Weak

Romance Series 28423

DAIZY tersedar dari lamunan sewaktu Alfie menyertainya di pondok luar. Sedari tadi lelaki itu memerhati dirinya termenung sebaik Dato Ahmed beredar sebentar tadi.

"So, macam mana?" Tanya Alfie seraya mengambil tempat di sebelah Daizy.

     "Daddy ajak aku tinggal dengan dia," maklum Daizy.

     "Kau nak?"

     Daizy senyap sebelum mengeluh panjang.

     "Nak tak nak, aku kena ikut dia juga. Takkan aku nak tinggal sini? Dah tentu bonda dapat agak yang aku tengah ada masalah," jelasnya, resah.

     "Biarlah kalau bonda tahu. Sampai bila kau nak simpan benda ni?"

     Daizy menoleh memandang Alfie. Lelaki itu pun sebenarnya belum mengetahui tentang pernikahan Levent yang kedua. Entah apa yang bakal terjadi jika perkara itu sampai ke pengetahuan Alfie. Tidak semena, dia teringat kembali kata-kata lelaki itu tempoh hari.

     "Daizy, dengar tak ni?"

     "Ya, aku dengar." Daizy angguk lemah.

     "Kalau kau takut, biar aku yang cerita."

     "Jangan!" Daizy geleng laju. Tidak mahu sampai bonda tahu. Pasti wanita tua itu susah hati.

     "Biar aku yang terus terang nanti. Cuma sekarang ni aku ada benda nak kena buat. Bila semuanya settle, aku sendiri yang akan jumpa bonda," katanya. Berharap agar Alfie mengerti permintaannya.

     Setelah seminggu di situ, Dato Ahmed datang menjemput Daizy. Sebelum pulang ke rumah, Dato Ahmed membawa Daizy ke suatu tempat. Tepatnya sebuah kampung yang tidak jauh dari kesibukan kota.

     "Daddy nak jumpa siapa?" Tanya Daizy sewaktu kereta berhenti tidak jauh dari sebuah rumah kayu.

    Tidak lama itu, cermin di sebelah Daizy di turunkan.

     "Itu rumah Zahara," kata Dato Ahmed.

     Untuk seketika, Daizy terdiam. Matanya tak lari merenung rumah kayu yang agak daif itu. Tiba-tiba, keluar seorang wanita sambil menggendong anak kecil sekitar usia 3 tahun manakala di belakangnya berdiri dua orang budak lelaki sekitar usia 6 dan 7 tahun. Di hadapannya pula kelihatan seorang budak perempuan berusia 13 tahun yang baru ingin menuruni tangga.

     "Cepat sikit, Mina. Bapa kau dah tunggu dekat kebun tu," kata wanita itu.

Dari kejauhan, Daizy memerhati raut wajah wanita bernama Zahara itu. Sudah sedikit dimamah usia walaupun umurnya baru 38 tahun. Kemungkinan disebabkan pemakaian serta diri yang sememangnya tidak terurus.

"Anak yang paling bongsu tu umur dia 3 tahun. Yang paling tua dah tingkatan 3 sekarang," beritahu Dato Ahmed tanpa ditanya.

"Zahara dah berhenti jadi cikgu?"

"Ya, dah lama. Dua tahun kawin, dia terus resign."

"Suami dia?" Tanya Daizy.

"Sebelum ni ejen hartanah. Tapi dia didakwa atas kes penipuan. Lepas keluar dari penjara, macam inilah kehidupan diorang."

Serta merta, timbul simpati ke atas Zahara.

"Daizy nak jumpa dia?" Tanya Dato Ahmed.

"Boleh?"

Dato Ahmed angguk dengan senyuman nipis.

Setelah menyandang beg di bahu, Daizy turun kemudian mendekati rumah itu. Jelas sekali kedatangannya menghairankan Zahara serta anak-anaknya.

"Cari siapa?" Tanya Zahara lebih dulu.

"Em, saya cari kawan, tapi tak jumpa pula. Mungkin salah alamat," kata Daizy .

"Oh, ingatkan nak cari laki saya," gurau Zahara.

Daizy hanya tersenyum sambil memerhati anak-anak kecil itu. Mereka mulai merengek sambil menarik kain batik yang dipakai Zahara.

"Anak kakak? Comel-comellah semuanya," puji Daizy.

"Hm, comel waktu diam. Kalau dah merengek macam ni saya pun pening."

Tidak lama itu Daizy mendekati tangga kemudian menyeluk beg tangannya untuk mengeluarkan dompet. Perbuatannya hanya diperhati oleh Zahara namun jelas wanita itu agak tak sedap hati.

"Nah." 10 keping not RM100 dihulur kepada anak Zahara yang sedang berdiri di tangga.

"Bagi mak pegang. Kalau nak beli apa-apa minta dengan mak, ya," pesan Daizy sebaik wang tersebut bertukar tangan. Lebar sungguh senyuman anak-anak Zahara.

"Yeay! Boleh beli ayam goreng kan mak?"

"Wah! Beli mainan pun boleh, kan mak?"

Zahara terdiam sejenak. Agak segan dengan pemberian itu. Namun melihat keterujaan anak-anaknya, dia tidak sampai hati mahu menolak pemberian Daizy.

"Adik ni siapa? Nak cari siapa sebenarnya? Biar kakak tolong," pelawa Zahara sebagai tanda terima kasih.

"Tak apa, kak. Nanti saya datang lagi. Saya dah jumpa dah kawan saya." Daizy senyum nipis. Cuba untuk menahan sebak. Sejujurnya, dia simpati melihat kehidupan Zahara. Namun siapalah dia mahu menghakimi kehidupan orang lain. Mungkin saja Zahara bahagia dengan kehidupannya sekarang.

"Saya minta diri dulu, kak. Insha Allah ada rezeki kita jumpa lagi," pamit Daizy. Sempat melambai sebelum beredar dari situ. Zahara hanya memerhati Daizy beredar dengan perasaan tertanya-tanya. Siapakah gerangan wanita yang sudi membantunya? Tak lokek sungguh menghulur wang untuk anak-anaknya.

Sepanjang perjalanan pulang, Daizy senyap di tempat duduknya. Semenjak bertemu Zahara tadi, dia banyak termenung.

     "Daizy dah maafkan dia?" Tanya Dato Ahmed tiba-tiba.

     Daizy menoleh laju. Bingung dengan pertanyaan Dato Ahmed.

     "Maksud daddy?" Tanya Daizy.

"Disebabkan Zahara, Levent jadi macam ni sekarang. Dan rumah tangga kamu berdua pula yang jadi mangsa," terangnya.

"Saya dengan Zahara tak ada masalah. Apa yang terjadi antara mereka dulu, jauh sebelum saya kenal suami saya. Jadi, tak adil rasanya kalau saya tiba-tiba nak salahkan Zahara," jelas Daizy, tenang.

"Salah dia hanya pada Levent. Kalau dia perlu minta maaf pun, bukan pada saya. Tapi suami saya," sambung Daizy lagi.

Penjelasan Daizy membuatkan Dato Ahmed terdiam. Kagum sungguh dengan menantunya. Tidak suka menyalahkan orang lain atas apa yang berlaku. Namun itu juga tidak disenangi oleh Dato Ahmed. Menantunya harus belajar membela diri serta menegakkan haknya.

SELESAI makan malam, Dato Ahmed membawa Daizy masuk ke dalam sebuah bilik yakni bilik kerjanya. Tempat yang menyimpan segala dokumen berkaitan syarikat. Tidak mahu membuang masa, Dato Ahmed mulai menerangkan sedikit sebanyak tentang pengurusan syarikat.

Dia harus memastikan agar Daizy faham apa yang perlu dilakukan nanti. Memandangkan wanita itu juga berpendidikan, jadi tidak sukar untuk dia memahami istilah dalam dunia perniagaan.

"Daddy bagi masa dua minggu untuk kamu belajar perkara asas. Lepas tu daddy nak kamu masuk office dan mula bekerja."

"Tapi, saya takut kalau tak mampu nak handle dengan baik. Saya tak ada pengalaman dalam bidang eksekutif. Kalau kewangan tu, bolehlah," kata Daizy dengan senyuman kelat. Dia bimbang tidak mampu menjalankan tugasnya dengan baik.

"Kalau tentang itu, Daizy jangan bimbang. Ada yang akan tolong nanti."

"Siapa?"

     Dato Ahmed terdiam sejenak sebelum tersenyum nipis.

"Levent."

"Hah?!" Daizy bangkit dari duduk dengan wajah tak percaya.

"Dengar dulu apa yang daddy nak cakap." 

"Tak..." Daizy geleng kepala. Mana mungkin dia rela dibantu oleh lelaki itu sedangkan bersua muka pun dia tidak mampu.

"Daddy, saya tak boleh. Saya..." dia bimbang tidak kuat untuk berhadapan dengan suaminya.

"Mari." Dato Ahmed membawa menantunya duduk di sofa. Dia mahu wanita itu bertenang dahulu sebelum mulai menerangkan lebih terperinci.

"Levent setuju nak ajar kamu selama sebulan sebelum dia letak jawatan," jelaa Dato Ahmed, tenang dan tertib.

"Dia setuju letak jawatan?"

"Daddy bagi dia pilihan samada Zila atau syarikat. Dan... dia pilih Zila."

Sekali lagi Daizy tertampar dengan kenyataan itu. Hebat sungguh cinta suaminya pada Zila. Sehingga sanggup melepas syarikat demi isteri keduanya.

"Saya tak kuat, daddy." Daizy tak mahu ambil risiko.

"Daizy, look at me!" Suara Dato Ahmed bertukar tegas.

"Jangan lemah boleh tak!" Marah Dato Ahmed sekaligus menyentak Daizy. Ini kali pertama dia mendengar suara lantang orang tua itu. Sungguh menakutkan.

"Kamu nak biarkan diorang berdua menang sementara kamu hancur macam ni?! Daddy pun penat, Daizy! Daddy penat nak tengok kamu menangis macam ni!"

"Dalam perut kamu tu cucu daddy! Kamu fikir daddy sanggup tengok cucu daddy disisihkan?!" Mata Dato Ahmed merah menahan tangis. Benar-benar kecewa dengan menantunya yang terlalu lemah. Atau mungkin terlalu baik sehingga mudah dipijak oleh orang sekelilingnya.

"Kamu bantu daddy, dan begitu juga sebaliknya." Suara Dato Ahmed bertukar sedikit lembut. Rasa bersalah melihat menantunya tersedu sedan di hadapannya. Tapi itu semua demi kebaikan menantunya. Dia harus memastikan wanita itu tak menyerah kalah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience