LEVENT mengatur langkah keluar dari sebuah bangunan sebaik selesai menemui klien bersama ayahnya. Di usia 28 tahun yang dianggap cukup muda, Levent sudah mampu membantu Dato Ahmed Alibek mengurus syarikat milik lelaki itu.
Dato Ahmed telah membuka syarikat pemprosesan bahan kimia bersepadu yang dibawa khas dari Turki sejak 30 tahun lalu lagi. Setahun kemudian, dia bertemu dengan seorang wanita melayu bernama Laila. Mereka mulai jatuh cinta dan akhirnya mendirikan rumah tangga. Namun sayangnya, jodoh mereka dipisahkan oleh maut. Laila meninggal sewaktu melahirkan Levent. Sejak dari itu, Dato Ahmed membesarkan Levent sendirian hinggalah ke hari ini.
"Levent balik office dulu. Daddy nak jumpa kawan kejap," kata Dato Ahmed seraya menepuk bahu anaknya.
"Amboi daddy, kawan atau kawan?" Usik Levent. Sudah lama ayahnya menduda. Tiada seorang wanita pun yang mampu mengganti posisi arwah ibunya di hati lelaki itu.
"Dah tua macam ni tak ada masa nak fikir pasal perempuan. Apa yang daddy buat selama ni semuanya untuk kesenangan Levent. Untuk menantu dan cucu daddy nanti," jelas Dato Ahmed.
"Alah, mana ada tua. 70 tahun tu masih muda tau. Tengoklah daddy sekarang ni. Masih segak, masih boleh bekerja," puji Levent.
Tidak dinafikan, lelaki berasal dari Turki itu masih mampu bekerja walaupun sudah berusia 70 tahun.
"Daddy nak tak? Saya cari mama muda?" Usik Levent seraya menggoyang keningnya.
"Muda? Not my cup of tea," balas Dato Ahmed. Dengan umur yang sudah meningkat, wanita muda bukan lagi seleranya.
"No one can replace your mother. She is the apple of my eyes," ungkap Dato Ahmed dengan senyuman nipis. Sempat menepuk beberapa kali belakang anaknya sebelum beredar dari situ.
Levent hanya memerhati ayahnya beredar sebelum turut meninggalkan halaman restoran tersebut. Belum pun beberapa langkah, dia tegur oleh seseorang.
Hampir dua bulan tidak bertemu, Alfie muncul kembali di hadapan Levent. Senyumannya begitu manis seperti tiada apa yang pernah berlaku di antara mereka.
"Busy?" Soal Alfie, santai.
"Nope, baru nak pergi lunch," balas Levent.
"Oh, kebetulan saya pun nak lunch juga. May I join you?" Soal Alfie dengan kening yang terjongket sebelah.
"Sure."
Maka, mereka pun bersama-sama menuju ke restoran yang terdekat.
"Daizy apa khabar? Sihat?" Soal Alfie memulai perbualan saat makanan mereka tiba di atas meja. Mereka memilih meja makan yang terdapat di luar restoran.
"Sihat," balas Levent. Sudu mulai mengaut nasi kemudian di suap ke dalam mulut.
"Aku minta maaf pasal hari tu. Aku tak sepatutnya cakap macam tu. Depan suami orang," ungkap Alfie dengan senyuman nipisnya.
Levent berhenti dari menyuap makanan. Matanya merenung wajah Alfie seketika.
"Kau kena faham, Levent. Daizy tak ada sesiapa melainkan kami. Dan awak sebagai suami dia. Kalau satu hari nanti kau dah bosan dengan Daizy, rumah anak yatim tu sentiasa terbuka untuk dia," tutur Alfie tenang.
"Rasanya, perkara tu tak akan terjadi. Wanita yang ada di sisi aku sekarang ni cuma Daizy. Jadi aku akan jaga dia sebaik mungkin. I love her. And she love me."
Alfie mengeluh pendek. Apa akan terjadi jika Levent tahu tujuan utama Daizy menerima Levent sebagai suami? Adakah cinta lelaki itu kekal utuh?
"Kau tak rasa Daizy cuba pergunakan kau?" Soal Alfie cuba memancing.
"Pergunakan aku?"
"Ya, dia anak yatim. She has nothing. I mean, perempuan macam tu akan cari lelaki kaya supaya tak hidup susah."
Levent tiba-tiba tertawa.
"It's not a big deal. The moment she step into my life, segala-gala yang aku punya, akan jadi milik Daizy. Bahkan seminggu selepas nikah, 70 peratus harta aku pindahkan ke atas nama Daizy. Rumah, kereta, villa semua dah jadi milik dia. Belum termasuk saham dalam syarikat yang aku tukar ke atas nama dia," jelas Levent tanpa sedikit pun ragu.
"Kau nak tahu apa lagi? Nafkah zahir?" Soal Levent seraya tergelak kecil.
"Dia tak akan pernah kebulur. Keperluan diri dari luar sampai dalam semua aku dah sediakan. Oh by the way, she is holding my black card," jelas Levent lagi begitu bangga.
Alfie mengangguk perlahan. Sejujurnya dia sedikit lega mendengar penjelasan daripada Levent. Walaupun dirinya masih mencintai Daizy, bukan bererti dia mahu merebut wanita itu dari suaminya. Biarlah perasaannya terkubur seiring dengan waktu yang berlalu.
Selesai mengisi perut, mereka pun beredar dari situ. Ada berbaki beberapa minit lagi sebelum masuk waktu pejabat.
WAJAH sang suami yang sedang tekun di meja kerja direnung lama. Sudah setengah jam Daizy memerhati suaminya dari atas katil. Duduknya begitu santai sambil bersandar di kepala katil.
"Awak, lama lagi?" Soal Daizy kesal. Selesai makan malam sebentar tadi, suaminya terus menuju ke meja kerja. Sementara itu dia sempat melayan sebuah filem dari laptop kedua suaminya. Tetapi lama kelamaan, dia mulai bosan.
"Kejap sayang. Sikit je lagi," jawab Levent tanpa memandang isterinya.
"Tak cukup dari pagi sampai ke petang dekat pejabat. Balik rumah bukannya nak tenung bini. Laptop tu jugak yang ditenung," bebel Daizy dengan muncung yang sudah ke depan.
"Sayang, please." Levent melirik sekilas isterinya yang sedang bermasam muka.
"Bosanlah. Saya ni dahlah duduk rumah sorang-sorang. Tunggu awak balik aje barulah saya ada teman. Tapi tengoklah," bebel Daizy lagi seraya berpeluk tubuh.
"Kenapa tak keluar pergi shopping, hm?" Soal Levent sambil menjongket kening.
"Nak shopping apa? Semua barang dalam rumah ni lengkap. Kita baru aje top up barang rumah minggu lepas," balas Daizy.
"Tak payahlah tunggu barang habis baru nak beli. Sayang keluar ajelah pergi shopping. Ataupun pergi spa, pergi makan-makan," kata Levent memberi cadangan.
"Ish! Saya nak buat semua tu dengan awak!" Daizy menghentak kaki serupa anak kecil sekali gus mengundang tawa suaminya.
"Ya Allah, dia ni kan. Dah macam budak," usik Levent seraya menggeleng kepala.
"Baik saya kerja. Tak adalah bosan dekat rumah," sambung Daizy seraya menjeling suaminya.
"No. Saya tak benarkan. Awak duduk aje di rumah, goyang kaki," tegas Levent.
"Sayang, please." Daizy mulai memujuk.
"No, Daizy. Awak nak kerja apa? Nanti orang cakap saya ni tak mampu nak sara bini sampaikan awak kena kerja." Levent menggeleng tanda tidak setuju.
"Saya kerja dekat pejabat daddy lah. Cleaner pun tak apa. Boleh jumpa awak hari-hari." Daizy mulai tayang senyuman manis sambil mengedip mata beberapa kali.
"Sayang, awak nak malukan saya? Apa kata staf kalau awak kerja dekat situ? Ish! Tak boleh!" Bantah Levent seraya menyambung kerjanya.
"Awak, please!" Daizay bangun dari katil lalu mendekati suaminya.
Leher lelaki itu dipeluk dari belakang kemudian mendekatkan kepala mereka.
"Please, sayang. Saya cuma tak nak duduk rumah sorang-sorang." Pelukan semakin dieratkan.
"Are you sure? Once awak dah jadi pekerja, awak kena buat kerja betul-betul." Levent palingkan wajah memandang isterinya.
"Of course lah! Saya bukannya tak pernah kerja." Daizy tayang wajah angkuh.
"Nak jadi cleaner, betul?" Duga Levent sengaja mengusik. Serta merta Daizy mencebik.
"Kenapa buat muka macam tu? Kata nak jadi cleaner," usik Levent seraya menggesel batang hidung mereka.
"Macam ni. Esok sayang ikut pergi office. Tengok keadaan office tu macam mana. Lepas tu baru decide nak kerja atau tak," cadang Levent.
Laju sahaja Daizy mengangguk setuju. Tidak sabar rasanya mahu merasai suasana tempat kerja suaminya.
KEESOKAN paginya, mereka sudah bersiap untuk ke pejabat. Selesai sarapan mereka pun berangkat bersama-sama. Sepanjang perjalanan, Daizy tak habis menceritakan betapa teruja dirinya mengikuti sang suami ke tempat kerja.
Sebaik menapak masuk ke dalam lobi, Daizy terpegun seketika. Ini merupakan kali pertama dia menginjakkan kaki ke dalam bangunan itu.
Mereka mulai disapa oleh staf setiap kali bertembung dengan mereka. Tanpa membuang masa, Levent membawa isterinya masuk ke dalam ruangan kerjanya.
"So, bila saya boleh kerja?" Soal Daizy tak sabar.
"Amboi, belum apa-apa lagi dah tanya. Saya tak bagitahu lagi position awak dalam pejabat ni."
"Cleaner, kan? Saya okey aje," balas Daizy yakin seraya duduk di atas kerusi kerja suaminya.
"Takkanlah saya tergamak nak bagi awak kerja cleaner. Haih." Levent geleng kepala seraya sandarkan punggung pada meja kerjanya.
"Since awak lulusan diploma in accounting, saya nak awak bantu Wati. Boleh?"
"Boleh!" Daizy tegakkan duduk seraya mengangguk laju.
"Okey, lepas ni saya bawa awak jumpa dia. Kalau awak dah yakin sangat nak kerja, minggu depan awak dah boleh mula bekerja," tutur Levent panjang lebar.
Serentak itu Daizy majukan kerusi hingga merapati tubuh suaminya. Dalam keadaan duduk, dia memeluk lelaki itu.
"Thank you, sayang!" Ucap Daizy begitu teruja. Selepas ini dia tidak lagi perlu menghadapi kesunyian di rumah.
SEMINGGU kemudian, Daizy sudah mulai bekerja. Memandangkan sebelum ini dia yang mengurus kewangan rumah anak yatim My Hope, maka tidak terlalu kekok baginya untuk memulai pekerjaan di pejabat bapa mertuanya sebagai pembantu akaun.
Hampir sebulan juga Daizy mengambil masa untuk mengikuti rentak kerja di pejabat itu. Dan berkat tunjuk ajar dari Wati, dia mampu menyelesaikan kerjanya. Adakala dia dibantu oleh Azwan, Kerani Ekskutif di pejabat itu.
Tengah hari itu, mereka berdua sedang khusyuk meneliti kertas kerja di atas meja milik Daizy. Ada invois yang harus diperiksa sekali lagi sebelum data dimasukkan ke dalam fail komputer.
Tidak lama itu Levent keluar dari ruangannya. Langkahnya terhenti sebaik melihat isterinya bersama seorang staf lelaki sedang tekun di meja kerja.
Tanpa sedar, Levent mengepal penumbuk. Jarak Daizy yang begitu dekat dengan Azwan telah menimbulkan api cemburu dalam hati Levent. Semakin panas hatinya saat melihat mereka berdua tertawa bersama. Tampak begitu mesra dari pandangan matanya.
Share this novel