PAGI itu, Daizy bangun lebih awal untuk membantu Bonda Zainah menyiapkan sarapan pagi. Agak riuh suasana dapur ditambah lagi kehadiran Ibu Ratih dan Ibu Salwa. Mereka berdua juga sedang menyiapkan sarapan untuk anak-anak yatim di situ. Edsel dan Edna pula lebih dulu pulang semalam.
"Dah nak balik ke lepas ni?" Tanya Bonda Zainah. Mereka mulai menyusun pinggan di atas meja makan.
"Ya, bonda. Lepas sarapan ni kitorang terus balik. Levent nak ke pejabat lepas hantar saya balik nanti."
"Yelah. Lepas ni mesti jarang kita jumpa. Izy makin sibuk, Bonda pun tak boleh tinggalkan rumah ni selalu." Dia tidak boleh terlalu mengharapkan Ibu Ratih dan Ibu Salwa. Kedua-dua wanita itu sudah mempunyai tugas sendiri.
"Wah! Sedapnya lauk," tegur Alfie yang baru tiba di situ. Matanya memerhati lauk yang terhidang di atas meja.
"Ini bukan menu sarapan. Ini dah menu makan tengah hari ni. Alamatnya, jadi ular sawalah dekat pejabat nanti," seloroh Alfie. Masakan tidak, seawal pagi lagi perut mereka bakal diisi dengan menu berat seperti udang masak sambal serta ayam goreng berempah. Belum lagi ditambah dengan sayur tumis serta sayur bersantan.
"Tak apalah. Bukan selalu," kata Bonda Zainah.
"Syukurlah budak-budak tu pun dah boleh rasa makanan macam ni, kan?" Daizy ikut mencelah.
"Kita dulu, nak makan ayam goreng pun susah," sambungnya lagi bila terimbas kembali kenangan lalu.
"Betul jugak tu. Nak makan ayam pun kena tunggu hari jumaat. Sebab waktu tu ramai yang sedekah makanan dekat sini, kan," sampuk Alfie. Akhirnya bergemalah tawa mereka berdua. Walaupun kenangan itu terasa pahit, namun kebersamaan mereka membuatkan ianya kenangan yang tak mungkin terlupakan.
Tanpa mereka sedari, ada yang Levent sedari tadi memerhati di pintu dapur. Matanya tak lekang dari menatap wajah Daizy yang begitu lebar senyuman dan tawanya. Tidak dinafikan, wanita itu benar-benar bahagia saat berada di samping keluarga yang menjaganya.
"Eh, Levent jomlah makan. Semuanya dah siap," jemput Bonda Zainah saat melihat Levent di situ. Lelaki itu segera mendekati mereka semua. Setelah itu barulah mereka mengambil tempat masing-masing dan mula menjamah sarapan pagi mereka.
Selesai mengisi perut, Levent dan Alfie menawarkan diri untuk mencuci pinggan bekas makanan mereka. Daizy dan Bonda Zainah pula segera keluar dari situ. Mereka mahu meluangkan masa yang ada sebelum Daizy beredar dari situ. Belum tentu mereka boleh bertemu lagi dalam waktu yang terdekat.
Tidak sampai beberapa minit, Levent dan Alfie sudah selesai mencuci pinggan. Saat Levent sedang membasuh tangan, matanya tertangkap jam yang sedang dipakai oleh Alfie. Hatinya berbelah bagi mahu bertanya namun perasaan ingin tahu semakin membuak-buak.
"Cantik jam. Beli dekat mana?" Soal Levent basa basi. Jam seperti itu tidak setanding dengan jam yang sedang dipakai olehnya.
"Daizy bagi. Hadiah katanya" jelas Alfie tanpa sedar akan kejujurannya bakal memulai badai yang baru sahaja tenang.
Tidak lama itu, Bonda Zainah dan Daizy muncul di situ.
"Dah siap cuci?" Tanya Bonda Zainah seraya mendekati mereka berdua.
"Dah, baru aje," sahut Alfie seraya perbetulkan jam di pergelangan tangannya.
"Sayang, kenapalah beli jam murah tu untuk Alfie? Kenapa tak beli jam mahal sikit? Hm?" Levent mendekati isterinya kemudian merangkul pinggang wanita itu.
Daizy tersentak seketika. Baru tersedar akan jam tersebut yang pernah menjadi punca pertengkaran mereka.
"Er..." lidahnya kelu. Tidak mampu melemparkan kata-kata.
"Eh, tak apalah. Daizy bagi hadiah ni pun aku dah cukup bersyukur. Kebetulan pulak jam aku memang dah rosak," jelas Alfie.
Daizy semakin terkedu saat merasakan tangan suaminya memicit kuat pinggangnya. Dia tahu suaminya sedang menahan marah. Baru sahaja hubungan mereka membaik semalam, dan kini perang baru bakal tercetus.
"Kami gerak dululah. Dah lewat ni." Levent lebih dulu meminta diri. Amarah yang menggunung bakal meletus bila-bila masa sahaja. Dan dia tidak mahu memalukan isteri di situ. Setelah bersalaman, barulah Levent dan Daizy beredar dari situ.
Suasana di dalam kereta terasa begitu tegang sekali walaupun Levent tidak mengungkit apa-apa. Namun Daizy faham benar riak wajah suaminya. Lelaki itu sedang menahan marah. Kelihatan jelas rahangnya bergoyang-goyang setiap kali mengetap gigi.
"Saya... minta maaf." Daizy lebih dulu meminta maaf. Lebih baik mengakui kesalahan sebelum suaminya semakin berang.
Tiba-tiba Levent memutar stereng kereta kemudian berhenti mengejut di bahu jalan.
"Aduh!" Daizy mengaduh perlahan saat tubuhnya tali pinggang keledar mulai mengetat. Mujur sahaja dia memakai tali pinggang keledar tersebut. Jika tidak, pasti tubuhnya bakal terhumban ke hadapan.
"Awak ni memang tak habis-habis nak menipu, kan?" Pandangan matanya begitu tajam sekali. Bagaikan sedang menyalakan api kemarahan. Daizy sudah meneguk liur sendiri melihat wajah bengis suaminya.
"Bu... bukan macam tu..." Daizy mulai gagap. Lidahnya semakin beku untuk mengatur bicara.
"Dahlah, Daizy." Levent bersandar pada kerusi lalu memicit dahinya. Terasa berdenyut-denyut kepalanya menahan marah semenjak keluar dari rumah anak yatim itu.
"Saya takut... awak marah," tutur Daizy lalu tertunduk. Pandangannya mulai kabur dek air mata yang bergenang.
"Disebabkan dah lama, awak fikir saya tak akan marah? Ini berkait soal kejujuran, Daizy! Lama atau tidak, awak sepatutnya jujur bila dah sedar kesalahan awak!" Penumbuk Levent mengena tepat di stereng kereta. Terhenjut bahu isterinya saat mendengar bunyi tumbukan itu.
"Awak kata dah buang jam tu, tapi rupanya awak bagi dekat Alfie. Itu pun tak minta izin dulu dari saya. Saya tak tahulah awak anggap saya ni apa." Levent menggeleng kesal dengan mata yang berair.
Baru sahaja dia ingin memperbaiki hubungan mereka, hal seperti ini pula yang terbongkar. Semalam mereka sudah beradu keringat setelah sekian lama memenangkan ego sendiri. Dan kini, mereka harus kembali lagi ke dalam perang dingin itu.
"Awak pun kena faham situasi saya masa tu. Saya kecewa bila awak tak terima hadiah dari saya. Dan, saya sayang nak buang jam tu. Sebab tu saya bagi Alfie," jelas Daizy tanpa mengangkat wajah.
"Cukup! Cukup! Diam!" Bentak Levent. Penumbuk sudah digenggam erat. Sedikit lagi isterinya berbicara, pasti penumbuk bakal singgah di wajah isterinya. Namun Levent masih mampu menahannya.
"Saya minta maaf," ucap Daizy tersedu-sedu. Dia tidak mahu pertengkaran itu berlarutan. Kerana itulah dia rela meminta maaf lebih dulu.
Levent tak mengendahkan isterinya. Dia kembali memandu sehingga tiba di rumah mereka. Di luar pagar kelihatan Edsel dan Edna sudah menunggu di situ. Levent pun bergegas turun lalu membuka pintu tempat isterinya duduk.
"Turun!" Lengan Daizy ditarik hingga wanita itu keluar dari badan kereta.
"Jangan benarkan dia keluar! Even for an inch! Dan jangan benarkan sesiapa pun datang melawat termasuk daddy! Faham?!" Mata helang Levent merenung tajam ke arah Edsel dan Edna.
"Bawa dia masuk!" Arah Levent.
Tanpa membantah, Edsel dan Edna segera berdiri di kiri dan kanan Daizy kemudian memegang erat lengan wanita itu.
"Sayang! Jangan buat saya macam ni! Please!" Daizy cuba mendekati suaminya namun Edsel dan Edna menahannya.
"Duduk diam-diam dalam rumah ni! Fikir balik apa yang awak dah buat! And figure out how to win back my trust!" Jari telunjuk Levent begitu tajam menuding wajah isterinya.
"Masuk! Lock her in the room!"
Serentak itu, Edsel dan Edna mengheret Daizy masuk ke dalam rumah dan terus ke dalam bilik tidur. Setelah wanita itu dibawa ke katil, mereka berdua pun keluar dari situ kemudian mengunci pintu dari luar.
Daizy hanya membiarkan diri dibawa paksa. Tak kuasa mahu melawan kerana pasti dia tidak akan mampu menghalang Edsel dan Edna. Kedua-dua mereka begitu patuh pada arahan Levent.
Akhirnya, tubuh direbah di tengah-tengah katil kemudian menangis teresak-esak di situ. Terkenang kembali betapa indahnya hubungan mereka semalam dan kini, ianya berubah sekelip mata.
BUNYI pintu yang dibuka menyedarkan Daizy dari tidurnya. Sebaik menoleh ke arah pintu, kelihatan Edna masuk sambil menatang dulang. Daizy akhirnya bangun saat dulang diletak di atas meja yang terdapat di sisi katil.
Sepinggan nasi beserta lauk dan sayur serta segelas jus oren dibawa oleh Edna untuk makan tengahari.
"Makan, puan," pelawa Edna seraya tunduk seketika lalu keluar dari situ. Beberapa saat kemudian, Daizy bangun dan cuba untuk membuka pintu namun malangnya ia dikunci semula dari luar.
Akhirnya dia tersandar pada belakang pintu sambil memejam mata seketika. Begitu kecewa dengan perbuatan suaminya. Sedangkan di kongkong dalam rumah pun sudah terlalu azab baginya, inikan pula dikurung dalam bilik. Dirinya tak ubah seperti binatang peliharaan.
SUASANA rumah terasa sunyi, lebih sunyi dari sebelum ini. Masakan tidak, kelibat Daizy tidak lagi kelihatan menjemputnya di pintu rumah seperti kebiasaan kerana sudah dikurung di dalam bilik. Walaupun hubungan mereka agak dingin Daizy tidak pernah mengabaikan tugasnya sebagai isteri.
"Daizy buat apa?" Tanya Levent pada kedua-dua pengawal isterinya.
"Tengah tidur, tuan."
"Dah bagi makan?"
"Sudah tapi dia tak sentuh pun makanan yang saya bawa," jelas Edna, takut-takut.
Levent mengangguk perlahan sebelum beredar dari situ. Setibanya di bilik, isterinya sedang tidur tanpa berbantal dan hanya berpeluk tubuh. Dia tahu, isterinya menangis hingga tertidur. Terlihat jelas wajah sembab isterinya disertai mata yang sedikit bengkak.
Levent segera menanggalkan pakaian kemudian mengenakan tuala. Setelah itu dia berlalu masuk ke dalam bilik mandi untuk membersihkan diri. Selesai mandi barulah dia keluar dari situ. Saat membuka pintu, kelihatan isterinya sedang memungut pakaian kotornya lalu dimasukkan ke dalam bakul yang menempatkan kain kotor.
Tanpa pedulikan isterinya, Levent bergerak menuju ke almari untuk mengambil baju. Daizy pula duduk di hujung katil sambil memerhati suaminya. Dia tidak berani bersuara selagi suaminya tidak memulai perbualan.
"Kenapa tak makan?" Soal Levent. Nasi yang dibawa oleh Edna masih tidak terusik.
Daizy tunduk merenung jari jemari di atas paha. Rasa lapar sudah tidak mampu menandingi kesedihannya. Dia tidak peduli pada perut yang berbunyi. Dia hanya mahu hubungan dengan suaminya segera diperbaiki.
Melihat isterinya yang tidak bersuara, Levent sedikit pun tak peduli. Dia lebih dulu keluar dari bilik meninggalkan wanita itu. Saat Daizy ingin keluar, pintu sudah kembali dikunci dari luar. Maka semakin lebatlah air matanya.
"Bukalah..." rayu Daizy. Tangannya tak henti mengetuk pintu dari dalam.
Tidak lama itu, pintu terbuka. Daizy segera berundur ke belakang. Rupanya, yang muncul di situ adalah Edna dan Edsel. Edna lebih dulu menapak masuk bersama hidangan makan malam yang dibawa untuk Daizy. Setelah meletak makanan tersebut di atas meja, makanan tengahari yang tidak terusik itu dibawa keluar.
Daizy yang masih terpempan hanya mampu memerhati sehingga pintu ditutup semula. Untuk seketika, kakinya terasa begitu lemah untuk berdiri. Tidak sangka Levent tergamak menyisihkan dirinya hanya kerana pertengakaran mereka.
Akhirnya Daizy terduduk di atas lantai sambil bersandar pada sisi katil. Kedua-dua belah lutut dipeluk rapat ke dada sambil mengenang diri yang disisihkan suami sendiri.
LAUK pauk di atas meja ditenung kosong. Sudah setengah jam di situ namun sedikit pun makanan itu tidak diusik. Seleranya mati kerana teringat akan isterinya yang sengaja dikurung di dalam bilik.
Cukup sejam termenung, akhirnya Levent meninggalkan meja tanpa menjamah apa-apa. Hanya air putih yang diteguk sehingga habis. Setibanya di bilik, matanya jatuh pada isterinya yang sedang duduk berlutut di sisi katil. Makanan di atas meja juga tidak disentuh sama sekali.
Levent masih dengan egonya. Sedikit pun tak peduli pada wanita itu. Dia segera memgambil tempat di meja kerja. Ada tugas yang lebih penting ingin diselesaikan.
"Sampai bila nak buat saya macam ni?" Akhirnya Daizy bersuara.
Levent tak endahkan soalan isterinya. Jari jemari tetap rancak menekan papan kekunci komputer ribanya.
Daizy bangkit dari duduk dan terus mendekati suaminya. Levent sedikit pun tak menoleh walaupun isterinya sudah berdiri di sisi meja. Batang lehernya keras mahu bergerak memandang wanita itu.
Tiba-tiba, Daizy menutup komputer riba suaminya. Perbuatannya membuatkan Levent mulai panas hati. Lelaki itu segera berdiri sambil merenung isterinya dengan tajam.
"Sampai bila awak nak buat saya macam ni? Kurung saya, sisihkan saya. Tak peduli langsung pasal saya." Daizy mulai meluahkn rasa hatinya.
Levent mengepal penumbuk sambil mengetap bibir. Dia cuba menahan emosi yang semakin meluap-luap. Saat ingin membuka komputer riba, tangan Daizy pantas menahannya.
"Saya tanya! Sampai bila nak buat saya macam ni?!" Bentak Daizy.
"Sampai awak berhenti menipu! Berhenti bodohkan saya!" Bentak Levent kembali.
"Awak patut bersyukur, Daizy! Saya tak sakitkan badan awak! Saya tak jentik kulit awak walau sedikit pun! Tangan saya ni, tak pernah sampai di wajah awak! Tapi!..." Levent menjeda seketika untuk menarik nafas.
"Tapi awak tak pernah bersyukur! Saya lebih rela asingkn diri, jauhkan diri daripada sakitkan awak!"
"Awak asingkan diri?" Soal Daizy seraya tertawa.
"Awak kurung saya macam binatang, Levent. Tiba waktu makan, awak arahkan pula orang suruhan awak tu hantar makanan dalam bilik ni," tempelak Daizy.
"Bilik ni..." mata Daizy memerhati ruangan bilik seketika.
"Tak ubah macam kandang binatang untuk saya."
Levent palingkan wajah seraya melangkah. Semakin lama semakin tercabar dengan isterinya.
"Kalau macam ni lah keadaan kita... lebih baik kita berpisah. Bawa haluan masing-masing," luah Daizy nekad. Semakin nekad dari sebelumnya.
Levent palingkan tubuh dengan wajah yang semakin menyinga. Saat ingin berbicara, Daizy lebih dulu memintas.
"Semua harta yang awak bagi, saya akan serahkan semula. Satu sen pun saya tak akan ambil." Mata suaminya ditentang tanpa sedikit pun rasa takut. Dia sudah tidak peduli jika Levent bakal menjatuhkan talak ke atas dirinya.
"Diam," arah Levent memejam mata seketika. Cuba menahan amarah yang semakin meluap-luap.
"Rumah, kereta? It's all yours," sambung Daizy tanpa pedulikan arahan suaminya.
"I said shut up, Daizy." Dengusan nafas Levent semakin kencang.
"Saya sendiri yang akan jumpa daddy dan terus terang pada dia yang kita..."
"Enough." Levent mulai maju.
"We are over," sambung Daizy tanpa ragu.
"I said enough!" Penumbuk mulai dihayun.
Daizy yang sedang berdiri di sisi meja sudah terkaku dengan mata yang membulat melihat penumbuk suaminya. Serta merta, mata dipejam rapat. Pasrah jika penumbuk itu mengenai wajahnya.
Share this novel