SETENGAH jam kemudian, teksi berhenti tepat di hadapan sebuah banglo dua tingkat yang tersergam indah. Rumah itu tak kalah jauh dengan rumah yang pernah dia tempati bersama suaminya dahulu.
Setelah turun dari teksi, Daizy melangkah menuju ke pagar rumah tersebut dan mulai menekan loceng. Ikutkan hati, mahu sahaja dia meninggalkan barangan tersebut di hadapan pagar kemudian beredar dari situ. Sebaik teringat akan harga barangan tersebut yang bukanlah murah, Daizy terpaksa batalkan niatnya.
Tidak lama itu, keluar seorang wanita separuh abad membuka pagar untuk Daizy.
"Silakan masuk, cik. Tuan Muzammil dah tunggu dekat dalam," jemput wanita itu yang merupakan orang gaji di situ.
"Tak apa, mak cik. Saya cuma nak pulangkan barang ni." Plastik hitam dihulur namun wanita tua itu menggeleng sambil tersenyum.
"Jemput masuk dulu, cik," pelawanya sambil memberi ruang untuk Daizy.
Dengan langkah berat, Daizy berjalan menuju ke pintu rumah yang terbuka luas. Setibanya di ruang tamu, kelihatan Muzammil sedang duduk santai di atas sofa sambil menatap telefon bimbit. Dia segera mengangkat wajah sebaik menyedari kehadiran Daizy.
"Eh, come here. Duduk sini." Permukaan sofa di sebelahnya ditepuk-tepuk lembut.
Dengan perasaan kesal, Daizy menuju ke ruang tamu dan terus duduk tepat berhadapan Muzammil. Plastik hitam di tangan di letak kasar di atas meja.
"Saya tak nak semua barang ni," kata Daizy tanpa basa basi.
Muzammil merenung seketika plastik tersebut sebelum menegakkan duduknya.
"Barang-barang ni semuanya milik awak. Memang untuk awak," kata Muzammil dengan senyuman manisnya.
"Kenapa pulak jadi barang saya? Saya tak pernah beli pun. Dan saya tak pernah minta tuan belikan untuk saya," katanya, kesal.
"Never lower your standard, Daizy. Jangan disebabkan awak berkawan dengan perempuan macam tu, awak kena ikut gaya hidup dia," kata Muzammil kedengaran angkuh.
"Suka hati sayalah. Saya pun bukannya orang kaya. Saya anak yatim piatu dan saya dah biasa hidup susah.
"Perempuan yang tuan cakap tu, dia tak meminta-minta dengan orang lain. Dia tahu cari rezeki sendiri. Yang penting dia tak jual maruah," tegas Daizy.
Muzammil tersenyum sinis.
"Macam mana awak tahu yang dia tak jual maruah?" Soal Muzammil dengan kening yang terjongket sebelah.
"Tuan jangan nak tuduh dia bukan-bukan! Walaupun luaran dia macam tu, dia tak pernah buat benda tak elok! Sesusah apa pun kami dulu, dia tak pernah tinggalkan saya!" Tak terima saat Zila dipandang hina. Masih segar diingatan sewaktu mereka menjadi gelandangan di luar sana. Makanan yang ada sentiasa dikongsi bersama. Walaupun tidak mengenyangkan asalkan dapat mengisi perut dari terus berlapar.
"Awak terlalu polos, Daizy. Sebab tu awak kena pijak-pijak. Dari dulu sampai sekarang. Awak tak pandai nak ambil pengajaran langsung."
Kata-kata Muzammil benar-benar mengejutkan Daizy. Seolah-olah lelaki itu dapat melihat kehidupannya yang lalu.
"Banyak lagi yang awak kena belajar. Tapi tak apa, saya akan tolong awak." Muzammil mulai berdiri kemudian duduk di sisi Daizy.
Beg tangan serta kasut dikeluarkan dari dalam plastik kemudian di letak di atas meja.
