Better Path

Romance Series 28423

SELESAI pengebumian, tetamu yang merupakan ahli masjid dipelawa menjamah sedikit makanan sebelum pulang. Daizy seorang diri menguruskan segala hidangan untuk ustaz serta ahli masjid yang menguruskan pengebumian anak kepada Zila.

Dia sengaja sibukkan diri agar kejadian ini tak mengganggu fikirannya. Dato Ahmed juga sudah mengetahui apa yang berlaku maka, dia juga turut berada di situ.

Setelah tetamu pulang, keadaan rumah begitu sunyi. Levent memilih duduk di luar rumah selepas menghantar orang tua Zila pulang ke kampung. Dato Ahmed pula berada di ruang tamu mengemas apa yang patut. Semntara Daizy berada di dapur untuk mencuci pinggan.

     "Assalamualaikum." Ucapan salam dari arah pagar menyedarkan Levent dari lamunannya. Dia segera berdiri lalu menuju ke pagar. Seketika, langkahnya menjadi perlahan sebaik melihat Muzammil datang bersama isterinya.

    "Walaikumsalam," sahut Levent seraya membuka pagar rumah.

     "Daizy ada?" Tanya Rania lebih dulu.

     "Ada, dekat dalam. Jemputlah masuk," pelawa Levent.

    Rania pun masuk meninggalkan kedua-dua lelaki itu.

    "Dah dikebumi?" Soal Muzammil sedikit mendatar suaranya.

     Levent angguk perlahan walaupun agak terkejut dengan pertanyaan lelaki itu. Dia tidak pasti siapa yang memaklumkan pada Muzammil tentang kejadian tersebut Setelah itu, mereka bersama-sama menuju ke pondok.

    "Daizy macam mana? Okey?" Tanya Muzammil.

    "Okey. Dia yang urus semuanya."

     Wajah Muzammil bertukar lebih serius.

    "Kau dengan bini muda kau yang buat masalah, Daizy pula yang kena urus semua," perli Muzammil. Segalanya sudah diceritakan oleh Dato Ahmed. Dan kebetulan dia dan isterinya berada di situ atas urusan kerja, maka mereka pun memutuskan untuk singgah.

    "Dia yang nak uruskan," balas Levent perlahan. Dalam marah, dia masih sedar akan kesalahannya.

    "Daizy tu dah cukup susah. Kenapa kau buat dia macam tu? Kau memang tak ada hati perutlah." Nada suara Muzammil kedengaran tegang walaupun lelaki itu cuba untuk mengawal emosinya. Mati-matian dia menyangka Daizy sudah bahagia bersama Levent. Rupanya, yang terjadi malahan lebih teruk lagi.

      "Semua ni karma. Kau sedar tak? Karma atas dosa-dosa kau. Disebabkan kau tak pandai bersyukur, sekarang ni tuhan bagi kau tanggung bini yang mengandung tapi bukan dari darah daging kau. Kalau orang luar tahu, kau tak malu? Uncle tu pun akan dipandang serong."

     Levent senyap menerima segala kata-kata yang menampar gegendang telinganya.

     "Kenapa jahat sangat jadi suami? Kalau kau memang dah tak sayang Daizy, lepaskan dia. Ramai lagi orang dekat luar sana yang boleh jaga dia," luah Muzammil tak habis fikir. Wujud pula manusia tak berhati perut seperti lelaki di hadapannya ini.

     "Aku serahkan urusan perceraian kami pada dia," kata Levent, mendatar.

     "Aku tahu. Uncle dah cerita semuanya." Muzammil tegakkan duduk.

     "Dia tak failkan perceraian sebelum ini sebab dia masih sayangkan kau. Dia rela hidup bermadu sebab dia tak sanggup biar anak dia hidup tanpa kasih seorang ayah. Benda paling dia takuti dah terjadi. Dia mati-matian tak nak anak dia rasa hidup tanpa kasih sayang orang tua. Tapi kau sebagai suami dan ayah pula yang musnahkan sendiri impian isteri dan anak yang bakal lahir tu." Mata Muzammil berair sepanjang berbicara. Dia sedar, betapa pedihnya hidup tanpa orang tua.

    "Kau pun tahu macam mana rasanya hidup tanpa keluarga yang lengkap, kan? Kenapa kau sampai hati buat Daizy macam tu?"

     Levent tunduk menyembunyi mata yang berair. Tiada kata yang mampu membantah bicara Muzammil. Semua yang lelaki itu katakan memang layak untuk dirinya.

    "Aku terima keputusan dia. Jumaat ni kami akan ke mahkamah untuk lafaz cerai..." Levent menjeda seketika. Terasa sakit dadanya mahu menerima hakikat bahawa talak bakal dijatuhkan empat hari lagi.

     "Dia dah sakit sangat, Levent. Sebab tu dia setuju untuk bercerai. Dia rela hilang suami asalkan hati dia tak merana."

     "Jangan cakap kau jadi macam ni sebab trauma masa lalu, and so on. Itu semua dari diri kau. Kau dah berubat, dah sembuh. Tapi kau lebih percaya mata daripada hati sendiri."

Levent benar-benar tertampar. Semakin sedar akan punca permasalahan selama ini memang berasal dari dirinya.

Di ruang dapur, Daizy dan Rania sedang rancak berbual. Perihal kehamilan Daizy membuatkan Rania begitu teruja.

"Doakan saya dapat merasa juga," kata Rania sambil mengelus perut Daizy.

"Insha Allah. Saya pun tunggu tiga tahun tau," balas Daizy kemudian ikut mengusap perut sendiri.

"First time, kan?" Tanya Rania.

"Ya." Daizy angguk perlahan.

"Saya dah dua kali. Tapi bukan rezeki," kata Rania sedikit sayu.

Senyuman Daizy memudar. Belum mengerti akan kata-kata wanita itu. Akhirnya Rania tegakkan duduk dengan senyuman nipisnya.

"Saya dah dua kali mengandung tapi dua-dua tak bertahan. Cukup tiga bulan, gugur," kata Rania membuka cerita. Walaupun tersenyum, jelas kedengaran nada kecewa dalam suaranya.

"Tak apa. Itu tandanya awak masih boleh mengandung. Usaha lagi. Insha Allah, kita sebagai perempuan ni selagi ada rahim selagi itulah peluang untuk kita hamil tu tinggi," pujuk Daizy.

"Yalah, sekarang ni saya tengah berpantang. Bulan depan dah boleh usaha lagi," seloroh Rania. Sempat lagi bergurau walaupun matanya sudah sedikit berair.

Memandangkan sudah gelap, Muzammil dan Rania memutuskan untuk bermalam di situ.  Selesai makan malam, Muzammil membantu Daizy membasuh pinggan. Sengaja menawarkan diri agar dapat berbual dengan wanita itu. Rania pula ikut keluar bersama Dato Ahmed dan Levent setelah selesai membersihkan meja makan.

     "So, apa plan awak lepas ni?" Tanya Muzammil.

     "Tak ada. Teruskan hidup macam biasa," kata Daizy, tenang. Sempat menoleh dengan senyuman sebelum lanjut menyabun pinggan.

     "Ikut sayalah, nak?" Cadang Muzammil.

     "Ikut tuan? Pergi mana?" Daizy sedikit bingung.

     "Kerja dekat pejabat semula. Saya akan sediakan bilik untuk awak dekat rumah saya nanti," cadang Muzammil lagi.

     Daizy tergelak mendengar cadangan itu. Agak tak masuk akal.

     "Tuan, saya dekat sini dah ada rumah, kerja yang bagus. Lagi pun keluarga saya dekat sini. Saya tak nak jauh-jauh dah."

     "Saya pun keluarga awak juga. Ingat, saya abang awak," kata Muzammil sedikit kesal.

     "Ya saya tahu, tuan. Tapi kenalah fikir logik. Apa kata orang kalau saya tinggal dengan tuan dan Rania? Mungkin tuan anggap saya ni adik, tapi orang luar belum tentu," jelas Daizy.

     "Saya risaukan awak, Daizy," luah Muzammil.
   
      "Terima kasih sebab risaukan saya. Tuan jangan risau, saya dah okey. Semuanya akan selesai tak lama lagi."

     "Awak betul-betul nekad nak bercerai?" Tanya Muzammil inginkan kepastian.

     Daizy angguk perlahan.

    "Walaupun dah tahu perkara sebenar?"

    Daizy terhenti sejenak sambil merenung air yang mengalir dari pili. Andai sahaja semua yang berlaku ini boleh berlalu pergi selaju air itu, mungkin dia masih boleh memujuk hati. Namun sayangnya, pasti mengambil masa bertahun-tahun untuk memgubati hati.

