"HOW do I look?" Soal Daizy sambil menayang tubuh yang dibaluti gaun berwarna hitam dengan desain backless.
"Too sexy, sayang. Menyesal saya beli baju ni. Ingatkan koyak sikit aje. Ni dah terdedah habis belakang awak. Ni pula terbelah sampai ke paha." Levent menggaru kening yang tidak gatal. Perasaan menyesal terus menyelubungi diri selepas melihat isterinya mengenakan gaun yang ditempah atas talian tiga hari lalu. Ditambah lagi dengan belahan hingga ke paha sekaligus menampakkan kulit putih dan mulus isterinya.
"Habis tu? Nak tukar?" Daizy mencekak pinggang dengan wajah tak puas hati.
"Tak apalah. Pakai yang tu je. Kita dah lambat ni," kata Levent, pasrah. Beg klac berwarna hitam milik isterinya dicapai kemudian dikepit di bawah lengan.
Setelah itu mereka pun keluar dari bilik bersama-sama.
Hampir 20 minit memandu, mereka pun tiba di parkir Paradise Hotel. Sebaik memasuki dewan hotel, Daizy mulai terpegun dengan para tetamu yang hadir. Tidak hairanlah suaminya berkeras mahu memastikan dirinya tidak kalah menyerlah di acara tersebut. Ditambah lagi tetamu yang hadir bukanlah calang-calang orang. Ada beberapa wajah orang ternama yang dapat Daizy tangkap satu persatu.
"Sayang, jom. Dekat depan tu meja kita," ajak Levent seraya merangkul pinggang isterinya kemudian bersama-sama menuju ke arah meja yang sudah ditetapkan untuk mereka.
Setibanya di sana, beberapa orang tetamu sudah ada yang duduk di situ. Tanpa membuang masa, Levent menarik kerusi untuk isterinya. Sebaik Daizy duduk barulah Levent labuhkan punggung di sebelah isterinya. Beberapa minit kemudian acara pun dimulai.
Bermula dari ucapan rasmi Dato Vincent hinggalah penyampaian anugerah untuk para staf yang berkhidmat di bawah syarikat mereka. Setelah acara rasmi tersebut selesai, tetamu mulai berdiri meninggalkan meja masing-masing untuk bertegur sapa dengan tetamu yang lain. Mereka yang hadir kebanyakannya sudah mengenali sesama sendiri ataupun merupakan rakan kongsi.
Levent juga tidak melepaskan peluang tersebut untuk bertemu rakan-rakannya. Daizy hanya duduk di meja sementara menunggu suaminya. Ada beberapa staf di pejabat suaminya yang turut hadir di acara tersebut. Namun, dia segan mahu bertegur sapa.
"Jauh termenung," tegur seorang lelaki.
Laju sahaja Daizy menoleh ke arah suara itu.
"Eh, Alfie!" Daizy segera berdiri. Teruja melihat kehadiran Alfie di situ.
"Marilah duduk dengan aku," pelawa Daizy sambil menarik kerusi untuk Alfie agar duduk.
Lelaki itu segera duduk seraya meletak segelas minuman berperisa kola di atas meja.
"Kenapa tak join suami kau?" Soal Alfie memulai perbualan. Mereka terpaksa mendekat setiap kali berbicara kerana bunyi muzik sangat membataskan pendengaran mereka.
"Bosanlah. Diorang tu mesti cerita pasal bisnes. Aku manalah reti. Baik aku duduk sini, makan. Lagi best," ujar Daizy sambil tersengih.
"Kau tak sejuk?" Soal Alfie tiba-tiba.
"Hah?" Daizy bingung.
"Baju kau ni. Dahlah terbuka dekat belakang. Koyak pulang sampai ke paha. Laki kau tak marah kau pakai macam ni?" Perli Alfie.
Daizy hanya tersenyum menayang gigi. Malu mulai menyerbu dek teguran dari Alfie.
"Alah, aku bukan selalu pakai macam ni. Lagipun baju ni suami aku yang beli. Sebenarnya, dia pun menyesal beli baju ni sebab seksi sangat. Tapi, nak buat macam mana. Dah terbeli. Pakai jelah," jelas Daizy. Sekilas, matanya menangkap jam pemberiannya yang melingkar kemas di pergelangan tangan kiri lelaki itu.
"Okey tak jam tu? Tak longgar?" Soal Daizy sambil memuncungkan bibir ke arah jam tersebut.
"Okey. Muat-muat aje di tangan aku. Pandai kau pilih," puji Alfie.
Daizy hanya tersengih. Kalaulah Alfie tahu tentang jam tersebut, adakah lelaki itu akan berkecil hati? Dari awal lagi jam itu bukanlah untuknya.
Dari kejauhan, Levent sedang memerhati isterinya berbual bersama Alfie. Kedua-duanya duduk begitu dekat dan mesra sekali.
Walaupun rakan-rakan di sekelilingnya sedang asyik berbual, Levent sedikit pun tak peduli. Hatinya semakin membara setiap kali melihat kedua-dua mereka tertawa.
Selepas meneguk minuman di tangannya, Levent meninggalkan rakan-rakannya lalu menuju ke arah Daizy dan Alfie.
"Eh, Alfie. awak pun ada sekali?" Tegur Levent, basa basi. Dia segera duduk di sisi isterinya. Spontan, tangannya melingkar di pinggang Daizy. Alfie yang melihat perbuatan Levent mulai canggung duduk di situ. Kedua-dua belah tangannya kini bercantum rapat di atas meja.
"Ya, atasan aku pun dapat jemputan. So, dia ajak aku sekali," jelas Alfie, cuba untuk tetap tenang. Tangannya segera mencapai minuman miliknya lalu diteguk.
Serta merta, mata Levent menangkap jam yang ada di pergelangan tangan lelaki itu. Dia kenal sungguh dengan jam tersebut walaupun sudah dua bulan berlalu.
Pun begitu, Levent masih cuba untuk bersangka baik. Baginya, jam seperti itu bukanlah satu-satu di dunia. Ianya boleh didapati di mana-mana premis di luar sana.
"Saya gerak dululah. Nak jumpa kawan," pamit Alfie. Dia semakin tidak selesa duduk di situ.
"Okey, bye. Jumpa lagi," ucap Daizy seraya melambai.
"Sayang nak makan apa-apa lagi? Saya ambilkan." Rambut yang menutupi telinga isterinya disisip ke belakang telinga.
"Boleh juga. Saya nak kek yang macam ni," kata Daizy sambil menunjukkan sisa sepotong kek keju coklat di atas pinggannya.
"Sure. Tunggu kejap." Levent segera menuju ke meja yang menempatkan pelbagai jenis pencuci mulut.
Setelah mengambil beberapa jenis pencuci mulut, Levent pun beredar dari situ. Tanpa sengaja, matanya menangkap sosok Alfie yang sedang berdiri di satu sudut bersama tetamu yang lain. Mata lelaki itu pula mengarah tepat ke arah Daizy yang sedang duduk sendirian.
Hati Levent semakin membara ketika mata Alfie tak lari dari merenung isterinya. Sebagai lelaki, dia tahu benar maksud dari pandangan Alfie terhadap isterinya. Dengan dengusan kasar, Levent kembali mengatur langkah hingga di tiba di tempat duduk mereka.
"Sayang," tegur Levent seraya meletak pinggan berisi kek di hadapan isterinya. Sebaik duduk, pinggang isterinya dirangkul kemas dan erat.
"Awak, janganlah rapat sangat. Kita ni dekat tempat awam," kata Daizy mengingatkan suaminya. Tak manis rasanya jika bermesraan di hadapan orang ramai.
"Supaya mata lelaki gatal yang ada dekat sini tahu yang awak tu isteri saya," balas Levent. Spontan, Levent mengucup pipi Daizy tanpa sempat wanita itu mengelak.
"Awak! Ish!" Laju tangan Daizy menampar paha suaminya. Mata pula segera memerhati sekeliling. Bimbang jika ada yang melihat perbuatan suaminya.
Alfie yang memerhati dari jauh segera palingkan wajah. Dia kembali berbual bersama kumpulan lelaki yang ada di hadapannya.
"What? Tak salah pun. Atau awak tengah jaga hati seseorang dekat sini?" Sindir Levent sebelum jarakkan tubuh mereka. Belakang disandar kasar pada kerusi kemudian meneguk minumannya sehingga habis.
Daizy hanya memerhati suaminya yang sedang tegang. Dia tidak tahu punca suaminya tiba-tiba berubah seperti itu.
Tepat pukul 11 malam, mereka pun meninggalkan acara tersebut. Daizy sudah mulai mengantuk dan lelah kerana duduk hampir 4 jam di dalam dewan itu.
BEG tangan isterinya diselongkar sepenuhnya sewaktu wanita itu sedang mandi. Levent sedang mencari jam tangan yang pernah dibeli oleh isterinya dua bulan lalu. Melihat jam yang dipakai Alfie sewaktu di acara tadi membuatkan hatinya tidak keruan.
Kini, dia mulai menyelongkar laci serta kabinet yang terdapat di dalam bilik tidur mereka.
"Sayang? Awak cari apa?" Soal Daizy yang baru keluar dari bilik mandi. Matanya melirik laci serta pintu kabinet yang terbuka luas sehingg akhirnya dia melihat beg tangannya di atas meja solek. Ianya terbalik dan segala isinya sudah terkeluar.
"Awak cari apa?" Soal Daizy tak puas hati. Dia segera mendekati meja solek.
"Kenapa bongkar beg saya sampai macam ni sekali?" Soal Daizy lagi begitu kesal.
Levent sedikit pun tak bersuara. Hanya bunyi nafasnya yang kedengaran.
"Mana jam tu?" Soal Levent, tegang.
"Jam?"
"Ya. Jam yang awak nak bagi pada saya. Mana jam tu?" Levent masih cuba untuk mengawal emosinya.
Wajah Daizy bertukar pucat. Kenapa suaminya tiba-tiba persoalkan jam tersebut. Ianya sudah dua bulan berlalu.
"Daizy. Saya tanya awak. Mana jam tu?" Levent mulai mendekat.
"Awak... awak tak nak jam tu, kan? So, saya buanglah," jelas Daizy, gugup.
"Buang? Dekat mana?"
"Dekat... tong sampahlah." Daizy semakin gugup.
"Betul?" Mata isterinya direnung tajam. Saat Daizy ingin alihkan pandangan, tangan Levent segera menahan dagu wanita itu.
"Pandang muka saya. Betul awak buang jam tu? Atau awak bagi dekat skandal awak? Hm?" Soal Levent mulai menekan.
"Skandal apa pulak ni? Awak yang tak nak jam tu. Dan sekarang awak pula nak marah bila saya buang jam tu." Daizy menolak tangan suaminya kemudian jarakkan tubuh mereka. Suhu hangat dari tubuh suaminya begitu terasa sekali.
"Okay, fine. Kalau saya tahu jam tu awak bagi dekat lelaki lain... kau siap!" Jari telunjuk Levent begitu tajam menuding wajah isterinya.
Serta merta Daizy menelan liur pekat. Entah kenapa, terasa nyawanya bagaikan telur di hujung tanduk. Apa akan berlaku jika suaminya tahu jam tersebut sudah diberikan kepada Alfie? Sudah pasti dia akan mendapat habuan dari suaminya.
SEPANJANG waktu bekerja, Daizy tidak dapat menumpukan perhatian pada tugasannya. Fikiran asyik teringat ugutan suaminya. Mana mungkin dia meminta kembali hadiah yang sudah diberikan kepada Alfie. Sudah tentu dirinya dianggap buruk siku.
"Ish! Hari tu bukan main lagi tak nak jam tu. Aku dah bagi dekat orang lain baru sibuk nak tanya!" Rungut Daizy dalam hati. Belakang tubuhnya bersandar malas di kerusi sambil merenung kosong ke hadapan.
"Kau pun bodoh, Daizy! Apasal kau bagi Alfie?! Kenapa tak simpan aje?! Kau bukan tak tahu perangai suami kau tu macam mana!" Daizy tak habis menyalahkan diri sendiri. Benar-benar kesal dengan tindakannya.
"Ah! Lantaklah! Yang penting dia percaya yang aku dah buang jam tu!" Daizy tegakkan duduk sambil meregangkan badannya. Setelah itu dia kembali menghadap komputer. Ada tugas lebih penting yang harus diselesaikan.
Share this novel