Lust

Romance Series 28423

SETELAH bersalaman dengan Mak Esah dan Pak Azad, kedua-dua pengantin baru itu beredar dari kampung tersebut.

     "Kenapa jemput Daizy?" Tanya Levent. Belum pun beberapa minit meninggalkan rumah, soalan itu sudah terpacul dari mulutnya sekaligus mematikan senyuman Zila. Baru hendak menikmati masa berdua, lelaki itu pula sudah merosakkan moodnya.

     "Dia kawan saya. Tak salah kalau saya jemput dia," jawab Zila selamba.

     Levent mengeluh panjang. Pernikahan keduanya seharusnya tidak diketahui oleh keluarganya. Dia belum bersedia untuk berterus terang tentang hal tersebut. Entah kenapa, ada sesuatu yang membebani fikiran. Sedangkan pernikahan tersebut atas dasar kerelaannya.

    "Baguslah kalau dia tahu, kan. Cepat sikit dia nak urus perceraian kamu berdua," katanya kedengaran sebal.

     "Atau awak yang tak rela bercerai?" Duga Zila.

     Levent tak menjawab. Matanya fokus pada jalan di hadapan.

     Zila mendengus kecil. Dia bukan tidak tahu dalam hati Levent masih ada Daizy, isteri pertamanya. Pernikahan mereka pun atas dasar simpati. Lebih tepatnya sebuah perangkap agar Levent jatuh ke dalam tangannya. Dan ternyata, begitu mudah sekali dia menjalankan misi disebabkan masalah rumah tangga yang menimpa lelaki itu.

     "Bila nak buat majlis sanding kita?" Tanya Zila tiba-tiba. Tidak sabar rasanya merasai sendiri majlis persandingan yang gah memandangkan suami orang yang berharta.

     "Saya tak fikir lagi," jawab Levent mendatar. Kekangan masa di pejabat satu hal, belum lagi ditambah dengan kejutan yang bakal dihadapi oleh ahli keluarga jika dia mengumumkan persandingan tersebut.

     "Mana boleh. Dahlah nikah dekat kampung saya. Sanding pula nak berkira. Saya ni baru pertama kali kahwin, tau. Bagilah saya rasa juga duduk bersanding juga," rungut Zila.

     "Kalau Daizy, macam-macam awak bagi." Zila buang pandangan ke luar tingkap menandakan dirinya sedang merajuk. Malangnya, Levent tetap fokus memandu tanpa pedulikan dirinya.

     Sebaik memasuki pekarangan rumah, Zila lebih dulu turun dari kereta. Kepalanya terdongak dengan mulut yang terbuka sebaik melihat rumah banglo tersergam indah di depan matanya. Tak pernah terbayang dek akal bahawa dirinya akan tinggal di rumah semewah itu.

     "Buka pintu cepat!" Zila menggoncang lengan Levent. Tidak sabar mahu masuk ke dalam rumah bak istana itu. Sebaik pintu dibuka, Zila lebih dulu berlari masuk sambil memerhati ruangan rumah tersebut.

     "Gila! Besarnya rumah ni. Ah!" Zila lompat kegirangan.

     Levent terhenti di hadapan pintu sambil memerhati gelagat Zila. Serta merta, dia teringat pada Daizy. Walaupun pertama kali menginjak kaki ke dalam rumah dahulu, wanita itu masih mampu menjaga sikapnya.

     "Bilik kita mana?" Tanya Zila, tak sabar.

     Levent tersentak. Bagaikan ada satu jarum yang menusuk jantungnya sebaik mendengar soalan itu. Tegakah dia membiarkan wanita lain tidur di atas ranjang yang ditiduri isteri pertamanya?

     "Sayang! Bilik kita mana? Cepatlah!" Desak Zila.

     "Come." Akhirnya Levent menapak masuk dan terus ke tingkat atas.

     Kini, dia berhenti tepat di hadapan sebuah bilik yang jelas sekali bukan bilik tidurnya bersama Daizy.

     "Ini bilik kita," kata Levent seraya membuka pintu. Sewaktu Zila menapak masuk, mata Levent sempat melirik bilik sebelah yang merupakan tempatnya beradu asmara bersama Daizy.

     "Not bad," kata Zila. Sebaik membuka almari, dia hairan melihat ianya kosong tanpa sehelai pakaian pun.
  
     "Mana baju awak?" Tanya Zila.

     "Em, bilik ni saya baru kemas. Pakaian semua saya keluarkan sekejap. Nanti saya masukkan semula," kata Levent terpaksa menipu.

     Zila hanya mencebik sebelum lanjut mengagumi kemewahan bilik tersebut.

     "Awak rehatlah dulu. Saya nak ambil beg."

     Sebaik Levent beredar, Zila memanjat naik ke atas katil sambil melompat kegirangan.

     "Ah! Akhirnya mimpi aku dah tercapai!" Katanya lalu membuang tubuh ke belakang sehingga dia terbaring di atas tilam empuk itu.

     "Daizy, Daizy. Cepat-cepatlah urus cerai tu. Rugi rasanya nak kongsi semua ni dengan kau," katanya sambil membayangkan segala harta Levent menjadi miliknya seorang.

     Tanpa sedar tangannya menyentuh perut yang masih rata. Belum terlihat sebarang bonjolan kerana kandungannya baru berusia dua bulan.

     "Aku kena pastikan malam ni malam pertama kita, Levent. Aku nak budak ni jadi anak kau," katanya dengan senyuman sinis.

     "Aku akan pastikan yang nama budak ni masuk dalam pewaris harta kau nanti," sambungnya lagi sebelum tertawa besar.

      Di tingkat bawah, Levent sedang termenung di belakang kereta. Niatnya mahu mengeluarkan beg pakaian terus terkubur sebaik teringat pada Daizy.

     "Awak paksa saya buat semua ni, Daizy. Kenapa mudah sangat awak jatuh ke dalam tangan lelaki lain?!" Penumbuknya menghentam badan kereta. Sakit hatinya kerana teringat kembali pada sekeping gambar yang dikirim oleh Zila.

     Dalam gambar tersebut, kelihatan jelas Muzammil sedang memeluk Daizy. Parahnya, mereka berdua berada di dalam kelab hiburan. Walaupun cuba menafikan, kedekatan Daizy dan Muzammil membuatkan Levent semakin percaya pada fitnah yang ditabur oleh Zila.

     "Daizy dengan Muzammil dah macam belangkas. Saya bukan nak burukkan Daizy. Tapi, Daizy pernah bawa Muzammil masuk dalam bilik... dua kali." Kata-kata dari Zila masih terngiang-ngiang di telinga Levent. Jika sudah berdua-duaan, maka yang ketiga pasti adalah syaitan. Mana mungkin kedua-duanya tak tergoda dengan hasutan makhluk yang dilaknat itu.

     "Saya kesian dengan Encik Levent. Kalau saya jadi Daizy, saya akan setia. Lelaki sempurna macam encik ni tak akan ada yang sama. Saya harap suaru hari nanti, saya akan dapat suami macam encik. Saya akan jaga dengan seluruh nyawa saya."

     Zila tak henti-henti menunjukkan dirinya sebagai pahlawan di hadapan Levent. Caranya memburukkan Daizy terlalu halus sekali sehingga Levent yang sememangnya sedang bercelaru begitu mudah termakan cerita yang ditabur olehnya.

     "Jangan rendahkan martabat encik sebagai suami. Lelaki, tempatnya terlalu tinggi untuk direndahkan. Apatah lagi oleh isteri sendiri. Saya kecewa bila Daizy tengking, marah encik depan orang lain. Saya selalu bagi nasihat tapi Daizy tetap macam tu. Pengaruh Muzammil terlalu kuat."

     Tak cukup memburukkan Daizy, Zila berusaha membuat dirinya terlihat seperti wanita lemah di hadapan Levent. Seseorang yang memerlukan pendamping di sisi agar tidak ditindas oleh lelaki lain.

"Saya rela kerja siang malam semata-mata nak sara hidup sendiri. Tapi, disebabkan saya kerja di tempat macam tu, orang sekeliling anggap saya wanita murahan. Sedangkan saya hanya mencari sesuap nasi untuk diri sendiri. Dan dari hasil tu jugaklah saya dapat bantu Daizy. Pergi mana-mana pun saya tak pernah tinggalkan dia."

     Hingga saat ini, Levent beleum mengetahui akan perkerjaan Zila sebagai pelacur. Seperti biasa, wanita itu berbohong tentang pekerjaannya hanya sebagai pelayan sahaja.

Levent tersedar dari lamunan sewaktu mendengar suara Zila semakin dekat memanggil namanya.

"Sayang, kenapa lambat sangat? Saya nak mandi," tegur Zila dan terus memeluk Levent dari belakang.

"Er, saya dari tandas tadi," kata Levent sebelum mulai membuka pintu belakang untuk mengeluarkan beg pakaian isterinya.

"Saya tengok dekat ruang tamu tu masih ada gambar Daizy. Kenapa tak buang?" Tanya Zila mendatar.

Levent terhenti seketika. Sejujurnya dia agak hairan dengan sikap Zila yang seolah-olah berubah. Dahulu, wanita itu sangat menjaga tutur kata jika ianya melibatkan Daizy. Lama kelamaan, keburukan Daizy sudah menjadi buah mulutnya. Dan sekarang? Terlihat jelas kebencian Zila terhadap Daizy. Kalau boleh, segala yang berkaitan dengan wanita itu ingin dihapuskan segera.

"Nanti saya turunkan," kata Levent sebelum kembali mengeluarkan beg pakaian isterinya.

"Turunkan? No! Saya nak awak buang!" Tegas Zila.

Levent menghela nafas berat. Bukan semudah itu membuang segala kenangan yang ada. Cintanya pada Daizy masih utuh. Hanya kecewa dan sakit hati membuatkan dirinya bertindak diluar kawalan.

"Nanti saya buang," katanya terpaksa akur.

Akhirnya Zila senyum kepuasan. Dia harus memastikan segala kenangan tentang Daizy dihapuskan tak kira yang terlihat atau pun tidak.

SUDAH sejam Zila menunggu di tempat tidur namun suaminya belum juga keluar dari bilik mandi. Dia sudah lengkap bergaun tidur dengan niat untuk menggoda suaminya. Tidak sabar rasanya mahu menikmati malam pertama mereka. Dia harus memastikan Levent menyentuhnya malam ini sebelum lelaki itu mengetahui akan kehamilannya.

Dia sendiri tidak tahu siapa ayah kepada kandungannya. Semalam bekerja, wanita itu memang tidak menggunakan sebarang kaedah kontraseptif kerana pelanggannya sudah disyaratkan untuk menggunakan alat pencegah kehamilan. Jika sudah nikmat, mana mungkin dia menyedari jika pelanggannya tidak memenuhi syarat.

Diusia kandungan yang sudah 9 minggu, barulah Zila mengetahu diri sedang hamil. Itupun akibat alahan sewaktu bekerja.

Pintu bilik air yang terbuka menyedarkan Zila dari lamunannya. Gaun tidur yang dipakai segera dirapikan lalu duduk dengan gaya yang menggoda. Levent sedikit pun tak menoleh. Sebaliknya, lelaki itu mengeluarkan baju serta seluar dari dalam almari. Serentak itu, Zila turun dari katil dan terus memeluk suaminya dari belakang.

"Tak payahlah pakai baju," bisik Zila. Tangannya mulai bermain di perut berotot suaminya.

Levent pula bagaikan terkena renjatan elektrik saat sentuhan itu menjalar di perut. Sejujurnya, tiada langsung rangsangan yang terasa. Yang ada hanyalah rasa tak selesa.

Sekelip mata, baju yang baru hendak dipakai sudah dibuang jauh oleh Zila. Untung sahaja dia sempat memakai seluar.

"Jomlah," ajak Zila sambil menarik suaminya menuju ke katil. Levent turuti sahaja walaupun hatinya berbelah bagi. Belum sempat naik ke atas katil, Zila lebih menolaknya sehingga tubuh mereka jatuh bersama-sama. Dengan pantas, Zila menaiki tubuh suaminya kemudian mendekatkan wajah mereka.

"I love you," bisik Zila tepat di telinga suaminya.

Levent pejam mata. Cinta? Tidak. Tidak ada sedikit pun rasa cinta untuk wanita itu. Pernikahan mereka sememangnya atas dasar simpati serta untuk melampiaskan sakit hati.

"Saya dah jadi milik awak, sayang. Jangan sia-siakan malam kita," bisik Zila lagi dan terus mengucup bibir Levent.

     Sekelip mata, Levent mengubah posisi. Kini, dia berada di atas tubuh Zila. Bersedia untuk menggauli wanita yang sudah sah menjadi isterinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience