mengorek cerita.
"Mama dengan papa dah bercerai," balas Lessandra.
"Cerai?" Levent kerut kening. Agak terkejut dengan jawapan anaknya.
"Ya, cerai. Pasangan yang dah kawin tapi berpisah, itu namanya cerai," jelas Lessandra, polos. Dia fikir, lelaki di sebelahnya tak tahu istilah cerai.
"Kenapa mereka berpisah?" Soal Levent lagi.
"Mama dengan papa berpisah sebab dah tak cinta."
"Kalau tak cinta, macam mana diorang boleh kawin?" Levent menyoal lagi. Semakin tertarik dengan cara anak kecil itu menjawap.
"Waktu mama dengan papa jatuh cinta, mereka pilih untuk berkahwin. Lepas dah tak cinta, mereka berpisah," jelas Lessandra satu persatu sambil menikmati ais krimnya.
Sekali lagi Levent dikejutkan dengan jawapan anak sekecil itu. Entah dari mana anaknya medengar tentang perceraian itu.
"Semua ni, mama yang cakap?" Tanya Levent mahukan kepastian.
"Tak." Lessandra geleng kepala.
"Habis tu?"
"Saya tengok dalam drama Korea. The Legend of the blue sea. Best," jawab Lessandra, selamba.
Spontan, Levent terbatuk kecil mendengar pengakuan anak kecil itu. Namun dalam masa yang sama, dia bersyukur kerana anaknya tak mengetahui penyebab dia berpisah dengan bekas isterinya.
"Haih, kecil-kecil dah tengok kdrama. Siapa yang ajar?" Pipi mulus Lessandra dicubit perlahan.
"Mama selalu tengok kdrama. Jadi saya tumpanglah tengok sekali," jelasnya selamba lalu kembali menikmati ais krimnya.
Levent menggeleng perlahan. Setiap jawapan yang diberikan anak kecil itu benar-benar di luar kotak pemikirannya.
"Jomlah, uncle hantar balik ke sekolah. Nanti mama cari pulak." Levent berdiri sebaik menghabiskan ais krimnya. Setelah itu, mereka pun bersama-sama menuju ke sekolah.
"Lain kali, Lessa jangan keluar dari sekolah selagi mama tak jemput, ya." Rambut depan anaknya disisir perlahan dengan jarinya.
"Eh, macam mana uncle tahu nama saya Lessa?" Tanya Lessandra, hairan.
Levent terdiam sejenak sebelum akhirnya tersenyum nipis.
"Saja main teka-teka. Sebab nama anak uncle pun Lessa."
"Hah? Betulkah uncle? Dia cantik tak?" Soal Lessandra, tiba-tiba teruja.
"Cantik sangat. Macam Lessa juga." Pipi Lessandra dicuit lembut.
Tidak semena, Lessandra tersenyum lebar saat mendengar pujian itu. Berbunga hatinya dipuji oleh lelaki setampan Levent.
"Dah, pergilah masuk. Uncle nak balik dulu," pamit Levent seraya menepuk lembut bahu anak kecil itu. Saat ingin berpaling, tangannya dipaut oleh Lessandra.
"Muka uncle..." Lessandra terdiam sejenak. Takut mahu meneruskan kata-katanya.
"Kenapa dengan muka uncle?" Tanya Levent.
Lessandra tak menjawab. Hanya matanya yang bergerak-gerak memerhati setiap inci wajah lelaki tinggi lampai di hadapannya. Saling tak tumpah dengan wajah ayahnya yang selalu dilihat dalam gambar ataupun sewaktu membuat panggilan video.
"Tak adalah." Akhirnya, tangan lelaki itu dilepas kemudian berlalu masuk ke dalam sekolah semula.
Levent hanya memerhati anaknya berlalu sebelum kembali semula ke keretanya. Sebaik duduk di dalam kereta, air matanya tumpah. Setelah tujuh tahun berlalu, barulah dia dapat bertemu anaknya semula. Tidak sangka anak kecil itu membesar terlalu cepat. Atau lebih tepat lagi dia yang pergi terlalu lama sehingga terlepas masa-masa membesar anaknya.
TEPAT pukul 8 malam, Daizy dan Lessandra tiba di kediaman milik Bonda Zainah. Hanya beberapa minit perjalanan dari My Hope. Di sana, mereka yang lain sudah sibuk menyediakan bahan masakan untuk kenduri doa selamat sempena hari pernikahan Alfie yang berbaki dua hari lagi.
Keesokan paginya, Daizy bangun lebih awal untuk membeli bahan-bahan yang kurang. Bonda Zainah serta mereka yang lain sedang sibuk memasak di dapur. Alfie juga sedang sibuk menyusun atur kerusi serta meja untuk tetamu yang bakal datang nanti.
Tepat pukul 8 pagi, Daizy bertolak ditemani Lessa. Pasaraya yang terdapat di dalam pusat membeli belah menjadi pilihan Daizy. Selain sejuk, barangan yang diperlukan terdapat dalam satu bangunan.
Sedang asyik memilih barang, tiba-tiba hujung bajunya ditarik oleh Lessandra.
"Mama, Lessa nak berak," katannya sambil memegang perut yang memulas.
"Aduh, Lessa. Mama nak cari barang ni. Banyak lagi tak beli." Daizy mengeluh pendek. Waktu sibuk beginilah anaknya mahu membuang air.
"Nak buat macam mana? Dah nak berak. Takkan nak tahan? Nanti Lesaa terberak dalam seluar, macam mana?" Bebel anak kecil itu.
"Hm yalah. Jom, mama hantar pergi toilet." Bakul berisi barangan ditolak ke dinding lalu dibiarkan di situ. Harus segera menghantar anaknya ke bilik air yang terletak di luar pasaraya.
"Pergilah, mama nak ke kedai kek dekat depan tu," kata Daizy seraya menuding ke arah kedai menjual kek tidak jauh dari situ.
"Tunggu mama dekat sini kalau Lessa dah selesai," pesan Daizy.
"Okey, mama." Lessandra terus berlari masuk ke dalam bilik air manakala Daizy menuju ke kedai menjual kek.
Beberapa minit kemudian, Lessandra selesai membuang air. Sewaktu keluar dari situ, dia terlihat lelaki yang ditemui di kedai serbaneka kelmarin. Tanpa berlengah, dia mengejar lelaki itu sehingga terlupa pada pesan ibunya agar menunggu di situ.
Lariannya semakin laju sewaktu lelaki itu semakin menjauh.
"Uncle!" Panggil Lessandra. Serentak itu, Levent menoleh. Benar-benar terkejut melihat Lessandra sedang berlari mendekatinya.
"Lessa?" Levent turut mendekati anaknya.
"Uncle, lajunya uncle jalan," kata Lessandra teebongkok-bongkok akibat lelah berlari.
"Sorry, honey. Papa tak sedar yang Lessa dekat belakang," kata Levent tanpa sedar.
"Papa?" Lessa tegakkan tubuh dengan wajah kebingungan.
"Er, maksud uncle... you can call me papa," ujar Levent lalu tersengih.
"Tak naklah. Saya dah ada papa," balas Lessandra polos. Tiba-tiba, dia memaut tangan Levent.
"Uncle, saya nak ais krim macam kelmarin. Satu aje, boleh?" Pinta Lessa sambil merenung mata lelaki itu.
Levent terdiam sejenak melihat wajah polos anaknya. Jangan satu, selori pun dia sanggup beli untuk anaknya.
"Boleh, honey. Anything for you." Dengan senyuman lebar, mereka bersama-sama menuju ke tingkat bawah. Disebabkan begitu teruja, Levent tak sedar akan Lessa semestinya datang bersama seseorang. Mana mungkin anak kecil itu datang ke pusat membeli belah seorang diri. Lessandra juga begitu. Terus lupa pada ibunya akibat teruja bertemu lelaki yang mirip dengan wajah ayahnya.
Setelah membeli dua bungkus ais krim, mereka berdua duduk di kerusi awam yang disediakan di dalam pusat membeli belah itu. Sambil menikmati ais krim, mereka duduk memerhati pengunjung yang lalu lalang.
Sudah setengah jam mereka di situ, kedua-duanya rancak bercerita. Lessandra lah yang banyak berbicara tentang aktivitinya di sekolah. Mulai dari teman sekolah sehinggalah mata pelajaran yang dibelajar di sekolah.
"Lessa!" Suara panggilan itu mengejutkan mereka berdua.
"Alamak! Mama!" Lessandra bingkas berdiri dari duduknya. Wajah anak kecil itu mulai pucat.
"Mama?! Ya Allah!" Levent juga bangun dari duduknya sambil menepuk dahi. Kenapa sekarang baru teringat tentang Daizy. Sudah sememangnya Lessandra datang bersama wanita itu.
"Habislah Lessa!" Lessandra gigit jari dengan wajah ketakutan.
"Uncle," panggil Lessandra semakin takut.
"Habislah kita, uncle," katanya seraya menggenggam tangan lelaki itu.
Levent gigit bibir. Entah kenapa, dia ikut takut pada bekas isterinya.
"Lessa! Ya Allah!" Teriak Daizy sambil berlari menghampiri anaknya.
"Mama..." Lessandra semakin tak terkutik sewaktu dipeluk ibunya.
Levent pula terdiam di tempatnya berdiri. Rindu terus menerpa sebaik melihat wajah itu buat pertama kalinya selepas tujuh tahun meninggalkan wanita itu.
Daizy belum sedar akan Levent yang sedang berdiri di sebelah Lessandra. Dia hanya khuatir tentang anaknya.
"Lessa buat apa dekat sini?! Kan mama pesan tunggu dekat atas!" Marah Daizy. Lebih kepada bimbang. Tak terbayang jika anaknya hilang atau pun diculik orang.
"Sorry, mama." Lessandra tunduk dengan rasa bersalah.
"Mama takut, Lessa!" Suara Daizy mulai serak. Sudahlah ditinggal bekas suami, tidak sanggup pula merasakan kehilangan buat kali kedua.