"Awak tak layak jadi wanita miskin. You have your own class, your own personality. Never downgrade yourself." Kasut diletak di atas lantai kemudian duduk tepat di hadapan kaki Daizy.
Tanpa izin, kaki Daizy disentuh kemudian cuba menyarung kasut tersebut di kaki wanita itu. Spontan, Daizy cuba menarik kakinya namun ditahan oleh Muzammil.
"See, cantik kan?" Loafers jenama Chanel sudah tersarung indah di kaki Daizy.
"You deserve more than everything I gave you. Jangan pernah suruh saya berhenti sebab ini baru permulaan." Kasut mulai disarung pada kaki kiri Daizy.
"You..." Muzammil angkat wajah memandang tetap ke mata Daizy.
"You need me. So, you have to trust me," kata Muzammil seraya mengusap lembut pipi wanita itu.
Daizy kehilangan kata-kata. Layanan Muzammil bukan melambangkan nafsu melainkan kasih sayang semata-mata.
Daizy tersentak sewaktu tangan Muzammil mengusap kepalanya. Serentak itu juga dia menepis tangan lelaki kemudian berundur sedikit ke belakang. Tak selesa kerana Muzammil duduk benar-benar di hadapan kakinya.
Muzammil akhirnya bangun lalu duduk semula di sisi Daizy. Beg kertas berisi beg tangan berjenama dicapai di atas meja.
"Bawa balik. Saya beli memang untuk awak. Untuk kegunaan awak." Beg kertas tersebut diletak di atas riba Daizy.
"Nak pulang sendiri atau saya hantar balik?" Tanya Muzammil.
"Saya balik sendiri," kata Daizy seraya berdiri. Beg kertas tersebut dipeluk erat. Entah kenapa, perasaan marahnya tiba-tiba reda.
"Okey, I'll call a taxi for you." Muzammil mencapai telefon di atas meja untuk menempah teksi atas talian. Setelah itu barulah dia menghantar Daizy menunggu di luar rumah.
"Nak saya carikan rumah sewa?" Tanya Muzammil tiba-tiba. Laju Daizy menoleh dengan dahi yang berkerut.
"Cukuplah, tuan. Saya penatlah nak cakap benda yang sama." Suara Daizy kedengaran kesal sekali. Entah berapa kali harus mengulang perkataan yang sama.
"Demi keselesaan dan keselamatan awak," sambung Muzammil.
Daizy mendengus kecil seraya menjeling.
"Keselamatan? Apa yang tak selamat sangat tempat tu?" Tanya Daizy, kedengarsn sebal.
Serentak itu, telefon bimbit Muzammil berbunyi menandakan masuknya pesanan ringkas. Kedengaran keluhan kecilnya saat melihat nama yang terpapar di skrin telefon bimbitnya.
"Nak tahu bahayanya? Ni," kata Muzammil seraya menghalakan skrin telefonnya di hadapan Daizy.
"Zila?" Berkerut dahi Daizy melihat nama Zila terpapar di situ. Bagaimana wanita itu boleh menghubungi Muzammil? Sedangkan dia tidak pernah memberi nombor telefon lelaki itu.
"Awak yang bagi dia?" Tanya Muzammil.
Laju Daizy menggeleng. Tidak semudah itu dia memberi nombor telefon seseorang kerana ianya dianggap melanggar privasi.
"Tak. Sumpah! Memang dia pernah minta tapi saya tak pernah bagi." Suara Daizy bertukar gementar. Takut jika Muzammil menuduhnya memandangkan mereka adalab teman.
"You should move out from the room. Awak tak selamat dekat situ," kata Muzammil. Telefon bimbit dimasukkan semula ke dalam poket tanpa membalas pesanan dari Zila.
"Tak selamat? Hanya gara-gara dia dapat nombor telefon tuan tanpa kebenaran, so dia dianggap bahaya?" Soal Daizy tak puas hati.
"Hal kecil macam tu pun dia tak boleh nak faham, apatah hal besar?"
Daizy menggeleng dengan tawa sinisnya.
"Tuan ni macam tak betullah. Suka sangat fikir yang bukan-bukan. Nak jaga keperluan sayalah, nak jaga keselamatanlah. Pelik."
"Tuan pun, bukan boleh percaya sangat. Entah-entah lebih bahaya. Tuan lelaki dan orang yang saya tak kenali. So, saya kena letakkan syak wasangka yang lebih tinggi dekat tuan," ujar Daizy begitu sinis sekali.
"Awak tak kenal saya, tapi saya kenal awak. More than you know," balas Muzammil sambil mengerling seketika. Senyuman manis di bibirnya membuatkan Daizy tak sedap hati.
"Tuan memang perangai macam ni ke? Kalaulah tunang tuan tahu, macam mana? Tak takut kalau dia cemburu?" Soal Daizy cuba untuk mengingatkan status Muzammil. Nampaknya lelaki itu terlalu mesra dengan wanita lain sehingga lupa tunang sendiri.
"Dia dah tahulah. Kejap lagi dia sampailah tu. Kalau awak nak, bermalamlah dekat sini. Boleh temankan dia berbual," kata Muzammil selamba.
Daizy sudah menayang wajah kebingungan. Lebih tepatnya, dia hairan dengan sikap Muzammil. Seolah tak menjaga perasaan tunang sendiri.
"Ish! Serabutlah!" Rungut Daizy. Beberapa saat kemudian, teksi atas talian yang ditempah oleh Muzammil akhirnya tiba. Serentak itu, sebuah kereta mewah berwarna hitam berhenti tepat di belakang teksi tersebut.
"Saya balik dulu," pamit Daizy lalu menuju ke arah teksi. Kepalanya segera menoleh ke arah kereta mewah tersebut sebaik pintu terbuka. Sesaat kemudian, keluar seorang wanita cantik, tinggi lampai dan berkulit putih mulus. Wanita itu segera mendekati Muzammil
"Honey! Sorry, Im late!" Tanpa segan wanita itu memeluk Muzammil. Kelihatan tangan Muzammil melingkar di pinggang wanita itu kemudian diusap lembut. Sesaat, pelukan dileraikan.
"Hello!" Wanita itu melambai ke arah Daizy.
"Daizy Baseera, right?" Soal wanita itu dengan senyuman manisnya.
Untuk seketika, Daizy melirik ke arah Muzammil sebelum membalas senyuman wanita itu.
"Ya, saya."
"Dah nak balik ke? Ala, tak sempat nak berborak," kata wanita itu dengan wajah sedihnya.
"See, kan saya dah cakap. Dia nak ajak awak berbual. Sebab tu saya suruh awak bermalam dekat sini," sampuk Muzammil. Wanita di sisinya pula sudah tersenyum lebar.
Daizy mulai hairan melihat wanita itu. Bukankah seharusnya dia cemburu saat tahu tunangnya menemui wanita lain?
"Er, tak apalah. Saya balik dulu," pamit Daizy dan terus masuk ke dalam teksi. Semakin lama berdiri di situ, dia semakin tak sedap hati dengan pasangan tersebut.
Setibanya di bilik sewa, bilik sudah pun koson tanpa kelibat Zila. Wanita itu sudah berangkat ke tempat kerjanya setengah jam yang lalu. Daizy pun mula mengemas barang belajaan yang dibeli oleh Muzammil. Setelah itu barulah dia pergi membersihkan diri kemudian melelapkan mata. Masa tidurnya sudah lewat sejam membuatkan matanya semakin layu.
Sedang lena dibuai mimpi, terasa katilnya bergoyang-goyang. Seperti ada seseorang yang sedang menaiki tempat tidurnya. Perlahan-lahan, Daizy membuka mata. Lampu tidurnya yang malap membuatkan pandangannya sedikit terbatas. Sebaik menoleh ke belakang, terlihat sosok seseorang yang sedang duduk di hujung katilnya.
Pantas, Daizy bangun dari baringnya sambil menggosok mata...
Share this novel