SEBULAN setelah perceraiannya bersama isteri pertama, Levent memfailkan pula perceraian terhadap isteri keduanya.
"Kau binatang, Levent! Binatang!" Pekik Zila di sebalik tabir kaca tempatnya dipenjara.
"Kau ceraikan aku lepas tu kau kutip balik bini tua kau tu, kan?!Kau memang binatang!" Zila bangun dari duduk kemudian memukul kuat cermin kaca itu. Tidak terima saat Levent datang membawa surat perintah mahkamah agar dirinya datang untuk proses perceraian mereka bulan hadapan.
"Tak! Aku tak akan lepaskan kau! Aku akan keluar dari sini dan aku akan cari kau!" Ugut Zila. Hukuman 7 tahun penjara yang dijatuhkan ke atas dirinya tidak sabar untuk dihabiskan. Dia mahu menuntut segala yang belum menjadi miliknya.
"Daripada fikir pasal aku, apa kata kau fikirkan kehidupan kau dekat sini. Taubatlah Zila. Dosa kau besar," tutur Levent, tenang.
"Kau diam! Aku tak dapat kau, aku cari Daizy dengan anak dia!" Ugut Zila lagi.
Levent tertawa kecil mendengar ugutan itu.
"Carilah sampai dapat. Tapi aku tak jamin keselamatan kau. Aku pun tak mampu kalahkan Daizy, apatah lagi kau. Kau jangan ingat Daizy tu lemah. Silap hari bulan, dia kubur kau hidup-hidup kalau kau kacau anak dia."
Zila terdiam dengan dada yang berombak. Tidak terima dipijak-pijak seperti ini.
"Jangan lupa hadirkan diri di mahkamah nanti," kata Levent seraya berdiri. Sewaktu ingin berpaling, dia terhenti seketika.
"You know what. Aku sebenarnya tak sabar nak ceraikan kau. So..." Levent dekatkan wajah ke cermin kemudian tersenyum miring.
"Razila binti Azad, aku ceraikan kau dengan talak tiga," ucap Levent diiringi senyuman yang semakin melebar. Terasa puas sekali melafazkan talak itu secepatnya. Tak peduli langsung pada denda yang bakal dikenakan ke atas dirinya kerana melafazkan cerai di luar mahkamah.
"Binatang!" Pekik Zila. Tak sangka Levent bakal menjatuhkan talak diwaktu seperti itu.
"Enjoy your life," kata Levent lalu keluar dari situ. Dibiarkan sahaja Zila terpekik terlolong memaki hamun dirinya.
Sebaik melepasi pagar utama penjara, Levent menghela nafas panjang. Begitu lega kerana bakal mengharungi hari-harinya tanpa perlu terikat dengan wanita itu lagi.
Walaupun setelah berpisah, Levent masih bekerja di kilang pemprosesan kayu. Untung sahaja kereta serta kad bank miliknya sudah pulangkan semula oleh Daizy. Itulah yang digunakan untuk melanjutkan sehari-harinya.
Dua bulan kemudian, Daizy selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Levent lebih dulu tiba di sana selepas dimaklumkan oleh Dato Ahmed. Mereka yang lain pula sedang dalam perjalanan ke hospital.
Sebaik masuk ke dalam wad, Levent tak teragak-agak langsung menggendong bayi yang baru lahir itu. Daizy yang sedang duduk di atas katil hanya memerhati Levent menggendong anak mereka. Sesekali lelaki itu mendodoi saat bayi itu mahu terlelap.
"Baby, papa dekat sini," kata Levent kepada anaknya yang baru lahir. Tak henti-henti mengucup wajah suci dan lembut itu.
Tanpa sedar, mata Daizy berair. Tersentuh hati melihat kedua-dua beranak itu, terutama sekali bekas suaminya.
"Ikut papa balik rumah, ya baby." Wajah mulus anaknya diusap lembut. Comel sungguh rupa paras anak kecil berdarah Turki itu dengan rambut sedikit perang, berkulit cerah serta bermata coklat. Tak lain, semuanya diwarisi dari Levent sendiri.
Setelah puas bermain dengan anaknya, Levent mendekati Daizy.
"Thank you," ucap Levent dengan senyuman penuh kesyukuran. Mujurlah semuanya berjalan lancar.
"Sementara ni, saya tolong awak jaga baby, ya." Levent menawarkan diri dengan harapan yang tinggi.
Sementara ini? Tidak. Daizy mahukan lelaki itu sepanjang hidupnya.
"Okey." Hanya itu terzahir dari mulut Daizy. Siapalah dia mahu meminta lebih sedangkan mereka bukan lagi suami isteri.
Tiga bulan selepas perceraian mereka tempoh hari, Daizy rasakan hidupnya terlalu kosong. Dia sedar akan kesilapannya menuntut cerai. Memegang status bekas isteri ternyata lebih sakit berbanding bermadu. Mahukah lelaki itu membina kembali rumah tangga mereka?
"Saya ada benda nak cakap..." serentak mereka berkata membuatkan kedua-duanya berpandangan seketika. Masing-masing mulai teragak-agak apa yang ingin dibicarakan.
"Awak dulu," kata Levent.
"No, after you." Daizy juga mengalah.
Levent senyap seketika sebelum menghela nafas panjang.
"Saya dapat tawaran kursus," maklum Levent.
"Oh, wow. Tahniah," ucap Daizy turut gembira.
"Dekat Turki," sambung Levent.
Kali ini, senyuman Daizy pudar sepenuhnya. Levent sedar akan perubahan riak wajah bekas isterinya.
"Sebelum pergi, saya nak luangkan masa sekejap dengan anak kita."
Anak kita? Cuma anak kita? Kenapa bukan bertiga, bersama dirinya? Dia juga mahu meluangkan masa bersama bekas suaminya. Apa yang ingin dibicarakn tadi terpaksa dikubur semula. Dia terpaksa menunggu sehingga lelaki itu pulang ke tanah air. Berharap, waktu itu mereka lebih dewasa untuk menjaga hubungan.
Tidak lama itu, mereka yang lain pun tiba. Masing-masing tak sabar mahu melihat bayi comel yang baru lahir. Levent segera duduk di sofa bagi memberi ruang kepada mereka yang lain untuk menjenguk Daizy serta bayinya.
Genap sebulan berpantang, perihal perceraian Daizy terbongkar juga. Seperti tekaan Daizy, Bonda Zainah teresak-esak menangis di hadapannya. Tak sangka Daizy menyembunyikan hal tersebut sendirian.
Alfie juga terduduk sayu. Walaupun sebelum ini dia memaksa agar Daizy berpisah dengan Levent, namun tak sangka ianya benar-benar terjadi. Kini, sayu hatinya mengenang anak yang lahir itu membesar dalam keluarga yang tidak lengkap.
Malam itu, Alfie muncul di pintu bilik Daizy. Terpukul hatinya melihat wanita itu cekal mengurus anak sendirian.
"Eh, Alfie. Masuklah," jemput Daizy saat melihat Alfie termenung di muka pintu.
"Baby tak tidur lagi?" Soal Alfie seraya menapak masuk lalu duduk di sebelah Daizy.
"Berak. Baru lepas tukar pampers," kata Daizy dengan tawa kecilnya.
"Kau okey?" Tanya Alfie tiba-tiba.
"Okey. Kenapa?" Alfie dilirik sekilas sebelum kembali merapikan pakaian anaknya.
"Tak adalah. Saja tanya. Mana tahu kau perlu tempat untuk bercerita," ujar Alfie.
"Tak ada benda nak diceritakan. Semuanya dah selesai," kata Daizy, tenang. Baginya, sebaik bercerai segala permasalahan yang membebani turut dibuang jauh. Walaupun dalam hati, cintanya masih mekar.
"Tapi, Lessandra perlukan ayah untuk membesar." Lessandra, anak kecil yang baru berusia sebulan itu ditatap penuh sayu.
"Dia masih ada mama. Selagi kudrat aku ada, aku akan jadi papa untuk dia," tegas Daizy.
