PELUH jernih yang membasahi dahi dikesat dengan belakang tangan sebelum kembali menikmati bekal yang dimasak sendiri dari rumah. Hendak mengharapkan Zila, wanita itu tak peduli langsung pada dirinya. Segala hal dilakukan sendiri termasuk mencuci pakaian serta memasak.
Yang wanita itu tahu hanyalah menghabiskan duit. Nafkah yang diberikan sebelum ini masih tersisa. Maka itulah yang digunakan untuk bersenang-senang. Tak sedar bahawa suaminya sudah tak mempunyai apa-apa lagi yang tersisa.
Suapan terakhir dimasukkan ke dalam mulut kemudian menutup bekal yang sudah kosong itu.
Ada berbaki beberapa minit lagi sebelum tamatnya waktu rehat. Saat ini, Levent sudah bekerja di sebuah kilang pemprosesan kayu setelah sebulan meninggalkan rumah dan melepas segala kemewahan yang dia miliki.
Tak kekok langsung bekerja sebagai pekerja bawahan serta melakukan pekerjaan berat. Disebabkan itu juga tubuhnya mulai mengurus. Makan yang tak teratur serta tidur yang tidak menentu membuatkan dirinya kehilangan berat badan.
Di bilik hotel, Zila masih terus dengan kegiatannya. Berzina dan berhibur bersama lelaki untuk melampiaskan nafusnya.
"Kurang lagi?" Soal lelaki bernama Jai sambil mengira wang yang diberikan oleh Zila. Semenjak tinggal di bilik sewa, Levent tak pernah memberi wang belanja untuknya. Hanya makan dan tempat tinggal masih dipenuhi oleh lelaki itu. Mujurlah wang nafkah yang diberikan sebelum ini masih berbaki. Itulah yang digunakan untuk membayar lelaki itu. Namun disebabkan ianya makin berkurang, maka bayaran buat lelaki itu juga terpaksa dikurangkan.
"Laki aku sengkek sekarang ni. Bila dah stabil aku bayarlah lebih. Sebelum ni pun aku bayar dari harga sepatutnya, kan? Takkan sekarang kau nak berkira?" Perli Zila sambil mengenakan semula pakaiannya.
Walaupun perutnya sudah semakin besar, ianya tak menghalang wanita itu untuk meneruskan perbuatan jijik itu. Langsung tak memikirkan kesihatan bayi di dalam kandungannya. Apa yang penting, dia dapat memuaskan keinginannya.
Setiap kali pulang ke rumah, dia sedikit pun tak menghiraukan suaminya dan begitu juga sebaliknya. Hidup mereka hanya sebatas status suami isterinya. Selebihnya, mereka hidup dengan cara masing-masing.
"Kau tak masak?" Soal Zila yang baru selesai mandi dan sudah lengkap berpakaian. Hanya kepala yang dibungkus dengan tuala.
Levent yang sedang makan sendiri langsung tak peduli pada pertanyaan isterinya. Sewaktu pulang dari kerja sebentar tadi, dia singgah di restoran untuk membeli nasi goreng untuk makan malamnya.
"Aku dah sediakan bahan mentah. Kalau kau nak makan, pergi masak sendiri," jawabnya kemudian kembali menyuap nasi ke dalam mulut.
"Apa yang berkira sangat?! Belilah lebih! Beli bahan mentah buat apa?! Siapa yang nak masak?!" Marah Zila.
"Kau duduk dalam bilik ni goyang kaki, takkan masak untuk diri sendiri pun nak berkira?" Tempelak Levent.
"Ish! Aku baru balik dari luarlah! Aku penat!" Tuala yang dipakai dibuang ke wajah suaminya.
Levent diam menahan amarah yang membakar dada. Disebabkan sedang makan, dia memilih untuk tidak bertengkar. Namun Zila pula semakin bertindak diluar kawalan. Bekas nasi yang dipegang suaminya ditendang menyebabkan ianya tumpah dan berhamburan di atas lantai. Tanpa sedikit pun rasa bersalah dan berdosa, Zila keluar dari bilik itu.
Levent masih diam. Diperhati sahaja nasi yang baru sesuap dua dimakan itu sudah berhamburan di atas lantai. Dada diurut perlahan sambil memejam mata. Cuba untuk menenangkan diri sendiri. Beberapa saat kemudian, barulah nasi yang berhamburan itu dipungut kemudian dimasukkan semula ke dalam bekas. Bukan dibuang, malahan dimakan semula.
Hari-hari yang berlalu, rumah tangga mereka semakin tiada ertinya. Hormat dan tanggungjawab sudah hilang entah ke mana. Mereka pulang ke bilik sewa hanya sekadar menjadi tempat untuk berehat sahaja.
