NOMBOR telefon suaminya yang disekat sebulan lalu kini ditatap lama. Hatinya sudah mulai terbuka untuk memaafkan lelaki itu. Apatah lagi selepas mengetahui perkara sebenar. Walaupun tiada jaminan suami bakal berubah sepenuhnya, dia harus memberi peluang kepada lelaki itu kerana sudah menunjukkan usaha untuk berubah.
Akhirnya, nombor telefon Levent dinyahsekat. Dengan hembusan nafas yang panjang, Daizy mulai menghantar pesanan pada lelaki itu melalui aplikasi whatsapp.
'Assalamualaikum.'
'Blueticks' yang tertera menandakan pesanannya berjaya dihantar. Beberapa saat menunggu, tiada balasan dari suaminya. Maka Daizy cuba menghantar pesanan lagi.
'Sihat?'
'Awak buat apa?'
'Dah makan?'
Senyuman dibibir Daizy memudar sewaktu melihat 'greytick' yang memandakan pesanannya tidak sampai.
"Mungkin dia busy," bisiknya sendiri. Akhirnya, telefon bimbit diletak di atas meja kemudian bangun dari katil. Dia ingin bersiap untuk ke pejabat.
Selesai mandi, telefon bimbit dibuka semula. Namun sayangnya pesanan masih tak dibalas. Dengan perasaan hampa, Daizy berangkat ke tempat kerja. Sepanjang bekerja pula, Daizy asyik memeriksa telefon bimbitnya. Dan hasilnya tetap sama. Pesanan yang dihantar tidak sampai sama sekali. Dia cuba untuk menghubungi nombor suaminya namun malangnya, ia masuk ke kotak mel suara.
Sehingga tamat waktu kerja, Daizy tak pernah fokus pada pekerjaannya. Hati pula semakin membuak-buak untuk menemui suaminya.
"Monyok aje," tegur Muzammil.
Daizy hanya tayang wajah muram sambil merapikan meja.
"Daizy, okey tak ni?" Tanya Muzammil sedikit bimbang.
"Boleh tak kalau saya nak cuti esok?" Tanya Daizy serba salah.
"Haih, pasal itu?"
"Tak juga." Daizy garu kepala yang tidak gatal.
"Habis tu?"
"Levent."
"Kenapa?" Muzammil jongket kening.
"Saya call tak dapat. Whatsapp pun tak balas. Lepas tu tiba-tiba greytick pula. Sebelum ni elok aje blueticks," katanya resah.
"Dia busy mungkin."
"Tapi phone dia langsung tak dapat dihubungi," luah Daizy semakin resah.
"Dah, jangan fikir yang bukan-bukan. Saya bagi awak cuti tiga hari start esok. Pasal kereta awak jangan risau. Saya sediakan kereta dengan pemandu sekali untuk awak." Bahu Daizy ditepuk lembut.
Daizy angguk perlahan walaupun hatinya masih resah.
KEESOKAN paginya, Daizy sudah bersiap di hadapan cermin. Sebentar lagi dia akan bertolak menemui suaminya.
"Zila?" Tegur Daizy sebaik melihat Zila menapak masuk. Hampir seminggu, baru wanita itu munculkan diri semula.
"Hai, Daizy," sapa Zila sambil melambai. Di kiri dan kanannya sedang membawa beg kertas hasil belanjaannya.
"Kau pergi mana, Zila? Dah seminggu baru nampak batang hidung," tanya Daizy.
Zila tayang senyuman lebar seraya meletak beg kertas hasil belanjaannya di atas katilnya.
"Shopping. Dengan bakal suami aku," katanya, teruja.
"Bakal suami?" Daizy menoleh laju.
"Ya, bakal suami. Minggu depan kitorang dah nak kawin," katanya lagi sambil mengeluarkan pakaian yang baru dibeli. Dia mulai berdiri di hadapan cermin sambil membelek pakaian tersebut.
"Nikah? Biar betul?" Tanya Daizy hampir tak percaya.
"Ya.
"Cepatnya. Bukankah korang kenal tak sampai dua bulan?"
"Dah jodoh, nak buat macam mana. Lagi pun dia sendiri tak kesah aku ajak kawin cepat-cepat," katanya sambil membelek tubuh di hadapan cermin.
"Alhamdulillah. Syukurlah kalau macam tu. Tahniah, Zila," ucap Daizy tumpang gembira.
"Bila nak kenalkan dengan aku?" Perli Daizy.
"Kau dah kenal pun," kata Zila, selamba.
