BEG pakaian diturunkan dari atas almari kemudian mulai mengemas pakaian milik isterinya yang masih tersimpan rapi di dalam almari pakaian mereka. Walaupun tangannya pantas bergerak, namun ada esakan yang mengiringi perbuatannya.
Sedih, kecewa kerana akhirnya pernikahan mereka telah tiba ke penghujungnya. Tiada lagi yang perlu diperbaiki kerana sudah jelas bahawa mereka tak lagi mampu bersama.
Dua beg pakaian sudah terisi, kini tinggal satu lagi yang masih cuba dipenuhi. Disebabkan sebaknya semakin menghentam dada, Levent jatuh terduduk di atas lantai sambil memeluk pakaian isterinya.
Menangis, meraung semahunya melepas segala yang terbuku di dada. Sakit itu terasa lagi, sama seperti yang dilakukan oleh Zahara. Wanita tak lagi dicintai namun sakitnya terus menjadi trauma dalam diri.
PUKUL 10 pagi, Daizy tiba di bilik sewa. Semalam, dia terpaksa menginap dihotel memandangkan Levent meninggalkan dirinya sendiri di taman. Hendak pulang ke rumah Dato Ahmed pula, dia bimbang jika lelaki itu akan mengetahui apa yang terjadi.
Sewaktu hendak membuka pintu bilik, ianya tiba-tiba terbuka dari dalam. Zila meluru keluar dan terus berlari menuju ke bilik air. Disebabkan risau, Daizy mengikuti Zila kemudian menunggu di luar bilik air. Beberapa minit kemudian, Zila keluar dengan wajah yang pucat.
"Zila, kau okey?" Tanya Daizy, bimbang.
Zila angguk perlahan dengan wajah yang berkerut.
"Jom, kita masuk bilik," ajak Daizy.
Setelah membawa Zila duduk di katil, Daizy ikut duduk di sisi wanita itu.
"Kau tak kerja hari ni?" Tanya Daizy. Tangannya tak henti-henti mengusap belakang Zila.
"Aku dah berhenti kerja. Bakal suami aku tak benarkan aku kerja," katanya dengan wajah berkerut. Sisa angin selepas muntah tadi masih terasa di perutnya.
"Syukurlah kalau macam tu. Kau tak perlu lagi kerja ditempat macam tu," kata Daizy, lega.
Pantas, Zila menoleh dengan wajah tak puas hati.
"Tempat macam tu jugaklah yang bagi kau makan waktu kau tak kerja dulu. Ingat? Enam bulan aku isi perut kau dengan duit tu, faham?" Kata Zila begitu sinis sekali.
Senyuman Daizy mati serta merta. Tak sangka kata-katanya tadi bakal menyinggung perasaan Zila.
"Zila, sorry. Bukan itu maksud aku." Tangan Zila digenggam erat. Kelihatan jelas wanita itu sedang menahan marah.
"Lepas kawin, aku tak akan tinggal sini lagi. Bakal suami aku dah sediakan rumah jauh lebih besar daripada ini." Zila menjauh kemudian mencapai air minum.
"Syukur alhamdulillah. Itu semua rezeki kau, Zila. Allah nampak usaha kau selama ni nak hidup senang," tutur Daizy, begitu senang sekali.
"Kau dari mana semalam?" Tanya Zila sebaik selesai minum. Marahnya sudah reda selepas minum sebentar tadi.
"Em, dari healing," kata Daizy terpaksa menipu. Wajahnya tunduk seketika merenung jari jemari.
"Healing?" Tidak lama itu Zila tersenyum miring. Dia sudah dapat mengagak apa yang berlaku.
"Aku mandi dulu. Kejap lagi nak pergi beli barang nikah. Kau cuti kan hari ni?" Tanya Zila seraya berdiri kemudian mencapai tuala. Memandang jam sudah menunjukkan pukul 10 sudah pasti wanita itu tak masuk ke pejabat.
"Ya, aku cuti. Nak rehatkan badan." Untung sahaja demamnya sudah kebah semalam selepas makan ubat. Cuma tubuhnya masih terasa lelah akibat menempuh perjalanan yang jauh.
"Okey. Kau tolonglah kemas apa yang patut. Aku tak larat nak kemas bilik ni," kata Zila sambil tersenyum menayang gigi.
"Ya, Puan Zila. Biar aku yang kemas nanti. Selama ni pun aku jugak yang kemas, kan," usik Daizy lalu kembali ke katilnya.
"Petang nanti aku kemas. Aku nak rehat kejap," katanya dan terus rebahkan badan. Tidak sampai beberapa minit, dia sudah terlelap. Tidak sedar langsung saat Zila meninggalkan bilik untuk pergi membeli barang nikah.
"KAHWIN?" Tanya Mak Esah, mak kepada Zila. Ayahnya yang sedang duduk di kerusi roda juga masih tak percaya dengan kata-kata anaknya. Hampir setahun lebih hilangkan diri, tiba-tiba muncul membawa khabar akan dirinya yang ingin menikah.
"Dengan siapa? Lelaki dari mana? Kerja apa?" Tanya Mak Esah bertubi-tubi.
"Mak fikir saya ni tak pandai nak cari laki? Apa? Mak fikir saya ni tahu nak habiskan beras korang dalam rumah ni?" Sindir Zila.
"Zila," panggil Pak Azad, lembut.
"Jangan salah faham dulu, nak. Marah kami selama ni cuma nak kamu jadi anak yang baik. Ayah marah sebab tak suka kau keluar malam. Pagi pula tak boleh bangun disebabkan tak tidur semalaman. Kau kerja atau pun tidak, ayah dengan mak tak pernah kesah pun. Cuma kami tak suka kau bergaul dengan orang yang salah," tutur Pak Azad begitu lembut sekali. Tidak mahu sampai anaknya tersinggung.
"Saya bergaul dengan orang yang salah? Habis tu sekarang apa yang jadi pada saya? Masih hidup lagi kan? Dah nak nikah dah pun. Dengan orang kaya, kacak. Harta dia, 7 keturunan pun tak habis," katanya begitu angkuh sekali.
Beraninya dia bermegah begitu kerana orang tuanya tak tahu apa pekerjaannya selama ini.
"Zila, kalau ya pun. Bagilah bakal suami kamu tu jumpa dengan mak dan ayah. Kami nak tengok siapa bakal suami kamu tu," pinta mak Esah.
"Tak payah. Nanti waktu nikah, mak dengan ayah tenunglah dia puas-puas. Sebab kami tak akan tinggal dalam rumah ni. Rumah kami dekat bandar tu jauh lebih besar." Katanya lagi tak henti bermegah-megah.
"Ingat ni mak, ayah," katanya sambil merenung satu persatu orang tuanya.
"Jangan nak burukkan saya depan suami saya nanti. Kalau mak dengam ayah cakap yang bukan-bukan, korang siap! Satu sen pun saya tak akan kirim untuk korang berdua," ugutnya seraya menuding jari ke arah orang taunya.
Pak Azad urut dada. Begitu menusuk sekali kata-kata seorang anak.
"Tapi, takkan nikah aje. Kenapa tak buat majlis sekali. Kamu tu anak sulung, Zila." Mak Esah keberatan memandangkan Zila anak sulung dan pertama sekali yang ingin mendirikan rumah tangga.
"Saya tak nak duduk lama-lama dalam rumah ni, mak. Rimas. Nanti dekat bandar kami akan buat majlis besar-besaran. Cuma saya tak akan jemput mak dengan ayah lagi. Yang datang nanti, semuanya orang kaya-raya. Saya tak nak suami saya malu."
"Astaghfirullah, Zila. Sampai hati kamu." Mak Esah sentuh dada. Sedari dulu lagi, anak sulungnya ini memang susah diatur. Suka bertindak sendiri tanpa fikirkan ahli keluarga yang lain.
"Jangan lupa, mak jugak yang halau saya dulu kan?" Sindirnya.
"Mak halau untuk bagi kamu pengajaran, Zila. Bukan mak suruh kamu lari keluar dari kampung ni." Memamg tindakannya salah kerana menghalau anaknya. Namun, orang tua mana yang tak sedih melihat anak perempuannya terlalu bebas bergaul di luar sana?
"Eh! Dahlah mak! Semuanya dah terlambat. Saya ni dah terlanjur sakit hati dengan mak dan ayah. Saya datang ni pun sebab saya masih anggap ayah ni wali saya. Kalau ayah tak sudi, saya boleh lantik wali hakim," katanya begitu angkuh sekali.
"Jangan, Zila. Biar ayah jadi wali kamu. Kamu tetap anak ayah," tutur Pak Azad, begitu sebak. Disaat seperti ini pun anaknya masih ego dan pentingkan diri. Maka sebagai orang tua, mereka rela mengalah asalkan pernikahan anak mereka berjalan lancar.
SELESAI mandi, barulah tubuhnya terasa lega. Masakan tidak, sejak pukul 10 pagi lagi Daizy sudah tertidur. Pukul 4 petang barulah dia terbangun semula. Namun syukurlah lenguh badannya tidak lagi terasa. Daizy pun mulai membersihkan bilik sewa memandangkan Zila belum pulang.
Setelah mengemas bahagian tempat tidurnya, Diazy lanjut mengemas tempat tidur Zila. Segala sampah dikumpul lalu dibuang ke dalam tong sampah milik wanita itu. Seketika, matanya tertangkap sesuatu yang sangat tak asing di matanya. Laju sahaja tangan mengorek tong sampah tersebut.
Sesaat, mulutnya terlopong sebaik memihat kit ujian kehamilan dengan dua garis merah yang terlihat jelas sekali.
"Ya Allah," ucapnya seraya memyentuh dada. Ini bukan miliknya maka, ianya sudah pasti milik Zila memandangkan hanya mereka berdua di dalam bilik itu.
"Daizy. Aku dah balik..." sebaik membuka pintu, Zila terhenti sewaktu melihat Daizy berdiri di hadapan tong sampah sambil memegang kit ujian kehamilan miliknya.
"Zila..." Daizy sukar untuk percaya.
"Kau buat apa?" Zila meluru ke arah Daizy.
"Zila... kau... kau punya?" Tanya Daizy terputus-putus.
"Kau tak ada kerja lain sampai nak bongkar sampah aku?! Aku suruh kemas bilik! Bukannya jadi pengemis! Tahulah kau pernah jadi gelandangan dulu! Tak serik-serik nak bongkar sampah?!" Marah Zila dan terus merentap kit ujian kehamilan tersebut dari tangan Daizy.
"Zila... betul kau mengandung?" Tanya Daizy mahukan kepastian. Tidak sanggup menerima hakikat bahawa temannya hamil tanpa pernikahan yang sah.
"Ya! Memang aku mengandung! Ada masalah?!" Zila cekak pinggang di hadapan Daizy. Tak ada langsung rasa bersalah ataupun malu dalam dirinya.
Share this novel