"Jangan macam tu lagi." Pelukan dilepaskan dan serentak itu dia merenung seketika tangan anaknya yang sedang memaut tangan seorang lelaki.
Perlahan-lahan, kepala mendongak. Sebaik mata bertemu mata, Daizy terkedu seketika seraya berdiri.
"Awak..." Daizy telan liur pekat. Matanya tak berkedip menatap mata bekas suaminya.
Levent tak bersuara. Dia juga terkejut dengan pertemuan mereka yang tak dirancang. Dia berhasrat menemui wanita itu jika sudah bersedia. Namun takdir berkata lain. Mereka malah bertemu disebabkan Lessandra.
"Lessa, jom balik." Tangan yang sedang berpegangan itu dileraikan oleh Daizy.
"Saya minta maaf," kata Levent serba salah.
"Diam. Jangan cakap apa-apa!" Bisik Daizy. Tidak mahu anaknya mendengar sesuatu yang tidak diingini.
"Lessa, jom balik." Tangan anaknya dipegang kemudian berpalimg untuk pergi.
"Tunggu dulu, Daizy."
"Apa lagi?" Daizy berusaha menahan marah. Walaupun sudah tujuh tahun berlalu, entah kenapa perasaan itu muncul kembali. Benci!
"Lessandra..."
"Jangan cakap apa-apa!" Tegas Daizy dengan mata berair.
"Awak tak nak dia tahu yang saya..." Levent terdiam sewaktu tapak tangan Daizy menutup mulutnya.
"Bukan sekarang," pinta Daizy dengan mata berair. Ini bukan waktu yang tepat untuk berterus terang.
"I miss her, Daizy," bisik Levent sebaik menurunkan tangan Daizy dari mulutnya.
"And you..." sambung Levent. Ya, dia rindu wanita itu.
Kedua-duanya semakin tenggelam dalam renungan masing-masing. Ternyata, cinta itu masih ada. Buktinya, mereka mulai menggali semula perasaan yang terkubur di dasar hati. Cuba mengingat semula bagaimana rasanya bercinta.
"Not now. Saya kena balik." Daizy jarakkan tubuh. Serentak itu, mereka tunduk memandang Lessandra yang kelihatan bingung. Belum mengerti apa yang sedang terjadi.
"Jom, Lessa." Akhirnya Daizy beredar bersama Lessandra. Penghuni di rumah sedang menanti dirinya membawa barang-barang belanja.
Sepanjang perjalanan pulang, Daizy tak bersuara langsung. Kesal bercampur bimbang akan perbuatan anaknya. Lessandra juga senyap seakan sedar akan dirinya sudah membuat orang tuanya bimbang.
TIBA hari yang dinanti, pagi itu Alfie sudah siap mengenakan baju melayu untuk majlis akad nikah yang bakal berlangsung sebentar lagi. Majlis akad nikah bakal diadakan di masjid. Mereka yang lain juga sudah bersiap mengenakan pakaian dengan warna yang sedondon yakni warna hijau zaitun.
Setelah semuanya bersedia, mereka pun bertolak ke masjid yang terletak di bandar. Daizy bersama Lessandra, manakala Bonda Zainah ikut bersama Ibu Salwa dan Ibu Ratih. Selepas akad tersebut selesai nanti, mereka akan bertolak pula ke rumah pengantin perempuan pula.
Setibanya di masjid, pihak pengantin perempuan sudah pun menunggu di situ. Tanpa membuang masa, akad nikah pun di mulai. Dan dengan sekali lafaz, Alfie sah menjadi suami kepada Wani. Wanita yang berjaya meluruhkan hatinya.
Daizy yang duduk bersama Bonda Zainah, masing-masing menangis terharu. Bersyukur kerana lelaki itu sudah bertemu jodohnya. Hampir sahaja Bonda Zainah berfikir Alfie tidak mampu melupakan Daizy kerana memgambil masa yang agak lama untuk memutuskan menikah dengan wanita pilihannya.
Sedang fokus pada kedua-dua mempelai, Daizy menoleh saat menyedari seseorang sedang duduk di sebelahnya.
"Sorry, I'm late," kata Levent sebaik duduk di sisi bekas isterinya. Tangan segera melambai ke arah Alfie. Lelaki itu juga membalas lambaian Levent dengan senyuman lebar. Sepertinya dia sudah tahu Levent bakal datang ke pernikahannya.
Daizy masih terkebil-kebil melihat Levent di sisinya. Sungguh tak sangka lelaki itu bakal munculkan diri. Lessandra yang baru menyedari kehadiran lelaki itu segera mengangkat tangan.
"Hai, honey," sapa Levent sebaik tapak tangan mereka bertemu.
Daizy masih terkedu. Perbuatan kedua-dua anak beranak itu bagaikan sudah lama bertemu. Setahu dirinya, kedua-dua beranak itu baru bertemu kelmarin.
"Awak buat apa dekat sini?" Soal Daizy separa berbisik.