"Hah? Aku kenal? Siapa?" Tanya Daizy, musykil.
"Adalah. Yang penting kau kena datang waktu nikah kitorang nanti," jemputnya dengan senyuman lebar.
"Yelah." Beg tangan disandang di bahu.
"Aku gerak dulu, bye," pamit Daizy tanpa sempat memaklumkan pada Zila bahawa dia ingin menemui suaminya hari ini.
Sepanjang perjalanan, Daizy tak henti-henti tersenyum sendiri. Memandangkan suaminya belum dapat dihubungi, maka biarlah kedatangannya menjadi kejutan buat suaminya. Hampir 4 jam menempuh perjalanaan, akhirnya Daizy tiba di hadapan rumah Dato Ahmed memandangkan suaminya masih di pejabat.
Sementara menunggu, Daizy lelapkan mata di bilik suaminya. Tubuh terasa lenguh akibat menempuh perjalanan yang jauh. Hingga tanpa sedar dia tertidur hingga ke petang. Hanya terbangun selepas dikejutkan oleh kehadiran Dato Ahmed.
Saat ingin bangun, kepalanya pula terasa berat sekali. Melihat Daizy seperti kesulitan, Dato Ahmed segera membantunya untuk duduk.
"Panasnya badan kamu," tegur Dago Ahmed. Tapak tangannya kini melekap di dahi menantunya.
"Hah?" Daizy sentuh dahi sendiri. Sesaat, keluhannya terlepas.
"Tadi okey aje," tuturnya kesal. Di waktu seperti ini pula demam tiba-tiba menyerang.
"Nak pergi klinik? Daddy hantar," pelawa Dato Ahmed.
Daizy terdiam sejenak. Jika ke klinik, pasti lambat lagi untuk bertemu suaminya sedangkan rindunya sudah membuak-buak. Akan tetapi, hendak duduk pun terasa berat sekali, inikan pula berjalan.
"Kita pergi klinik, lepas tu baru daddy hantar kamu balik rumah, ya," cadang Dato Ahmed.
Akhirnya Daizy turuti kata-kata Dato Ahmed. Tanpa membuang masa, mereka pun bertolak ke klinik. Tidak sampai beberapa minit menunggu, akhirnya Daizy dipanggil masuk ke dalam bilik rawatan. Dia diarahkan untuk membuat pemeriksaan air kecing. Setelah keputusan diperoleh, dia dipanggil semula.
"Tahniah, puan," ucap doktor wanita tersebut seraya menolak perlahan kit ujian kehamilan di atas meja ke arah Daizy.
"Hah?" Daizy belum mengerti apa yang terjadi.
"Puan mengandung. Dah 6 minggu," kata doktor itu lagi.
Daizy terkedu. Tangannya pantas menyambar kit ujian kehamilan tersebut untuk dilihat sekali lagi.
"Saya mengandung?" Tanya Daizy sekali lagi.
"Ya, puan mengandung," balas doktor tersebut dengan senyuman lebarnya.
"Nanti kami akan bekalkan ubat. Disebabkan puan demam, saya akan sertakan paracetamol sekali." Doktor mulai menulis preskripsi ubat di atas kertas. Setelah itu barulah Daizy dibenarkan pulang.
Sepanjang perjalanan, senyumannya tak henti-henti menghiasi bibir. Dato Ahmed yang sedang duduk di sebelah pemandu sedikit pun tak menyedari tingkah menantunya. Setibanya di hadapan rumah Levent, Daizy segera turun. Namun sayangnya kereta suaminya tidak kelihatan di halaman rumah.
"Levent tak balik lagi?" Dato Ahmed menjengah memerhati halaman rumah.
"Tak apa daddy, kejap lagi dia baliklah tu," kata Daizy.
"Jadi, kamu nak tunggu dekat sini? Kamu tu demam, Daizy," ujar Dato Ahmed, bimbang.
"Tak apa. Sikit aje ni. Kejap lagi Levent balik saya terus makan ubat," kata Daizy meyakinkan Dato Ahmed.
Dengan keberatan, Dato Ahmed meninggalkan Daizy di situ.
Sementara menunggu suaminya, Daizy tak henti-henti merenung kit ujian kehamilan yang dibawa dari klinik sebentar tadi. Dia ingin membuat kejutan untuk suaminya. Selang beberapa minit kemudian, kereta suaminya muncul di situ. Daizy yang sedang bersandar di pagar segera tegakkan tubuh dengan senyuman manisnya.
