BLAUS hijau zamrud paras lutut menjadi pakaian pilihan Daizy untuk memenuhi jemputan makan malam dari Muzammil. Sejujurnya, dia agak resah untuk menerima ajakan Muzammil. Namun siapakah seseorang yang ingin dipertemukan dengannya? Itu membuatkan dirinya semakin tertanya-tanya.
Tepat pukul 9 malam Muzammil menjemput Daizy di bilik sewa. Tidak sampai setengah jam, mereka tiba di rumah Muzammil. Sewaktu berjalan masuk ke dalam rumah, suasana agak riuh. Tetamu sudah pun tiba lebih awal tadi.
Daizy hanya melemparkan senyuman nipis sebelum Muzammil membawanya menuju ke dapur.
Setibanya di dapur, dia disambut oleh Rania, tunang kepada Levent.
"Daizy, come." Lengan Daizy dipaut kemudian dibawa menyertai wanita-wanita yang ada di situ. Masing-masing sibuk menjamah makanan yang tersedia. Daizy mulai segan berkumpul bersama mereka memandangkan kesemua wanita di situ kelihatannya orang berada.
Seperti mengerti tingkah Daizy, Rania tak meninggalkan dirinya sendirian. Semakin lama, tetamu semakin ramai. Ternyata, yang hadir bukan setakat ahli keluarga, malahan rakan-rakan juga di jemput. Beberapa minit di situ, Rania membawa Daizy duduk di luar rumah.
Sedang asyik menikmati makanannya, Daizy mendongak saat bahunya disentuh lembut. Sebaik menoleh, sudu di tangan perlahan-lahan terlepas jatuh di atas pinggan.
"Dad... daddy." Daizy berdiri. Matanya seolah tak berkedip melihat bapa mentuanya ada di situ.
"Saya masuk dulu," pamit Rania sambil tersenyum. Sengaja mahu memberi ruang pada mereka berdua untuk berbual. Tidak lama itu, Muzammil pula menyertai mereka.
"Surprise," katanya lalu duduk di sebelah Dato Ahmed.
"Tuan kenal dengan daddy?" Tanya Daizy.
"Mestilah kenal. My favourite uncle," katanya sambil menepuk lembut paha Dato Ahmed.
Daizy kerut dahi. Belum dapat mencerna apa yang Muzammil sampaikan.
"Muzammil ni kira anak sedara daddy. Arwah umi dia anak angkat kepada keluarga daddy dekat Turki," jelas Dato Ahmed.
Daizy angguk walaupun otaknya masih belum mampu menerima kenyataan yang baru sahaja didengar.
"Arwah umi?" Daizy memandang Muzammil.
"Ya." Muzammil angguk perlahan.
"Umi dah meninggal. Abi pula menyusul lepas setahun umi pergi," katanya dengan senyuman nipis.
"Muzammil pun yatim piatu macam Daizy juga," sampuk Dato Ahmed.
"Lepas dia habis belajar dekat Turki, daddy call dia suruh datang Malaysia lepas dapat tahu yang parents dia dah meninggal," tambahnya lagi.
Muzammil tunduk seketika. Cuba menahan sebak yang mulai menyelubungi dada. Walaupun sudah bertahun-tahun berlalu, masih terasa pedihnya setiap kali berbicara soal orang tuanya.
"Tapi, macam mana tuan boleh kenal saya?" Muzammil dan Dato Ahmed ditatap silih berganti.
"Ingat tak yang Daizy pernah hantar resume untuk cari kerja?" Tanya Dato Ahmed.
Daizy angguk kepala.
"He recognize your name but not your face. Muzammil tak datang waktu Daizy dengan Levent menikah sebab dia tengah bercuti dekat Turki. Levent pun memang tak cam Muzammil ni siapa. Terakhir kali diorang jumpa pun waktu daddy bawa Levent pergi Turki. Masa tu diorang berdua ni budak lagi," jelas Dato Ahmed panjang lebar.
Daizy angguk tanda mengerti. Sedikit sebanyak, dia sudah mulai menerima maklumat yang disampaikan.
"Sejak dari itu, daddy tahu yang Muzammil orang yang tepat untuk jaga Daizy," beritahu Dato Ahmed.
"Hah?"
"Daddy tahu Daizy dekat mana selama ni. Dan semuanya daddy serahkan pada Muzammil untuk jagakan Daizy," tambahnya lagi.
Daizy tersandar pada kerusi. Kini, baru mengerti akan setiap tindakan dan perbuatan Muzammil terhadapnya. Lelaki itu hanya menganggap dirinya sebagai keluarga dan tidak lebih dari itu.
"Dan, daddy rahsiakan perkara ni dari Levent. Daddy cuma nak dia belajar dari kesilapan." Ada penyesalan dalam suara Dato Ahmed.
Daizy tunduk merenung jari jemari di atas paha. Dia sangka, selama ini dirinya bersembunyi dan jauh dari keluarganya. Ternyata dia silap. Gerak gerinya selama ini diperhati dari jauh.
"Balik rumah, ya nak," pujuk Dato Ahmed.
Daizy ketap bibir menahan sebak. Sedih mendengar suara pujukan bapa mentuanya.
"Daddy memang nak bagi pengajaran pada Levent. Rasanya, setahun ni waktu yang cukup lama untuk kamu berdua tenangkan fikiran masing-masing. Dah tiba masa untuk kamu perbaiki semuanya." Suara Dato Ahmed kedengaran begitu sayu.
Daizy senyap. Hanya helaan nafas berat yang kedengaran. Dato Ahmed tak lagi bersuara. Melihat menantunya memilih diam, dia tidak boleh ego dan terus menekan wanita itu.
Hampir dua jam di situ, Dato Ahmed pamit untuk pupanh. Daizy mengambil kesempatan untuk memohon ampun pada Dato Ahmed atas perbuatanya terhadap Levent. Jika orang tua lain di luar sana, mungkin dirinya sudah disumbat ke dalam penjara kerana mencederakan anak mereka.
"Daddy harap, Daizy fikirkan baik-baik pesanan daddy." Kepala menantunya diusap lembut.
"Insha Allah, daddy," tutur Daizy dengan wajah tertunduk.
"Daddy tunggu kepulangan Daizy dengan tangan yang terbuka. Kalau perlu apa-apa, jangan malu untuk cakap dengan Muzammil. Daddy dah amanahkan dia untuk jaga Daizy," pesan Dato Ahmed lagi.
Muzammil angguk tanda mengiyakan kata-kata Dato Ahmed. Itulah yang dia laksanakan selama ini.
Setelah bersalaman, Dato Ahmed beredar terlebih dahulu. Setelah itu barulah Daizy dihantar pulang oleh Muzammil. Rania sedikit pun tak cemburu kerana Muzammil lebih dulu menjelaskan kepadanya apa yang berlaku pada Daizy dan Levent.
Beberapa minit perjalanan, Daizy menyedari jalan yang dilalui bukanlah jalan pulang ke bilik sewanya.
"Kita nak pergi mana?" Tanya Daizy, tak sedap hati.
"Saya nak culik awak," usik Muzammil.
"Serius boleh tak?" Daizy mulai cuak membuatkan Muzammil tertawa kecil.
"Relaks lah. Saya nak bawa awak jalan-jalan. Release tension," katanya sambil dengan senyuman lebar.
Tidak lama itu, mereka tiba di sebuah pantai yang terdapat di pinggir bandar. Suasana malam itu masih riuh dan padat dengan kehadiran pengunjung. Setelah membeli sedikit jajan, Muzammil membawa Daizy duduk di pondok yang jauh sedikit dari keriuhan orang ramai.
Sambil menyedut teh ais masing-masing, mereka senyap menikmati pemandangan laut yang terbentang luas. Angin sepoi-sepoi terasa sejuk menampar kulit wajah mereka.
"Balik, ya Daizy," kata Muzammil tiba-tiba.
Daizy pantas menoleh memandang Muzammil yang masih merenung ke hadapan.
"Awak baru aje bawa saya datang sini. Duduk tak sampai 10 minit dah ajak balik. Baik tak payah datang," rungut Daizy. Baru mahu berdiri, tangannya digenggam oleh Muzammil. Lelaki itu menariknya agar duduk semula.
"Bukan itu," katanya dengan keluhan kecil.
"Saya suruh awak balik rumahlah. Rumah Levent," katanya, tenang sekali.
Daizy kembali menyedut teh aisnya tanpa membalas kata-kata Muzammil.
"Cukuplah setahun kamu berdua macam ni. Dah tiba masa untuk kamu berdua bina semula rumah tangga kamu," tutur Muzammil memberi nasihat.
Daizy mengeluh berat.
"Awak tak tahu apa yang saya alami. Dua tahun bukan waktu yang singkat. Macam-macam saya lalui dalam rumah tu," katanya mendatar.
"Saya tahu. Semuanya saya tahu. Dari A sampai Z, semuanya saya tahu," balas Muzammil.
"Zahara." Akhirnya nama itu terpacul dari mulut Muzammil.
Pantas, Daizy menoleh memandang Muzammil.
"Perempuan tu punca Levent jadi macam ni," sambung Muzammil.
"Maksud awak?" Daizy kerut dahi.
Muzammil tegakkan duduk. Apa pun yang bakal diceritakan nanti, semoga ianya membuka hati Daizy untuk tetap pertahankan rumah tangganya.
Share this novel