"Alfie jemput. Tapi saya lambat sikit sebab ada hal," katanya dengan senyuman penuh makna.
"I don't care apa pun hal awak. Tapi kenapa datang sini?" Daizy masih tak puas hati.
"Walaupun awak tak suka saya, bukan bermaksud saya kena tolak jemputan Alfie, kan bonda?" Levent melirik Bonda Zainah yang duduk di sebelah Lessandra.
Wanita tua hanya menghela nafas pendek seraya menjeling tajam. Dia tidak berapa senang dengan kehadiran Levent walaupun dijemput oleh Alfie sendiri. Dia masih kesal dengan perbuatan lelaki itu pada Daizy.
Tiba-tiba Lessandra bangun dari duduknya lalu duduk di sebelah Levent. Perbuatannya sangat mengejutkan Daizy. Tidak sangka anaknya bakal rapat secepat itu dengan bekas suaminya.
"Lessa! Duduk sini balik!" Marah Daizy separa berbisik.
"Nak duduk sebelah uncle," katanya separuh merajuk.
"It's okay, honey. Duduk sebelah uncle," pujuk Levent seraya mengusap kepala anaknya.
Daizy mendengus perlahan sebelum kembali memandang ke depan. Ikutkan hati, pasti bergema suara di dalam masjid tersebut dek sikap anak dan bekas suaminya.
Selesai di situ, mereka pun bertolak ke rumah pengantin wanita pula. Bonda Zainah lebih dulu bertolak bersama mereka yang lain.
"Jomlah, gerak sekali," pelawa Levent sewaktu Daizy berjalan menuju ke kereta bersama Lessandra. Anak kecil itu mulai teruja diajak jalan bersama.
"No, thanks. Saya drive sendiri," kata Daizy acuh tak acuh sekaligus mematikan senyuman anaknya.
"Come with me. Awak tak akan sampai kalau naik kereta awak," kata Levent selamba.
"Tak sampai apanya? Habis tu saya naik apa datang sini kalau bukan naik kereta sendiri?" Soal Daizy, kesal.
"Just come with me." Levent masih tak putus asa.
"I said no! Saya ada kereta sendiri..." serentak itu Daizy terdiam saat melihat tayar hadapan keretanya sudah kempis kedua-duanya.
"Ya Allah! Kereta aku!" Daizy tunduk menyentuh tayar keretanya.
"Kan saya dah cakap." Levent tayang wajah tak bersalah.
"Jangan cakap yang ini..." Daizy ketap bibir menahan marah. Tahulah tayarnya sudah botak, tapi bukan sewenang-wenang lelaki itu boleh rosakkan. Ikutkan perkiraannya, tayar tersebut masih boleh diguna sebulan dua lagi.
Levent hanya tersengih sambil memgangkat bahu.
"Tak lucu okey!" Daizy cekak pinggang sambil merenung tajam lelaki itu.
"Mama, jomlah ikut uncle. Nanti lambat kita sampai. Lessa nak makan kek kawin Uncle Alfie," kata Lessandra. Tepat waktu pula dia merengek membuatkan Levent yakin bahawa Daizy bakal setuju dengan pelawaannya.
Daizy diam seketika untuk meredakan marahnya. Benar-benar terpancing emosi dek tingkah kedua-dua beranak itu.
"Fine!" Akhirnya Daizy akur. Semakin lama di situ, semakin terbuanglah waktunya.
"Yes! Jom." Levent lebih dulu meraih tangan Lessandra kemudian berjalan bersama anak kecil itu. Daizy hanya mengikut dari belakang sambil memerhati mereka berdua. Jujur, hatinya tersentuh melihat kedekatan Levent dan Lessandra walaupun anak kecil itu belum mengetahui siapa lelaki itu sebenarnya.
Sebaik masuk ke dalam kereta, mereka pun bertolak dari situ. Daizy duduk di hadapan manakala Lessandra duduk di belakang. Rancak sungguh Levent dan Lessandra bercerita tanpa menghiraukan Daizy yang sedang bermasam muka.
Setibanya di hadapan rumah pengantin perempuan, Daizy turun lebih dulu bersama Lessandra. Ternyata tetamu sudah ramai yang datang memenuhi undangan.
Sewaktu berjalan masuk, banyak pasang mata yang memerhati Daizy sepanjang melalui laluan yang di kiri dan kanannya dipenuh kerusi. Itu membuatkan Daizy menjadi pusat perhatian.
Levent yang sedang berjalan di belakang agak terganggu dengan mata yang memerhati bekas isterinya. Tidakkah mereka lihat wanita itu sedang memimpin anak? Sudah pasti wanita itu bersuami. Levent bermonolog sendiri. Benci dengan mata helang yang ada di situ.
Sambil mendengus kasar, dia cepatkan langkah mendekati Daizy.
Sebaik berdiri di sebelah bekas isterinya, tangan spontan memeluk pinggang wanita itu. Serentak itu, tubuh Daizy mengeras seketika. Terasa hangat tapak tangan yang sedang memeluk pinggang yang berbalut baju kurung modernnya.
"Hands off!" Bisik Daizy.
"No. Biar mata-mata gatal tu tahu yang awak saya punya." Serentak itu, tangannya mencengkam lembut pinggang Daizy.
Disebabkan tidak mahu menimbulkan masalah, Daizy biarkan sahaja sehingga mereka duduk di tempat yang disediakan. Wajah Bonda Zainah kelihatan tegang. Dia juga lihat apa yang Levent lakukan tadi. Seharusnya lelaki itu tahu batasnya sebagai bekas suami. Mereka tidak boleh bersentuhan seperti itu.
Sepanjang majlis berlangsung, Daizy senyap di tempat duduknya. Kehadiran Levent membuatkan dirinya salah tingkah dan tak keruan. Mujurlah ada Lessandra yang teruja diajak berbicara dengan lelaki itu.
Petang itu, mereka pun bersiap untuk pulang. Masing-masing menuju ke pelamin untuk bersalaman dengan pengantin baru. Tiba giliran Levent, dia menarik Alfie ke dalam pelukan.
"Thanks, sebab jagakan Daizy dengan Lessa untuk aku," kata Levent serasa terhutang budi pada lelaki itu.
"Kau jangan nak senang dulu, Levent. Selagi kau tak tebus kesalahan, kiranya kau masih berhutang dengan aku," usik Alfie sambil menepuk-nepuk bahu Levent.
"Ya, ya. Aku tengah usahalah ni. Tapi kau tahulah Daizy tu. Macam nak tangkap biawak setiap kali aku nak datang dekat." Mereka berdua memandang Daizy yang sedang turun dari pelamin. Tiba-tiba, wanita itu menoleh. Seperti tahu kedua-dua lelaki itu sedang berbicara tentang dirinya.
"Hah, kau tengoklah tu. Silap hari bulan, dia telan aku hidup-hidup," kata Levent lagi sambil menahan tawa . Serentak itu, Daizy menjeling tajam kemudian lanjut turun dari pelamin.
"Aku doakan urusan kamu berdua berjalan lancar," ucap Alfie penuh pengharapan.
Mereka berpelukan sekali lagi sebelum Levent turun dari situ. Dia segera mengejar Daizy yang sudah lebih dulu keluar dari situ.
"Nak balik terus?" Tanya Levent sebaik berdiri di sebelah Daizy.
"Baliklah, nak pergi mana lagi?" Mata menjeling tajam.
"Manalah tahu nak pergi jalan-jalan," cadang Levent.
"Kalau saya nak jalan-jalan pun, bukan dengan awak."
"Okey." Levent angguk seraya tersenyum hambar. Jelas sekali wanita itu masih marah padanya.
Beberapa minit memandu, mereka tiba di rumah Bonda Zainah. Sewaktu Daizy ingin turun, Levent menahannya.
"Lessa ada dekat belakang," kata Daizy seraya melirik anaknya yang sedang memerhati mereka.
"I know. Biarlah kalau dia tahu."
"Saya tak cakap apa-apa lagi dekat dia. Saya tak nak dia terkejut," tutur Daizy perlahan namun kedengaran tegas.
"Kalau macam tu, kita cakap berdua," cadang Levent.
"Nak cakap apa? Semua dah berlalu, kan. Yang tinggal cuma Lessa yang tak tahu siapa awak sebenarnya. Yang tu biar saya yang cakap sendiri."
Levent geleng tak setuju.
"Kita berdua, atau saya cakap terus terang dengan Lessa. Pilih mana awak nak," tegas Levent lebih kepada mengugut. Ternyata, sifat berkeras agar perintahnya diikuti masih tak berubah.
"Lessa, turun dulu sayang," arah Daizy seraya menoleh memandamg anaknya.
"Mama nak cakap sekejap dengan uncle."
Levent mengangguk saat Lessandra memandangnya. Sebagai isyarat agar anak kecil itu mendengar arahan ibunya. Dan Tanpa membantah, Lessandra turun dari kereta dan terus menutup pintu.
"Cakap sekarang, awak nak apa?" Tanya Daizy langsung. Malas mahu basa basi.
"Awak," jawab Levent, pantas.
"Jangan nak main-main boleh tak? Saya penat. Dari semalam tak tidur."
"Saya cuma nak minta maaf sebab tinggalkan awak dulu," kata Levent, akhirnya.
"Jujur, saya macam nak gila bila berjauhan dari awak dengan Lessa," katanya, sayu.
"Tapi awak masih waras sampai sekarang," balas Daizy selamba. Buktinya, lelaki itu tak gila. Sebaliknya semakin sihat dan semakin kacak.
"Ya, demi awak dan Lessa."
"Demi kami? Tapi awak tetap pergi waktu tu. Tak fikir dua tiga kali untuk tinggalkan kami." Masih segar diingatan bagaimana Levent meninggalkan dirinya bersama Lessandra yang masih bayi.
"Saya perlu tenangkan diri. Saya terlalu banyak salah. Saya tak nak ulang kesalahan yang sama jadi saya kena bawa diri jauh dari awak. Saya nak pastikan yang saya muncul dalam versi terbaik. So that, saya tak akan lukakan awak lagi."
"So sekarang, awak rasa awak dalam versi yang terbaik?" Perli Daizy.
"I think... yes." Levent angguk yakin.
"Sepatutnya kita boleh saja baiki semuanya dulu tanpa perlu berpisah," kata Daizy seraya bersandar.
"Perceraian sepatutnya tak berlaku kalau kita nak baiki hubungan." Jujur, wanita itu kesal dengan perceraian mereka.
"Sebesar apa pun ombak, jangan pernah lompat dari kapal," kata Daizy lagi, berkias.
"Tapi awak yang failkan perceraian," balas Levent mendatar. Dia hanya menuruti keputusan Daizy waktu itu.
"Tapi siapa yang minta?" Perli Daizy.
"Awak dah lupa apa yang awak cakap hari tu depan tasik." Masih segar diingatan kejadian di tasik malam itu.
"Waktu itu saya baru nak tunjuk dekat awak my pregnancy test. Tapi awak terus cakap tentang perceraian dan serahkan bulat-bulat pada saya untuk uruskan perceraian kita. Sebab apa? Sebab awak sibuk nak kawin dengan Zila masa tu," katanya begitu tenang sekali.
"Saya cuma nak buat awak cemburu, Daizy. I admit it, saya kebudak-budakan waktu tu. Semuanya di luar fikiran waras saya. Saya cuma nak awak rasa apa yang saya rasa. Itu sahaja. But deep down, saya sayangkan awak," luahnya bersungguh-sungguh.
"Saya dah pernah cakap sebelum ni yang saya tak pernah bersetubuh dengan Zila, kan? Wallahi, saya memang tak pernah sentuh dia," tegasnya.
Daizy tertawa kecil sambil mengangguk perlahan.
"Kalau awak sentuh dia pun, masa tu korang berdua memang dah halal. Saya tak ada hak nak halang."
"Ya, memang. Tapi saya yang tak sanggup. Saya tak boleh. Sebab saya terbayang awak masa tu."
Daizy senyap seketika selepas mendengar pengakuan bekas suaminya. Tujuh tahun berlalu mengajarnya untuk ikhlas dengan apa yang berlaku. Dan kini dia tak rasa marah langsung pada cerita suaminya.
"So, apa motif awak cakap semua tu, sekarang?" Soal Daizy.
Levent tunduk seketika sambil menarik nafas kemudian memandang Daizy semula.
"Seperti yang saya cakap tadi, saya nak awak dengan Lessa," kata, perlahan.
"Maksud?" Daizy sengaja menduga. Padahal hatinya sudah sedikit berbunga-bunga.
"Saya nak awak jadi isteri saya semula. Kita jaga Lessa sama-sama."
"Apa yang buatkan awak yakin yang saya akan terima awak semula? Dahlah pergi jauh for seven years. Tiba-tiba muncul dan nak saya jadi isteri awak semula," perli Daizy.
"Lessandra," kata Levent, yakin.
"Lessandra perlukan papa dia. Awak tak rasa yang dia dah tahu saya papa dia? Lessa bijak, Daizy. Mustahil dia tak tahu saya papa dia. Cuma mungkin sekarang ni dia tengah jaga hati awak."
"Macam mana awak tahu?" Daizy kerut dahi.
"Pertama kali kami jumpa, dia ternganga tengok saya. Second, dekat mall. She followed me without hesitation." Untuk anak seusia Lessandra, pasti berfikir berkali-kali untuk mengikuti orang yang tidak dikenali.
Tak dinafikan, Daizy juga terkejut dengan tindakan anaknya yang tak takut pada lelaki tidak dikenali. Sedangkan sebelum ini Lessandra tidak mudah mengikuti orang tidak dikenali tanpa pengetahuan dirinya.
"Jadi awak jumpa dia dalam diam selama ni?"
"Er, ya. Baru dua kali." Levent tunduk dengan rasa bersalah.
Daizy mengeluh pendek. Baru mengerti kenapa Lessandra tak kekok bertemu lelaki itu.
"Please..."
Daizy tersentak saat tangan di atas paha digenggam lembut oleh Levent. Sebaik menoleh, wajah lelaki itu kelihatan sayu sekali dengan mata merahnya.
"Tujuh tahun cukup mengajar saya yang berpisah dengan awak adalah keputusan yang fatal," kata Levent mulai sebak. Biarlah dia menangis. Biarlah jika dirinya dikatakan cengeng. Dia tak peduli. Asalkan Daizy mahu menerimanya semula.
Levent telan liur saat merasa genggamannya dibalas oleh Daizy. Semakin berdebar sewaktu jari jemari wanita itu mengelus lembut belakang tangannya.
"Kalaulah awak macam ni dulu. Tak adalah Lessa tu membesar tanpa papa," tutur Daizy. Serentak itu, Levent menariknya ke dalam pelukan. Rasa bersalah lelaki itu semakin menggunung. Semakin sedar akan dirinya dulu terlalu lemah untuk pertahankan hubungan mereka.
