Patience

Romance Series 28423

SAMPUL surat di atas meja direnung lama. Belum pernah dibuka semenjak diterima dari Encik Bakri sebentar tadi. Dia benar-benar tak menyangka bahawa Daizy bakal menuntut rumah itu. Dan tiada jaminan wanita itu tidak menuntut harta benda yang lain.

Levent pasrah. Itu semua sememangnya hak milik Daizy. Tiada siapa yang memaksa dirinya untuk menyerahkan segala-galanya dulu melainkan kerelaannya sendiri, atas dasar cinta.

     Yang dibimbangkan sekarang adalah Zila yang belum mengetahui perkara ini.

     "Sayang, awak buat apa duduk situ?" Tegur Zila baru turun dari tingkat atas. Dia segera mendekati suaminya.

     "Surat apa tu?" Sampul surat di atas meja dikerling sekilas sebelum duduk di sisi suaminya. Tangannya segera mencapai sampul tersebut lalu dibaca.

    Levent tak bersuara. Dibiarkan sahaja isterinya membuka dan membaca isi sampul surat itu.

    "Apa ni?!" Soal Zila sehabis membaca notis itu.

     "Apa maksud notis ni?!" Helaian notis tersebut dihumban ke atas meja.

     "Awak jangan cakap kita kena keluar dari rumah ni! Saya tak akan berganjak walau seinci pun!" Tegas Zila. Mana mungkin mahu meninggalkan rumah semewah ini. Pasti merugikan dirinya.

     "Rumah ni, atas nama Daizy." Levent akhirnya bersuara, lelah.

     "Macam mana boleh jadi rumah dia pulak?!" Zila bangkit sambil mencekak pinggang.

     "Saya tak peduli! Saya tak akan serahkan rumah ni pada dia! Dan saya nak awak ceraikan dia sekarang jugak!"

     Levent akhirnya bangkit dengan wajah yang tegang. Dia paling tidak suka dibentak seperti ini.

     "Jangan tinggi suara!"

     "Argh! Saya tak peduli! Saya tak akan keluar dari rumah ni!" Zila tetap nekad dengan keputusannya.

    "Habis tu? Awak nak duduk sini jadi apa? Orang gaji dia?" Tempelak Levent.

     "Argh!" Teriak Zila. Sakit hatinya semakin membuak-buak. Walaupun sudah mengahwini Levent, dia masih tak mampu mengalahkan Daizy.

"Jadi awak nak serahkan macam tu aje rumah ni?! Kita nak duduk mana?!" Matanya melotot menatap suaminya.

"Ini rumah dia, Zila. Memanglah saya kena serahkan pada dia."

     "Bodoh!" Maki Zila semakin bengang.

     "Jaga mulut awak!" Bentak Levent.

     "Kau memang bodoh!"

     "Shut up!" Jari telunjuk Levent tajam menuding wajah isterinya.

      "Kau bodoh sebab bagi rumah ni pada betina bodoh tu!"

   "Diam Zila!" Bentak Levent seraya menendang meja membuatkan Zila terdiam serta merta.
   
     Dalam marah, masih ada sekelumit simpati untuk isteri keduanya. Wanita itu terpaksa mengharungi semua ini angkara perbuatannya. Malam itu juga, mereka berdua meninggalkan rumah tersebut bersama beg pakaian masing-masing. Sementara mencari rumah baru, Levent terpaksa membawa isterinya menginap di hotel. Hari sudah larut untuk mencari rumah sewa.

     Pagi itu Levent bertolak ke pejabat seperti biasa. Entah apa yang bakal terjadi di pejabat nanti. Melihat wajah Daizy terlalu lama membuatkan dirinya tak keruan. Jelaslah cinta untuk wanita itu masih ada.

     Setibanya di pejabat, Daizy sudah lebih dulu tiba dan sedang menunggu di ruangannya. Duduk santai di atas sofa sambil membelek fail di tangan. Wanita itu segera tegakkan duduk sebaik melihat suaminya menapak masuk.

     Levent cuba berlagak tenang walaupun hatinya semakin berombak tak keruan.

     "Sleep well?" Soal Daizy. Soalannya sengaja memancing emosi. Apatah lagi selepas notis yang diberikan semalam.

     "Awak tanya saya macam tu lepas dah halau saya dari rumah? You're so cruel," kata Levent masih  tenang.

    "Awak dah keluar dari rumah tu? Kenapa terburu-buru? Saya bagi masa tiga hari kan?" Daizy sengaja tayang wajah simpati.

     "Saya dan isteri saya masih ada maruah. Kalau orang dah halau, kami dah tak hadap nak duduk dalam rumah tu."

     Daizy angguk sebelum akhirnya tertawa kecil. Maruah? Jadi bagaimana dengan maruahnya sebagai isteri pertama yang dipijak-pijak? Nikah tanpa restu darinya. Suaminya pulak menghamili wanita lain sedangkan dirinya masih isteri yang sah.
  
     "Awak pukul Zila kemarin?" Tanya Levent tiba-tiba. Wajahnya kini bertukar serius.

     "She started it first," balas Daizy, tenang.

     "Sampai naik tangan?"

     "Kalau mulut celupar sangat, memang itulah makanan dia," tempelak Daizy.

     "Saya tak pernah naik tangan dengan awak, Daizy. Kenapa awak berani naik tangan dengan isteri saya pulak?" Soal Levent mulai kesal.

     "Isteri awak? Habis tu saya bukan isteri awak? Awak sepatutnya lindungi saya. Tapi kalau awak tak mampu, saya kena lindungi diri sendiri."

     "Apa yang Zila buat sampai awak nak kena lindungi diri sendiri?" Tanya Levent tak habis fikir.

     "She tried to harm my baby!"

     Wajah Levent berubah dari serius menjadi bingung.
    "Your baby?"

    Daizy tergelak kecil. Menutupi rasa kecewa kerana kehamilannya pun tak disedari.

     "Awak ni memang dah buta, kan. Yang baik, yang suci semuanya Zila." Air mata tak mampu dibendung lagi. Hari yang seharusnya dimulakan dengan pekerjaan malah melencong ke masalah peribadi.

     "Wait. Jadi..." Levent berdiri kemudian meraup wajah. Pinggang kini dicekak sambil menatap isterinya.

    "Jadi betullah awak mengandung?" Soalnya inginkan kepastian. Bererti, matanya memang tak salah melihat perut isterinya kelmarin.

     "Kalau tak mampu nak tengok guna mata, sekurang-kurang guna naluri awak sebagai seorang seorang ayah!" Daizy bangkit dari duduknya seraya melepas fail di tangan.

     Entah sampai bila dia mampu duduk dan berhadapan dengan suaminya. Baru hari kedua, pertengkaran mereka sudah seteruk ini. Hanya kerana Levent membela madunya.

     "Saya penat nak bertahan. Nak pujuk hati yang awak mungkin akan terima saya balik. Tapi saya silap," tutur Daizy dengan suara yang bergetar.

      "Saya akan failkan perceraian kita. Itu yang awak nak kan?" Daizy kesat air mata seraya melangkah. Tak tahan rasanya menghadapi suaminya.

    "Tunggu." Levent mendekati isterinya.

     Serentak itu, Daizy menoleh.

     "Cukuplah. Kita pisah, okey?" Daizy tak mahu dengar apa-apa lagi.

     "Jangan cari tahu hal saya dengan anak dalam perut ni. Saya lebih rela dia hidup macam ni daripada dia tahu yang papa dia lebihkan anak yang lain."

     Levent semakin tak mengerti dengan apa yang diucapkan oleh isterinya.

    "Jaga Zila dan kandungan dia baik-baik. Jangan sampai anak dia rasa apa yang anak saya rasa."

     "Zila mengandung?" Levent semakin bingung. Satu persatu kenyataan menampar pendengarannya.

      Daizy hela nafas panjang. Lelah dengan permainan suaminya.

      "Dalam keadaan macam ni pun awak masih tak nak mengaku?"

     "Mengaku apa?!" Soalnya mulai bengang.

     "Dahlah, Levent. Jangan fikir saya lupa perbuatan maksiat kamu berdua sampai Zila tu mengandung."

    "Daizy! Stop it! Tuduhan awak dah melampau!"

    Daizy tertawa besar saat Levent masih menafikan.

     "Dahlah. Saya penat nak layan drama awak." Daizy akhirnya melangkah keluar dari situ.

     "Daizy..." panggil Levent namun Daizy tak peduli langsung pada panggilan suaminya.

      Levent semakin tak tenang selepas mengetahui tentang kehamilan Zila. Mana mungkin wanita itu hamil sedangkan mereka tak pernah bersama. Dengan perasaan yang membuak-buak, telefon dikeluarkan dari poket lalu menghubungi Zila. Namun malangnya, panggilan tidak dijawab.

     Sehinggalah petang menjelang, Levent sudah bersiap untuk keluar dari pejabat. Ditinggalkan semua kertas kerjanya berselerak di atas meja. Apa yang penting, dia mahu pulang ke hotel dan menemui isterinya. Dia perlukan penjelasan dari wanita itu memandangkan panggilannya langsung tak disambut.

      Setibanya di bilik hotel tempat mereka menginap, isterinya tak ada di situ.

      "Mana kau pergi Zila?!" Marahnya sendiri. Semakin hari, Zila semakin mencabar kesabarannya. Dia berusaha untuk lembut dan menurunkan ego demi rumah tangga mereka namun Zila semakin memijak kepala.

     Pantas, Levent menoleh saat pintu bilik terbuka. Wajahnya semakin menyinga saat melihat isterinya masuk ke dalam bilik hotel sambil membawa barang hasil belanjaannya.

     "Awak dari mana?" Tanya Levent dengan dada yang semakin berombak.

     "Shopping." Zila menapak masuk dan terus meletak barang-barang yang dibeli di hadapan katil sebelum duduk. Lenguh kakinya seharian berjalan.

     "Awak tahu tak sekarang ni kita kena kawal perbelanjaan," katanya cuba menyedarkan isterinya.

     "Kawal? No! Masalah tu datang daripada awak. Saya tak nak sakitkan kepala," kata Zila lalu rebahkan tubuh secara menelentang. Lupa pada perutnya yang  sedang kelihatan.

    "Awak mengandung?" Soal Levent. Baru teringat akan perkara tersebut.

     Pantas, Zila bangun dari baringnya dan terus berdiri di sisi katil. Wajahnya mulai pucat selepas mendengar pertanyaan itu.

     "Em... tak. Mana ada," katanya cuba menipu. Namun tangannya sudah mulai menyentuh perut sendiri.

      "Kau jangan tipu aku!" Tengking Levent sekaligus memeranjatkan Zila.

     Mati. Kali ini dia tidak mampu menutupi lagi kehamilannya.

     "Kau mengandung anak siapa, sial?!" Levent semakin bengang. Wajah menyinganya benar-benar menggerunkan Zila.
    "Aku!... aku tak mengandung!" Zila masih cuba menafikan.

     "Kau fikir aku bodoh?!" Levent meluru ke arah Zila dan terus menyelak baju yang dipakai isterinya. Kini, baru terlihat jelas perut yang membuncit itu.

    "Ya Allah..." Levent terundur seraya melepas baju isterinya.

     "Siapa bapa budak tu?" Soalnya seraya membelakangi isterinya. Terasa darah mulai naik ke kepala sehingga berdenyut-denyut isi kepalanya.

     "Cakaplah, sial!" Levent berpaling semula memandang Zila yang sedang mengeras di hadapan katil.

     "Aku mati-matian simpati dengan kau, ini balasan yang kau bagi?"

     "Kau tuduh Daizy curang belakang aku, rupanya kau yang mengandung anak jantan lain?"

     Zila angkat wajah menentang mata suaminya. Benci saat nama Daizy dipetik.

     "Daizy! Daizy! Apa-apa, semua Daizy!" Bentak Zila tak puas hati.

     "Betina tu pun mengandung sekarang ni. Kenapa tak tanya dia mengandung anak jantan mana?!

      "Diam! Diam!" Tengking Levent sambil mencengkam rambut sendiri. Bagai nak gila rasanya saat ini.

      "Dia memang mengandung anak aku sebab kami dah bersama sebelum kau mula tabur fitnah!"

     Tiba-tiba, Zila tertawa besar.

    "Jadi, yang bodoh selama ni siapa?! Kau!" Pekik Zila.

    "Dah bodoh, sekarang ni miskin pulak!" Herdiknya lagi.

    "Shut up!" Kesabaran Levent sudah menipis. Silap langkah, nyawa Zila mungkin tamat di tangannya.

     "Aku tak akan diam selagi aku tak dapat apa yang aku nak!"

      "Kau nak apa lagi, sial?!"

      "Aku nak anak ni jadi pewaris harta bapak kau!"

     "Mimpi!"

     "Aku tak main-main! Aku nak anak aku jadi pewaris tunggal! Bukannya anak betina tu!"

     "Diam Zila!" Sekelip mata penamparnya hinggap di pipi Zila. Wanita itu terdiam seketika sebelum tangan naik menyentuh pipi yang kebas. Lebih sakit dari tamparan Daizy sebelum ini.

Levent benar-benar di titik akhir kesabarannya. Selama ini dia berlembut kerana tidak mahu perkahwinan kedua ini berakhir seperti perkahwinannya yang pertama. Namun kebiadapan Zila sudah cukup membuatkan dirinya hilang kewarasan.

"Patutlah Daizy tinggalkan kau dulu. Rupanya kau lelaki dayus! Aku harap sangat anak yang Daizy kandung tu bukan anak kau!" Zila masih tak serik-serik memancing emosi suaminya.

Tanpa berfikir panjang, Levent meluru ke arah Zila lalu mencekik leher wanita itu sehingga mereka jatuh di atas tilam bersama-sama. Dengan sekuat tenaga, Levent mencengkam leher Zila. Begitu sakit hati dengan kata-kata dan perbuatan wanita itu.

     Zila meronta-ronta sambil memukul tangan suaminya. Cengkaman di leher membuatkan dirinya mulai kehabisan nafas.

     "Le... lepas!"

    Levent tak peduli. Urat tangannya mulai timbul dek cengkaman yang semakin dikuatkan.

Share this novel

Esung Tungau
2024-10-15 15:30:03 

maaf levent apa yg menimpa engkau x ku keciani...padan muka mu...


NovelPlus Premium

The best ads free experience