     "Ini yang terbaik untuk kami berdua. We need space. Kami perlu jauhkan diri untuk hadam apa yang terjadi. In case kami ada jodoh semula, kami tak akan ulang kesalahan yang sama lagi."

     "Tapi kamu berdua masih boleh belajar sama-sama, sebagai suami isteri," kata Muzammil cuba memberi solusi.

     "As I said, we need space," tekan Daizy. Namun pada hakikat, dia masih kecewa pada suaminya atas apa yang terjadi pada Zila. Kembali semula pada lelaki itu saat Zila meringkuk di dalam penjara ibarat mengambil kesempatan atas musibah yang menimpa wanita itu.

     Keadaan senyap selepas itu. Muzammil tidak lagi menyoal memandangkan Daizy juga sudah nekad dengan keputusannya.

     Selesai di dapur, Daizy membawa Muzammil dan Rania ke bilik tamu. Selepas berbual sebentar, barulah dia naik ke biliknya. Dato Ahmed juga ikut bermalam selepas dipujuk oleh Daizy. Bukan selalu mereka dapat berkumpul seperti ini.

     Di hadapan pintu bilik, langkah Daizy terhenti saat melihat suaminya memeluk sehelai selimut.

     "Nak pergi mana?" Tanya Daizy.

     "Saya nak tidur dekat bilik bawah." Memandangkan mereka bakal bercerai tidak lama lagi, pasti isterinya tidak mahu tidur sekatil dengannya.

     "Tidur dekat sini. Awak masih suami saya," kata Daizy lalu melangkah masuk. Selimut yang dipegang suaminya diambil semula lalu dimasukkan ke dalam almari.

     Levent hanya senyap memerhati isterinya sehingga wanita itu naik ke tempat tidur. Tidak lama itu dia ditegur oleh isterinya.

     "Tidurlah, dah lewat ni," kata Daizy seraya merapikan selimut untuk dipakai.

     Tanpa membantah, Levent naik ke tempat tidur lalu duduk membelakangi isterinya. Setelah berbulan-bulan berlalu, ini kali pertama mereka sekatil semula. Sungguh kekok rasanya. Padahal hanya berbaki hari sebelum mereka berpisah.

Setelah meredakan perasaan yang bergejolak, barulah Levent rebahkan kepala di atas bantal. Serentak itu Daizy tarik selimut sehingga memutupi tubuh suaminya. Perbuatan Daizy benar-benar mengejutkan Levent. Dalam keadaan seperti ini pun perhatian wanita itu masih sempurna. Tak kisah pula harus berkongsi selimut dengan dirinya.

"Saya tidur dulu," pamit Daizy lalu rebahkan tubuh kemudian menutup mata.

Perlahan-lahan, Levent pusingkan tubuh menghadap isterinya. Di dalam kesamaran lampu tidur, sisi wajah isterinya direnung lama. Malam ini merupakan malam terakhir mereka tidur sedekat ini.

Hampir setengah jam merenung wajah itu, dia yakin bahawa isterinya sudah tertidur. Levent akhirnya bangun untuk mengucup dahi itu buat kali terakhir. Lama dan penuh kasih sayang. Setelah itu, dia baring semula kemudian lelapkan mata.

     Sesaat kemudian, ada air jernih yang mengalir di hujung tubir mata Daizy. Dia sedar akan ciuman itu. Ciuman yang bakal dia rindui di kemudian hari.

     Subuh itu, Levent tersedar dari tidurnya. Saat ingin mengalihkan tubuh, perutnya terasa dihimpit sesuatu. Perlahan-lahan, mata dibuka kemudian melirik ke perut. Bibir diketap saat terlihat tangan Daizy sedang melingkar di perutnya. Sewaktu menoleh ke sisi, wajah isterinya begitu dekat sekali hingga hembusan nafas wanita itu terasa di wajah.

Dengan cermat, Levent pusingkan tubuh menghadap isterinya kemudian membawa wanita itu ke dakapannya. Dengan senyuman nipis, Levent kembali lanjutkan tidur.

Masuk waktu solat subuh, Daizy tersedar dari tidurnya sewaktu pintu bilik diketuk. Saat cuba bergerak, tubuhnya terkunci dalam dakapan suaminya. Untuk seketika, dia diamkan diri. Serba salah mahu mengejutkan suaminya. Atau lebih tepat lagi, sayang sekali mahu meleraikan pelukan itu.

"Daizy, Levent. Bangunlah. Dah subuh," suara Dato Ahmed kedengaran di luar bilik.

Serentak itu, Levent terbangun dari tidurnya. Sebaik membuka mata, pertama yang dilihat adalah wajah isterinya yang sedang terkebil-kebil memandangnya. Beberapa saat kemudian, barulah dia sedar akan keadaan mereka. Pantas, lelaki itu lepaskan pelukan lalu bangun dari baringnya.

"Sorry, saya tak sedar," kata Levent sambil menggosok mata.

Daizy juga bangun dari katil sambil merapikan rambutnya. Dia turut malu kerana tangannya juga membalas pelukan suaminya.

Levent berdeham beberapa kali sebelum berdiri untuk membuka pintu sewaktu ketukan kembali kedengaran.

     Sebaik pintu dibuka, mata Dato Ahmed bergerak ke arah tempat tidur. Dia tahu kedua-dua pasangan itu tidur seranjang. Walaupun sempat teruja mengetahui hal tersebut, dia kembali sedar akan perpisahan yang bakal menanti anak dan menantunya.

     "Pergi bersiap. Kita solat jemaah," kata Dato Ahmed lalu beredar dari situ.

     Tanpa berlengah, mereka mulai bersiap untuk solat berjemaah di tingkat bawah. Muzammil dan Rania juga sudah menunggu sewaktu Levent dan Daizy tiba di situ. Tanpa membuang masa, solat dimulai yang diimamkan oleh Dato Ahmed.

TIGA hari kemudian, kedua-dua pasangan itu bertemu semula di mahkamah syariah untuk proses melafazkan talaq. Tak tunggu lama, proses perceraian mereka berjalan lancar. Daizy reda dan ikhlas dengan talak satu yang jatuh ke atas dirinya. Pun begitu, seolah-olah terasa satu beban diangkat dari bahunya. Ringan sungguh berjalan keluar dari perkarangan mahkamah didampingi suaminya.

Setibanya di luar, Daizy berhenti melangkah kemudian menolah memandang Levent. Tangan mulai menyeluk beg kemudian memgeluarkan kunci kereta milik lelaki itu.

"Nah, kunci kereta awak." Kunci tersebut dihulur kepada Levent.

"Tak perlu." Levent menahan kunci tersebut namun Daizy menolak tangannya.

"Awak ambil semula kereta tu. Sayang kalau terbiar dekat situ. Saya tak boleh nak jaga. Awak ambil, pakai untuk ke tempat kerja." Tapak tangan Levent dibalikkan lalu meletak kunci tersebut di atas tapak tangan lelaki itu.

"Semua barang-barang milik awak saya dah letak dalam kereta. Pagar rumah tak berkunci, so awak boleh pergi ambil kereta sekarang," kata Daizy bersahaja.

"Awak nak pergi mana?"

"Saya nak balik rumah bonda. Rindu dekat dia dengan budak-budak."

"Bonda dah tahu tentang kita?" Entah kenapa, Levent resah perceraian mereka diketahui oleh Bonda Zainah apatah lagi Alfie. Dia bimbang jika lelaki itu bakal mendekati Daizy.

Daizy geleng dengan senyuman mendatar. Apa reaksi bonda dan Alfie jika tahu mereka sudah bercerai? Buat masa ini, dia belum siap untuk berterus terang.

"Saya gerak dulu," pamit Daizy. Sewaktu palingkan tubuh, pergelangan tangannya digenggam lembut. Pantas, dia menoleh semula.

"Kalau baby dah lahir, bagi saya jumpa dia, ya," pinta Levent seraya mendekat. Mata mereka mulai bertaut dan saling merenung.

Daizy tersentak sewaktu tangan Levent begitu lembut mengelus perutnya. Sesaat, lelaki itu tunduk mendekati perutnya.

"Baby elok-elok dalam perut mama. Jangan nakal-nakal. Insha Allah ada rezeki, kita jumpa, ya baby," tuturnya lembut sambil mengusap perut Daizy.

Air mata sedaya upaya ditahan agar tidak mengalir. Dia tidak mahu perpisahan mereka diiringi air mata. Ianya persetujuan bersama maka biarkan semuanya berakhir baik-baik saja.

Setelah Levent tegakkan tubuh, Daizy segera beredar dari situ. Tidak mampu menahan air jernih yang kian bergenang di tubir matanya. Levent hanya memerhati Daizy berlalu sehinggalah wanita itu hilang dari pandangannya.

     Kini, semakin jelaslah arah hidup mereka. Berpisah lebih baik daripada berdua namun terluka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience