"LEPASKAN aku! Aku tak salah!" Zila terpekik sambil meronta-ronta sepanjang dibawa keluar dari hospital. Levent hanya mengekori dari belakang tanpa bersuara. Dia masih terkejut dengan apa yang pihak polis sampaikan mengenai perbuatan isterinya.
Daizy yang baru tiba untuk melawat Zila akhirnya terhenti di hadapan laluan utama. Agak terkejut melihat wanita itu meronta-ronta saat dibawa paksa. Daizy pun segera mendekati suaminya yang sedang berjalan di belakang anggota polis.
"Kenapa ni?" Tanya Daizy, bimbang.
Levent tak menjawab sehinggalah mereka keluar dari bangunan hospital.
"Hei betina! Kau sedar tak yang kau dah nak bercerai dengan dia! Jangan kau nak jilat balik ludah kau!" Pekik Zila sewaktu menoleh ke belakang.
Daizy terkebil-kebil mendengar cacian madunya. Baru sahaja tiba, dirinya sudah dihambur dengan makian.
"Mohon bagi kerjasama puan," tegas anggota polis seraya membawa Zila menuju ke kenderaan polis.
Levent berhenti melangkah diikuti Daizy. Mereka berdua hanya mampu melihat Zila dibawa pergi.
"Apa dah jadi sebenarnya? Cuba cakap." Daizy semakin resah. Diamnya Levent membuatkan hatinya tak tenang.
"Cakaplah! Kenapa polis bawa dia?!" Daizy mendesak mahukan jawapan.
"Anak awak mana? Perut Zila... dah kempis saya tengok," katanya lagi seraya menoleh semula ke arah Zila yang sudah ditolak masuk ke dalam kenderaan polis.
"Saya nak balik bilik," kata Levent dan terus mengatur langkah untuk pergi.
"Saya hantar awak balik, jom." Daizy meraih tangan suaminya dan terus membawa lelaki itu menuju ke kereta. Dia bimbang melihat keadaan suaminya yang agak tak terurus.
Sepanjang perjalanan, Levent senyap sambil memejam mata. Semalaman tak tidur membuatkan kepalanya berdenyut-denyut. Sebaik kereta berhenti, mata dibuka. Dan ternyata Daizy tidak membawanya ke bilik sewa melainkan ke rumah wanita itu.
"Kenapa bawa saya datang sini?" Tanya Levent, kesal.
"Saya risau nak biarkan awak sendiri dekat bilik sewa tu. Sementara ni, awak duduk rumah kita dulu," kata Daizy lalu keluar dari kereta. Masih menggelar rumah itu sebagai rumah mereka.
"Turun," arahnya pada Levent lalu menutup pintu.
Sebaik masuk ke dalam rumah, Levent duduk di ruang tamu. Daizy pula terus ke dapur untuk menyiapkan makanan buat suaminya. Sudah pasti lelaki itu belum menjamah apa-apa. Tidak sampai beberapa minit, Daizy keluar semula membawa sepinggan nasi goreng serta kopi o panas buat suaminya.
Levent yang sedang termenung segera tegakkan duduk sewaktu nasi goreng diletak di hadapannya.
"Makan dulu," jemput Daizy lalu duduk berhadapan dengan suaminya.
Tanpa bersuara, Levent mula mencapai pinggan dan sudu lalu menyuap nasi ke dalam mulut. Satu, dua suap sebaknya mulai menyerang dada. Sudah lama tidak merasa air tangan isterinya. Walaupun sekadar nasi goreng, ianya berjaya menggamit memori.
Suapan dilanjutkan dan serentak itu air matanya mengalir. Daizy yang sedari tadi memerhati turut sebak melihat suaminya. Dia tak tahu apa yang sedang terjadi. Namun ianya bukanlah perkara kecil memandangkan pihak polis sudah terlibat.
Tidak lama itu, esakan Levent terlepas jua. Hatinya tak mampu menahan sebak di dada. Sambil mengunyah nasi di dalam mulut, air matanya semakin lebat membasahi pipi kemudian jatuh di atas nasi gorengnya. Sudu akhirnya dilepas seketika untuk mengesat air mata dengan belakang tangannya.
"Minum dulu." Suara Daizy kedengaran sedikit serak.
Gelas berisi kopi segera dihulur kepada suaminya.
Levent pun mencapai gelas tersebut lalu diteguk perlahan-lahan sehingga nasi ikut turun ke perut. Selepas meletak gelas, esakannya kembali terdengar. Tertunduk-tunduk menangis di hadapan isterinya.
Disebabkan tak tahan melihat suaminya menangis, Daizy bangun lalu duduk di sisi lelaki itu. Tanpa kata, suaminya dibawa ke dalam pelukan. Maka, semakin pecahlah tangisan lelaki itu. Tersedu-sedu, meraung melepas segala yang terpendam di dada selama ini. Rasa bersalah, penyesalan semuanya bercampur menjadi satu.
"Shuuu..." kepala suaminya di bawa ke dada lalu dipeluk lebih erat. Ubun-ubun suaminya dikucup penuh kasih sayang. Berharap agar perbuatannya mampu menenangkan suaminya.
Perlahan-lahan, tangan Levent mulai melingkar di pinggang isterinya lalu dipeluk erat. Rindu pada wanita itu semakin membuak-buak. Dek kerana ego dan hatinya yang buta, dia sudah mensia-siakan wanita sebaik isteri pertamanya.
Daizy yang merasakan pelukan suaminya, pantas memejam mata menikmati pelukan hangat yang sudah lama diimpikan.
"Saya minta maaf," ucap Levent tersedu-sedu.
"Shu... tak apa. Saya dah maafkan awak," tutur Daizy penuh keikhlasan. Dia tidak mampu membenci lelaki itu. Rasa cintanya lebih dulu menandingi rasa benci.
"Talk to me." Pelukan dilepaskan lalu menyentuh kedua-dua belah pipi suaminya.
"Ceritakan semuanya. Saya dengar, okey." Matanya merenung sedalam-dalamnya dua pasang anak mata milik suaminya. Dia sedia menjadi pendengar.
Setelah tangisan sedikit reda, Levent mulai menceritakan apa yang berlaku. Bermula dari Zila yang mulai menebar cerita palsu tentang hubungan Daizy dengan lelaki lain. Atas dasar sakit hati terhadap perbuatan isterinya, Levent terjerumus ke dalam permainan Zila.
Sekali lagi, tangisannya pecah. Mengenang betapa bodohnya dia termakan hasutan wanita itu. Tak lain, egonya masih menggunung ketika itu. Ditambah lagi buruk sangka serta cemburu buta masih hangat membakar dada. Maka di situlah dia nekad memperisterikan Zila.
Daizy senyap walaupun hatinya begitu terguris mendengar semua cerita suaminya. Tak cukupkah pengorbanan serta ketulusan hatinya mencintai selama ini?
"Saya minta maaf. Saya... saya kalah dengan ego sendiri," tutur Levent teresak-esak.
"Saya sayang awak, saya cintakan awak. Biarpun saya dah kawin dengan Zila, saya tak boleh buang awak dari hati dan fikiran saya," luahnya bersungguh-sungguh.
"Saya cuba untuk cintakan Zila. Bagi dia peluang untuk jadi isteri saya. Tapi saya tetap tak boleh lupakan awak. Dan Zila... dia gagal jadi isteri yang baik macam awak."
"Tapi, kamu berdua... dia mengandung sebelum kamu berdua kawin..." Daizy gigit bibir. Terasa pedih mahu meneruskan ayat yang satu ini.
Levent geleng laju.
"Tak! The baby is not mine," tegas Levent.
Daizy ikut geleng kepala.
"Tak mungkin. Zila yang bagitahu saya sendiri. Anak tu anak awak."
"I never touch her," tegas Levent.
"But still. She told me!" Balas Daizy.
"You trust her?" Dengan segala tipu daya Zila, mana mungkin Daizy masih percaya.
"So, don't you trust her?" Bidas Daizy.
"Then, how can you guys get married? Kalau bukan sebab cinta?" Tempelak Daizy.
"No! As I said, she lied to me." Levent masih pertahankan dirinya.
"Tak mungkin. Takkan awak tak tahu dia mengandung?" Daizy pula masih mahukan jawapan yang munasabah.
"I never knew about her pregnancy even after we get married. Saya cuma tahu pasal kandungan dia dari awak," jelas Levent.
Daizy terdiam. Haruskah dia percaya?
"And, semalam dia dah melahirkan... sendiri."
"No..." Daizy geleng tak percaya.
"Saya bawa dia pergi hospital, perut dia memang dah kempis," jelas Levent seraya tertunduk. Walaupun marah pada Zila, dia masih bimbangkan nasib bayi wanita itu.
"Awak pergi mana sampai dia bertindak macam tu?" Daizy malah menyalahkan suaminya.
"Awak nak saya buat apa? Reda, diam dan telan kenyataan yang dia mengandung sebelum kawin dan anak tu bukan anak saya." Levent raup wajah yang basah gara-gara air mata.
"Habis tu, awak fikir saya buat apa selama ni? Saya terpaksa telan kenyataan yang awak kahwin dengan kawan saya sebab dah hamilkan dia. Berbulan-bulan saya pujuk hati untuk maafkan kamu berdua. Dan telan kenyataan yang awak akan ada anak dengan perempuan lain sedangkan saya pun tengah mengandung anak awak masa tu." Daizy kembali sebak mengingat perkara itu.
"Tapi saya diperangkap!" Levent tetap pertahankan diri.
"Tapi perkahwinan tu atas kerelaan awak," bidas Daizy.
"Okay fine, saya minta maaf. Tapi saya dah jelaskan semuanya tadi. Saya terpaksa. Saya terlalu ikutkan amarah. But I admit it. I regret." Tangan isterinya digenggam erat. Dia mahu wanita itu tahu akan penyesalannya.
Daizy pejam mata seiiring helaan nafas yang panjang. Mengorek kembali cerita lalu malah membangkitkan kecewa terhadap suaminya.
"Jadi, anak dia dekat mana sekarang?" Tanya Daizy kembali setelah meredakan sedikit perasaannya.
"Saya tak tahu. Tapi... kedatangan polis pagi tadi..." Levent hela nafas panjang. Pasti, berita yang bakal disampaikan ini lebih mengejutkan Daizy.
"Polis tahan dia sebab terlibat dalam pembuangan serta kematian bayi."
"Ya Allah!" Daizy sentuh dada seraya memejam mata. Tak sangka perkara itu bakal terjadi pada Zila.
Daizy bangkit dari duduk sambil mengusap dada. Terasa senak dadanya selepas mendengar berita yang disampaikan oleh suaminya.
"Awak buat apa selama ni?" Soalnya seraya memandang suaminya dengan penuh kekecewaan.
"Awak biar dia seorang diri. Awak abaikan dia. Awak sedar tak yang dia tengah mengandung?Walaupun budak tu bukan anak awak, tapi awak suami dia. Awak bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada dia." Nafas yang dihela terasa berat diiringi air mata yang mengalir.
"Sampai hati awak, kan?" Mata yang berair diseka laju. Semakin kecewa dengan sikap suaminya yang begitu mudah lepas tangan sehingga Zila bertindak di luar fikiran warasnya.
SELEPAS penangkapan itu, Zila direman sementara menunggu hasil bedah siasat bayi yang dijumpai di dalam tab mandi bilik hotel oleh pekerja hotel tersebut. Ekoran itu, pihak hotel membuat laporan polis kemudian memgemukakan detail penghuni serta CCTV yang menjurus ke arah Zila.
Tiga hari kemudian, hasil bedah siasat diperoleh. Melalui bedah siasat itu juga terbukti bahawa bayi tersebut dilahirkan masih bernyawa namun meninggal akibat dilemaskan di dalam tab mandi ekoran sampel cairan yang dijumpai di dalam paru-paru bayi tersebut.
Dengan rendah hati dan menolak tepi kekecewaannya, Daizy menawarkan diri untuk mengurus jenazah bayi tersebut di rumahnya. Tidak sampai hati membiarkan Levent menguruskan semuanya seorang diri. Dan semestinya atas persetujuan orang tua Zila. Kedua-dua orang tua itu tak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada Daizy kerana sanggup turun tangan menguruskan segalanya sehingga bayi tersebut selamat dikebumikan.
Share this novel