"Anak?" Tanya Levent bingung.
Serentak, mereka menoleh ke arah pintu sewaktu ianya terbuka. Dato Ahmed menapak masuk lalu mendekati mereka berdua.
"Semua okey? Ada masalah apa-apa?" Tanya Dato Ahmed sambil menatap kedua-duanya silih berganti.
"Ya, semuanya okey," jawab Levent seraya berdiri.
"She is a good learner. Mungkin tak sabar nak gantikan tempat saya," katanya lagi lalu bersandar pada sofa. Senyuman manis sengaja ditayang untuk tatapan isterinya.
"Baguslah. Lebih cepat dia belajar, lebih cepat juga dia gantikan kamu, kan Daizy?" Menantunya dilirik sekilas dengan senyuman lebar.
Levent ketap bibir menahan marah yang mulai terpancing. Secepat inikah dirinya ingin dibuang?
"Daddy tak nak usaha daddy selama ni jatuh ke tangan orang yang tak bertanggungjawab. Daddy ada pewaris yang nak dibesarkan. Dia lebih layak untuk menikmati harta daddy berbanding orang lain."
"Jadi kalau Zila pun mengandung, dia akan dapat apa yang Daizy dapat?" Soal Levent seraya berdiri.
Dato Ahmed tertawa sambil menggeleng kepala.
"Dari awal lagi daddy tak suka kehadiran dia. Kenapa daddy nak kena kongsi dengan dia? Besides, pernikahan kamu berdua tanpa restu daddy. So, dia tak akan dapat satu sen pun dari daddy," tegas Dato Ahmed.
"Daddy! This is too much!" Bantah Levent.
Serentak itu, Daizy berdiri. Tak adil rasanya jika anak yang dikandung Zila disisihkan. Walaupun anak itu bukan dari pernikahan yang sah tetapi dia juga darah daging Dato Ahmed.
"Daddy." Daizy berdiri kemudian mendekati Dato Ahmed.
Tiba-tiba, Levent lebih dulu berpaling sambil merenung tajam ke arah isterinya.
"Apa lagi yang awak nak hasut daddy kali?!" Bentak Levent tak puas hati.
Daizy terdiam, terkedu dibentak sebegitu. Niatnya hanya mahu menjernihkan keadaan namun lebih dulu disalah erti.
"Kamu ni memang tak akan berubah, Levent!" Sampuk Dato Ahmed. Tak habis fikir dengan anaknya yang selalu buruk sangka.
"Daizy, kamu boleh balik. Driver akan hantar kamu pulang ke rumah. We continue tomorrow," kata Dato Ahmed lalu membawa menantunya keluar dari situ. Levent pula hanya memerhati dengan amarah yang membuak-buak. Sedar akan dirinya kini benar-benar dibuang angkara isterinya.
Sewaktu dihantar pulang oleh pemandu Dato Ahmed, Daizy singgah sebentar di klinik swasta yang berdekatan. Kebetulan temujanji pemeriksaan kandungannya sudah dekat. Sementara ada masa lapang, dia ingin memanfaatkannya.
Selesai membuat pemeriksaan, Daizy keluar dengan senyuman lebar disertai mata yang berair. Ternyata, bayinya membesar dengan sihat dan semakin aktif sesuai usia kandungannya. Itu membuatkan Daizy semakin tak sabar menunggu malaikat kecil itu lahir ke dunia.
"Hai, Daizy." Sapaan dari belakang menghentikan langkah Daizy. Sebaik menoleh, senyumannya terus memudar.
"Sejak bila kau datang sini?" Tanya Zila acuh tak acuh.
"Dah dua minggu." Daizy berusaha untuk kelihatan tenang.
"Buat apa datang sini?" Soal Zila lagi.
"Dekat sini, memang tempat aku," balas Daizy.
"Tak. Tempat kau dalam bilik sewa kecik tu," kata Zila, sinis sekali.
Daizy mengatur langkah untuk beredar, namun di tahan oleh Zila.
"Aku tak habis cakap lagi." Kini, dia berdiri tepat di hadapan Daizy.
"Kalau kau datang sebab nak urus perceraian, aku boleh terima. Tapi kalau kau datang nak rosakkan rumah tangga aku, kau siap!" Katanya berbaur ugutan.
"Aku rosakkan rumah tangga kau? Macam salah je. Patutnya aku yang cakap macam tu dekat kau," balas Daizy dengan tawa kecilnya.
Sekilas, mata Zila terpandang perut Daizy yang membuncit.
"Anak siapa?" Soalnya sambil melirik perut Daizy.
"Anak siapa lagi, anak suami akulah."
"Kau jangan nak tipu. Anak scandal kau, kan?" Tuduh Zila.
"Levent dah tinggalkan kau. Sejak bila pula korang bersama?" Soalnya masih tak percaya.
"Kau fikir, kami buat apa dekat bilik sewa tu waktu kau tak ada?" Daizy sengaja membatu api.
"Kau jangan nak tipu aku! Anak Muzammil, kan?"
"Kau jaga sikit mulut kau!"
"Anak haram, kan?" Tuduh Zila lagi.
"Yang haram tu anak kau!" Balas Daizy tak terima saat anaknya dihina.
"Anak kau tu akan rasa apa yang kau rasa, Daizy! Hidup dalam keluarga yang porak peranda! Kalau akulah, baik aku bunuh je budak tu!"
PAK!
Zila terundur sebaik penampar mengenai wajahnya.
"Aku dah cukup sabar dengan kau!" Jari telunjuk Daizy menuding tajam ke arah Zila.
"Kau rampas suami aku, rosakkan rumah tangga aku, tapi aku masih boleh tahan lagi! Kau sentuh pasal anak aku, kau memang cari nahas!" Dadanya mulai berombak menahan marah.
"Daizy, Daizy. Baik kau baliklah ke bilik sewa tu. Jangan tunjuk muka dekat sini. Aku risau anak tu nanti duduk dalam rumah anak yatim macam kau. Atau pun mungkin dia tak sempat tengok dunia luar," katanya sambil tertawa. Tamparan yang baru diterima belum cukup untuk menutup mulutnya.
"Kau memang dah melampau!"
Sekelip mata, rambut Zila sudah dalam cengkaman Daizy.
"Argh! Lepaslah bodoh!" Jerit Zila, kesakitan.
Daizy tak peduli. Tangannya semakin kuat menggoncang kepala Zila.
"Kau dah sondol laki orang! Buatlah cara penyondol!" Tengking Daizy.
Sekali rentap, kepala Zila terdongak ke atas sekaligus mendedahkan wajah wanita itu. Di situlah peluang Daizy melepaskan bertubi-tubi penampar ke wajah yang terhidang di depan matanya. Benar-benar melepas apa yang terpendam selama ini.
Setelah puas, Zila didorong ke dinding. Sudah tak peduli pada kandungan wanita itu. Sungguh, dia dibutakan oleh sakit hati.
"Setakat anak haram tu kau nak pertahankan, aku tak hairanlah, Zila. Anak aku ni lebih mulai daripada anak kau!" Herdik Daizy. Seumur hidup, inilah kali pertama dia menghina seseorang.
"Kau ingat, Zila. Kau yang mulakan semua ni. Aku dah cukup diam waktu kau rampas suami aku. Jadi kali ni, aku akan rampas apa yang sepatutnya jadi milik aku dan anak aku," katanya begitu nekad sekali.
Zila membatu di dinding sambil tercungap-cungap memegang pipi yang terasa kebas. Ianya mulai merah dan bengkak akibat ditampar bertubi-tubi.
Dengan amarah yang meluap-luap, Daizy berlalu pergi dari situ. Jika terus berlama, dia bimbang Zila bakal menjadi tempatnya melampiaskan kemarahan.
"Argh! Sial!" Maki Zila sebaik Daizy beredar dari situ.
"Bodoh!" Perut yang membuncit ditumbuk kuat.
"Ni semua salah kau! Budak bodoh!" Makinya sambil memukul perut sendiri. Anak yang tak bersalah itu malah menjadi tempatnya melampiaskan kemarahan.
HALAMAN rumah yang gelap jelas menandakan Zila tak berada di rumah. Levent melangkah masuk seiring keluhan panjangnya. Entah apa urusan isterinya di luar sana sehingga tak betah tinggal di rumah.
Selesai mandi dan makan, Levent naik ke bilik. Tepatnya bilik tidurnya bersama Daizy yang dikunci dan tertutup rapi selama ini. Sebaik melangkah masuk, aroma wangian yang biasa dipakai wanita itu masih melekat di segenap ruang bilik tidur itu. Masakan tidak, setiap kali masuk dia sendiri pasti akan menyembur wangian tersebut untuk mengubati rindunya. Rindu yang selalu kalah oleh egonya.
"Mungkin, jodoh kita setakat ini," tuturnya sambil memerhati ruangan bilik. Ianya masih begitu, sama seperti kali terakhir ditinggalkan oleh isterinya.
"I've tried my best to stay, Daizy. Tapi awak tak berjuang langsung. Saya tunggu awak merayu, berlutut minta maaf atas semua kesalahan yang awak dah buat. That's all. Saya cuma nak awak akui kesalahan awak." Perlahan-lahan, punggung menyentuh permukaan tilam.
"You made a mistakes. You, made a mistakes, Daizy," tekannya dengan penuh keegoan.
"Should I give a chance to Zila? Having a baby with her, like you said these morning," tuturnya dengan suara bergetar.
"Mungkin dia lebih baik dari awak." Air mata yang mengalir dibiarkan membasahi pipi.
"Daizy, get out of my mind, please..." Levent tunduk sambil memegang kepala dengan kedua-dua belah tangannya. Mata dipejam rapat sebelum mulai menangis teresak-esak. Dia cinta, dia sayang. Namun ego masih memegang takhta tertinggi dalam dirinya.
Sejam berada di situ, barulah dia keluar. Kebetulan, isteri keduanya baru tiba di tingkat atas.
"Awak dari mana, Zila?" Tanya Levent kedengaran lelah. Lelah menangis.
"Jalan," jawab isterinya, mendatar.
"Muka awak kenapa?" Baru sedar akan wajah isterinya yang merah dan sedikit bengkak.
"Awak tanya kenapa?" Zila cekak pinggang dengan wajah tegang.
"Pergi tanya bini tua awak tu!" Tengkingnya.
"Daizy?"
"Siapa lagi?! Perempuan gila tu lah!"
"Hah?" Levent tak mengerti.
"Tak payah nak terkejut sangat! Awak sukalah bila dia datang sini kan?! Disebabkan awak yang tak tegas, tengok apa dia dah buat pada saya!"
"Daizy pukul awak?"
"Ya! Mak bapak saya pun tak pernah tampar saya! Dia pula sedap nak naik tangan!"
Levent pejam mata sambil menghela nafas panjang. Sungguh tak percaya dengan sikap Daizy sekarang.
Seketika, mereka dikejutkan dengan ucapan salam dari tingkat bawah.
"Awak pergi berehat. Saya nak tengok siapa yang datang," kata Levent. Suaranya kedengaran begitu lemah dan lelah sekali menghadapi sikap isteri-isterinya.
Setibanya di bawah, dia segera menuju ke pintu utama saat ucapan salam itu semakin lantang kedengaran. Sebaik membuka pintu, seorang lelaki berpakaian formal sedang berdiri dengan beg bimbit di sisinya.
"Assalamualaikum, Tuan Levent," ucap Encik Bakri. Lelaki itu bukanlah asing melainkan peguam peribadi Dato Ahmed.
Jelas sekali kedatangannya menghairankan Levent.
"Waalaikumsalam. Ada apa Encik Bakri datang sini?" Tanya Levent tak sedap hati.
"Saya diarah untuk menyerahkan notis perintah kosongkan kediaman," maklumnya seraya mengeluarkan sampul surat dari dalam beg bimbit.
"Dari siapa?"
"Puan Daizy."
Share this novel