PAGAR yang berkunci digoncang setelah puas menekan loceng. Sudah setengah jam Alfie berdiri di hadapan rumah Levent namun tiada jawapan dari dalam rumah. Kereta milik Levent dan Daizy masih terparkir di halaman rumah. Alfie yakin mereka berdua sudah tiba pulang pejabat.
"Daizy!" Panggil Alfie untuk kesekian kalinya.
"Mana diorang pergi ni?" Alfie mulai kesal. Mustahil pasangan tersebut tidak mendengar panggilannya.
Akhirnya, Alfie mengambil keputusan untuk beredar dari situ. Lebih baik jika dia menemui mereka berdua di pejabat esok hari.
SELIMUT yang membaluti pinggang diselak perlahan sebelum turun dari katil. Saat ingin berdiri, Levent terhenti seketika. Bekas tikaman diperut terasa pedih sekali. Mujurlah lukanya tidak terlalu dalam.
"Nak pergi mana?" Soal Dato Ahmed yang sedang duduk di sofa.
"Nak cari..." Levent berhenti melangkah saat bekas tikaman itu terasa menusuk-nusuk.
"Isteri... saya," katanya sebelum kembali melangkah.
"Nak cari dekat mana?" Soal Dato Ahmed lagi. Duduknya begitu santai di atas sofa.
"Dia tak akan pergi jauh." Perlahan-lahan, Levent labuhkan punggung di atas sofa.
"Mesti dia di rumah bonda sekarang," kata Levent yakin.
Dato Ahmed tertawa kecil seraya menggeleng kepala.
"Daddy dah cari dekat situ tapi tak ada. Tapi dia tak ada."
Dahi Levent mulai berkerut. Mana mungkin Daizy pergi jauh dari rumah anak yatim sedangkan dia tidak boleh berjauhan dari Bonda Zainah.
"Tak, dia mesti ada dekat sana. Mungkin diorang sorokkan dia."
Serentak itu Dato Ahmed tegakkan duduk.
"Semalam Alfie datang cari Daizy dekat rumah kamu," maklum Dato Ahmed.
"Macam mana daddy tahu?"
"Daddy ternampak dia baru nak balik waktu daddy sampai. Nasib baik dia tak nampak daddy. Kalau tak daddy akan cerita semuanya," kata Dato Ahmed, sinis.
"Let me, solve my own problem. Okay?" Dia tidak mahu Dato Ahmed masuk campur.
"Sebelum ni pun daddy bagi kamu selesaikan sendiri. Tapi tengoklah apa yang jadi. End up, kamu ditikam. Daizy pula lari entah ke mana." Nada suara Dato Ahmed mulai tegang.
"Kamu memang tak boleh harap. Kamu suami yang dayus. Walau apa pun yang Daizy buat, semuanya berpunca daripada kamu!" Dato Ahmed tak lagi mampu menahan emosinya.
"Daddy tahu tak apa yang dia buat belakang saya?"
"Dia buat apa?" Soal Dato Ahmed.
Levent tak terus menjawab. Walaupun tahu isterinya tak berbuat seperti yang dituduh, dia tetap mahu meletakkan kesalahan itu ke atas isterinya.
"Levent, apa yang Daizy dah buat?" Tanya Dato Ahmed lagi saat melihat anaknya mendiamkan diri.
"Apa perasaan daddy bila nampak isteri sendiri berdua-duaan dengan lelaki lain, dalam bilik mandi?"
"Diorang buat apa?" Dato Ahmed masih menyoal.
Levent mengeluh panjang. Perlukah menunggu semuanya terjadi, barulah Dato Ahmed percaya? Bagi Levent, melihat isterinya berdua-dua dengan lelaki lain itu cukup menjatuhkan maruahnya sebagai suami.
"Dia dah conteng arang ke muka saya, daddy. She has crossed the line!" Marah Levent.
"Daddy dah tanya Edsel. Dia dah ceritakan semuanya. Semuanya."
Levent berdecit perlahan.
"Daddy percaya dia? Daripada anak sendiri?" Soap Levent tak puas hati.
"Habis tu kamu nak apa sekarang? Kamu dah salahkan Daizy, dan sekarang ni kamu tetap nak cari dia. Kalau dia salah, biarlah dia pergi. Ceraikan dia."
Levent terdiam saat soalannya dipatahkan oleh kata-kata dato Ahmed.
"Macam-macam kamu buat dekat isteri kamu. Tuduh dia curang, buat benda tak elok. Bila dia lari, kamu nak cari dia pula. Untuk apa, Levent?" Dato Ahmed benar-benar tak habis fikir dengan sikap anaknya.
"Saya bagi dia segala-galanya! Saya cuma minta dia setia! Itu sahaja! Kenapa susah sangat dia nak buat?!" Pemegang sofa dicengkam kuat. Amarahnya menyebabkan bekas tikaman itu berdenyut-denyut.
"Dan Daizy minta kepercayaan dari kamu. Itu sahaja. Kenapa susah sangat kamu nak buat?" Soal Dato Ahmed kembali.
Levent kembali terdiam. Kepercayaan itu sukar untuk diberikan. Fikirannya yang terlalu dikawal oleh ego dan cemburu membuatkan matanya buta untuk melihat kebenaran. Hingga saat ini pun, sifat cemburu masih menutupi rasa bersalahnya.
SEPERTI biasa, tong sampah adalah tempat utama Daizy mencari sisa makanan. Jika tidak, pasti dia akan kelaparan. Ada pun insan yang sudi menyumbang makanan untuk mereka, namun bukanlah setiap hati. Ada masa-masa tertentu serta mempunyai lokasi sasaran.
Adakalanya, dia terpaksa menebalkan muka meminta di premis makanan yang sudah mahu menamatkan operasi waktu malam. Jika bernasib baik, makanan tersebut boleh bertahan sehingga esok pagi. Jika tidak, terpaksalah dia mengerah tenaga untuk mencari makanan baru.
Kaki yang tak pernah berhenti berjalan membuatkan Daizy semakin jauh dari orang yang pernah ada dalam hidupnya. Lebih baik menyendiri daripada membiarkan mereka melihat keadaan dirinya. Inilah hukuman yang harus dia terima atas pernikahan yang termeterai bukan dari niat yang tulus.
SEBULAN membawa diri, Daizy Baseera semakin terbiasa hidup sebagai gelandangan. Sudah mulai bergambung bersama kumpulan yang sentiasa bergerak bersama dan melindungi kawasan agar tidak diganggu oleh gelandangan yang lain.
"Nah, ada sorang pak cik ni bagi tadi. Aku dah makan separuh." Zila teman baru Daizy menghulur sebekas makanan kepada Daizy.
"Wow! Ayam goreng?! Nasi goreng?!" Daizy begitu teruja melihat sisa ayam goreng yang agak besar itu.
"Banyak sangat, sebab tu aku tinggalkan sikit untuk kau."
"Thanks, Zila!" Tangan ditiup sedikit sebelum mulai menyuap nasi goreng ke dalam mulut.
"Kau tak nak balik?" Soal Zila tiba-tiba. Daizy yang sedang menikmati ayam gorengnya kini terhenti. Keningnya berkerut mendengar soalan dari Zila.
"Kau tak padan jadi gelandangan, Daizy. Kau cantik, putih. Badan kau tak ada cacat cela. Tak ada kesan-kesan luka," ujar Zila.
Tiba-tiba Daizy tertawa. Lucu dengan kata-kata Zila.
"Oh, kalau nak jadi gelandangan kena ada ciri-ciri tu semua, eh? Kalau tidak, tak layak jadi gelandangan?" Soal Daizy kembali tertawa.
"Bukan macam tu, Daizy. Kau tengoklah gelandangan dekat sini. Semuanya menjijikkan. Tak kira lelaki atau perempuan. Jangankan disentuh, nak dipandang pun jijik. Itu yang buatkan kami selamat," kata Zila lagi.
"Maksud kau?" Daizy tak mengerti apa yang Zila cuba sampaikan.
"Kau lain, Daizy. Cara orang pandang kau pun lain. Itu buatkan aku risaukan dengan kau. Kita dekat sini, tak ada siapa yang lindungi. Orang nak buat apa pun tak ada siapa yang kesah," tekan Zila.
"Kau pun apa kurangnya, Zila? Kau cantiklah. Kulit pun tak adalah hitam sangat. Orang kata tan skin, hah gitu," puji Daizy. Walaupun warna kulit Zila sedikit gelap berbanding dirinya, namun paras rupa Zila masih terlihat cantik di mata Daizy.
"Tak, Daizy. Kau tak faham apa yang aku maksudkan."
"Kejap." Ayam goreng tak jadi digigit.
"Kau risau kalau aku kena culik, kena rogol. Macam tu?"
Zila angguk perlahan membuatkan Daizy tertawa besar.
"Zila, kalau aku ni kaya mungkin masuk akallah kalau orang nak culik. Tak pasal-pasal orang yang culik aku tu kena keluar modal nak beli sabun mandi untuk aku," kata Daizy seraya mengekek.
"Orang jahat tak fikir semua tu, Daizy. Yang penting, diorang dapat kepuasan," suara Zila kedengaran semakin resah.
"Zila, aku sama jelah macam korang semua. Busuk! Rambut ni dah dua minggu tak cuci. Pakaian aku ni, kau tengoklah. Bau peluh basi, tahu tak?" Daizy tak habis ketawa dengan kebimbangan Zila.
"Tapi..."
Daizy lebih dulu mengangkat tangan agar Zila berhenti mengutarakan kebimbangannya.
"Cukup. Selagi kau ada dengan aku, selagi itulah aku rasa selamat. Kita kan dah janji nak jaga satu sama lain," ujar Daizy mengingatkan teman barunya itu.
Zila hanya mampu mengeluh pendek. Daizy tak faham akan kebimbangannya. Dunia luar bukanlah aman seperti yang Daizy fikirkan. Terlalu banyak sisi gelap yang belum dilalu oleh wanita itu.
"Kau pergi mana semalam?" Tanya Daizy sebaik selesai menghabiskan makanannya. Baru teringat akan Zila yang tiba-tiba menghilang sewaktu dia sedang tidur.
Zila terdiam sejenak. Rupanya Daizy menyedari ketiadaannya semalam.
"Aku pergi jumpa kawan. Sambil-sambil cari kotak," katanya dengan senyuman mendatar.
"Ala, kenapa tak kejutkan aku? Boleh aku tolong kau kumpul kotak banyak-banyak. Dapatlah untung lebih sikit." Daizy sedikit kesal. Jika bergerak bersama, mereka boleh mengumpul kotak lebih banyak untuk dijual. Maka lebih banyak juga duit yang mereka akan peroleh.
"Tak apalah, aku kesian tengok kau semalam. Penat sangat lepas kena kejar oleh tokey kedai." Zila tertawa sebaik teringat kejadian kelmarin. Mereka dikejar kerana mengambil kotak tanpa kebenaran pemilik kedai.
"Aku rasa nak cari kerjalah. Aku rindu nak bangun pagi, mandi bersih-bersih. Lepas tu sarapan dekat meja makan." Zila termenung sejenak.
"Kau tak nak balik rumah?" Soal Daizy.
"Anak tak berguna macam aku ni, manalah ada tempat dalam rumah. Dengar bunyi nafas aku pun mak bapak aku dah rimas. Inikan lagi tengok muka aku," luah Zila.
"Untung kau kan. Ada mak bapak. Aku ni anak yatim piatu. Membesar dekat rumah kebajikan. Kalaulah dibagi peluang, aku nak peluk mak bapak aku. Nak cium diorang puas-puas," ujar Daizy seraya membayangkan hal tersebut.
"Aamiin. Semoga terkabul," balas Zila lalu tertawa. Mereka berdua tahu bahawa perkara tersebut tidak akan pernah berlaku.
"Oh ya. Kau kata tadi nak kerja, kan. Kerja apa?" Soal Daizy kembali.
"Apa-apa jelah. Asalkan dapat duit, hidup mewah. Apa pun aku tak kesah."
"Ish! Kau jangan macam-macam. Kerja tu biar halal dan berkat," marah Daizy. Tidak mahu jika Zila melakukan kerja yang tidak bermoral.
"Aku dah penat kerja halal. Gaji cukup-cukup makan aje," kata Zila seraya bangun dari duduk.
"Zila. Janganlah cakap macam tu." Daizy ikut berdiri sambil menjilat jari jemari yang masih tersisa nasi.
"Tak, Daizy. Aku dah penat. Kerja apa pun aku dah tak kesah. Alang-alang hidup aku macam ni, lantaklah apa nak jadi. Asalkan aku dapat hidup senang sebelum aku mati." Suara Zila kedengaran sayu namun terselit ketegasan.
Daizy tak terkutik mendengar kata-kata Zila. Teringat kembali akan kehidupannya sebelum ini yang penuh dengan kemewahan. Akibat tak tahan dengan sikap suaminya, dia rela meninggalkan semua kesenangan itu.
"Zila, semua tu tak penting kalau hati tak bahagia. Aku dah pernah rasa semua tu. Walaupun harta berlimpah, tapi kalau batin tersiksa semua tu tak ada makna," luah Daizy, sayu.
"Kau dah pernah rasa. Tapi aku belum," balas Zila seraya menepuk bahu Daizy.
"Kau tak payah risau. Kalau aku senang, aku akan kongsi dengan kau, okey?" Bahu Daizy dipeluk erat. Walaupun baru dua minggu berkenalan, Zila sudah mulai selesa berteman dengan Daizy. Ditambah lagi perwatakan ceria Daizg membuatkan dirinya mudah didekati.
SKRIN telefon bimbit ditatap lama. Deretan pesanan ringkas bersama Daizy dibaca dalam hati. Yang menghairankan, Daizy tak pernah menjawab panggilannya. Hanya pesanan ringkas sahaja yang dibalas. Hal itu juga terjadi pada Bonda Zainah. Namun wanita itu pula tak memperbesar masalah tersebut. Asalkan Daizy mahu membalas pesanannya, itu sudah memadai.
Alfie mulai tak sedap hati. Seolah dapat merasakan ada sesuatu yang terjadi pada Daizy. Disebabkan tidak mahu dianggap masuk campur, Alfie memilih mendiamkan diri. Selagi Daizy tak mengadu tentang suaminya, Alfie terpaksa meyakinkan diri bahawa Daizy bahagia bersama lelaki itu.
PLASTIK berisi pakaian disambut dari seorang lelaki yang sedang duduk di dalam van berwarna putih. Dengan wajah ketakutan, Zila membuka plastik tersebut. Seketika, matanya meneliti pakaian berwarna merah terang dihiasi dengan batu permata.
"Jaga elok-elok baju tu. Jangan sampai koyak. Lepas dah pakai, cuci bersih dan pulangkan semula," pesan lelaki berkaca mata hitam itu.
Zila mengangguk perlahan sambil menelan liur pekat.
"Ingat! Jangan sampai terkoyak! Kalau koyak, bayaran kau akan dikurangkan, faham!" Tekan lelaki itu.
"Fa... faham, encik," balas Zila seraya mengangguk laju.
"Satu lagi, ini pesanan dari Lady Lala. Dia suruh cari lagi sorang perempuan. Kalau kau boleh dapat, dia akan bayar lebih," kata lelaki itu lagi.
"Baik, saya akan cari." Zila angguk tanpa memandang lelaki itu.
Setelah van tersebut beredar, barulah Zila kembali ke lorong. Di situ, Daizy sudah menunggu sambil berpeluk tubuh. Dia segera bangun selepas menyedari ketiadaan Zila di sisinya sebentar tadi.
"Zila! Kau dari mana?!" Daizy berdiri lalu mendekati Zila.
"Sorry Daizy. Aku... dari tandas tadi," katanya terpaksa menipu.
"Ish! Kau ni! Kau berak batu ke?! Dah sejam lebih aku tunggu kau!" Tutur Daizy, kesal.
Zila hanya mampu tersenyum mendatar. Tidak mungkin membiarkan Daizy tahu apa yang sedang dia lakukan. Kerja yang baru sahaja dia terima bukanlah kerja yang baik. Ianya melibatkan maruah. Sekali tergadai, semuanya tak akan dapat diputar kembali.
Seketika, Zila terdetik. Haruskan membawa Daizy menemui Lady Lala? Dengan rupa paras yang cantik, pasti Lady Lala bakal menawarkan harga yang tinggi kepadanya.
Share this novel