Daizy pula senyap membiarkan pelukan itu. Semakin erat, semakin membangkitkan rasa rindu. Akhirnya, dia membalas pelukan bekas suaminy. Pelukan yang sudah lama tak dirasai.
Beberapa saat, Levent melepas pelukan mereka. Dengan mata yang basah, dia merenung wajah Daizy yang sedang tersenyum manis.
"Saya janji."
"Saya janji akan buang semua perangai buruk saya. Cemburu buta, ego. Buruk sangka dan suka tuduh awak macam-macam. Saya janji tak akan ulang semua tu lagi," katanya bersungguh-sungguh.
Daizy angguk perlahan mendengar janji itu. Janji yang pernah dilafaz sebelum ini. Namun anehnya, dia tak serik untuk memberi lelaki itu peluang.
"Tapi..." Levent diam sejenak seraya menarik nafas dalam.
"Janganlah buat saya cemburu. Saya... saya tak boleh tengok awak mesra dengan lelaki lain," luahnya lalu tertunduk. Perbuatannya malah mengundang tawa Daizy. Sudah berjanji pun ada pula syaratnya.
"Awak ni bukannya cemburu. Tapi lebih kepada obses. Obses pada pasangan sendiri. Bagi awak, saya ni cuma milik awak satu-satunya. Cuma mata awak yang boleh tengok saya. Lelaki lain tak boleh."
"Ya, saya mengaku. Susah nak buang semua tu. Tapi saya akan cuba," tutur Levent, lemah.
"Tak payah buang. Cuma kurangkan. Saya suka kalau awak cemburu. Itu tandanya awak sayang saya," kata Daizy seraya mencuit hujung hidung lelaki itu.
"Setiap perbuatan, kita kena bersederhana. Jangan berlebihan. Yang berlebihan selalunya mendatangkan kemudaratan," pesan Daizy.
Levent kembali berlinangan air mata mendengar kata-kata isterinya.
"Dah, tak payah nangis. Buruk!" Tangan Daizy mulai mengesat air mata di pipi Levent. Sambil itu, matanya menilik setiap inci wajah lelaki itu. Setelah sekian lama, akhirnya dapat juga menatap wajah itu sedekat ini.
Di saat mata mulai bertentangan, tanpa sedar wajah mulai mendekat antara satu sama lain. Rindu dan cinta telah mendorong kedua-dua agar bertindak di luar kawalan. Seinci lagi bibir akan rapat, mereka mulai memejam mata.
Toktok!!!
Ketukan cermin di tempat duduk pemandu mengejutkan mereka berdua. Laju sahaja kedua-duanya perbaiki posisi duduk. Setelah itu, barulah Levent menurunkan cermin kereta.
"Uncle, lama lagi ke?" Tanya Lessandra dengan kening yang berkerut. Entah apalah orang dewasa itu bincangkan.
"Er, dah. Dah siap," jawab Levent sedikit gagap. Mujurlah anaknya tak melihat perbuatan mereka berdua yang hampir sahaja terjadi.
"Mama tak nak turun?" Kini, ibunya pula dikerling di sebelah.
"Er, ya. Mama nak turunlah ni." Dengan tergesa-gesa, Daizy melepas tali pinggang keledar lalu turun dari kereta.
"Masuk cepat." Tangan anaknya diraih kemudian dibawa menuju ke rumah.
"Bye," ucap Levent sambil menahan tawa.
Laju sahaja Daizy menoleh sambil tersenyum malu dek teringat kejadian tadi.
SEMINGGU kemudian, Levent membawa Daizy menemui Dato Ahmed. Dia ingin menyatakan hasrat untuk menikahi semula wanita itu. Dengan senang hati, Dato Ahmed menyetujui keputusan mereka. Tiada sebab untuk menghalang memandangkan kedua-dua juga bersetuju untuk memulai semula hubungan mereka demi Lessandra.
Selesai di pertemuan itu, mereka pergi menjemput Lessandra di rumah Bonda Zainah. Memandangkan hujung minggu, Daizy menitip sebentar Lessaandra bersama Bonda Zainah. Tiba di situ, mereka turut berterus terang tentang rancangan mereka untuk bersatu semula. Pada mulanya, Bonda Zainah memang keberatan. Namun melihat Daizy dan Lessandra yang sudah lama hidup berdua, maka diturutilah permintaan Daizy. Tak lupa berdoa agar kali ini jodoh mereka berpanjangan.
Di dalam kereta, masing-masing senyap di tempat duduk. Lessandra yang sedang duduk di belakang sesekali memerhati kedua-dua orang dewasa di hadap yang asyik melirik sambil tersenyum sesama sendiri.
"Mama dengan uncle ni kenapa? Dari tadi senyum-senyum," tegur Lessandra sekaligus menyentak kedua-dua orang tuanya.
"Mana ada lah." Daizy lebih dulu menafikan.
"Eleh. Ingat Lessa tak nampak? Senyuman mama tu paling lebar tau. Padahal hari tu marah-marah uncle. Sekarang ni mama senyum-senyum pulak," bebel lessandra lantas mengundang tawa Levent.
"Mama suka uncle, kan?" Duga Lessandra. Anak sekecilnya sahaja sudah sapat membaca tingkah orang dewasa.
"Mana ada lah!" Daizy segera menafikan.
"Eleh, tak nak mengaku. Mama tu suka nak potong barisan. Lessa dulu yang kenal uncle tau," kata Lessandra mulai merajuk.
"Dah, jangan merajuk. Kita singgah dekat taman makan ais krim. Nak?"
"Nak!" Sahut Lessandra tak jadi merajuk.
Beberapa minti kemhdian, mereka tiba di sebuah taman awam. Levent pergi membeli ais krim sementara Daizy dan Lessandra menunggu di pondok yang tersedia.
"Mesti best kalau Lessa ada papa, kan," tutur Lessandra sambil memerhati sepasang suami isteri bermain bersama seorang anak kecil.
"Kenapa cakap macam tu? Lessa ada papa lah," sampuk Daizy.
"Ada, tapi tak pernah jumpa." Suara Lessandra sedikit sayu.
"Pernahlah. Waktu Lessa baby."
Lessandra geleng perlahan.
"Mana sama. Waktu tu Lessa tak ingat."
"Lessa rindu papa?" Tanya Daizy seraya merenung wajah anaknya.
"Rindu."
"Nak call papa tak? Manatahu papa datang sini jumpa Lessa."
"Betul ke mama?"
"Betul. Suruhlah papa datang sini." Telefon bimbit dikeluarkan kemudian membuat panggilan video. Setelah itu, telefon terus diserah kepada Lessandra.
"Hai papa!" Sapa Lessandra sebaik panggilan videonya disambut.
"Hai, honey," sahut Levent.
Dari arah belakang, dia berjalan mendekati anaknya bersama ais keim yang dibeli.
"Lessa rindu papa. Sebab tu Lessa call," kata Lessandra dengan wajah sedih.
"Samalah. Papa pun rindu."
"Bila papa nak datang?"
"Bila Lessa nak papa datang? Hari ni? Boleh."
"Boleh?" Tanya Lessandra penuh harapan.
"Anything for you honey. Tapi kena tutup mata dulu lepas berdoa. Sebaik Lessa buka mata, papa terus muncul depan Lessa."
"Betul?!" Lessandra semakin teruja.
"Ya. Hurry up. Close your eyes."
Serta merta Lessandra pejam mata sambil berdoa. Berharap agar doanya dikabulkan.
"Honey," panggil Levent sebaik berdiri di belakang anaknya. Serentak itu, Lessandra membuka mata kemudian menoleh.
"Pa... papa?" Soalnya tak percaya.
"Ya, honey. Ini papa," kata Levent rendahkan tubuh di hadapan anaknya.
"Tapi... uncle," Lessandra sedikit bingung.
"Lessa, inilah papa." Daizy menyampuk.
"See," telefon bimbit yang masih membuat panggilan video ditunjukkan agar anak kecil itu percaya. Lessandra pun menatap seketika telefon bimbit kemudian kembali menatap lelaki di hadapannya.
Tiba-tiba, matanya berair.
"Papa!" Sekelip mata, dia memeluk Levent sambil menangis tersedu-sedu.
"Sorry. Papa saja nak main dengan Lessa. Papa sangka, Lessa akan kenal papa. Tapi Lessa tak kenal papa pun," kata Levent ikut merajuk.
"Lessa kenal papa, tapi mama tu marah-marah. Jadi Lessa takut," katanya seraya mengerling sekilas ibunya.
"Eh? Mama pulak yang salah?" Daizy cekak pinggang.
"Dah, semuanya salah papa. Papa minta maaf, ya." Levent lebih dulu menjernihkan keadaan.
"Jom kita makan ais krim!" Plastik berisi tiga bungkus ais krim diangkat.
"Yeay! Jom!" Lessa duduk semula kemudian diikuti oleh Levent. Sesaat, Daizy ikut duduk di sebelah Levent. Sambil menikmati ais krim, kepala dilentokkan di bahu bekas suaminya.
Akhirnya, mereka bakal kembali lagi sebagai keluarga yang lengkap. Tak sangka, setelah tujuh tahun memujuk hati dan merelakan perpisahan itu, mereka berjanji semula untuk membina rumah tangga. Semoga kali ini mereka mampu pertahankan bahtera yang baru sahaja diperbaiki. Segala kecacatan dan kerosakan tidak akan dibiar menjadi punca terhentinya pelayaran mereka.
End
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa berharga anda untuk membaca karya yang tidak seberapa ini. Maaf atas segala 'kemerapuan' sepanjang menghasilkan karya ini. Jujurly, saya masih merangkak dalam penulisan. Segala kesalahan ejaan dan tatabahasa mohon dimaafkan. Saya terima baik segala komen² anda semua. Mak lurveeee <3. 5672 words dalam untuk chapter ini. Pecah record! Chapter terpanjang yang saya pernah taip!.
Share this novel