SEWAKTU membuka pintu ruangan menantunya, wanita itu sedang termenung di hadapan jendela kaca. Memandang kosong, jauh ke hadapan sana.
"Daizy, tak turun lunch?" Tegur Dato Ahmed seraya mendekati menantunya.
"Em, kejap lagilah."
"Kenapa? Ada masalah?" Melihat wajah muram menantunya, dia tahu ada yang sedang mengganggu fikiran wanita itu.
"Taklah," nafi Daizy.
"Levent?" Teka Dato Ahmed.
Daizy senyap seketika sebelum menghela nafas pendek.
"Saya nampak dia keluar dari kilang kayu dekat Bandar Indah," kata Daizy kedengaran sedih.
"Oh. Dia memang kerja dekat situ."
"Daddy tahu?" Soal Daizy ingin tahu.
"Mestilah." Dato Ahmed angguk perlahan.
"Daddy tak nak ajak dia kerja sini semula? Saya rela undur diri," cadang Daizy. Rasa bersalah mulai menghurung dirinya.
"Tak payah, dia okey dekat sana."
"Saya rasa bersalah," luah Daizy, sayu.
"Tak apa. Inilah masa untuk dia muhasabah diri. Sekarang ni dia tengah belajar dari kesilapan. Dia dah sedar silap dia di mana. Semoga lepas ni dia lebih menghargai kamu," ujar Dato Ahmed.
"Mungkin tak." Daizy geleng perlahan.
"Dia pun dah setuju dengan perceraian kami," sambungnya lagi.
Dato Ahmed senyum seraya berdiri di sisi menantunya.
"Yalah, kalau macam tu. Daddy hormat keputusan kamu berdua."
"Jadi, bila kamu nak failkan perceraian?"
"Insha Allah, minggu depan. Minggu ni banyak sangat nak kena urus."
"Daddy doakan apa sahaja yang terbaik untuk kamu berdua. Apa yang penting, masing-masing kena ambil pengajaran," pesan Dato Ahmed.
Daizy angguk dengan senyuman nipis sebelum kembali merenung ke luar tingkap. Sudah tiba masa untuk dia mengikhlaskan serta meredai jalan hidupnya.
"Mungkin diorang tengah happy sekarang ni, kan daddy," ujarnya dengan senyuman yang terpaksa diukir.
"Zila sekarang ni pun tengah mengandung. Mesti Levent dah tak sabar nak jadi ayah."
Dato Ahmed angguk berat. Sejujurnya, dia kecewa dengan sikap anaknya. Tak sangka lelaki itu bakal menimang anak hasil hubungan haram. Entah ke mana akal fikiran lelaki itu sehingga terjerumus ke lembah hina itu.
"Daizy jangan risau. Daddy sentiasa ada kalau kamu perlukan pertolongan. Kalau nak, daddy boleh carikan pengasuh untuk bantu kamu jaga baby nanti. Daddy akan buat sahaja untuk cucu daddy," kata Dato Ahmed bersungguh-sungguh.
"Tapi, anak Zila pun cucu daddy juga. Apa yang anak saya dapat, anak Zila pun kena dapat juga. Barulah adil," ujar Daizy, mengingatkan.
Dato Ahmed terdiam seketika. Kalau diikutkan hukum, anak hasil hubungan haram itu tidak akan mewarisi hartanya kerana terlahir bukan dari pernikahan yang sah.
"Walauapun anak tu tak sah taraf, tapi dia tetap darah daging daddy, kan." Suara Daizy sedikit bergetar menahan sebak.
"Kamu tak sakit hati kalau daddy layan kedua-duanya sama rata?" Duga Dato Ahmed.
"Anak tu tak bersalah daddy. Yang salah mak ayah dia." Daizy tunduk sebaik air matanya mengalir. Setiap kali berbicara tentang perkara itu, sebaknya sukar dikawal. Mulut kata ikhlas, namun hatinya masih berbekas luka.
"Kamu tak mampu tanggung akibatnya, Daizy. Jadi jangan paksa diri kamu untuk kuat." Belakang menantunya diusap lembut.
"Menangis, luahkan apa yang membuat kamu rasa sakit. Sedih, kecewa harus diakui dan diluahkan. Jangan sampai ia merosakkan diri kita dari dalam," pesan Dato Ahmed lagi.
Daizy sedar akan kesilapannya yang terlalu memendam rasa sehingga orang sekeliling tak mampu membantunya.
Petang itu Daizy singgah di pasaraya untuk membeli sedikit barangan dapur. Disebabkan perut yang semakin membesar, dia sudah mulai mengah berjalan lama. Betis dan kakinya juga terasa lenguh dan kebas.
Selesai berbelanja, dia segera menuju ke kereta bersama barang-barang yang dibeli. Saat membuka but belakang, dia ditegur seseorang.
"Kesian, kan. Belanja sendiri, susun barang sendiri. Silap hari bulan, boleh terberanak sendiri," kata Zila lalu bersandar pada kereta madunya.
Daizy hanya melirik sekilas sebelum kembali menyusun barang. Malas mahu melayan provokasi wanita itu.
"Sayang, sini," panggil Zila saat melihat suaminya baru keluar dari pasaraya sambil membawa barang belanjaan mereka.
Langkah Levent menjadi perlahan sebaik melihat isteri pertamanya. Dengan langkah berat, dia mendekati kedua-dua isterinya. Serentak itu, Zila merangkul lengan suaminya sebaik lelaki itu berdiri di sisinya. Sengaja mahu menayang kemesraan di hadapan Daizy.
"Sayang, tengok tu." Jari telunjuk Zila menuding ke arah Daizy sambil tertawa.
"Kesian dia. Dari tadi saya tengok termengah-mengah bawa barang, susun barang," katanya dengan nada mengejek.
Levent hela nafas panjang. Dia tahu, Zila sengaja mahu mengusik Daizy.
"Dah, jom." Levent ingin beredar namun Zila menahannya.
"Kejaplah. Tak rindu bakal ex wife?" Soalnya lagi lalu tertawa besar. Terasa puas hati melihat kedua-dua pasangan itu tak mampu bersama.
"Korang nak tumpang?" Tanya Daizy, sekaligus mematikan tawa Zila.
"Korang tak ada kereta kan? Hah, marilah tumpang. Kesian kau nak kena naik bas dengan perut besar macam tu. Mesti sesak, kan?" Daizy tahan bibir dari tersenyum. Dia tahu Zila sudah terpancing dengan sindirannya.
"Kau jangan nak gebang sangatlah, betina!" Jerkah Zila tak puas hati.
Levent hela nafas berat. Kesal dengan kedua-dua wanita itu.
"Kau cemburu, kan?"
"Cemburu? Apa yang kau ada sampai aku nak cemburu?" Soal Daizy sempat melirik suaminya. Lelaki itu sudah berkerut dahi mendengar kata-katanya.
"I don't wanna be you. And you can't be me," kata Daizy sinis seraya menutup pintu but belakang.
"Tepi sikit. Nanti kotor kereta aku," usirnya sambil mengarahkan kedua-dua mereka agar menjauhi kereta.
Levent segera menarik Zila agar menjauhi kereta Daizy kemudian memberi lalu kepada wanita itu untuk masuk ke dalam kereta.
Sewaktu masuk ke dalam kereta, Daizy sempat menoleh memandang suaminya. Mata lelaki itu tak lari dari terus menatapnya dengan wajah yang sukar ditafsirkan.
BARANG-barang belanja yang baru dibeli dihumban ke sudut bilik kemudian berpaling memandang suaminya. Pinggang dicekak sambil memerhati suaminya meletak barang.
"Kau dengar apa dia cakap tadi? Kurang ajar betul perempuan tu!"
Levent pekakkan telinga. Tak peduli langsung pada bebelan isterinya.
"Hoi! Kau dengar tak aku cakap ni?! Bini tua kau tu kurang ajar!" Zila sengaja besarkan suara.
"Kau yang mula dulu," kata Levent kemudian duduk lalu mengeluarkan barang belanjaan mereka.
"Wah! Bela isteri tua pula, ya. Kau sedar tak dia dah pijak maruah kau tadi? Kalau akulah, memang talak tiga terus," ujar Zila sengaja mahu menghasut.
Levent kembali senyap. Malas mahu berbalah dengan isterinya.
"Kau ni kan! Pekakkah apa?!" Belakang suaminya disepak kuat.
Levent jatuh ke hadapan sebaik tendangan itu mengenai belakangnya. Serentak itu, mata dipejam rapat. Cuba menahan diri dari naik tangan. Ikutkan hati, mungkin tangannya bakal sampai di tubuh isterinya.
"Kau ni memang lembik, kan?" Zila sengaja mahu memancing emosi suaminya.
Levent akhirnya bangun sambil menghela nafas panjang.
"Kau lupa yang kau hampir mati dekat hotel hari tu?" Levent berpaling memandang isterinya.
Zila telan liur. Dia masih bernyawa hingga kini kerana Levent banyak bersabar dengan sikapnya. Dia beruntung kerana Levent tidak sekasar dulu, saat bersama Daizy. Jika tidak, sepakan mungkin sudah mendiamkan dirinya.
"Sekali lagi kau sepak aku, kau tak akan jalan pakai kaki dah," kata Levent berbaur ugutan.
Zila terkebil-kebil seketika sambil menelan liur yang semakin pekat.
"Ish! Semaklah kau ni!" Bentak Zila lalu keluar dari situ. Dia juga bimbang jikalau Levent bakal mematahkan kakinya jika terus berada di situ.
Sebaik isterinya keluar, Levent kembali duduk di hadapan barang belanjaan mereka. Termenung mengenang nasib diri. Dia sedar, inilah balasan tuhan untuknya kerana mensia-siakan isterinya dulu. Mahu pulang, dia malu pada isterinya. Maka biarlah dia menjalani kehidupan ini sesuai kemampuan dan kesabarannya.
DESAHAN penuh nikmat akhirnya terluah sebaik nafsunya mencapai puncak. Lelaki yang berada di atas tubuhnya ikut baring di sisinya selepas mencapai tujuan.
Lelaki yang terbaring itu bukanlah lelaki biasa yang dilanggan. Dia sudah bosan dengan lelaki sebelum ini, setelah hampir berbulan-bulan diupah untuk memuaskan nafsunya.
Ketukan dipintu mengganggu sesi rehat mereka berdua. Zila mendengus kasar sambil menarik selimut hingga menutupi tubuhnya.
"Pergi buka pintu, aku nak rehat kejap," katanya pada lelaki di sebelahnya.
Tanpa membantah, lelaki itu mengenakan baju kemudian pergi membuka pintu.
BUK!
Zila bangkit saat melihat lelaki itu terhumban lalu jatuh terbaring di atas lantai.
"Keluar!" Arah seorang lelaki yang merupakan lelaki bayaran Zila sebelum ini.
"Jai?!" Zila kemaskan selimut saat melihat Jai mengheret lelaki tadi keluar lalu menutup pintu.
"Bayaran kau tak habis lagi, kau dah sedap dengan jantan lain!" Lelaki bernama Jai itu sudah bercekak pinggang di hadapan katil.
"Nan... nanti aku bayarlah!"
"Nanti bila?! Dah dua minggu kau kata tak ada duit tapi bayar gigolo lain ada duit pulak!"
"Mana duit kau?! Bayar sekarang jugak!" Matanya melilau mencari beg tangan Zila. Sesaat, matanya berhenti pada sebuah kerusi tepatnya di sudut bilik hotel. Dia segera mencapai beg tersebut lalu mengeluarkan dompet wanita itu.
"Jangan!" Zila bangun sambil membungkus tubuh dengan selimut.
Senyuman lelaki itu melebar saat melihat sejumlah wang di dalam dompet Zila.
"Wah! Banyak duit kau! Patutlah kau sedap bayar lelaki lain."
"Janganlah ambil semua!" Tegah Zilaz
"Ini hutang yang kau tak bayar!" Duit berjumlah RM800 dikeluarkan.
"Yang ini pula bayaran yang kau potong dulu!" Sejumlah wang lagi dikeluarkan sehingga tak menyisakan sekeping duit pun di dalam dompet itu.
"Kau gila?! Apa aku nak makan kalau kau ambil semua?!"
"Untuk makan atau untuk nafsu kau?" Kepala Zila ditunjal beberapa kali.
"Bagi baliklah!" Zila cuba untuk merampas kembali wang miliknya.
Pergelutan mulai berlaku antara mereka berdua. Masing-masing tak mahu kalah. Zila juga langsung tak peduli pada kandungannya dan begitu juga lelaki itu.
"Argh!" Jerit Zila saat jatuh terduduk. Terasa sakit punggungnya sebaik menghempas lantai.
Lelaki itu mulai panik melihat Zila menjerit kesakitan. Beberapa saat kemudian, terlihat cairan jernih diikuti darah mengalir dari celah kangkang Zila kemudian membasahi selimut yang dipakai wanita itu.
"Argh! Sakit!" Jerit Zila lagi.
"Tolong!" Sebelah tangannya terkapai-kapai meminta pertolongan manakala sebelah lagi sedang memegang perut yang semakin mengeras.
Tanpa berfikir panjang, lelaki itu membantu Zila berdiri lalu dipapah ke bilik air. Setibanya di situ, Zila segera duduk di tepi mangkuk tandas sambil membuka lebar kedua-dua belah kakinya.
"Argh! Tolong aku! Sakit!" Jerit Zila sambil berpegang pada mangkuk tandas. Sakit di bawah perut bagaikan sedang dihiris-hiris isi perutnya.
Melihat darah yang semakin mencurah-curah, lelaki itu bertindak melarikan diri dari situ. Zila pula hanya mampu melihat lelaki itu pergi membiarkan dirinya bertarung nyawa.
Setelah sejam lebih menahan sakit, akhirnya Zila melahirkan di situ. Sendirian.
Share this novel