Burst

Romance Series 28423

SURAT perintah mahkamah di atas meja ditatap lama. Dia sudah lebih dulu ke pejabat agama dua minggu lepas untuk membuat aduan perceraian sehinggalah surat perintah dikeluarkan untuk suaminya agar menghadirkan diri di mahkamah minggu hadapan.

     Walaupun sudah senekad ini, masih tersisa satu rasa dalam hati yang masih cuba untuk membolak balikkan sekeling hatinya. Seperti, keputusan ini bukanlah jalan terakhir. Namun mengenang hubungan yang semakin retak menanti belah, maka perceraian adalah jalan terbaik.

     Di bilik sewa, Levent sudah bersiap untuk ke tempat kerja. Walaupun isterinya tidak pulang sejak semalam, dia sedikit pun tak ambil peduli. Bukan sekali ini isterinya keluar dan tidak pulang ke bilik sewa.

     Baru hendak menuju ke pintu, ianya ditolak kasar dari luar. Sesaat, kelihatan Zila sedang menapak masuk sambil berpegang pada daun pintu. Wajahnya berkerut dan pucat sekali.

    "Kau kenapa?" Tanya Levent seraya mendekati isterinya.

     "Ish! Tepilah!" Zila menolak suaminya kemudian berjalan terbongok-bongkok menuju ke tempat tidur.

    "Tutup pintu! Aku nak tidur!" Katanya dan terus meniarap di atas tempat tidur.

     Levent hanya memerhati seketika sebelum akhirnya beredar dari situ. Sedikit pun tak menyedari perut isterinya yang sudah kempis.

    Tengahari itu, Zila terbangun dari tidur akibat perut yang semakin sakit. Peluh dingin mulai membasahi wajahnya seiring rasa sakit yang terus menyerang.

     Akibat tidak mampu menahan sakit, Zila meraung sekuat hati. Tak peduli jika suaranya bakal didengar oleh penghuni bilik sewa yang lain. Terasa nyawanya bagaikan telur di hujung tanduk.

PETANG menjelang, Daizy mendatangi tempat kerja Levent. Memandangkan sebentar lagi tamat waktu bekerja, pasti lelaki itu juga akan keluar untuk pulang. Dia mahu menemui suaminya untuk memberikan surat perintah dari mahkamah agar menghadiri proses perceraian mereka.

Sementara itu, Daizy menunggu di hadapan pagar sehinggalah suaminya keluar dari kilang. Levent agak terkejut melihat kehadiran isterinya di situ. Ternyata, tidak sukar untuk wanita itu menemuinya.

"Kenapa datang sini?" Tanya Levent lebih dulu sebaik menghampiri isterinya.

"Kita pergi makan, jom," ajak Daizy tiba-tiba. Dibiarkan sahaja soalan suaminya sebentar tadi.

Levent terdiam sejenak. Agak hairan dengan ajakan tiba-tiba isterinya. Memandangkan dia tidak membawa bekal hari itu, maka diterimalah ajakan isterinya untuk makan bersama. Dengan menaiki kereta wanita itu, mereka menuju ke restoran yang terdekat.

Setelah memesan makanan, suasana kembali senyap. Levent tunduk merenung jari jemari di atas meja sambil sesekali melirik sampul surat di atas meja yang dibawa isterinya. Sejujurnya, terasa kekok sekali duduk berhadapan dengan wanita itu. Sementara Daizy pula, mata tak lari dari merenung wajah suaminya. Ingin sepuasnya menatap wajah itu sebelum mereka berpisah secara sah.

"Sebenarnya, saya jumpa awak sebab nak serahkan surat perintah dari mahkamah." Akhirnya Daizy bersuara seiring menolak sampul surat tersebut ke arah suaminya. Serentak itu Levent tegakkan duduk seraya mencapai sampul surat itu.

Sebaik dibuka, anak matanya mulai bergerak-gerak membaca satu persatu ayat yang tertulis. Untuk seketika, dunia seakan berhenti berputar. Dia tahu, masa ini akan tiba. Dan, inilah masanya. Daizy sudah nekad untuk memfailkan perceraian mereka.

"Insha Allah, saya akan datang," kata Levent dengan senyuman nipisnya. Surat perintah itu dimasukkan kembali ke dalam sampul lalu diletak di atas meja.

"Sorrylah sebab ambil masa yang agak lama untuk saya bertindak," kata Daizy diiringi tawa kecilnya. Disebabkan dirinya yang masih belum rela, maka perceraian itu terus ditunda sehingga hari ini.

"Jadi, apa yang buat awak nekad?" Soal Levent, tenang.

"We need to end this, now. Saya tak nak ada yang terluka. Lagi pun awak dengan Zila dah bahagia sekarang. So, saya yang kena undur diri. I mean, sedar diri," kata Daizy sambil merenung tepat ke anak mata suaminya.

"How about our baby?" Tanya Levent tiba-tiba sekaligus menyentak Daizy. Terkedip mata wanita itu dibuatnya.

"Awak jangan risau. Saya akan jaga dia baik-baik," kata Daizy, yakin.

"Tapi, dia kena tahu siapa papa dia."

Daizy senyap. Agak terkejut dengan kata-kata suaminya.

"Daizy. Dia kena tahu siapa papa dia," tekan Levent.

"Ya, I will. Don't worry." Daizy angguk perlahan. Dia tidak boleh pentingkan diri sehingga membiarkan anaknya tidak mengenal siapa bapa kandungnya.

"Jangan pisahkan saya dari dia. Bagi saya jumpa anak kita bila-bila masa saja, boleh?" Wajah Levent bertukar sayu. Berharap agar permintaannya dipenuhi.

Daizy telan liur yang semakin memekat di kerongkong. Melihat wajah simpati suaminya membuatkan hatinya mulai dilanda sebak.

"Anak kita?" Soal Daizy sebelum akhirnya angguk dengan senyuman.

"Ya, anak kita." Untuk pertama kalinya Levent mengakui bayi dalam kandungannya sebagai anak mereka. Selama ini, lelaki itu hanya membisu walaupun setelah mengetahui akan kehamilannya.

Sebaik makanan tiba di atas meja, mereka mulai mengisi perut dengan senyap. Tiada langsung perbualan setelah itu. Selesai makan, Daizy menghantar Levent pulang ke bilik sewa lelaki itu. Walaupun agak segan, Levent terpaksa akur pada pelawaan Daizy untuk menghantarnya pulang.

"Thanks," ucap Levent seraya membuka pintu kereta. Sewaktu ingin turun, lengannya disentuh oleh Daizy.

"Kalau awak nak, saya boleh carikan rumah," cadang Daizy. Tak sampai hati melihat pasangan itu tinggal di bilik sewa. Ditambah lagi Zila bakal melahirnya dalam masa dua bulan lagi.

"Tak apa, kami selesa dekat sini." Pelawaan Daizy ditolak seraya turun dari kereta.

"Jangan fikir pasal saya. Utamakan anak kita," pesan Levent lalu menutup pintu kereta. Tanpa menoleh, dia terus naik ke bilik sewa.

Daizy hanya mampu menahan sebak melihat keadaan suaminya. Rasa bersalah semakin menghimpit dada. Jika bukan kerana dirinya, tidak mungkin Dato Ahmed membuang anak sendiri.

Levent pula tetap dengan pendiriannya. Semua kehilangan yang dia hadapi tak lain adalah hukuman untuknya. Sekaligus sebagai pengajaran untuk lebih menghargai pasangannya.

Sebaik membuka pintu bilik, Levent tergamam seketika saat melihat darah membasahi lantai bilik sewa. Perlahan-lahan, matanya beralih ke arah Zila yang sedang terbaring tak sedarkan diri di atas tempat tidur. Bahagian bawah tubuhnya sedang berlumuran darah.

"Zila!" Levent meluru ke arah isterinya dan terus memangku kepala wanita itu. Sambil memanggil nama, pipi Zila tak henti ditepuk-tepuk. Namun sayangnya, tiada respon dari isterinya.

Disebabkan panik, Levent keluar meminta bantuan dari pemilik bilik sewa untuk menghantar Zila ke hospital dengan segera.

Sementara itu di dalam kereta, Daizy khusyuk memandu pulang ke rumah. Sekilas menoleh, matanya terpandang dompet yang jelas bukan miliknya. Laju sahaja tangannya mencapai dompet tersebut lalu dibuka. Untuk seketika, keluhannya terlepas. Rupanya, dompet milik suaminya tercicir tanpa lelaki itu sedari.

Daizy pun mengambil keputusan membuat pusingan U untuk memulangkan dompet suaminya.
Beberapa minit memandu, dia tiba di bilik sewa suaminya. Tanpa berfikir panjang, dia naik ke bangunan bilik sewa lelaki itu dan kebetulan, dia terserempak dengan salah seorang penghuni.

     "Maaf encik, saya nak tanya. Kenal tak dengan lelaki nama Levent? Isteri dia nama Zila," kata Daizy sambil menjengah ke arah deretan bilik sewa yang terdapat di situ.

     "Isteri dia mengandung?"

     "Ya, betul."

     "Diorang baru saja pergi hospital. Isteri dia pengsan dalam bilik dengan berlumuran darah," katanya kemudian memuncungkan bibir ke arah lantai yang jelas terlihat tompokan darah.

     "Hah?!"

     "Ya, cik. Baru aje diorang gerak," kata lelaki itu lagi.

     Daizy terkedu. Kakinya terasa lemah untuk berdiri.

     "Encik tahu diorang pergi hospital mana?"

     "Saya dengar-dengar, diorang nak pergi Hospital wanita dan kanak-kanak dekat bandar tu."

     "Terima kasih, encik." Tanpa berlengah, Daizy berlari turun dari bilik sewa itu. Tak terfikir langsung pada diri yang sedang berbadan dua.

     Tidak sampai berapa minit memandu, dia sudah tiba di parkir hospital. Setibanya di kaunter bahagian kecemasan, langkah Daizy menjadi perlahan sebaik melihat Levent bersandar pada dinding. Keadaanya benar-benar tak terurus ditambah lagi pakaiannya dikotori darah.

     Baru hendak mendekat, Daizy terhenti sewaktu melihat Levent terduduk di atas lantai sambil mencengkam rambut sendiri.

     Akhirnya, Levent menangis teresak-esak. Tangisan itu bukanlah kerana sedih mengenang isteri keduanya yang keguguran. Melainkan simpati pada dirinya sendiri yang harus bertanggungjawab atas perbuatan wanita itu. Anak yang dikandung sudah dilahirkan dan sekarang anak itu entah disorok di mana. Sama ada bernyawa atau tidak.

      Daizy setia memerhati suaminya dari jauh sehinggalah Levent dipanggil masuk untuk bertemu Zila.

     Hampir 3 jam duduk dan menunggu di situ, Daizy bangkit saat melihat Levent berjalan keluar. Wajah lelaki itu kelihatan sayu. Matanya pula bengkak seperti baru selesai menangis. Ada air jernih yang masih tersisa di pipinya.

     Tanpa menyedari kehadiran isterinya, Levent lewati sahaja wanita itu. Dengan langkah yang lemah, Levent keluar dari bangunan hospital lalu duduk di pondok yang terdapat di luar hospital. Daizy pula terus mengekori suaminya kemudian berdiri tidak jauh dari lelaki itu.

    Niatnya untuk memulangkan dompet terpaksa ditunda. Melihat keadaan suaminya, dia tahu ini bukan masa yang sesuai. Dengan perasaan yang bercampur baur, Daizy beredar dari situ.

     Keesokan paginya, Levent naik ke wad untuk melawat Zila setelah semalaman duduk di luar. Saat tiba, wanita itu sudah pun bangun dari tidurnya. Hanya jelingan yang dilemparkan saat melihat suaminya mendekati.

     "Mana budak tu?" Tanya Levent lebih dulu. Keadaan Zila langsung tak dipeduli.

    "Kau tak nampak aku tengah terbaring macam ni? Kau tanya pulak pasal budak tu," kata Zila dengan jelingannya.

     "Zila! Anak kau mana?!" Levent benar-benar tercabar oleh sikap isterinya.

     "Anak aku?! Budak tu anak kau jugak! Sebab kau laki aku!"

     "Budak tu bukan anak aku!" Bidas Levent.

     "Kau fikir, ada orang percaya kalau kau cakap itu bukan anak kau? Pergilah bagitahu satu dunia. Aku nak tengok macam mana diorang ketawakan kau!" Cabar Zila seraya bangun dari katil.

     "Kau nak pergi mana?"

    "Semaklah nak tengok muka kau dekat sini. Aku nak keluar!"

    "Kau jangan pergi mana-mana selagi kau tak cakap mana kau sorok budak tu!"

    "Bukan urusan kau!"

    "Budak tu manusia, Zila! Apa bebal sangat otak kau ni?! Kau biar dia dekat luar! Kalau dia mati macam mana?!"

     "Dah mati pun!"

     "Zila!"

     Serentak, mereka berdua menoleh ke arah pintu sebaik ianya terbuka. Tidak lama itu, kelihatan tiga orang anggota polis menapak masuk ke dalam bilik itu.
 
     "Boleh kami bercakap dengan Puan Zila?" Tanya salah seorang anggota polis itu.

     Zila sudah pucat lesi di sisi katil. Melihat kehadiran anggota polis itu tidak lain pasti berkaitan dengan anak yang ditinggalkan di bilik hotel.

     Disebabkan panik, Zila cuba untuk melarikan diri.   Dengan pantas, anggota polis tersebut menahannya.

     "Puan Zila, anda disyaki terlibat dalam kes pembuangan bayi hingga menyebabkan kematian." Serentak itu kedua-dua belah tangannya digari.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience