HUJAN yang semakin lebat membuatkan langkah Daizy semakin perlahan. Rasa sejuk mulai menusuk hingga ke tulangnya. Wajah mulai pucat. Bibir juga sudah bergetar menahan sejuk yang disertai angin kuat.
Setibanya di sebuah perhentian bas, Daizy berlindung di situ. Ada beberapa orang juga sedang berteduh dari hujan deras yang membasahi bumi.
Sepertinya tiada tanda hujan akan berhenti dalam waktu terdekat.
Kenderaan yang lalu lalang semakin rancak meredah hujan yang kian deras. Daizy pula semakin resah duduk di situ. Bimbang jika suaminya mengetahui keberadaannya. Hampir sejam di situ, orang ramai mulai meninggalkan perhentian bas tersebut. Ada yang menaiki bas, ada juga yang dijemput oleh rakan atau ahli keluarga mereka.
Maka tinggallah Daizy bersendirian. Mahu menaiki kenderaan awam pun dia tak mempunyai wang untuk membayar tambang. Dia meninggalkan rumah suaminya sehelai sepinggang. Jangankan duit, telefon bimbit serta dokumen peribadi pun tidak dibawa bersama. Itu membuatkan Daizy semakin buntu.
Sebaik hujan reda, Daizy meneruskan langkahnya. Semakin jauh berjalan, lelahnya semakin terasa. Tak peduli sejauh mana dia berjalan, asalkan tidak ditemui oleh suaminya.
Tiba di kota, kebanyakan premis sudah mulai tutup memandang sudah lewat malam. Kenderaan pun semakin jarang kelihatan.
Tiba-tiba ada seseorang meluru ke Daizy. Lehernya dipaut dari belakang kemudian diheret menuju ke lorong yang sepi dan gelap.
"Argh! Le... lepas!" Lehernya dicekik menyebabkan nafasnya mulai tersekat.
"Diam!" Kini pinggang Daizy terasa dicucuk dengan sesuatu yang tajam.
"Kalau kau masih nak hidup, bagi semua yang kau ada!" Ugut lelaki itu.
"Aku tak ada apa-apa!" Daizy meronta-ronta minta dilepaskan.
"Diam! Kau jangan tipu aku! Kalau kau tak nak pisau ni terbenam dapat perut kau, lebih baik kau serahkan semua yang kau ada!" Pisau lipat di pinggang Daizy ditekan lebih dalam sehingga menghasilkan lubang kecil pada bajunya.
"Cincin, gelang dan rantai. Serahkan semuanya!"
Daizy baru tersedar akan barang kemas yang dipakai. Semua itu pemberian suaminya sempena pernikahan mereka.
"Ta... tak! Tak boleh! Ini pemberian suami aku!" Daizy menolak. Terasa sayang melepaskan semua barang kemas itu.
"Kau fikir aku peduli? Hah?!" Tubuh Daizy ditekan sehingga pipi wanita itu bertemu dinding.
Daizy buntu. Antara nyawa dan barang kemas pemberian suaminya, mana lebih berharga? Jika barang kemas diserahkan, maka tiada lagi tanda mata dari lelaki itu. Namun jika nyawanya pula melayang, apalah guna semua barangan tersebut.
"Ba... baik! Aku bagi semua!" Daizy mulai membuka cincin kemudian gelang tangannya lalu diserahkan kepada lelaki itu.
"Nah."
"Rantai!" Lelaki itu belum puas.
"Yang ni, tolong... jangan ambil." Daizy mulai merayu. Namun apalah arti rayunya pada seorang pencuri seperti lelaki itu.
"Diam!" Dengan menggunakan pisau lipat, rantai tersebut dipotong dari belakang kemudian ditarik kasar. Lelaki itu terus beredar setelah mendapatkan apa yang dia inginkan.
Daizy terduduk di situ seraya menangis teresak-esak memeluk tubuh. Inikah balasan kerana meninggalkan suaminya? Kini, pemberian lelaki itu hilang sekelip mata. Tiada lagi kenangan yang boleh dibawa bersama.
Disebabkan lelah, Daizy akhirnya tertidur di lorong gelap itu. Tidak lagi mampu memikirkan jikalau keselamatannya bakal terjejas.
ANAKNYA yang sedang terbaring di atas katil hospital ditenung lama. Sebentar tadi, Dato Ahmed segera membawa anaknya ke hospital selepas dihubungi oleh lelaki itu sendiri. Levent semakin tak berdaya akubat kehilangan banyak darah. Sempat menghubugi Dato Ahmed sebelum terbaring tak sedarkan diri.
'What you've done, Levent?' Dato Ahmed tak menyangka bahawa rumah tangga anaknya bakal seperti ini. Dia tahu siapa yang bersalah di dalam hal ini. Tak lain, adalah anaknya sendiri.
Daizy seorang yang lembut, penyabar dan taat pada suaminya namun berakhir dengan menikam lelaki itu. Dia benar-benar tidak tahu apa yang anaknya lakukan sehingga Daizy bertindak senekad itu.
"Laporan perubatan dah keluar." Doktor Zubir, merangkap doktor peribadi keluarga Dato Ahmed datang membawa kertas laporan perubatan Levent.
"Dahi Levent dipukul dengan benda tumpul. Dan ditikam di bahagian perut," jelas Doktor Zubir.
"Bawa laporan ni ke balai polis. In case dato nak buat laporan polis." Fail di tangan dihulur ke arah Dato Ahmed.
"Tak apa. Tak perlu. Asalkan Levent tak cedera parah." Dato Ahmed menolak. Mana mungkin mahu melaporkan menantunya ke pihak polis. Dia tahu Daizy tak bersalah.
"But still, she is endangering your son." Mata Doktor Zubir ikut memerhati Levent yang sedang terbaring.
"Tak apa, Zubir. Biar saya selesaikan nanti." Dato Ahmed tetap dengan pendiriannya.
Doktor Zubir mengangguk perlahan. Dia tidak boleh memaksa jika Dato Ahmed tetap dengan keputusannya. Lagipula dia tidak mempunyai hak untuk masuk campur urusan lelaki itu.
BUNYI plastik sa yang dihumban menyedarkan Daizy dari tidurnya. Sebaik menoleh, sebuah bungkusan plastik berisi sampah tergolek di sebelahnya.
"Muda-muda dah gila," ujar seorang wanita tua sambil memerhati Daizy. Sempat menggeleng kepala sebelum beredar dari situ.
Tiba-tiba perut Daizy berbunyi. Pasti lapar gara-gara tidak makan semalaman. Kali terakhir dia mengisi perut adalah tengahari kelmarin. Serta merta, dia teringat pada kek serta makanan yang disediakan untuk suaminya semalam. Kini semuanya tinggal kenangan. Penat lelahnya juga langsung tidak terbayar.
Disebabkan perutnya semakin berbunyi, Daizy nekad menyelongkar plastik sampah yang baru dibuang oleh wanita tua tadi. Sebaik plastik dibuka, Daizy segera palingkan wajah. Bau busuk yang datang dari plastik tersebut meloyakan tekaknya. Hampir saja dia muntah di situ.
"Dah berapa minggu kau tak buang sampah ni, mak cik?!" Rungut Daizy sendirian. Dengan sisa tenaga yang masih ada, Daizy beredar dari situ. Sesekali tangan naik menyentuh perut yang kian berbunyi. Sudah tidak sabar mahu diisi.
Hampir sejam berjalan, Daizy singgah di tandas awam berhampir untuk membuang air kecil. Setelah selesai, dia berdiri di hadapan cermin untuk membasuh muka.
Memandangkan belum ada pengguna lain, Daizy bertindak membuka bajunya untuk dicuci. Kesan darah pada bajunya mulai berbau hanyir. Seketika, tubuhnya ditilik di hadapan cermin. Jelas terlihat kesan gigitan cinta di dada, bahu serta leher akibat perbuatan suaminya semalam. Serta-merta, dia teringat kembali bagaimana Levent menuntut haknya secara paksa.
Sakit. Dia benar-benar sakit.
Setelah mencuci baju tersebut, ianya dipakai semula. Tidak sampai sehari meninggalkan rumah, dirinya tak ubah seperti pengemis di luar sana. Dengan pakaian yang kotor dan busuk. Tak hairanlah orang sekeliling memandang jijik padanya.
"Adoi! Busuklah!" Rungut seorang wanita sebaik memasuki tandas tersebit. Matanya tajam memandang Daizy sambil berkerut dahi serta menutup hidung dengan tangannya.
"Tepilah!" Tangannya memberi isyarat pada Daizy agar ke tepi.
"Aku ni nak kencing je tau! Tak pasal-pasal muntah dekat sini!" Marah wanita itu lagi.
Daizy mulai menjadi perhatian pengguna yang mulai memasuki tandas tersebut. Ada yang jijik ada juga yang simpati. Dengan perasaan malu, Daizy bergegas keluar dari situ.
Belum seharian meninggalkan suaminya, sudah seteruk ini hinaan yang harus ditelan. Daizy sedar, perbuatannya salah di sisi agama. Namun dia juga harus menyelamatkan diri dari suaminya yang dayus.
Dengan keadaan lapar dan kecewa, Daizy lanjutkan langkah. Sesekali matanya singgah di restoran yang sedang beroperasi. Melihat pelanggan menyuap makanan ke dalam mulut membuatkan perut Daizy semakin rancak berbunyi.
Tanpa sedar, kaki berhenti tepat di hadapan sebuah restoran. Matanya seakan tak berkedip melihat pelanggan di situ menikmati makanan mereka.
Matanya kini tertancap ke arah sebuah meja yang baru sahaja ditinggalkan oleh sepasang suami isteri. Di atas meja tersebut masih tersisa sedikit nasi putih serta sisa ayam goreng. Tanpa memikirkan rasa malu, Daizy duduk dan mulai menjamah apa yang ada di atas meja.
"Ayo! Ini pengemis mana datang?" Tegur seorang lelaki berbangsa India. Dari kejauhan lagi dia berjalan menuju ke arah Daizy. Dengan pantas Daizy, memyumbat segumpal nasi ke dalam mulut. Sisa ayam goreng pula disambar laju kemudian segera berdiri.
"Adik manis, sini tidak boleh masuk. Kalau mau makan, minta belakang. Ini sisa, jangan makan adik. Kotor," kata lelaki berbangsa India itu, merangkap pemilik restoran itu.
Dengan mulut yang penuh, Daizy terpinga-pinga.
"Santi, kasi ini adik nasi sama ayam goreng. Air kasi milo panas," arahnya pada salah seorang pekerjanya.
"Itu tulang ayam, buang sini. Nanti pergi belakang, makan sana. Sini tak boleh makan, adik. Busuk. Nanti pelanggan saya lari. Okey adik?" Lelaki tersebut menayang senyuman lebar sambil mengarah Daizy agar ke belakang. Tanpa membantah, Daizy berlari anak menuju ke belakang restoran. Tidak sabar mahu menjamah nasi berlaukkan ayam goreng.
Beberapa minit kemudian, datang seorang wanita membawa sepinggan nasi berlauk ayam goreng beserta segelas milo panas.
"Nah. Lepas makan, pinggan letak dalam singki tu. Jangan bawa lari pula," pesan wanita tersebut.
"Terima kasih, kak," ucap Daizy dan terus menyuap nasi ke dalam mulut. Dia benar-benar lapar. Buktinya, tak sampai beberapa minit, pinggannya licin tanpa sebutir nasi. Yang tersisa hanyalah tulang ayam. Milo panasnya juga sudah diteguk sehingga habis.
"Terima kasih, kak," ucap Daizy sekali lagi. Pinggan tersebut diletak di dalam singki seperti yang diarahkan. Dengan senyuman lebar, Daizy beredar dari situ. Perut kenyang, hati pun senang.
WAJAH resah Bonda Zainah diperhati oleh anaknya. Sedari tadi lagi wanita tua itu termenung jauh di meja makan.
"Bonda? Okey tak ni?" Tanya Alfie seraya duduk di hadapan Bonda Zainah.
"Daizy," katanya begitu resah.
"Semalam bonda call tapi tak diangkat. Whatsapp pun tak dibalas. Pagi tadi bonda call semula tapi kali ni panggilan tak masuk langsung. Whatsapp pula satu tick aje." Suara Bonda Zainah kedengaran begitu bimbang. Tidak pernah Daizy bertingkah begini.
"Mungkin dia sibuk, bonda. Tak apa, nanti saya cuba call dia pulak," kata Alfie cuba menenangkan orang tuanya.
Sejujurnya, Alfie juga sedikit bimbang. Tidak pernah Daizy mengabaikan Bonda Zainah. Segala panggilan dan mesej dari orang tua itu tidak akan pernah dibiarkan tanpa dibalas.
MALAM kembali menjengah dan Daizy masih juga berjalan tanpa arah. Dia semakin lelah ditambah lagi rasa lapar mulai mengganggu perutnya. Terakhir kali mengisi perut adalah pagi tadi. Itupun kerana ihsan pemilik restoran berbangsa India itu. Kalau tidak, pasti dia kelaparan sepanjang hari.
Melihat tong sampah yang terbuka, Daizy segera menghampiri. Tanpa berfikir panjang, tangan menyelongkar sampah untuk mencari sisa makanan. Tak peduli langsung pada pejalan kaki yang memerhati dirinya.
Untuk seketika, katanya terhenti pada sisa sepotong roti coklat. Dengan senyuman lebar, roti tersebut dikeluarkan kemudian disapu-sapu sedikit untuk memghilangkan kotoran. Kelihatan roti tersebut sudah mulai berkulat hijau.
"Lantaklah!" Dengan bacaan bismillah, roti dibawa ke dalam mulut.
"Ah! Sedapnya," katanya perlahan. Senyuman lebar dipamer kepada sesiapa pun yang memerhati walaupun dirinya dipandang jijik. Daizy tak peduli asalkan perut dapat diisi.
Setelah menghabiskan roti, Daizy kembali berjalan. Sesekali terdengar nyanyian perlahan keluar dari bibirnya. Keadaannya sekarang tak ubah seperti orang gila. Dengan baju yang lusuh dan berbau. Rambutnya pula terurai panjang dan tidak terurus. Kakinya juga mulai kotor kerana berjalan tanpa alas kaki. Sempurna. Dia sudah menepati ciri-ciri orang gila.
Sewaktu melepasi satu lorong yang gelap, Daizy terhenti saat melihat bekas berisi makanan serta sebotol air yang masih penuh isinya yang samar-samar kelihatan terkena pancaran lampu jalan.
"Rezeki aku ke ni?" Suara Daizy begitu teruja sekali. Dia segera berlari anak mendapatkan bekas makanan tersebut. Sebaik dibuka, aroma ayam masak kicap menerpa hidungnya.
"Gila! Siapa biar makanan dekat sini?" Selepas mengelap tangan pada baju, nasi dikaut menggunakan tangan kemudian disumbat ke dalam mulut.
"Sedapnya..." ujar Daizy sambil memejam mata. Bagaikan durian runtuh saat dapat menikmati makanan sesedap itu.
"Hoi!" Teriak seorang wanita.
Daizy segera menoleh ke arah suara itu. Kelihatan tiga orang wanita berpakaian lusuh berjalan ke arahnya sambil membawa berlipat-lipat kotak kosong.
"Itu makanan aku lah!" Marah salah seorang wanita. Dia ingin merampas bekas makanan tersebut namun Daizy mengelak.
"Apasal pulak jadi makanan kau? Bekas ni elok aje terletak tak ada yang jaga!" Daizy melawan. Tak percaya bulat-bulat dengan apa yang wanita itu katakan. Jika dalam keadaan lapar, sesiapa pun bakal mengaku bahawa makanan tersebut milik mereka.
"Aduh! Dia ni! Banyak cakap pulak! Ni tempat kami! Kawasan kami!" Seorang rakannya pula menyampuk.
"Ada nama korang? Tak ada kan?" Daizy masih mempertahankan dirinya.
"Dia ni memang nak kena!" Mereka melepas barangan yang dipegang dan serentak itu Daizy menutup bekas makaman tersebut kemudian dipeluk erat.
Dengan satu tendangan, Daizy jatuh terbaring di atas jalan tar. Pun begitu, bekas makanan masih erat dipeluk di dada. Sayang jika jatuh dan tertumpah. Serentak itu, Daizy dibelasah oleh ketiga-tiga wanita gelandangan itu.
"Argh!" Daizy mengerang kesakitan. Sebelah tangan memeluk bekas makanan manakala sebelah lagi melindungi kepala dari dipijak-pijak oleh mereka. Perut dan belakang badan tak terkecuali mendapat tendangan dari wanita-wanita itu.
"Dah jom!" Salah satu dari mereka mengajak temannya untuk beredar setelah puas mengerjakan Daizy.
"Auw!" Daizy merintih kesakitan sambil perlahan-lahan menelentang di atas lorong itu. Sesaat, senyumannya terukir walaupun wajahnya lebam ditendang tanpa henti. Lega hatinya melihat bekas makanan masih elok dalam pelukannya.
Dengan air mata yang berlinang, Daizy menatap langit gelap yang terbentang luas. Sesekali air mata yang mengalir diseka dengan tangannya yang kotor. Entah sampai bila dia harus menghadapi semua ini.
Akan tetapi, jika dia mampu bertahan selama dua tahun dalam istana neraka milik suaminya, bukankah seharusnya dia lebih bersedia menempuhi segala kemungkinan di luar sana?
Share this novel