SUARA tangisan menantunya bergema memecah keheningan malam. Dibiarkan sahaja wanita itu meraung melepas segala yang terpendam selama ini.
"Kenapa tak bagitahu daddy awal-awal lagi yang Zila tu mengandung?" Tanya Dato Ahmed, lembut.
"Kenapa suka sangat simpan semuanya sendiri? Kamu kena tahu yang kamu dikelilingi oleh orang yang sayang sangat dengan kamu. Muzammil, Alfie dan bonda. Daddy pun sentiasa ada untuk kamu, Daizy."
Wanita itu geleng perlahan diiringi tangisannya.
"Saya tak nak aibkan dia, daddy," luahnya teresak-esak.
"Apa orang akan cakap kalau tahu dia mengandungkan Zila sebelum kawin? Bukan setakat maruah dia, maruah saya sebagai isteri pun akan tercalar." Sudah tentu dirinya dianggap tak reti menjaga suami. Atau dianggap wanita tak sempurna sehingga suaminya curang dan menghamili wanita lain.
Dato Ahmed duduk di samping menantunya dengan mata yang mulai merah.
"Daddy tak akan halang kalau kamu nak bercerai. Daddy akan sokong apa pun keputusan kamu asalkan kamu bahagia. Daddy dah tak sanggup tengok kamu menderita disebabkan anak daddy." Belakang menantunya diusap penuh rasa simpati.
"Saya pun dah tak kuat, daddy. Saya reda kalau jodoh kami cuma sampai sini." Daizy tunduk kembali bersama air mata yang mengalir. Pedihnya bukan kepalang lagi saat harus membuat keputusan yang tidak diingini. Berpisah saat hati masih cinta.
Di bilik hotel, Zila tercungap-cungap menyedut oksigen yang kian berkurang. Cekikan tangan suaminya semakin menghimpit saluran pernafasannya.
"Kau!... nak jadi... pembunuh?!" Sempat lagi bersuara walaupun nafasnya sudah tersekat-sekat.
"Diam! Diam!" Levent semakin menguatkan cengkamannya. Dia sudah tak peduli apa yang bakal terjadi nanti.
"Kau nak... biarkan anak kau hidup... tak berbapa?!" Zila sengaja membangkit perkara tersebut.
Levent terkaku seketika. Baru teringat akan Daizy yang sedang mengandung sekarang. Jika dia jadi pembunuh, apa nasib isteri dan anaknya nanti.
"Argh!" Teriak Levent seraya melepaskan leher Zila. Serentak itu, Zila bangun sambil terbatuk-batuk. Hampir sahaja dia mati di tangan suaminya. Sudahlah keinginannya belum tercapai, mana mungkin mahu mati dalam keadaan kempunan.
"Kelemahan kau sekarang ni Daizy, kan?" Soal Zila walaupun masih tercungap-cungap mengumpul nafas.
"Aku tak akan ganggu Daizy. Asalkan kau bagi apa yang aku nak," tutur Zila lagi seraya bangun dari katil.
"Kau silap orang nak ugut, Zila." Levent menentang mata isterinya. Tak akan tunduk dengan ugutan wanita itu.
"Aku cuma nak duit! Duit!"
"Jadi, kau kawin dengan aku sebab duit?"
Zila senyap sambil perbetulkan pakaiannya. Soalan suaminya sengaja tak dijawab.
Akhirnya, Levent keluar tanpa bersuara. Dibiarkan sahaja Zila terpinga-pinga di situ. Tidak sampai beberapa minit, dia masuk semula.
"Kemas barang-barang kau, kita check out sekarang."
"Nak pergi mana?" Tanya Zila
"Kau fikir aku kaya sangat sampai nak duduk hotel ni terus?" Levent segera mengeluarkan beg pakaian Zila dari dalam almari.
"Bawa beg kau sendiri." Beg pakaian milik Zila itu dihumban tepat di kaki wanita itu. Setelah itu, barulah dia mengeluarkan beg pakaian miliknya.
Dengan tergopoh gapah Zila mengemas barang miliknya kemudian mengikuti Levent keluar dari bilik hotel itu.
Dalam kereta, masing-masing senyap di tempat duduk mereka. Hampir beberapa minit memandu, Levent berhenti tepat di hadapan sebuah bangunan yang menyediakan bilik sewa yang terletak di tengah-tengah bandar.
"Turun," arah Levent tanpa memandang isterinya. Setelah mengeluarkan beg pakaian, dia segera menaiki anak tangga untuk naik ke tingkat atas. Setibanya di situ, kelihatan seorang lelaki sudah menunggu di situ bersama kunci bilik.
"Encik Levent?" Tanya lelaki separuh usia itu.
"Ya saya."
"Okey, baik. Ini kunci bilik. Dan resit deposit."
Zila yang baru tiba sedikit tercungap-cungap kerana mengangkat beg pakaiannya sendiri. Dia berhenti seketika di hadapan tangga akibat kepenatan.
Setelah kunci bertukar tangan, Levent menuju ke bilik sewa mereka. Zila hanya memerhati suaminya hingga lelaki itu masuk ke dalam bilik. Kini, matanya mulai melilau memerhati keadaan bangunan bilik sewa yang agak kotor itu. Jauh beza dengan bilik sewanya bersama Daizy dahulu.
"Tunggu apa lagi?! Masuklah!" Sergah Levent dari muka pintu bilik sewa. Laju sahaja Zila membawa beg pakaiannya masuk ke dalam bilik. Sebaik melangkab, sekali lagi dia terkedu melihat keadaan di dalam bilik sewa itu. Begitu sempit dan pengap sekali. Tiada ruang aliran udara yang selayaknya. Hanya ada tingkap kecil di atas pintu.
"Biar betul kita nak duduk dalam bilik ni. Sempit! Pengap!" Rungut Zila.
"Kau ada duit nak sewa rumah?"
"Takkan duit kau dah habis?" Soal Zila tak puas hati.
"Bukan setakat rumah, kerja pun aku dah tak ada. Semua Daizy dah ambil. Kau rasa berjaya sebab dah dapat aku? Kau silap. Kau cuma dapat sisa."
"Argh!" Zila menghumban beg pakaiannya.
"Ceraikan aku!"
"Aku tak akan ceraikan kau. Aku nak kau hidup sengsara dengan aku!" Setelah meletak beg, Levent keluar dari bilik itu.
SEBAIK membuka pintu, suasana rumah begitu gelap dan sunyi sekali. Dulu, rumah inilah tempat dia dan suaminya meluang masa bersama. Bergurau senda dan bergelak ketawa. Bersama-sama mengimpikan rumah tangga yang bahagia ditemani anak-anak mereka.
Mata yang berair dikesat dengan jarinya sebelum melangkah masuk ke dalam rumah itu. Setelah menyalakan lampu, Daizy naik ke tingkat atas. Kini, dia berdiri di hadapan bilik tidur yang menjadi tempatnya beradu asmara bersama suaminya. Saat membuka pintu, haruman wangian yang biasa dipakai suatu ketika dahulu menerpa rongga hidungnya. Mata hampir tak berkedip melihat bilik itu terjaga rapi. Segala barang-barang miliknya yang ditinggalkan dulu masih tersimpan di tempatnya.
Dada yang berombak disentuh perlahan. Tak sangka suaminya masih menyimpan semua barang miliknya. Tapi, bermaknakah semua itu? Sedangkan sekarang ini pernikahan mereka diambang perceraian.
Perlahan-lahan, kaki melangkah masuk lalu duduk di tempat tidur mereka. Tangan mulai menyentuh dan mengusap permukaan katil sambil membayangkan mereka beradu keringat di situ. Semuanya begitu indah sekali sebelum rumah tangga mereka musnah akibat cemburu buta dan ego suaminya.
Dengan esakan yang mulai kedengaran, Daizy rebahkan tubuh di tengah-tengah ranjang sambil menyentuh perutnya. Andai sahaja semua ini tak terjadi, pasti sekarang dia sedang bermanja dengan suaminya sambil menunggu kelahiran bayi mereka.
Akibat melayan perasaan, dia tertidur di situ.
Dari luar rumah, Levent memerhati dalaman rumah yang terang benderang. Dia tahu Daizy sudah pulang ke rumah itu. Dengan helaan nafas yang panjang, dia melangkah masuk dan terus naik ke tingkat atas. Sewaktu tiba di hadapan bilik yang tidak tertutup rapat, langkah kakinya terhenti.
Melihat isterinya tertidur sambil berpeluk tubuh membuatkan hatinya dihimpit sayu. Kejam sungguh membiarkan wanita itu sendirian menjalani kehamilan sementara dirinya menemani wanita hamil yang bukan dari darah dagingnya.
Dengan cermat, Levent melangkah masuk. Tidak mahu sampai isterinya terbangun dari tidur. Wanita itu kelihatan lelah sekali. Setibanya di sisi katil, dia duduk perlahan-lahan tepat di hadapan isterinya. Sewaktu merenung wajah itu, terlihat jelas titisan air mata membasahi permukaan tilam.
Tak kuat melihatnya, Levent mengesat air jernih yang masih tersisa di tepi mata. Perbuatannya malah mengejutkan Daizy dari tidur. Dengan pantas, wanita itu bangun lalu mengesat wajah dengan tapak tangannya. Bimbang jika air matanya masih tersisa. Levent juga bingkas bangun dari katil dan terus meraup wajah. Kesal kerana tak mampu menahan tangannya.
"Awak buat apa dekat sini?" Tanya Daizy seraya bangun dari katil.
"Erm... nak ambil barang," kata Levent cuba menyembunyi gugup.
"Dah?"
"Belum. Ternampak pula awak tidur dekat sini." Senyuman diukir walaupun kelihatan hambar.
"Kalau nak datang, bagitahu dulu." Daizy kemaskan rambut kemudian mengelap sisa air mata.
"Nangis?"
"Tak." Daizy geleng laju.
"Okey."
"Pergilah ambil barang awak cepat. Saya nak tidur," kata Daizy sebelum larikan pandangan
"Mentang-mentang dah dapat rumah. Sombong sekarang ni kan," usik Levent.
"Menyesal serahkan pada saya?" Sindir Daizy pula.
"Taklah. Malahan saya bersyukur sebab letakkan eumah ni atas nama awak. Awak lebih berhak," katanya tanpa sedikit pun rasa sesal. Malahan bersyukur kerana Zila tak akan mampu menuntut rumah tersebut darinya.
Daizy kerut kening. Sedikit hairan dengan kata-kata suaminya.
"Oh ya, saya datang ni pun nak serahkan barang pada awak." Poket seluar diseluk.
"Barang?" Tanya Daizy hairan.
Sedaat, dompet berisi kad bank, telefon bimbit serta kunci kereta diletak di atas meja di sebelah katil. Daizy hanya memerhati perbuatan suaminya.
"Itu kunci kereta awak, kan?"
"Ya." Levent angguk perlahan.
"Tapi kenapa? Kereta tu memang atas nama awak, Levent." Daizy semakin bingung.
"Tak apa. Saya tak nak bawa apa-apa keluar dari rumah ni. Semuanya untuk awak."
"Tak perlu. Saya pun ada kereta dekat bawah tu." Daizy tak setuju.
"Tak apa." Levent pula tetap dengan pendiriannya.
"Habis tu Zila macam mana? Kalau dia nak pergi mana-mana takkan nak naik bas?" Sempat pula memikirkan wanita yang tak tahu dek untung itu.
"Dia memang orang susah dari dulu. Jadi, dia masih boleh hidup walaupun tanpa kereta." Ada gelak di hujung bicara Levent.
"Oh ya, satu lagi. Fail-fail berkaitan syarikat saya letak dalam kabinet dekat ruangan saya. Dan kunci kabinet ada dalam laci tu." Matanya beralih ke arah meja kerjanya di hujung bilik.
"Awak boleh pegang mulai sekarang," sambungnya lagi.
Daizy kehilangan kata-kata. Tak habis fikir kenapa suaminya menyerahkan segalanya.
"Kejap. Awak betul-betul letak jawatan?" Soal Daizy ingin tahu. Dia sebenar tidak sampai hati dengan cadangan Dato Ahmed.
"Ya."
"Secepat ini?" Tanya Daizy lagi.
Levent angguk dengan senyuman.
"Tapi ada sebulan lagi, kan?" Daizy sengaja mengingatkan.
"Ya. Tapi saya nak resign esok. Notis 24 jam."
"Awak..." Levent terpempan dengan keputusan suaminya. Bererti, mereka tidsk akan bertemu lagi di pejabat nanti?
"I'm sorry for what I've done to you," kata Levent tiba-tiba.
"Hah?"
"Saya gerak dulu," pamit Levent lebih dulu. Tidak mahu isterinya semakin tertanya-tanya.
Daizy semakin hairan dengan sikap suaminya. Wajah lelaki itu begitu tenang melepaskan segala yang dia miliki.
Sewaktu suaminya ingin melangkah, Daizy memanggilnya semula.
"Tentang perceraian kita..." Daizy gigit bibir seketika. Agak susah perkataan itu mahu diluahkan.
"Saya serahkan pada awak," kata Levent, tenang.
"Baik." Daizy angguk lemah. Suaminya tetap setuju dengan perceraian itu.
"Boleh tak kalau..." tanpa lanjutkan kata, tangan dihulur untuk bersalam dengan suaminya.
Levent terdiam sejenak melihat tangan yang sedikit bergetar itu. Hampir beberapa saat, akhirnya tangan isterinya disambut dan serentak itu Daizy tunduk mengucup tangan suaminya.
Levent membiarkan sahaja perbuatan isterinya. Dia tahu, disebalik kucupan itu ada air mata yang sedang mengalir membasahi tangannya. Levent bertindak mengusap kepala isterinya dengan penuh kelembutan. Selepas ini, semuanya bakal berbeza. Mereka tidak akan boleh bersentuhan lagi.
"Dah, jangan nangis."
Sambil menggigit bibir, Daizy angkat wajah kemudian mengesat air mata yang membasahi kelopak matanya. Tidak lama itu, Levent mendekatinya. Dan tanpa kata, dahinya dikucup lembut. Spontan, Daizy pejam mata menikmati ciuman yang begitu lama tak dirasai.
"Saya gerak dulu," pamit Levent sebaik melepas kucupan. Tanpa berlengah, dia segera meninggalkan isterinya. Dia mahu mencari tempat untuk melepaskan segala yang terbuku di dada.
Sebaik Levent beredar, Daizy duduk semula di tempat tidur. Saat ini juga, dia harus menerima kenyataan bahawa rumah tangga mereka berakhir di sini. Levent lebih memilih Zila berbanding dirinya.
TAMAT...
Tapi bohong?.
Siiiiiikit lagi nak end ni.
Share this novel