"CANTIK jam. Bila kamu beli?" Tegur Bonda Zainah saat melewati bilik anaknya. Dia segera memasuki bilik lelaki itu.
"Daizy bagi hadiah." Jam di pergelangan tangan kiri diperkemas lagi. Terbit senyuman saat teringat kembali sewaktu Daizy memberikan jam tersebut.
"Eh, bila?"
"Bulan lepas lagi. Tapi baru hari ni saya pakai. Terasa sayang nak pakai sebenarnya. Takut rosak," kata Alfie seraya tersengih.
"Amboi, sampai macam tu sekali," usik Bonda Zainah seraya mendekati anaknya.
"Alfie masih sayangkan Daizy?" Soalan Bonda Zainah membuatkan senyuman anaknya terus memudar.
"Mestilah, bonda. Dari dulu sampai sekarang. Kitorang dah macam adik beradik," ujar Alfie sebelum kembali menatap cermin di hadapannya.
"Bukan itu maksud bonda. Cinta. Alfie masih cintakan Daizy?" Soal Bonda Zainah lagi.
Wajah bondanya ditatap seketika melalui pantulan cermin sebelum akhirnya dia tersenyum nipis.
"20 tahun dia dalam rumah ni. Saya masih ingat lagi waktu pertama kali bonda bawa dia masuk dalam rumah. She is so small." Tangan Alfie sedang membayangkan ukuran badan Daizy saat dibawa masuk ke dalam rumah anak yatim itu. Waktu itu, Alfie baru berusia lima tahun. Dan dia mampu memgingat dengan jelas saat-saat Daizy tiba di rumah itu.
"Takkan kamu dah jatuh cinta dekat dia waktu tu. Mustahil. Kamu baru lima tahun kot." Bonda Zainah sengaja mahu mengorek cerita.
Akhirnya Alfie tertawa kecil. Sememangnya kedatangan Daizy waktu itu disambut sama seperti anak-anak yang lain. Perasaan Alfie mulai tumbuh sejak Daizy berumur 15 tahun. Disebabkan waktu itu Daizy masih bersekolah, Alfie terpaksa mengubur niatnya untuk berterus terang. Dia harus menunggu sehingga Daizy benar-benar dewasa.
Malangnya, saat ingin menyatakan cinta, Daizy sudah dilamar oleh Levent.
"Saya pun tak tahu sejak bila perasaan ni wujud. Yang saya sedar, saya takut kehilangan dia. Setiap kali dekat dengan dia, timbul satu perasaan yang sukar untuk saya ungkapkan. Sejak dari itu saya yakin yang saya cintakan dia lebih dari seorang adik," ungkap Alfie tenang dan tertib.
Bonda Zainah terdiam sejenak sambil memerhati wajah anaknya. Senyuman yang terbit di bibir leaki itu sangat manis dan ikhlas sekali. Secinta itukah Alfie pada Daizy? Kenapa dia tidak pernah menyedari hal tersebut? Sudah pasti dia lebih dulu melamar Daizy untuk anaknya.
"Astaghfirullah!" Ucap Bonda Zainah dalam hati seraya menyentuh dada sendiri. Dia tidak sepatutnya memikirkan hal itu. Bukankah itu tandanya dia sedang mempertikaikan takdir Allah?
"Bonda?" Tegur Alfie saat melihat bondanya termenung sendiri.
"Eh, Alfie bersiaplah dulu. Bonda nak tengok budak-budak dekat bawah," pamit Bonda Zainah.
"Malam ni balik sini atau balik rumah?" Soal Bonda Zainah. Mereka memilik sebuah rumah peribadi yang terletak di tengah bandar.
"Esok dah nak kerja. Rasanya saya balik rumah teruslah."
"Okeylah kalau macam tu. Singgah beli barang dapur dulu tau. Rasanya banyak dah habis, kan," pesan Bonda Zainah lagi sebelum beredar dari situ.
"COFFEE or tea?" Pelawa Daizy seraya meletak dua biji gelas di hadapan suaminya. Masing-masing berisi kopi serta teh.
"Coffee, please." Pinggang isterinya ditarik agar mendekatinya.
"Nak kopi tapi tarik saya buat apa?" Usik Daizy sambil mencuit hidung suaminya. Setelah menolak gelas berisi kopi ke arah suaminya, barulah Daizy duduk di sebelah lelaki itu.
"Dah beli baju?" Soal Levent setelah menghirup sedikit kopi panasnya.
"Baju? Untuk?" Soal Daizy, Hairan.
"Hujung bulan ni kita nak hadiri jemputan Dato Vincent dekat hotel. Ingat tak?"
Daizy segera menepuk dahi sendiri. Hampir terlupa dengan jemputan tersebut. Mereka berdua dijemput hadir untuk mengisi acara tahunan syarikat Dato Vincent memandangkan syarikat Dato Ahmed Alibek merupakan rakan dalam perniagaan.
"Tak payahlah beli baju. Banyak lagi baju dekat atas tu tak sempat pakai." Membazir rasanya jika harus membeli baju baru hanya untuk majlis tersebut.
"No, no. Petang ni kita pergi beli baju baru. Saya nak isteri saya paling cantik malam tu nanti." Levent tetap berkeras.
"Oh, saya tak cantiklah ni? Nak pakai baju baru dulu, barulah cantik. Macam tu?" Daizy sudah menghadiahkan jelingan tajam.
"No. Don't say that. You are the prettiest woman I've ever met," puji Levent melambung-lambung sekaligus berjaya mengusik hati isterinya.
"Eleh, yelah tu. Kalau macam tu, kita pergi sama-sama. Saya tak tahu baju apa nak dibeli." Daizy mencebik sebelum menghirup teh panas buatannya.
PETANG itu mereka berdua menuju ke pusat membeli belah untuk mencari pakaian buat Daizy. Namun sepanjang pencarian itu, Levent mendominasi semasa membuat pilihan. Dia ingin memastikan isterinya paling menyerlah sewaktu acara itu nanti memandangkan ini merupakan pertama kali dia membawa Daizy ke acara yang cukup gilang gemilang itu.
Akan tetapi, sudah hampir 10 butik pakaian yang mereka masuki, tiada satu pun yang menarik di mata Levent. Semuanya terlalu biasa bagi lelaki itu.
"Again, sayang?" Daizy sudah menayang wajah lelah. Dia benar-benar kepenatan.
"I'm so sorry, sayang. It's okay. Kalau awak penat, kita balik dululah. Lain kali kita cari lagi, okey?" Pujuk Levent. Kasihan melihat isterinya kelelahan.
Malam itu, mereka pulang dengan tangan kosong. Levent kelihatan hampa namun Daizy begitu bersyukur kerana akhirnya mereka keluar juga dari pusat membeli belah itu. Kakinya benar-benar tidak larat mahu meneruskan pencarian.
"Kejap, kita nak pegi mana?" Soal Daizy saat menyedari jalan yang mereka lalui bukan jalan pulang ke rumah.
"Balik rumah daddy. Dia ada call tadi. Dia suruh kita dinner dekat sana malam ni. And, terus bermalam dekat situ." Levent tayang senyuman manis.
"Awak, kenapa tak cakap awal-awal. Saya mana ada bawa baju tau. Awak tu lainlah, tu rumah awak," bebel Daizy.
"Sayang, saya dah sediakan semua keperluan awak dekat sana tau. Ini Levent Haidar lah," puji Levent sengaja mengangkat bakul sendiri.
"Yelah awak. Dulu bukan main marah lagi kalau saya ajak pergi rumah daddy. Ni, tiba-tiba pula nak ke sama," perli Daizy.
Sebelum ini, Daizy pernah membangkitkan perkara tersebut namun laju sahaja Levent menukar topik perbualan. Adakala dia melenting setiap kali perkara itu diajukan oleh Daizy. Semenjak dari itu, Diazy tahu suaminya tidak mahu dia memgungkit perkara itu lagi.
"Sorry, sayang. Awak pun tahu kan jarak dari rumah daddy nak ke office tu agak jauh juga. Sebaba tulah saya malas nak pergi sana," kata Levent memberi alasan.
"Hm, yelah awak. Mana-mana awak lah," balas Daizy acuh tak acuh.
"Sayang, can you stop call me 'awak'?" Soal Levent tiba-tiba. Laju sahaja kepala Daizy menoleh ke arah suaminya yang sedang memandu.
"Habis tu?" Soal Daizy berkerut dahi.
"Panggillah yang sweet sikit. Hubby, abang, cinta, baby and so on," kata Levent memberi cadangan.
"Baby? Besar panjang berbulu macam ni nak panggil baby?" Daisy sengaja menayang wajah geli.
"Sayang..." panggil Levent, kesal.
"Alah, saya pun panggil awak sayang, kan?" Daizy cuba menegakkan benang yang basah.
"Ya, tapi kadang-kadang. Selebihnya awak, awak." Bola mata Levent berputar ke atas seraya mengeluh pendek menunjukkan dia bosan mendengar panggilan 'awak' dari isterinya.
"Banyak songeh kan laki saya ni," usik Daizy seraya melirik suaminya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
"Sayang, don't look at me like that. I warn you. Or I will stop the car and..." tekan Levent memberi amaran.
Serta merta, tawa Daizy pecah di dalam kereta. Dia tahu, suaminya tidak mampu menahan godaan darinya. Dan begitu juga sebaliknya.
"Okay, fine! Dah pandu cepat. Saya nak tidur. Kejutkan saya kalau dah sampi. Bye!" Daizy segera sandar kepala pada kerusi kemudian memejam mata.
Tingkah Daizy hanya diperhati oleh Levent. Hampir sahaja jiwanya bergejolak. Memandangkan dia sedang memandu, terpaksalah dia menahan sendiri keinginannya.
SEJAM kemudian, mereka pun tiba di rumah Dato Ahmed Alibek. Lelaki tua itu tinggal di rumah besar itu ditemani dua pembantu rumah serta seorang tukang kebun.
"Sayang, wake up. Kita dah sampai." Pipi isterinya diusap lembut sebelum akhirnya Daizy menggeliat kecil. Nyenyak betul tidurnya sepanjang perjalanan tadi. Masakan tidak, jam di papan pemuka hadapan sudah menunjukkan pukul 9 malam. Sememangnya sudah tiba waktu tidur mereka.
Mereka berdua segera masuk ke dalam rumah sebaik Mak Iti, pembantu rumah membuka pintu untuk mereka.
"Daddy mana?" Soal Levent kepada Mak Iti. Wanita itu sudah berkhidmat hampir 20 tahun bersama keluarga Dato Ahmed.
"Dato dekat atas. Dia tak makan lagi tu. Dia tunggu tuan dengan puan," jelas Mak Iti.
Tanpa membuang masa, Levent dan Daizy segera masuk ke dalam rumah dan terus ke tingkat atas untuk memanggil Dato Ahmed. Beberapa minit kemudian, mereka pun menuju ke dapur kemudian mengambil tempat masing-masing.
Daizy begitu senyap di tempat duduknya sambil menikmati makan malamnya. Sesekali tersenyum mendengar perbualan dua beranak itu.
"Dah setahun lebih kawin, barulah Levent bawa Daizy datang sini," sindir Dato Ahmed. Bukan sekali dua dia menyuruh Levent membawa Daizy datang ke rumahnya. Hampir jatuh rahangnya setiap kali membangkitkan perkara tersebut.
"Setiap perkara yang berlaku, kita kena hadapi. Bila dah lepas, jangan dikenang pulak. Apa yang ada di hadapan sekarang ni, itulah yang akan menemani sampai akhir nanti," kata Dato Ahmed yang penuh dengan makna tersirat.
Daizy segera mengangkat wajah memandang ayah mentuanya. Dia tahu ada maksud yang tersembunyi dari kata-kata yang terlafaz dari mulut lelaki tua itu.
"Daddy," tegur Levent seraya melirik sekilas isterinya di sisi. Seolah bimbang wanita itu mengetahui apa yang cuba disampaikan oleh Dato Ahmed.
"I'm done," kata Dato Ahmed seraya menolak ke hadapan pinggannya yang sudah kosong.
"Daizy, enjoy your food, sweetheart. Kalau nak minta dessert atau apa-apa, panggil Mak Iti atau Mak Nang, ya."
Dengan senyuman manis, Dato Ahmed meninggalkan kedua-dua pasangan itu di meja makan.
"Sayang, habiskan makan tu," tegur Levent kemudian menyuap suapan terakhir ke dalam mulut.
Daizy hanya mengangguk kemudian sambung menjamah makanannya sehingga habis. Setelah itu, mereka pun naik ke tingkat atas bersama-sama.
SELESAI mandi, Daizy menapak keluar dari situ sambil mengelap rambut dengan tuala. Matanya mulai melilau sebaik menyedari ketiadaan suaminya di situ.
Malas mahu ambil peduli, Daizy segera duduk di hadapan meja solek. Serta merta, bibirnya mengukir senyuman lebar sebaik melihat deretan produk penjagaan badan serta wajah yang tersusun rapi di atas meja solek. Semuanya sama seperti barangan miliknya yang terdapat di rumah mereka.
Hati Daizy mulai berbunga-bunga. Levent tidak pernah gagal membuat dirinya terasa begitu disayangi dan dipeduli.
Setelah selesai dengan rutinnya, Daizy bangun dari duduk lalu menuju ke katil. Jam hampir menunjukkan pukul 11 malam dan suaminya belum juga masuk ke dalam bilik. Dia sudah benar-benar mengantuk memandangkan jam tidurnya sudah lewat.
Sementara menunggu suaminya, Daizy kembali memerhati ruangan bilik tidur yang tidak kalah jauh mewahnya dengan bilik tidur mereka. Dia tahu, bilik itu merupakan bilik tidur suaminya memandangkan barangan lelaki itu terletak di mana-mana.
Kini, Daizy bangkit dari duduknya kemudian mulai menarik laci yang ada di sudut bilik. Namun sayangnya, ia berkunci. Disebabkan tidak puas hati, Daizy mulia menarik satu persatu laci yang terdapat di dalam bilik itu. Hingga akhirnya, sebuah laci yang tidak berkunci berjaya dibuka dengan mudah.
Keningnya berkerut serta merta. Laci tersebut kosong. Yang ada hanya sekeping sampul berwarna coklat bersaiz A4. Jari telunjuk Daizy mulai menekan-neka permukaan sampul tersebut dan ternyata ianya berisi. Kemungkinan sekeping kertas.
Dia terus mengeluarkan sampul tersebut kemudian diterbalikkan. Tangan kirinya sudah ditadah lebih awal untuk menyambut isinya. Kini, Sekeping gambar agak lusuh berada di atas tapak tangannya. Walaupun gambar itu agak kabur, namun wajah yang ada di dalamnya masih jelas kelihatan.
Setelah diperhati, ternyata itu gambar suaminya yang sedang berpakaian seragam sekolah bersama seorang wanita berbaju kurung dan bertudung bawal. Melalui pengamatan Daizy, ia hanyalah gambar seorang murid bersama gurunya.
Sebaik gambar tersebut diterbalikkan, sebuah tulisan terdapat di belakang gambar itu. Selesai dibaca perlahan, mulut Daizy mulai terbuka. Terkejut dengan ayat yang tertulis di belakang gambar itu.
'Thank you for always being there in my difficult and happy moments. You know how to make me comfortable. And, thank you also for still faithfully waiting for me. I promise, as soon as I graduate, I will get a good job and then I will propose to you.
Love you, my dear Teacher Zahara.
Dahi Daizy semakin berkerut selepas membaca ayat tersebut untuk kali kedua. Dia benar-benar tidak menyangka suaminya pernah bercinta dengan guru sendiri. Tetapi, untuk apa dia cemburu? Itu semua hanyalah masa lalu. Kini, dia sudah menjadi isteri kepada lelaki itu.
Daizy segera menyimpan semula gambar tersebut di dalam laci kemudian menuju ke tempat tidur. Malas mahu memperpanjang apa yang baru sahaja dilihat.
WAJAH tenang anak lelakinya diperhati lama. Dia yakin, Levent sudah benar-benar melupakan wanita yang pernah singgah di hatinya suatu ketika dahulu.
"Don't worry, dad. Saya tak akan khianati isteri saya. Zahara is my past. Period," tekan Levent.
Dato Ahmed tertawa kecil. Dia bukanlah mahu pertikaikan kesetiaan anaknya. Dia cuma mahu memastikan wanita bernama Zahara tidak lagi membekas di dalam hati anaknya.
"Okey, lepas ni daddy nak siasat menantu daddy pulak. Are you treat her better or..." Dato Ahmed sengaja menggantung ayatnya. Pantas, Levent menoleh memandang Dato Ahmed.
"Or what? I'm not controlling her. Saya cuma nak pastikan dia tak ulang apa yang Zahara pernah buat pada saya dulu!" Levent tiba-tiba berang.
"Easy, Levent. I'm not saying that you are controlling her... but, dari gaya percakapan kamu sekarang ni, yes you are."
Levent mengeluh panjang. Dia tahu dirinya sudah terlepas cakap.
"Jangan disebabkan kisah silam kamu, Daizy pula yang terkena tempias, Levent."
Levent dan Daizy pernah kedapatan bertengkar oleh Dato Ahmed. Puncanya, kerana Daizy berbual bersama staf lelaki di dalam pejabat.
"No. I'm not," bidas Levent seraya berdiri.
"Saya masuk bilik dulu. Daizy mungkin dah tidur," pamit Levent kemudian beredar dari situ.
Setibanya di bilik, isterinya sudah pun tertidur pulas. Dengan cermat, Levent naik ke atas katil lalu baring di sisi isterinya. Belakang tubuh wanita itu dibelai lembut. Sesekali tangannya bermain di rambut isterinya.
Sepanjang setahun lebih pernikahan mereka, Levent sedar akan dirinya yang terlalu mengongkong serta menekan isterinya. Cemburu yang kadang tak bertempat serta tuduhan yang tak berasas membuatkan isterinya seringkali terluka.
Namun, semua yang dia lakukan tidak lain hanyalah untuk mempertahankan rumah tangga mereka. Dia tidak mahu Daizy meninggalkan dirinya sama seperti Zahara. Walaupun umur Zahara 11 tahun lebih tua darinya, Levent tidak pernah mempertikaikan masalah tersebut. Namun malangnya, Zahara memutuskan hubungan saat mereka sedang hangat bercinta.
Semenjak kejadian itu, Levent begitu berhati-hati dalam memilih wanita sehinggalah dia bertemu Daizy. Gadis yang ceria dan begitu patuh pada penjaganya. Levent yakin, Daizy gadis yang penurut dan mudah untuk mengikuti telunjuknya.
Apa yang pasti, Daizy harus sentiasa tunduk padanya. Dengan itu, isterinya tidak akan jatuh ke tangan lelaki lain.
Share this novel