"Let me..." Alfie ketap bibir seketika. Teragak-agak mahu menawarkan diri sebagai pengganti Levent.
"Bonda bagitahu yang kau nak bertunang tak lama lagi," kata Daizy sekaligus mematahkan harapan Alfie.
"Wani. Nama dia Wani." Alfie tunduk seketika sebaik menyebut nama itu.
"Alhamdulillah. Akhirnya kau dah nak bertunang juga." Daizy turut tumpang gembira.
"Entahlah, Daizy. Lepas tahu keadaan kau, aku tak yakin nak bertunang. Kau dengan Lessandra dah jadi tanggungjawab aku sekarang," katanya mulai ragu pada keputusannya.
"Alfie, kalau kehadiran aku buatkan kau jadi macam ni, aku tak akan teragak-agak untuk pergi jauh. Jangan disebabkan kami berdua, kau hampakan bakal tunang kau. Kau pilih untuk bertunang itu maknanya kamu berdua dah saling menyayangi."
Alfie geleng perlahan.
"Aku masih sayangkan kau, Daizy. Dari dulu sampai sekarang, kau tetap yang pertama dalam hati aku," luahnya dari hati yang paling dalam.
"Doakan aku mampu sayangkan Wani sebagaimana aku sayangkan kau." Alfie tunduk seketika saat matanya mulai memerah. Dia sedar, cinta untuk Daizy harus dibuang kerana ada wanita lain yang perlu diberi ruang dalam hatinya.
SELESAI berpantang sebulan, Daizy kembali semula ke rumahnya. Ada berbaki sebulan lagi cutinya sebelum masuk ke pejabat semula. Dato Ahmed memberikan dua bulan cuti bersalin untuknya berehat.
Sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi, Daizy dikejutkan dengan ucapan salam dari arah pintu utama. Laju sahaja dia keluar untuk membuka pintu.
"Assalamualaikum," ucap Levent sebaik pintu terbuka.
"Walaikumsalam," balas Daizy dengan senyuman nipis.
"Lessa mana?" Kepala Levent menjengah ke dalam rumah.
"Tidur dekat atas. Masuklah," jemput Daizy seraya memberi ruang pada Levent.
"Pergilah tengok dia. Saya nak masak kejap."
Setelah Levent naik ke tingkat atas barulah Daizy ke dapur untuk lanjut memasak. Beberapa minit kemudian, dia keluar sambil membawa dua pinggan nasi goreng lalu di letak di atas meja makan. Serentak itu, Levent tiba di ruang makan.
"Jomlah sarapan sekali," pelawa Daizy.
Tanpa membantah, Levent duduk berhadapan wanita itu.
"Tak kerja hari ni?" Tanya Daizy lalu menyuap nasi ke dalam mulut.
"Tak. Saya dah berhenti."
Daizy terdiam sejenak. Baru teringat akan kursus yang pernah dibicarakan oleh bekas suaminya.
Levent akhirnya mengangkat wajah memandang bekas isterinya. Tidak lama itu, sudu dilepas kemudian menegakkan duduknya.
"Saya nak cakap tentang kursus yang saya pernah sebut hari tu," maklum Levent, tenang.
"Oh." Daizy angguk perlahan. Hatinya sedikit gementar. Berharap ada perubahan pada keputusan lelaki itu. Mungkin sahaja kursus tersebut tidak jadi disertai.
"Esok saya akan bertolak."
Kali ini Daizy tak mampu menyembunyi riak wajahnya.
"Saya datang sini nak jumpa awak dengan Lessa sebelum bertolak esok."
"Okey." Daizy angguk kemudian kembali menyuap nasi ke dalam mulut. Hambar sungguh rasanya.
"Kursus tu berlangsung selama enam bulan," sambung Levent lagi.
Daizy hanya angguk tanpa mengangkat wajah. Dia berusaha menyembunyi mata yang berair.
"And, saya akan menetap dekat sana lepas habis kursus. Saya tak akan balik dalam waktu terdekat."
Serentak itu, air mata Daizy mengalir membasahi pipi. Laju dia palingkan wajah ke sisi sambil mengesat air matanya.
Levent tahu, bekas isterinya kecewa akan keputusan yang dia lakukan.
"Saya minta maaf," ucap Levent dengan segunung rasa bersalah.
Daizy berdiri kemudian membawa pinggan ke dapur. Setelah meletak pinggan ke dalam singki, dia terhenti di situ. Kedua-dua belah tangannya naik berpegang pada hujung singki. Cuba mencari kekuatan untuk berdiri.
Dia fikir setelah bercerai, keadaannya bakal baik-baik sahaja. Namun baru sahaja Levent maklumkan ingin pergi jauh dan tak akan pulang, dia sudah rasa sebak begini. Besar sungguh rasa cintanya pada lelaki itu.
"I will be back," tutur Levent di hadapan pintu dapur.
Daizy tak mahu menoleh. Air mata yang semakin lebat pasti menjadi bahan tawa lelaki itu.
"Just... go," kata Daizy tersedu-sedu.
"Daizy, I'll be back," kata Levenr seraya mendekat sehingga dia berdiri di belakang bekas isterinya.
"Bila?!" Soal Daizy seraya palingkan tubuh. Mata yang basah itu merenung tajam mata bekas suaminya.
"Tak cukup dulu awak tinggalkan saya!... awak nak tinggalkan anak awak juga?!"
"Jahat!" Dada suaminya dipukul kuat.
"Awak jahat!" Kini, kedua-dua belah tangannya naik memukul dada bekas suaminya.
"Sebagai suami dan sebagai ayah... awak gagal jadi kedua-duanya."
"Daizy." Kedua-dua belah bahu Daizy digenggam lembut.
"I wanna be a better person for you and our daughter. Saya banyak buat salah selama ni. Tak semudah itu awak lupakan apa yang saya dah buat. Saya cuma nak pergi supaya awak boleh tenangkan diri."
Daizy angguk seraya menepis kedua-dua belah tangan bekas suaminya.
"Fine," kata Daizy seraya meraup wajah yang basah dek air mata.
"Saya dengan Lessa pun tak perlukan pecundang macam awak."
"Daizy..." Levent cuba memujuk namun Daizy lebih dulu mengangkat tangan agar dirinya berhenti berbicara.
"No. Just go. Bawa diri, bawa masalah awak sekali. Never show your face infront of me... and my daughter," tegas Daizy.
"Daizy, please..."
"Stop. Pintu dah terbuka luas untuk awak dekat luar tu. So, get out," halau Daizy lalu meninggalkan Levent di situ.
Sebaik tiba di bilik anaknya, pintu ditutup lalu dikunci. Tangisannya yang ditahan-tahan akhirnya terlepas jua. Teresak-esak di belakang pintu sambil mencengkam dada sendiri. Biarlah kali ini dia menangis semahunya. Sebaik Levent pergi jauh nanti, maka tiada lagi tangisan untuk lelaki itu.
Kepergian Levent menyedarkan Daizy bahawa mereka sememangnya tidak ditakdirkan untuk bersama. Pernikahan yang bertahan tiga tahun itu cukup banyak meninggalkan luka dalam hatinya. Ternyata sedalam apa pun cinta, jika sepihak tak menghargai ianya tak membawa erti apa-apa.
Sebagai seorang wanita, dia perlukan lelaki yang berusaha untuk mempertahankan hubungan. Sikapnya selama ini tak lain hanya ingin lelaki itu lebih menghargai hubungan mereka. Namun ternyata dia salah. Levent terlalu lemah. Lebih memilih pergi daripada memperbaiki kesalahannya.
SIRIH junjung buatan Daizy menjadi perhatian mereka yang ada di rumah anak yatim itu.
"Wah, pandai juga Daizy hias sirih junjung ni kan," puji Ibu Ratih. Kagum dengan hasil tangan wanita muda itu.
"Apa susah, ibu? Youtube kan ada," kata Daizy lalu tergelak kecil.
"Yalah. Tapi kalau tangan dah berseni, memang inilah hasilnya, kan Salwa?" Ibu Salwa dilirik sekilas. Wanita itu terangguk-angguk sambil memerhasil hasil tangan Daizy.
"Dah, dah. Pergi bersiap. Lepas zohor kita nak hantar Alfie," sampuk Bonda Zainah.
"Hantaran tunang dah siap, kan?" Tanya Bonda pada Daizy. Wanita itu turut turun tangan untuk menyiapkan hantaran pertunangan Alfie.
"Dah, bonda. Dari semalam lagi dah siap." Daizy senyum lebar.
"Alhamdulillah. Jadi tinggal kitalah ni yang tak siap lagi, kan?" Mereka yang ada di situ ditatap silih berganti sambil mencekak pinggang.
"Ya, ya. Nak mandilah ni." Ibu Salwa lebih dulu beredar sambil mencebik. Setelah itu barulah Ibu Ratih mengekorinya.
"Haih, dah tua pun perangai macam budak-budak," kata Bonda Zainah sambil menggeleng kepala. Daizy hanya mampu tertawa melihat tingkah wanita-wanita yang sudah dianggap seperti keluarganya. Jika bukan mereka, siapa lagi yang mampu menerbitkan senyuman di bibirnya?
Selesai solat Zohor, mereka pun bertolak. Tidak sampai beberapa minit, mereka tiba di rumah pihak perempuan. Meriah sungguh sambutan yang mereka terima dari ahli keluarga Wani. Tak tunggu lama, perbincangan pun dimulai. Sehinggalah ke acara menyarung cincin sekaligus menandakan mereka sudah selamat mengikat tali pertunangan.
Di atas mini pelamin, mata Alfie tak lekang dari merenung Daizy yang sedang memangku Lessandra di antara tetamu yang lain. Senyuman ikhlas Daizy jelas menunjukkan wanita itu gembira atas pertunangannya.
Lessandra yang sudah mencecah usia 7 bulan juga kelihatam girang di pangkuan Daizy. Seperti mengerti akan hari tersebut adalah hari bahagia buat keluarga mereka.
GELAS berisi teh kosong dihirup sedikit sebelum diletak semula di atas meja. Sudah setengah jam Daizy duduk di situ bersama Alfie. Menikmati suasana malam di pondok luar rumah. Sudah lama mereka tidak meluangkan masa seperti ini semenjak Daizy berumah tangga.
"Levent ada call?" Tanya Alfie memecah kesunyian.
Daizy angguk perlahan.
"Bila dia nak balik sini?" Tanya lelaki itu lagi.
Daizy angkat bahu seraya menggeleng perlahan.
"Habis tu waktu dia call, takkan kau tak bercakap?" Soal Alfie, kesal.
"Tak. Tiap kali dia video call, aku terus tunjuk muka Lessa," kata Daizy, bersahaja. Sudah pasti hanya itu tujuan Levent menghubunginya.
"Haih, aku tak pahamlah dengan kamu berdua ni. Sama-sama nak tapi dua-dua ego. Suka sangat main tarik tali," ujar Alfie tak habis fikir.
"Tak. Dia yang pilih untuk pergi so, semuanya terhenti di situ. Tak ada makna dia nak balik dengan aku. Dan macam tu juga sebaliknya. Aku masih ada maruah," tururnya masih tenang.
"Cukuplah dulu aku merayu-rayu. Aku dah serik. Lessa dah cukup bagi aku." Tegas sungguh kedengaran suara wanita itu.
"Yalah. Kau macam ni pun aku dah bersyukur. Tak ada nangis-nangis dah. Tentang Lessa, kau jangan risau. Selagi aku masih hidup, aku akan pastikan dia dapat rasa kasih sayang seorang ayah," kata Alfie, begitu tegas.
Keadaan kembali senyap. Sejujurnya, Daizy beruntung di kelilingi insan yang menyayanginya. Tanpa sosok suami pun dia masih boleh bertahan asalkan Lessandra ada di sisinya.
Terkadang diri ini harus berhenti khuatir, bertanya-tanya, dan ragu. Percayalah bahwa segala sesuatunya akan berhasil, mungkin bukan seperti yang direncanakan, tetapi bagaimana hal itu seharusnya terjadi.
TAMAT...
Share this novel