Hampir beberapa saat, Levent hanya menurunkan cermin tanpa turun dari kereta. Wajahnya pula kosong tanpa ekspresi.
"Hai," sapa Daizy sambil mengangkat tangan. Gementar pula bertemu suami sendiri.
Levent tak menjawab namun dahinya mulai berkerut.
"What brings you here?" Tanya Levent mendatar sekaligus mematikan senyuman isterinya.
"Em... saya nak jumpa awak," kata Daizy, gugup.
Levent hela nafas panjang seraya memejam mata seketika. Dari situ, Daizy mulai mengerti tingkah suaminya yang tak gembira melihat kehadirannya di situ.
"Awak masih marah?" Tanya Daizy, serba salah. Teringat kembali kali terakhir pertemuan mereka.
"Kita masuk dalam, jom. Kita bincang," tutur Daizy, lembut.
"Masuk kereta. Sekarang," arah Levent kemudian menaikkan semula cermin kereta.
Daizy terkebil-kebil seketika sebelum masuk ke dalam kereta. Sesaat, Levent memandu pergi dari situ. Daizy senyap di sebelah suaminya. Dia tak tahu ke mana lelaki itu ingin membawanya. Tidak lama itu, kereta berhenti di sebuah taman rekreasi. Levent lebih dahulu turun kemudian berhenti tepat di hadapan sebuah tasik buatan.
Dengan helaan nafas yang panjang, Daizy akhirnya turun mendekati suaminya.
"Cakap, apa awak nak," kata Levent terlebih dahulu sebaik isterinya berdiri di sebelah.
"Kenapa kita tak cakap dekat rumah aje?" Tanya Daizy. Memandangkan dia masih demam, kepalanya terasa semakin berat.
"Tak payah, kita cakap dekat sini. Saya tak nak awak masuk rumah hanya untuk keluar semula," kata Levent acuh tak acuh.
Daizy telan liur sambil menggenggam jari jemari. Dia tahu, suaminya masih marah.
"Saya nak minta maaf," tutur Daizy mulai sebak.
"Saya minta ampun atas apa yang saya cakap hari tu. Saya sepatutnya fikir perasaan awak juga. Tapi saya ego. Awak tak putus asa untuk pujuk saya, untuk perbaiki rumah tangga kita. Tapi saya masih ikutkan ego dan hati saya sendiri," luahnya diiringi air mata.
Levent sedikit pun tak menoleh. Kepala tegak merenung tasik di hadapan mereka.
"So?" Soal Levent, angkuh.
"Kita... mula semula. Macam yang awak cakap dulu. Kita bercinta balik..."
Levent tergelak sinis seraya memandang isterinya. Mata lelaki itu kelihatan berair.
"Tak apalah, Daizy. Saya penat," tutur Levent dengan nafas beratnya.
"Saya penat nak jadi bodoh disebabkan cinta. Banyak yang saya korbankan untuk awak. Banyak yang saya lalui hanya untuk pertahankan rumah tangga kita. Saya penat."
"Penat," tekannya di hujung kata.
"Levent, bukan awak sorang saja yang penat. Saya pun penat juga. Dua tahun saya sabar dengan perangai awak. Sebab apa? Sebab saya sayang awak."
"Sayang?" Soal Levent sinis.
"Awak lari dari rumah. Tinggalkan saya terumbang ambing. Buatkan saya risau pasal awak. Rupa-rupanya..." Levent ketap gigi sehingga rahangnya bergoyang-goyang.
"Rupa-rupanya awak seronok dengan lelaki lain? Patutlah awak boleh hidup dekat luar sana tanpa saya."
"Saya ke hulu ke hilir cari awak. Risaukan keselamatan awak. Entah awak makan atau tidak dekat luar tu. Tapi rupanya, dah ada orang tolong suap awak. Bagi awak macam-macam." Suara Levent kedengaran sebak.
"Kalau maksud awak Muzammil, awak dah salah faham." Daizy lebih dulu menyangkal.
"Salah faham? Ke mana-mana dengan dia. Pergi kerja, balik kerja. Makan. Masuk kelab hiburan pun sama-sama. Mana yang salah faham?"
"Tak! Tak!..." Daizy menggeleng laju.
"Sudahlah Daizy. Saya salah saya minta maaf, awak salah awak minta maaf. Sampai bila kita nak macam ni? Saya penat. Penat sangat-sangat."
"Tak." Daizy mendekati suaminya kemudian meraih kedua-dua tangan suaminya.
"Kita cuba, sayang. Kita cuba sekali lagi." Matanya merenung ke dalam mata suaminya. Berharap agar diberi peluang sekali lagi.
"Sudah." Levent cuba melepas pegangan isterinya namun lebih kuat wanita menggenggam tangannya.
"Tak. Kita tak boleh menyerah! Kita bakaldah jadi keluarga yang lengkap, sayang," tuturnya dengan senyuman yang diiringi air mata.
"Enough, Daizy. Enough." Sekali rentap, tangannya terlepas dari genggaman Daizy.
"Tak. Saya tak akan berhenti." Daizy maju kembali untuk meraih tangan suaminya.
"I said stop!" Tengking Levent.
"Tak nak! Saya nak awak!" Balas Daizy.
"Untuk apa? Nak seksa saya lagi? Dah cukup saya terseksa selama ni! Kawin dengan awak saya fikir saya akan bahagia! Rupanya saya silap! Awak tak boleh nak terima kekurangan saya!..." Bentak Levent.
"Saya minta maaf sebab tak boleh terima keadaan awak masa tu! Tapi itu dulu! Sekarang ni saya dah tak kesah! Saya akan sentiasa di sisi awak. Saya tak akan tinggalkan awak sendiri! Saya akan teman awak untuk harungi semuanya," tutur Daizy meyakinkan suaminya.
"Tak payah, Daizy. Awak dah tunjukkan yang awam tak layak."
"Please!" Daizy menyambar tangan suaminya.
"Kita..." Daizy segera menyeluk beg tangannya kemudian menggenggam kit ujian kehamilannya.
"Sayang, see." Kit tersebut dihulur namun lebih cepat Levent menyambar kemudian dihumban ke dalam tasik tanpa semapt melihat kit tersebut. Dia sudah tawar hati untuk mendengar apa pun alasan isterinya.
Daizy tergamam melihat kit tersebut ditengah-tengah tasik.
"Cincin kawin kita. Awak dah buang, kan?" Levent melirik jari manis isterinya yang tersarung cincin pemberian Muzammil.
"Awak buang cincin kita demi nak sarung cincin tu." Levent ketap bibir menahan marah.
Serta merta, Levent mulai membuka cincin perkahwinan dari jari manisnya.
"Jangan!" Daizy cepat menghalang. Seperti dapat membaca tindakan suaminya.
"Lepas!" Pergelutan mulai berlaku. Namun akhirnya Daizy kalah. Levent berjaya melepas cincin dari jari manisnya kemudian dibuang ke dalam tasik.
"We are done!" Tekan Levent.
"Sayang..." Daizy masih tak putus asa.
"Jangan panggil aku sayang!"
"Sakit yang kau tinggalkan ni, lebih sakit daripada apa yang aku pernah rasa dulu. Kau!..."
"Kau perempuan jahat! Kau!..." Levent kesat air mata sambil teresak-esak. Bagaikan anak kecil yang menangis di hadapan orang tuanya.
"Kau jahat..." Levent tekup wajah dengan tangannya sebaik esakan semakin kuat. Dia masih cinta, tapi dia lebih kecewa selepas mengetahui perlakuan isterinya selama ini.
"Kau tak ubah macam!... Zahara!" Katanya sambil mengesat air mata. Tak peduli langsung pada imejnya saat itu.
"Levent..." Daizy masih cuba memujuk.
"Jangan sentuh aku!" Levent menepis kasar sebelum meraup wajah yang sudah lencun dek air mata.
"Lepas ni, kau failkan sendiri perceraian kita. Aku sibuk nak urus perkara yang lebih penting," katanya sambil memgatur nafas.
"Aku tunggu surat mahkamah dari kau," katanya lagi dan terus beredar dari situ.
"Sayang..." panggil Daizy buat kali terakhir. Hanya mampu memerhati suaminya pergi hinggalah kereta lelaki itu menjauh dan terus menghilang.
Matanya kembali merenung tasik di hadapan. Perlahan-lahan, esakannya mulai terkeluar. Terpaksa menggigit bibir sendiri agar tangisannya tak menjadi-jadi.
Inikah pengakhirannya? Disinikah semuanya terhenti? Tiada lagi cinta? Tiada lagi rumah tangga yang boleh dipertahankan?
Perlahan-lahan, tangan naik menyentuh perut. Di saat dirinya hamil, suaminya pula memutuskan untuk berpisah. Adakah anaknya bakal menjalani kehidupan sepertinya? Tanpa keluarga yang lengkap.
"Sayang... adakah kehadiran awak terlalu lambat, atau papa yang terlalu cepat menyerah?"
Share this novel